Ahad, 9 Jun 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Hidup atau mati

Posted: 09 Jun 2013 07:39 AM PDT

Benarkah mereka yang mendiami bangunan tinggi mampu terlepas daripada gigitan nyamuk aedes? Tahukah anda nyamuk aedes mampu terbang pada ketinggian hingga 200 meter?

Malah, kajian yang dilakukan di Singapura mendapati nyamuk pembawa virus denggi itu juga mampu terbang hingga ke tingkat 15 bangunan.

Mungkin tidak terlintas di fikiran kita nyamuk mampu terbang setinggi itu. Ia tidak terbang terus ke paras tertinggi tetapi nyamuk itu mempunyai cara tersendiri.

Rahsianya, nyamuk berkenaan terbang mengikut mangsa dan menaiki lif untuk singgah di tingkat tertentu bagi memudahkan ia bertelur dan membiak.


Selepas menghasilkan telur di tempat air bertakung dan bersih, nyamuk berkenaan akan mula terbang di ketinggian yang lain pula untuk mencari mangsa dan tempat bertelur yang baru.


Memang agak menakutkan tetapi itulah realitinya. Kira-kira 70 hingga 80 peratus kes demam denggi dilaporkan berlaku di kawasan bandar malah angka itu dikatakan semakin meningkat.

Ia disebabkan populasi penduduk yang lebih ramai di kawasan bandar selain banyak kawasan takungan yang tidak dibersihkan. Ini sekali gus memudahkan nyamuk aedes terutama aedes aegypti membiak serta menyebarkan virus denggi dengan cepat.

Statistik menunjukkan terdapat sembilan kawasan yang popular dari segi peningkatan kes denggi. Ia meletakkan Selangor pada kedudukan teratas dengan catatan 4,474 kes sehingga 1 Jun 2013.

Dalam senarai kawasan popular itu juga, Kelantan dan Sabah mencatatkan jumlah peningkatan kes denggi tertinggi iaitu sebanyak 68 peratus dan 67 peratus.

Sehingga akhir 2012, kes denggi di negara ini mencecah angka mengejutkan sebanyak 21,900 kes.

Menerusi angka berkenaan, sehingga 1 Jun 2013, 19 kematian dicatatkan dengan tujuh kes di Johor, lima kes di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga kes di Selangor, dua kes di Sarawak dan satu kes masing-masing di Sabah dan Kedah.

Menurut Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Rose Nani Mudin, hanya ada dua pilihan apabila sudah dijangkiti demam denggi sama ada hidup atau mati.

"Ia bergantung kepada sejauh mana pesakit membuat pemeriksaan awal selepas dia mengalami demam. Ada sesetengah pesakit yang meninggal dunia seawal dua hingga tiga hari selepas disahkan demam denggi.

"Pesakit bukan saja mengalami suhu panas yang tinggi, sakit badan, sakit kepala di bahagian belakang mata, loya, muntah dan kadangkala batuk sedikit tetapi virus yang dibawa nyamuk aedes juga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang, hati dan jantung berhenti berdenyut.

"Justeru, apabila mengalami demam dengan suhu melebihi 39 darjah Celsius, segera lakukan pemeriksaan di klinik berhampiran bagi menyelamatkan nyawa kerana demam denggi ini tiada ubat mahupun vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog anjuran pengeluar jenama racun serangga, SC Johnson dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sempena Hari Denggi ASEAN yang diadakan di ibu kota, baru-baru ini.

Tambahnya, faktor yang menyebabkan pesakit mampu bertahan bergantung kepada kekuatan sistem imun badan mereka.

Namun, itu tidak bermakna golongan muda tidak berisiko mengalami komplikasi akibat serangan virus yang membawa kepada kematian.

Paling merisaukan apabila pesakit dalam kalangan orang tua, kanak-kanak dan ibu hamil kerana mereka berisiko tinggi mengalami komplikasi berkenaan sehingga menyebabkan kematian.

Punca demam denggi

Denggi ialah jangkitan bawaan nyamuk yang biasanya berlaku di kawasan tropika dan sub-tropika di seluruh dunia. Tanda individu yang menghidapnya adalah demam secara tiba-tiba dan sakit kepala yang teruk, sakit otot dan sendi serta ruam badan.

Nyamuk aedes khususnya spesies aedes aegypti membawa virus yang menyebabkan demam denggi dan terdapat empat serotip yang berbeza bagi virus. Ia merebak kepada manusia melalui gigitan yang membawa kepada demam denggi.

Hanya nyamuk aedes betina saja yang menggigit manusia dan biasanya kita tidak dapat merasai sehinggalah terasa pedih dan gatal.

Nyamuk aedes aktif sepanjang hari terutama pada waktu subuh dan senja. Ia lebih suka membiak di dalam air bersih atau jernih yang bertakung dan hanya memerlukan sedikit air iaitu air sebesar duit syiling 20 sen untuk bertelur.

Nyamuk aedes sebenarnya lebih suka bersembunyi di dalam rumah yang berdekatan dengan mangsanya.

Jelas Dr Rose Nani, telur aedes boleh bertahan dalam persekitaran kering sepanjang tempoh enam hingga sembilan bulan dan apabila hujan ia akan bertukar menjadi pulpa atau jentik-jentik.

"Seekor nyamuk aedes mempunyai tempoh hayat selama sebulan dan dalam tempoh itu, ia akan bertelur kira-kira tiga kali. Setiap kali bertelur, nyamuk boleh menghasilkan sehingga 100 telur.

"Telur akan menjadi nyamuk dewasa selama tujuh hari. Ada teori yang mengatakan virus denggi boleh disalurkan kepada telur yang dihasilkan dan ia sudah dibuktikan kesahihannya.

"Nyamuk aedes betina itu menggigit mangsa berlainan sebanyak empat hingga lima kali sebelum kenyang dan berhenti dalam sehari," katanya.

Demam denggi yang teruk adalah demam denggi berdarah dan sindrom kejutan denggi. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, terdapat empat jenis virus yang berbeza iaitu Den 1, Den 2, Den 3 dan Den 4 yang berkait rapat menyebabkan denggi.

Individu yang pulih daripada jangkitan hanya mendapat imuniti seumur hidup daripada jangkitan jenis sama saja dan mempunyai perlindungan sementara yang bukan sepenuhnya terhadap jangkitan seterusnya daripada mana-mana tiga jenis virus lain.

Jangkitan seterusnya daripada denggi jenis lain akan meningkatkan risiko penyakit yang lebih serius yang dikenali demam denggi berdarah.

Ia menyebabkan pesakit mengalami demam panas, hati bengkak dan lebih serius apabila berlaku kegagalan pengaliran darah serta membawa maut.

Ini bermakna seseorang itu boleh dijangkiti lebih daripada sekali atau sebanyak empat kali seumur hidup.

Penyakit ini biasanya bermula dengan suhu badan yang meningkat secara tiba-tiba diikuti muka merah dan tanda demam selesema lain.

Demam selalunya berterusan selama dua hingga tujuh hari dan suhu panas badan boleh mencapai sehingga 41 darjah Celsius dengan kemungkinan menyebabkan kekejangan serta komplikasi lain.

Cegah sebelum terlambat

Profesor Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Shamala Devi Sekaran berkata, denggi boleh membawa kesan serius yang akhirnya menyebabkan kematian.

"Orang ramai sering berfikir mereka yang pernah menghidap denggi tidak akan dihinggapi penyakit sama kerana tubuh mereka sudah mempunyai antibodi untuk melawan penyakit selepas jangkitan pertama.

"Pendapat itu salah dan serangan denggi kali kedua lebih teruk serta kesannya bertambah rumit. Pesakit juga mungkin mendapat penyakit serius lain yang boleh merosakkan paru-paru, hati dan jantung," katanya.

Justeru, langkah pencegahan utama untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan denggi adalah dengan mengawal peningkatan bilangan nyamuk aedes.

Disebabkan pemindahan virus memerlukan nyamuk vektor, penyebaran denggi boleh dihadkan dengan mengurangkan bilangan nyamuk.

Pendekatan berasaskan masyarakat perlu diadakan bersama dengan inisiatif pendidikan yang mengajar orang ramai mengenai nyamuk sebagai vektor ­penyakit dan risiko wujudnya kawasan pembiakan nyamuk berhampiran ­rumah mereka.

"Orang ramai mempunyai persepsi mereka tidak akan dijangkiti denggi. Namun, statistik membuktikan sebaliknya dan kes denggi didapati bukan saja semakin meningkat tetapi lebih teruk.

"Langkah pencegahan yang mudah boleh dilakukan setiap individu dengan membersihkan tempat nyamuk bertelur. Air kotor yang bertakung bukanlah satu-satunya tempat pembiakan nyamuk aedes kerana ia lebih suka memilih air bersih.

"Bekas buatan manusia seperti seramik, bekas logam, tong simpanan air, pasu bunga serta bekas makanan yang dibuang dan terdedah menyebabkan air hujan
bertakung sehingga enam hari boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk," katanya.

Sementara itu, Dr Rose Nani menambah, bekas berwarna gelap seperti merah dan hitam juga menjadi kesukaan nyamuk aedes. Justeru, elak daripada menggunakan rona berkenaan untuk dijadikan bekas menyimpan air dan seumpama­nya.

"Namun, harus diingat tidak semestinya menggunakan bekas berwarna lain dapat mengelakkan nyamuk bertelur dan membiak kerana ia memang suka air bersih.

"Jarang nyamuk aedes membiak di kawasan air parit atau air berlopak yang kotor seperti digemari nyamuk jenis malaria. Faktor berkenaan membawa kepada pembiakan aedes yang banyak di kawasan bandar," jelasnya.

Selain membersihkan tempat kediaman dan kawasan sekitar daripada bekas takungan air hujan atau yang disimpan, ada juga yang menganggap mengamalkan pengambilan sesuatu makanan atau minuman ketika demam boleh membantu mengurangkan suhu panas badan.

Ada juga individu yang ­mengambil minuman isotonik atau air kelapa ketika menghidap demam denggi. Ini tidak salah kerana bahan minuman berkenaan tidak berbahaya.

Sekurang-kurangnya ia dapat mengekalkan bahan dalam saluran darah seperti garam yang biasanya akan dikeluarkan daripada saluran akibat serangan demam denggi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Tinggal bayi di buaian besi

Posted: 09 Jun 2013 07:09 AM PDT

Pusat perlindungan bayi tidak diingini (baby hatch) di Jerman, di mana wanita boleh meninggalkan anak mereka di tempat yang selamat kini mula 'panas' apabila kerajaan menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan bayi yang dihantar ke situ tahu identiti ibu kandung mereka satu hari kelak.

Laluan ke sebuah klinik di Berlin yang sunyi dan tenang, dilengkapi papan tanda yang jelas menunjukkan arah bagi kemudahan pengunjung ke Baby Crib - buaian besi di mana orang boleh meninggalkan bayi mereka di situ tanpa perlu diketahui oleh sesiapa.

"Penggera akan berbunyi beberapa saat. Ia mengambil masa dua hingga tiga minit untuk jururawat pergi ke buaian dan mengambil bayi yang ditinggalkan.

"Tempoh ini cukup untuk si ibu keluar dari kawasan berkenaan tanpa dilihat oleh sesiapa," kata Gabriele Stangl dari Hospital Waldfriede yang terletak di kawasan kejiranan di daerah Zehlendorf, Berlin.


Dalam tempoh 13 tahun sejak klinik berkenaan membuka pusat perlindungan bayi tidak diingini itu, yang dikenali di Jerman sebagai Babyklappe, sejak akhir-akhir ini, penggera buaian besi itu berbunyi agak kerap, lebih 20 kali.


"Selama dua tahun kami tiada bayi yang dihantar ke sini, tetapi dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, kami menerima dua orang bayi dalam lima hari," kata Stangl.

Bayi yang dihantar ke situ kebanyakannya berumur antara 24 hingga 30 jam dan dijaga oleh pihak hospital. Mereka kemudiannya diserahkan kepada keluarga angkat kecuali jika ibu kandung berubah fikiran dan datang semula ke pusat berkenaan bagi menuntut anaknya dalam tempoh lapan minggu pertama.

Secara purata, Jerman mempunyai 100 pusat perlindungan bayi tidak diingini yang bernaung di bawah sistem yang dilihat agak biasa di Eropah dan sehingga penghujung abad ke-19. Ia diperkenalkan 14 tahun lalu di Jerman dan sejak itu konsep ini mula ditiru atau diguna pakai di negara lain, dari Belgium hinggalah ke Jepun.

Tujuan utama penubuhan pusat perlindungan itu adalah untuk memberi ruang dan alternatif lebih baik kepada ibu yang terdesak supaya tidak membunuh atau meninggalkan anak mereka di merata-rata tempat sehingga boleh menyebabkan kematian.

Walaupun sistem itu diterima oleh pihak gereja di Jerman, tiada rangka kerja yang memantau pergerakannya dan sampai sekarang kaedah yang digunakan pusat perlindungan seperti itu menimbulkan kontroversi.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu turut mengecam pihak yang membangkang hak kanak-kanak untuk mengetahui asal-usul mereka.

Pihak pembangkang juga menuduh kehadiran pusat berkenaan tidak membantu langsung mengurangkan jumlah kematian (pembunuhan secara tidak langsung) bayi yang baru dilahirkan di Jerman setiap tahun.

Menurut badan bukan kerajaan, Terre des Hommes yang melancarkan kempen menentang kewujudan pusat perlindungan untuk bayi tidak dikehendaki itu, 313 bayi baru lahir ditemui mati di Jerman dari 1999 hingga hujung tahun lalu.

Baru-baru ini, dua mayat bayi ditemui iaitu satu di dalam beg plastik yang ditinggalkan di kawasan hutan dan seorang lagi diletakkan dalam tong sampah kitar semula untuk pakaian.

Terre des Hommes mempertikaikan keperluan diwujudkan pusat untuk kanak-kanak tidak dikehendaki dengan mengatakan wanita yang terdorong membunuh bayi mereka sendiri selepas dilahirkan secara umumnya mengalami masalah psikologi yang teruk dan tidak terfikir untuk mencari pusat perlindungan seperti itu.

Bagi menghadapi kecaman PBB dan kritikan daripada badan etika lain di Jerman, kerajaan sudah meneliti draf undang-undang bagi mencari penyelesaian lain.

Mereka mahu supaya wanita boleh melahirkan anak tanpa perlu mendedahkan identiti mereka - satu perkara yang sudah diamalkan oleh 130 hospital di Jerman walaupun undang-undang mewajibkan bidan untuk mendaftarkan nama si ibu.

Dalam draf undang-undang baru yang masih dalam proses pengesahan, akan menyediakan rangka kerja perundangan untuk memberi jaminan kerahsiaan kelahiran.

Bagaimanapun, data peribadi seseorang wanita itu akan disimpan selama 16 tahun yang mana anak yang dilahirkan mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat berkenaan kerana pakar psikologi mengatakan ia amat penting untuk kesejahteraan emosi mereka.

Peguam, Ingrid Fischbach berkata, dia percaya undang-undang baru itu akan memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak - sama ada si ibu yang tidak mahu identitinya diketahui dan hak anak untuk mengetahui asal-usulnya.

Namun, penyokong pusat perlindungan bayi berpendapat sebaliknya.

"Saya berpendapat hak untuk hidup itu lebih besar dan penting berbanding hak mengetahui dari mana kita datang.

"Saya tidak fikir seseorang kanak-kanak akan ada masalah psikologi hanya kerana dia tidak tahu asal-usulnya. Apabila dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh keluarga angkatnya yang memberitahu perkara sebenar, dia boleh menjadi individu yang stabil emosinya," kata Stangl. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved