Ahad, 14 Julai 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Saya sudah matang'

Posted: 13 Jul 2013 11:39 AM PDT

Bangkok: "Saya sudah bertambah matang dan kehadiran semula saya di Chelsea untuk memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris serta Liga Juara-Juara," kata Jose Mourinho yang dilihat sebagai cabaran serta cubaan memulakan perang saraf ke atas pengendali lain.

Mourinho yang fizikalnya sedikit berubah berbanding sebelum ini berkata, pengalamannya di Inter Milan dan Real Madrid akan membolehkannya merealisasikan apa yang diimpikan bersama kelab London berkenaan.


"Saya rasa uban yang semakin banyak di kepala ini petanda bagus kerana ia bermakna saya lebih baik dan berpengalaman berbanding dulu," katanya kepada wartawan ketika sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan pra-musim di sini.

"Saya merasakan saya lebih baik ketika ini kerana tugas ini memerlukan seseorang yang berpengalaman," kata pengendali Portugal itu.


"Lihat saja perkara berkaitan diri saya. Selepas membimbing Chelsea, saya berkelana di Eropah, dua tahun di Itali, tiga tahun di Sepanyol dan sudah tentu saya mempunyai banyak pengalaman berbanding sebelum ini.


"Apabila mempunyai lebih pengalaman, sudah tentu keadaan saya lebih baik berbanding sebelum ini kerana tugas saya memerlukan pengalaman."


Kehadiran Mourinho, 50, untuk kembali membimbing Chelsea disifatkan sebagai keputusan tepat gara-gara pencapaian cemerlang yang dicatat bersama kelab itu sepanjang musim 2004 hingga 2007.

Di Inter Milan, beliau merangkul gelaran trebel apabila memenangi Liga Juara-Juara, Serie A dan Copa Italia pada 2010 selain memenangi La Liga bersama Real Madrid.


Kini, Mourinho mahu melakar sejarah peribadi di Chelsea sekali gus mengulangi pencapaian yang pernah dilakukan di Porto dan Inter sebelum ini.


Kedatangan Mourinho ke Thailand hampir menjadi jelajah memalukan buat dirinya apabila selepas memberikan tunduk hormat kepada wakil media tempatan, beliau hampir terjatuh selepas kakinya tersandung wayar yang melintang berhampiran tempat duduknya di atas pentas.


Tetapi beliau bijak menyembunyikan rasa malunya itu dengan bercakap mengenai kejayaan Chelsea mendapatkan khidmat Marco van Ginkel yang dilabel sebagai salah seorang pemain paling berpotensi di Eropah selain membawa masuk Andre Schurrle dan penjaga gol, Mark Schwarzer.


Mourinho yang menganggap dirinya sebagai "The Special One" ketika tiba buat kali pertama di Chelsea, memilih untuk mengubah gelarannya kepada "The Happy One" dan mengaku beliau tidak akan sesekali rela melihat kelabnya kalah terutama pada perlawanan awal liga nanti.


"Saya pasti sedih jika pasukan saya kalah tetapi itu semua bergantung kepada pemain sama ada mereka mahu menolong saya atau tidak." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Kelebihan rancang strategi

Posted: 13 Jul 2013 11:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Shalin Zulkifli bukanlah asing kepada dunia sukan bowling di Malaysia dan antarabangsa. Pemain profesional yang memenangi dua pingat emas pada Sukan Asia 2002 kategori Masters serta lima sepasukan pada Sukan Asia 2006 dan dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali itu adalah contoh atlet yang mementingkan kekuatan IQ dan strategi permainan setiap kali menghadapi kejohanan besar di luar negara.

Shalin menganggap kekuatan IQ adalah satu faktor yang perlu ada dalam diri setiap atlet terutama bagi yang mahu melangkah lebih jauh dalam bidang sukan.


Shalin mengakui topik kekuatan IQ atlet memang selalu dipinggirkan tetapi semua pihak harus sedar bahawa faktor kekuatan IQ memainkan peranan cukup besar dalam penghasilan atlet yang boleh dibanggakan.

"IQ bergantung kepada individu. IQ boleh ramuan terbaik dalam resipi kejayaan seseorang atlet. Jika bakat mereka kurang, mereka boleh memperbaiki diri dengan meningkatkan IQ menerusi pembacaan dan pencarian ilmu dan pergaulan dengan orang yang berjaya.


"Saya bersetuju dengan pandangan yang mengatakan IQ penting dalam proses pembangunan atlet. Setiap atlet mesti ada IQ. Mereka tidak perlu mengharapkan untuk 'disuap' sepanjang masa atau menunggu arahan jurulatih baru hendak memulakan langkah. Mereka perlu ada inisiatif untuk memajukan diri sendiri," katanya.


Selain bowling, Shalin mendedahkan beliau turut membaca cerita kejayaan atlet lain sama ada dalam dan luar negara untuk dijadikan motivasi.

Katanya, mengkaji permainan sukan lain seperti tenis akan membantu memperbaiki psikologi permainan.


"Saya suka membaca autobiografi pemain seperti John McEnroe, Steffi Graf dan apa saja berkaitan falsafah atau psikologi sukan.

"Sudah menjadi kebiasaan setiap kali bertanding di luar negara, saya pasti singgah ke kedai buku dan meninjau buku falsafah, psikologi sukan dan apa saja mengenai topik itu. Buku dan autobiografi antara bahan bacaan 'kemestian' walaupun falsafah sukan sama iaitu mencapai kemenangan," katanya.


Demi memperbaiki kefahaman bahasa dan meningkatkan pengetahuan, Shalin turut mencadangkan atlet menguasai bahasa Inggeris memandangkan banyak buku ilmiah diterbitkan dalam bahasa itu.


"Menguasai lebih banyak bahasa lebih baik kerana bahasa perantara mencari ilmu dan mendapat pendedahan baru dari tempat lain. Sudah tentu, lebih banyak mereka menguasai bahasa lebih baik kerana lawan di luar datangnya daripada pelbagai negara. Kebolehan berbahasa Inggeris memberi kelebihan dan banyak istilah sukan dalam bahasa itu," katanya.


Shalin berkata, sukan memerlukan bakat tetapi apa yang penting, setiap individu yang mahu bergelar ahli sukan itu perlu bekerja keras untuk meningkatkan kemampuan masing-masing.


"Jika bakat kita tidak terlalu hebat, kerja keras memberikan jawapan terbaik. Tiada orang yang tidak boleh berjaya. Jika berusaha dan mencari jalan, kita pasti boleh melakukannya.


"Proses pembelajaran kadang kala tidak sampai dalam pemikiran. Jadi cara terbaik yang saya amalkan ialah terus belajar untuk menguasai sesuatu perkara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved