Isnin, 10 Jun 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Terapi berkuda rangsang keyakinan

Posted: 10 Jun 2013 06:06 AM PDT

Dulu aktiviti tegar wanita ini berkunjung ke pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur. Pada hujung minggu mereka membawa anak-anak sekadar melepaskan tekanan dan melihat sekiranya ada padanan yang perlu dibeli.

Di samping memberi keseronokan kepada si kecil, membeli-belah ibarat terapi minda yang tiada penghujungnya. Selain terpaksa mengeluarkan duit, anak-anak juga perlu dikawal bagi memastikan keselamatan mereka terjaga.

Lupakan minat mereka suatu ketika dulu kerana kini keempat-empat wanita ini menjadikan aktiviti berkuda sebagai hobi dan rutin senaman yang dilakukan setiap minggu.

Walaupun jarak di antara rumah dengan lokasi menunggang kuda jauh, bagi Noor Wan Fadzil, Mariam Thomson, Umi Kalsom Nizar dan Noor Nerina Ernie, semua itu tidak menjadi masalah kerana kecintaan kepada kuda begitu tinggi melebihi perasaan mereka terhadap aktiviti membeli-belah yang menjadi kegemaran suatu ketika dulu.

Foto

NOOR bersama anak sulung, Ameer Deedat yang mengalami masalah cerebral palsy sejak berusia empat bulan.

Foto

MENUNGGANG kuda mengurangkan masalah sakit lutut dialami Umi Kalsom.

Foto

MARIAM mengakui berkuda memberi banyak kebaikan kepada kesihatan badan.


Aktiviti ini bukan saja menjadi lokasi pertemuan suri rumah, malah suami turut mempunyai minat yang sama. Lebih penting anak-anak juga turut didedahkan dengan kebaikan menunggang kuda sehingga mereka menjadi lebih yakin, berani serta tidak kekok berhadapan orang ramai.


Ketika berkunjung ke Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC) yang terletak di Shah Alam, kelihatan empat wanita segak dalam persalinan sukan berkuda lengkap but tinggi, topi, mengenakan joppers (seluar khas untuk menunggang kuda) dan chap sebagai pelindung kaki sedang leka bersama kuda masing-masing.

"Seronok sangat walaupun penat, peluh yang mengalir menandakan ia aktiviti sihat serta memberi pelbagai kebaikan kepada kesihatan badan," ujar Noor Wan Fadzil, ibu kepada empat cahaya mata yang mula menunggang kuda di DARC sejak September tahun lalu.

Suri rumah sepenuh masa ini menjelaskan, sebelum mendirikan rumah tangga dia pernah menunggang kuda, namun disebabkan terjatuh dia fobia lantas aktiviti ini ditinggalkan begitu saja. Selepas mendirikan rumah tangga dan memiliki empat anak berusia antara tiga hingga 12 tahun, dia teruja untuk kembali berkuda.

Semuanya bermula selepas anak sulungnya, Ameer Deedat Azwanuddin, 12, mengalami cerebral palsy (CP) atau kelumpuhan otak selepas terjatuh ketika berusia empat bulan.

"Selepas kejadian itu Ameer terus berkeadaan begini, tidak dapat mengendalikan otot sendiri serta mengalami gangguan fungsi saraf yang lain. Selepas doktor menyarankan supaya Ameer menjalani terapi berkuda, saya terus memulakannya," katanya yang sudah menggunakan pelbagai kaedah terapi untuk Ameer.

Menurut Noor, di luar negara terapi berkuda untuk kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) termasuk autisme, sindrom Down, kecacatan tubuh dan lemah pelajaran dijalankan secara meluas kerana ia memberi pelbagai kebaikan bukan saja pada fizikal, tetapi emosi mereka.

"Memang benar selepas beberapa kali sesi menunggang kuda, beberapa perubahan ketara boleh dilihat pada diri Ameer. Kali pertama memang dia agak kekok dan sering menundukkan kepala dan membengkokkan badan tetapi kini tidak lagi. Kepala sudah tegak begitu juga dengan badan. Ia sesuatu yang sangat positif kerana ketika menunggang, ada latihan yang diberikan kepada anak-anak ini," katanya.

Tambahnya, terapi berkuda dapat merangsang otot kaki dan membolehkan mereka berjalan secara perlahan-lahan. Malah, secara tidak langsung ia juga mampu mengatasi masalah psikologi dan perasaan seperti kurang keyakinan diri serta kemampuan bertutur dan berbicara.

Ini kerana wujud hubu–ngan unik antara penunggang dengan kuda, sekali gus menimbulkan rasa saling percaya sepanjang mereka menjalani sesi latihan.

Dia yang turut menghadapi masalah migrain dan badan lesu, selepas menunggang badan semakin kuat dan cergas malah migrain juga hilang. Selepas pulang ke rumah dia masih boleh melayan keempat-empat anaknya.

Kini aktiviti berkuda bukan saja untuk dirinya, malah suami dan tiga anak yang lain turut menjadikannya sebagai rutin mingguan. Keterujaan terhadap haiwan ini begitu tinggi sehingga dia sanggup membeli aksesori seperti gelang dan cincin berbentuk kuda serta pakaian berlatar belakang gambar kuda.

Bermula dengan anak yang dibawa bagi merasai pengalaman menunggang kuda akhirnya ibu kepada tiga cahaya mata, Mariam Thomson mulai jatuh cinta dengan kuda selepas kali pertama menunggangnya pada Disember 2012.

Dia yang tertarik selepas berkunjung ke DARC mengakui, selepas kali pertama menunggang dia merasai satu pengalaman yang sukar digambarkan. Ia tidak sama dengan aktiviti fizikal lain.

"Kali pertama mencuba memang rasa gayat apatah lagi apabila rasa takut ketika berseorangan di atas kuda. Namun, lama-kelamaan selepas diberi tunjuk ajar jurulatih, keyakinan mula bertambah dan saya semakin berani berseorangan mengendalikan kuda," katanya.

Menurut Mariam, jika dulu setiap hujung minggu dia meluangkan masa di pusat beli-belah bersama suami dan anak-anak, tetapi kini aktiviti bertukar di kandang kuda.

Menariknya sambil menunggang, dia boleh membiarkan ketiga-tiga anaknya bermain di kawasan sekitar tanpa risaukan keselamatan mereka.

"Keadaan ini berbeza ketika di pusat beli-belah, saya perlu menjaga anak-anak kerana mereka jarang duduk diam dan suka berlari ke sana sini. Aktiviti berkuda bukan saja mendidik mereka supaya tidak takut kepada kuda, malah mahir dalam menunggang. Lokasi yang mesra keluarga dan sesuai untuk membawa anak-anak kecil menyebabkan saya memilih DARC sebagai lokasi berkuda," katanya yang mendapat galakan suami sepenuhnya.

Menurut wanita berdarah campuran Melayu dan Scotland ini, aktiviti pada hujung minggu ini juga menjadi pertemuan dengan rakan-rakan. Ramai antara mereka suri rumah, ada juga yang bekerja jadi peluang ini digunakan untuk bertukar pendapat.

Jika selama ini mereka ke gimnasium atau merawat badan di spa, menunggang kuda turut memberikan kelebihan yang sama antaranya mampu merangsang dan menguatkan otot, terutama di bahagian pelvik dan tulang belakang serta membentuk tubuh menjadi lebih cantik.

Perkara sama turut diakui Umi Kalsom Nizar yang mula mengikuti aktiviti berkuda sejak Disember tahun lalu. Mulanya dia hanya membawa anak perempuan, Anfal Insyirah Abu Talib, 7, bagi mendedahkan si kecil ini kepada kuda. Tetapi lama-kelamaan timbul minat sehingga dia memberanikan diri mencuba.

"Saya mula menunggang kuda pada Februari lalu. Kali pertama duduk di atas kuda memang terasa gayat dan takut. Namun, jurulatih banyak membantu memberikan keyakinan sehingga lama-kelamaan saya mampu mengendalikan kuda sendiri," katanya yang menjalani latihan dua kali seminggu di DARC.

Ujar Umi, jika dulu dia kerap mengalami masalah sakit lutut dan kurang tumpuan terutama ketika memandu kereta kini selepas empat bulan banyak kebaikan diperoleh terutama dari sudut kesihatan.

"Saya dapati masalah sakit lutut semakin berkurangan dan hilang sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan angin dalam badan. Tubuh lebih segar dan sihat, malah mampu mengekalkan berat badan. Saya juga lebih fokus ketika memandu dan memberikan tumpuan dalam sesuatu perkara," katanya yang begitu obses dengan kuda sehinggakan sering tersenyum apabila membicarakan mengenai haiwan ini.

Selain menunggang di DARC, Umi bersama rakan-rakan turut berkuda di pantai seperti di Cherating, Pahang. Menunggang di pantai dan laut memberikan satu pengalaman yang cukup mendebarkan.

"Saya dapati kuda sangat sukakan air terutama pada waktu pagi, malah kuda boleh berenang dengan baik. Ketika kali pertama mencuba memang rasa takut, tetapi saya perlu berani berinteraksi dengan kuda kerana haiwan ini boleh memahami emosi manusia," katanya.

Jika ada mengatakan menung–gang kuda suatu aktiviti untuk golongan berada, ia satu tanggapan yang salah. Terdapat banyak pusat menunggang kuda yang menyediakan harga berpatutan dan sesuai untuk semua peringkat usia.

"Jika individu sanggup mengunjungi gimnasium setiap minggu dan membayar yuran bulanan, konsepnya sama seperti menunggang kuda. Malah, aktiviti ini menjadi amalan Nabi Muhammad SAW dan disebut dalam al-Quran kerana mempunyai banyak kebaikan, jadi mengapa tidak kita mengamalkannya," kata Umi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Rahmat penduduk Sungai Kinabatangan

Posted: 10 Jun 2013 05:42 AM PDT

Sebagai anak FELDA, perjalanan lebih dua jam melewati ladang kelapa sawit di Sandakan tidak menjemukan, bahkan ada kalanya terasa seperti menuju ke kampung sendiri.

Pemandangan ladang yang sesekali berselang rumah kampung mengimbau kenangan sewaktu kecil terutama tiga empat tahun selepas berpindah ke tanah rancangan.

Beberapa teman tertawa apabila diberitahu Nestle Malaysia membawa penulis jauh ke Sabah semata-mata untuk melawat ladang kelapa sawit. Macamlah tidak sama dengan ladang kelapa sawit di Semenanjung. Ya, memang sama, tetapi tidak serupa. Bezanya di sini, di celah-celah ladang kelapa sawit syarikat besar terselit kebun kecil milik penduduk kampung.

Perbezaan kedua dan lebih utama, sebahagian besar ladang itu terletak di pinggir bahagian bawah Sungai Kinabatangan sungai terpanjang di Sabah dan kedua panjang di Malaysia. Kehadiran barisan pokok kelapa sawit yang jaraknya hanya beberapa langkah dari tebing sungai sedikit sebanyak menjejaskan ekosistem Sungai Kinabatangan.


Jadi apa kaitan ladang kelapa sawit dan ekosistem Sungai Kinabatangan de­ngan Nestle sehingga mahu campur tangan dalam hal ini? Banyak. Semuanya demi kepentingan bersama supaya semua pihak tidak me­ngenepikan kesejahteraan alam dalam usaha mening­katkan hasil pertanian dan mutu kehidupan.


Pegawai Pertanian Nestle Manufacturing (M) Sdn Bhd, Kertijah Abdul Kadir berkata, berdasarkan falsafah Mewujudkan Perkongsian Nilai yang diamalkan syarikat itu, maka terhasillah projek perintis dipanggil Kumpulan Sawit Lestari Kinabatangan bagi mempelbagaikan kerjaya dalam usaha meningkatkan pendapatan dan mutu kehidupan penduduk.

Projek perintis membabitkan 30 pemilik ladang persendirian yang bermula pada Disember 2012 lalu dan dijangka dapat mencapai sasarannya dalam tempoh dua tahun. Tujuannnya adalah untuk membabitkan pemilik ladang kelapa sawit persendirian di daerah Kinabatangan yang mempunyai pelbagai saiz ladang untuk mendapat status Perakuan Minyak Sawit Mampan (CSPO) dan hasil ini akan menjadi sumber bekalan minyak sawit Nestle.

Ia sejajar dengan falsafah Nestle yang mahukan semua pihak mendapat keuntungan. Projek ini bertujuan membantu peladang meningkatkan hasil dan mutu pengeluaran mereka supaya dapat memenuhi standard ketat Nestle dan secara tidak langsung mengurangkan kesan pencemaran kepada alam sekitar.

Awang Aziz, 70, yang memiliki ladang kelapa sawit seluas tiga ekar dengan hasil dua tan sebulan gembira apabila ditawarkan menternak ayam secara sambilan di ladangnya. Dua kali cubaan tidak menjadi, ayam diternak banyak yang mati. Namun dalam cubaan ketiga, Awang boleh tersenyum lega.

Apa istimewanya ayam ternakan dalam ladang ini? Pemilik ladang tidak digalakkan menggunakan baja kimia dan racun rumpai, sebaliknya diberikan cecair mengandungi mikrob sebagai ganti untuk disembur pada tanah dan pangkal pokok kelapa sawit.

Kaedah ini dipanggil kawalan biologi di mana semburan mikrob itu sebagai augmentasi atau penambahan nilai tanah secara semula jadi yang bertujuan mengurangkan kesan kerosakan pada persekitaran dengan meminimumkan atau mengoptimumkan peng­gunaan bahan kimia (secukupnya) di ladang di samping menjimatkan wang dan meningkatkan keselamatan peladang. Malah pendekatan kawalan biologi ini secara tidak langsung dapat menangani masalah cendawan Ganoderma, yang menjadi perosak utama pokok kelapa sawit.

Pengusaha ternakan ayam tempatan yang bekerjasama dalam program ini akan membekalkan anak ayam dan mengambilnya kembali apabila ayam sudah cukup besar untuk dijual pada harga RM15 seekor. Mungkin satu hari nanti mereka boleh membekalkan ayam organik untuk pasaran tempatan kerana ayam ini hanya makan rumput dan jagung selain diternak tanpa suntikan hormon dalam persekitaran yang bersih.

Ketika ditemui, Hadi Ahmad, 44, sibuk menyiapkan sendiri reban ayamnya. Seperti Awang, dia juga teruja apabila terpilih menyertai projek ternakan ayam kerana daripada 14 ekar kebun kelapa sawitnya, baru tujuh ekar ditanam dengan hasil yang masih rendah - dua atau tiga tan sebulan.

Harga satu tan kelapa sawit turun naik ikut pasaran, dengan purata RM400 sebulan - tidak cukup untuk menanggung keperluan keluarga dan anak yang bakal mencecah lapan orang. Tawaran itu umpama orang mengantuk disorongkan bantal kerana dia memang menunggu peluang menambah pendapatan di kebun sendiri.

Namun dalam projek perintis ini ada yang dikhususkan untuk memberi perhatian kepada ladang kelapa sawit saja seperti Noor Azizah Bibu, 42, dari Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi yang baru dua bulan menggunakan semburan mikrob.

Walaupun masih terlalu baru, dia teruja dengan perkembangan positif ditunjukkan pokok kelapa sawit di kebunnya kerana ia tampak lebih sihat dan segar berbanding ketika menggunakan baja kimia.

"Selain itu, saya juga diberi panduan perladangan seperti memotong pelepah kelapa sawit menjadi kecil supaya ia lebih cepat reput dan menjadi baja. Malah untuk pokok yang ada di lereng, saya disarankan menyusun pelepah secara melintang bagi mengurangkan hakisan tanah akibat hujan. Memang rasa seronok apabila ada pihak yang sanggup datang ke ladang kami dan memberi khidmat nasihat untuk memperbaiki teknik berladang," katanya tersenyum.

RiLeaf dan KAPOK

Namun ada satu lagi aktiviti kemasyarakatan iaitu program penghutanan semula tebing Sungai Kinabatangan melalui Projek RiLeaf Nestle supaya air yang menjadi sumber kelangsungan hidup manusia, alam dan perladangan akan terjaga.

Menurut Kertijah, inisiatif tiga tahun itu membabitkan kawasan seluas 2,400 hektar di sepanjang 110 kilometer di bahagian bawah Sungai Kinabatangan dan sehingga kini, lebih 123,000 pokok sudah ditanam berdasarkan kepada jumlah pembelian anak benih. Sebenarnya 2,400 hektar ini adalah pecahan kecil daripada keluasan sebenar yang perlu 'dibantu' iaitu seluas 32,000 hektar.

Apa yang menarik ialah projek penghutanan semula tebing sungai ini turut membabitkan penduduk kampung khususnya wanita kerana Nestle membeli anak benih pokok hutan daripada Komuniti Anak Pokok Kinabatangan (KAPOK) yang kini mempunyai 34 ahli berdaftar.

Isnidah Jangai, 35, dari Kampung Bilit yang menjadi ahli KAPOK sejak 2006 berkata, ada tiga cara membekalkan anak benih iaitu daripada biji benih, anak benih yang tumbuh liar di hutan atau ladang dan keratan cabang pokok. Namun kaedah yang lebih mudah ialah mencari anak benih dari hutan untuk ditanam semula dan dibesarkan di rumah.

"Anak benih ini akan ditanam dalam polibeg hitam dan diletakkan di tempat teduh terlebih dulu hingga ia mencecah pada ketinggian tertentu. Selepas itu barulah anak benih ini diletakkan di tempat panas selama dua minggu supaya ia tahan lasak sebelum boleh ditanam di tebing sungai.

"Apabila masuk hutan kami akan mencari biji dan anak benih. Kadangkala kami boleh mengumpulkan sehingga 1,000 biji benih. Apabila cukup besar wakil Nestle akan datang membelinya tetapi kami tidak disekat daripada menjual kepada orang lain seperti kumpulan sukarelawan, pelancong dan pelajar yang menyertai program penghutanan semula," katanya.

Projek penghutanan semula tebing Sungai Kinabatangan yang diwarisi daripada WWF Malaysia itu turut memberi peluang kepada ahli KAPOK dan penduduk kampung pendapatan tambahan kerana anak benih boleh dijual pada harga RM1.90 hingga RM5 sepokok.

Kata Kertijah, dalam usaha penghutanan semula tebing sungai, terutama yang sudah dijadikan ladang kelapa sawit, banyak usaha dijalankan bagi meningkat­kan kesedaran dan mendapat kerjasama penduduk kampung.

Selepas dibeli, sebahagian anak benih dikumpulkan di Tapak Semaian Penghasilan Pokok Kinabatangan, Kampung Bilit yang boleh menempatkan sehing­ga 10,000 anak pokok pada satu masa sebelum dipindahkan ke hutan.

Walaupun sudah dilatih untuk lasak, tidak semua anak pokok hutan yang ditanam boleh bertahan dan setakat ini kadar kematian mencecah 30 peratus. Antara 'musuh' yang perlu dihadapi ialah rumpai menjalar, dipijak haiwan liar dan banjir.

Untuk menangani masalah ini, Kertijah dan pasukannya menjalankan kajian penanaman sampel bagi meningkatkan kelangsu­ngan hidup anak benih dan menjimatkan perbelanjaan.

Penyelia lapangan akan memantau proses pembelian dan penanaman di tapak semaian dan hutan. Malah pegawai dari Jabatan Perhutanan juga akan membuat tinjauan setiap enam bulan.

"Mengapa kami memilih Sungai Kinabatangan? Su­ngai Kinabatangan dan hutan sekitarnya adalah antara ekosistem terkaya di dunia yang menjadi rumah kepada bermacam jenis haiwan ter­ancam. Namun disebabkan kepesatan industri perladangan, ia memberi kesan kepada persekitaran sehingga hutan di sini dikelaskan sebagai hutan terjejas.

"Dengan adanya soko­ngan daripada Universiti Malaysia Sabah, kami cuba menyedarkan penduduk kampung (pemilik ladang persendirian) untuk mengu­rangkan penggunaan baja kimia dan beralih kepada amalan perladangan yang baik dan semula jadi," kata Kertijah.

Projek persekitaran seperti ini mengambil masa beberapa tahun untuk dilihat manfaatnya. Diharap­ kan ada pihak lain yang turut berminat berganding bahu dan meneruskan usaha ini. Namun sebelum tempoh tiga tahun berakhir, Nestle mensasarkan untuk menanam sekurang-kurangnya 100,000 pokok bagi membantu mengembalikan ekosistem Sungai Kinabatangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved