Ahad, 16 Jun 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Elak buah pinggang rosak

Posted: 16 Jun 2013 07:41 AM PDT

Dua minggu lalu, seorang pesakit buah pinggang, Lawrence Breakly, 62, menjadi orang pertama menerima pembuluh darah tiruan untuk proses dialisis dalam satu prosedur perubatan selama dua jam di Hospital Universiti Duke, North Carolina, Amerika Syarikat.

Pembuluh darah tiruan itu dihasilkan pasukan pengkaji universiti berkenaan menggunakan sel darah manusia yang 'dihidupkan' dalam peranti berbentuk tabung di makmal.

Menurut pakar bedah prosedur terbabit, Dr Jeffrey H Lawson, ujian klinikal mendapati pembuluh darah tiruan itu berfungsi lebih baik berbanding pembuluh darah sintetik atau pembuluh darah daripada haiwan.

Sebelum ini, doktor menggunakan pembuluh darah sintetik untuk prosedur hemodialisis, tetapi ia kerap menyebabkan darah bergumpal.

Foto

AMALKAN pengambilan makanan kurang kandungan garam dan bahan perasa.


Tambahnya, beberapa ujian lanjut masih dilakukan oleh Universiti Duke dan jika lulus, pembuluh darah tiruan ini akan menjadi kaedah paling berkesan kepada jutaan pesakit buah ping­gang yang terpaksa melakukan proses dialisis secara rutin.


Membaca kisah ini membuatkan penulis terfikir sampai begini sekali usaha membantu pesakit buah pinggang yang perlu melalui proses dialisis supaya mereka dapat menjalani rawatan berkenaan dengan lebih baik.

Sekiranya kita menjaga buah pinggang dengan baik sejak muda, mungkin rawatan sedemikian tidak perlu ditempuh.

Menjejakkan kaki ke bilik rawatan dialisis Pusat Perubatan Sunway bersama Terapi Rehabilitasi Sukan pusat berkenaan, Muhammad Ghazali Abdul Jalil, sudah cukup membuatkan penulis hiba kerana tidak sampai hati melihat ramai warga emas terlantar di atas katil sambil melakukan proses dialisis.

Keadaan itu juga sedikit sebanyak memberi keinsafan kepada penulis supaya lebih menghargai organ penting yang menjadi kilang penapis darah ini, apatah lagi selepas melihat kepayahan mereka.

Perunding Pemakanan Pusat Perubatan Sunway, Ng Yee Voon berkata, kerosakan buah pinggang berlaku secara perlahan-lahan tanpa disedari.

Oleh kerana kehadirannya jarang disedari, tiada langkah diambil untuk memperlahankan proses ini sehinggalah keupayaan buah pinggang seseorang untuk menapis darah hanya tinggal 10 hingga 15 peratus.

"Beberapa gejala penyakit buah pinggang yang harus diberi perhatian termasuk berat badan menurun tanpa sebab, rasa loya atau muntah, letih, lesu atau sakit belakang.

"Tanda lain termasuk penukaran kekerapan atau corak pembuangan air kencing, air kencing yang me­ngandungi darah atau rasa pedih ketika membuang air kencing, bengkak pada muka, kaki dan abdomen serta kesukaran untuk tidur malam.

"Malangnya, semua gejala ini kebiasaannya tidak akan kelihatan sehinggalah buah pinggang mengalami kerosakan yang teruk. Ada juga kemungkinan anda langsung tidak akan mengalami sebarang tanda berkenaan walaupun buah pinggang sudah tidak berfungsi lagi.

"Oleh sebab itu, anda tidak boleh bergantung kepada semua gejala dinya­takan untuk mengesan penyakit buah pinggang dan mengang­gap anda tidak mempunyai penyakit itu jika langsung tidak mengalami­nya," katanya.

Langkah pertama penjagaan penyakit buah ping­gang yang lebih berkesan adalah dengan mengesan penyakit ini pada peringkat awal.

Ia amat penting terutama jika individu itu se­orang penghidap diabetes kerana penyakit ini akan menyebab­kan mereka berisiko tinggi menghidap pe­nyakit buah pinggang.

Buah pinggang adalah kilang penapis yang bekerja sepanjang masa. Ia menapis kira-kira 200 liter darah sehari untuk menyingkir bahan buangan dan air berlebihan daripada badan menerusi air kencing.

Selain itu, buah pinggang mengawal jumlah cecair dan elektrolit dalam badan, mengawal tekanan darah, ­membantu penghasilan sel darah merah dengan mengeluarkan hormon eritropoietin yang penting dalam proses pembentukan darah dan mengekalkan kesihatan tulang dengan mengawal tahap kalsium serta fosforus dalam darah.

Justeru, kawalan makan sangat penting supaya buah pinggang mampu bertahan lama. Jika tidak, ia akan rosak terus dan perlu menjalani rawatan dialisis untuk meneruskan hidup.

Walaupun tahu betapa mustahaknya buah pinggang, ramai kurang sedar penyakit membabitkan organ ini sebenarnya sangat membebankan. Mungkin inilah sebabnya masih ramai yang berat hati hendak me­ngamalkan gaya hidup aktif meskipun sudah berulang kali dimaklumkan aktiviti fizikal sangat penting untuk mengawal penyakit.

Pengambilan makanan mengikut selera dan jarang bersenam sebenarnya boleh mempercepatkan proses kerosakan buah pinggang yang gejala kerosakannya tidak disedari.

Biasanya gejala hanya akan muncul apabila fungsi buah pinggang kurang daripada 30 peratus. Apabila disebut fungsi atau keupayaan buah pinggang bekerja, ia membabitkan kedua-dua buah pinggang.

"Untuk pesakit buah ping­gang, mereka perlu mengambil protein, kalori, cecair, vitamin dan mineral yang mencukupi untuk mendapatkan tenaga diperlukan sepanjang hari.

"Ini kerana pesakit akan kehilangan protein ketika melakukan dialisis dan keperluan mereka berbeza dengan pesakit buah ping­gang kronik. Sumber protein dan kalori penting untuk membina dan memperbaiki tisu dan menentang jangkitan selain menyingkirkan bahan tidak perlu pada tubuh.

"Jangan merokok kerana ia boleh memberi kesan langsung kepada buah pinggang. Jika buah pinggang sudah rosak, berhenti merokok tidak banyak membantu untuk memperbaiki fungsi buah pinggang," katanya.

Sekiranya menghidap kencing manis, berusaha sedaya mungkin untuk mengawal paras gula darah dengan menjaga pemakanan, mengambil ubat dan paling penting, bersenam.

Lebih 50 peratus pesakit yang menjalani rawatan dialisis menghidap kencing manis. Kerosakan buah pinggang akibat kencing manis boleh dicegah jika dikesan awal. Pakar perubatan menganggarkan keba­nyakan kes kencing manis dikesan selepas hampir 10 tahun penyakit itu bersarang dalam badan.

Sentiasa memastikan paras kolesterol terkawal dan paling utama, kurang­kan pengambilan garam. Cuba sasarkan kurang daripada 1,500 miligram sehari. Ini boleh dilakukan dengan mengehadkan penggunaan garam dalam masakan serta mengurang­kan makanan masin.

Pilih makanan yang baik untuk jantung seperti buah-buahan segar, sayur beku atau segar, makanan bijirin penuh dan produk tenusu rendah lemak.

Selain pesakit, keluarga juga memainkan peranan penting menyediakan resipi yang masih me­ngekalkan kelazatan dan ciri-ciri diperlukan untuk menjana kesihatan holistik.

Bermula 10 hingga 14 Jun lalu, Pusat Perubatan Sunway menganjurkan Minggu ­Nutrisi 2013 de­ngan tema Kesihatan dan Kesejahteraan Buah Pinggang.

Pelbagai aktiviti berfaedah dijalankan antaranya ujian darah percuma dan pameran kesihatan.

Bengkel diet rendah protein juga akan diadakan pada 29 Jun ini untuk pesakit dan ahli keluarga mereka di Pusat Konvensyen Swan, Pusat Perubatan Sunway.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Jabatan Dietetik dan Nutrisi pusat perubatan berkenaan di 03-74919191.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Senaman pesakit ginjal

Posted: 16 Jun 2013 07:31 AM PDT

Ramai beranggapan setiap pesakit penyakit kronik tidak boleh melakukan aktiviti kecergasan seperti senaman kardio misalnya joging atau berlari untuk menambah stamina dan memastikan jantung sentiasa dalam keadaan baik.

Sebenarnya, ia masih boleh dilakukan cuma harus berhati-hati dan apabila dilakukan bersungguh-sungguh, ia memberi impak menakjubkan ke dalam diri setiap pesakit.

Kekuatan dalaman mula terbentuk apabila sedikit demi sedikit peserta dapat melakukan pergerakan yang dirasakan tidak mampu, tetapi dengan kesungguhan mereka dapat mempamerkan aksi luar biasa.

Terapi Rehabilitasi Sukan Pusat Perubatan Sunway, Muhammad Ghazali Abdul Jalil berkata, pesakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan dialisis juga boleh melakukannya tetapi dengan syarat mereka tahu keadaan sebenar dan terkini rekod perubatan.

Foto

(LANGKAH 1,2,3): Luruskan kaki, cengkam bahagian otot, angkat dan buka sedikit kaki seperti ini. Lakukannya dalam kiraan lima hingga 10. Ulangi sebanyak 20 kali.

Foto

(LANGKAH 1,2,3): Luruskan kaki, cengkam bahagian otot, angkat dan buka sedikit kaki seperti ini. Lakukannya dalam kiraan lima hingga 10. Ulangi sebanyak 20 kali.

Foto

(LANGKAH 1,2,3): Luruskan kaki, cengkam bahagian otot, angkat dan buka sedikit kaki seperti ini. Lakukannya dalam kiraan lima hingga 10. Ulangi sebanyak 20 kali.

Foto

LANGKAH 4: Letakan gulungan selimut atau tuala di bawah paha atau antara dua lutut lalu tekan dalam kiraan yang sama.

Foto

LANGKAH 5: Letakan gulungan selimut atau tuala di bawah paha atau antara dua lutut lalu tekan dalam kiraan yang sama.

Foto

LANGKAH 6: Sekiranya kaki tidak kuat, gulung tuala dan genggam erat.

Foto

LANGKAH 7: Sekiranya kaki tidak kuat, gulung tuala dan genggam erat.

Foto

LANGKAH 8: Angkat botol air begini untuk senaman di bahagian bahu dan tangan.

Foto

LANGKAH 9: Angkat botol air begini untuk senaman di bahagian bahu dan tangan.


Saranan doktor mengenai diet atau jenis senaman yang boleh dilakukan juga perlu diikuti supaya tidak memudaratkan diri.


"Saya amat menggalakkan pesakit bersenam kerana ia sedikit sebanyak membantu proses pemulihan mereka selain dapat menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan.

"Kebanyakan pesakit tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal ketika menjalani rawatan dialisis. Mereka hanya baring, tidur, melayari Internet atau membaca buku. Ini boleh diubah dengan melakukan beberapa pergerakan ringkas supaya mereka lebih cergas kerana selalunya pesakit akan berasa lemah sepanjang tempoh terbabit dan selepasnya," katanya.

Antara faedah senaman untuk pesakit buah pinggang termasuk menambah kekuatan badan dan daya tahan, menambah kelenturan sendi dan otot, menguatkan sendi dan otot, meningkatkan stamina dan sistem kardiovaskular serta mengurangkan penat ketika dan selepas dialisis.

Selain itu, ia membantu mengurangkan tekanan darah tinggi, mengurangkan pengambilan pil darah tinggi, mengurangkan tekanan, meningkatkan hormon, menjadikan pesakit lebih aktif dan mening­katkan keyakinan diri antara pesakit dengan masyarakat.

Jenis senaman yang boleh dilakukan pula adalah berjalan, berjalan pantas,
berbasikal, aerobik, ­melangkah tangga, berenang dan senaman kardiovaskular untuk membantu jantung dan ­paru-paru supaya sistem pernafasan berjalan lancar dan teratur serta mengurangkan berat badan.

Bersenam selama termampu

Senaman bebanan untuk menguatkan otot dan sendi supaya kekal bertenaga dan mudah melakukan kerja atau meneruskan aktiviti harian boleh dipertingkatkan dengan bersenam menggunakan dumbbell, beg pasir, botol air atau jalur getah anjal.

Jenis senaman lentur untuk meningkatkan kelenturan sendi dan otot bagi mengelakkan kecederaan atau otot menjadi ketat ketika bersenam pula adalah yoga, bola fit dan regangan.

"Waktu sesuai untuk bersenam bagi pesakit buah pinggang adalah ketika mereka tidak melakukan rawatan dialisis dan tidak berasa keletihan atau sakit.

"Pesakit digalakkan supaya bersenam secara berteman atau di tempat awam. Ini bagi mengelakkan sesuatu berlaku ketika senaman dilakukan. Jangka masa yang disarankan untuk melakukan senaman adalah sekurang-kurangnya 30 minit dan lebih.

"Mereka digalakkan untuk bersenam selama yang mampu asalkan tidak menyebabkan penat keterlaluan dan masih mampu melakukan kerja harian selepas aktiviti itu.

"Tetapi pesakit harus lakukan senaman secara berpering­kat. Rehat secukupnya mesti diambil. Jangan buat senaman mengikut perasaan dan tentu pesakit dinasihati memakai pakaian dan kasut bersesuaian dan selesa," katanya.

Berikut contoh senaman yang boleh dilakukan pesakit buah pinggang ketika menjalani rawatan dialisis. Ia juga boleh dilakukan di rumah menggunakan objek sedia ada seperti bola, tuala, selimut dan botol air.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved