Isnin, 13 Jun 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Boleh hidup sehingga 100 tahun

Posted: 13 Jun 2011 09:26 AM PDT

BERBANDING buah-buahan tempatan lain, saya bukanlah penggemar buah naga atau nama saintifiknya, epiphytes atau pitaya. Mungkin kerana melihat bentuknya yang ganjil, dengan kulit luar berwarna merah dan mempunyai sayap seperti seekor naga membuatkan keinginan menikmati buah ini terbantut.

Namun, selepas menikmati isinya yang lembut dan manis seakan-akan buah kiwi membuatkan sesiapa juga berkeinginan menikmatinya lagi.

Kesempatan mengunjungi ladang buah naga Madam Sun di Tangkak Johor, sebagai memenuhi jemputan daripada syarikat pemasaran buah-buah MBG (Money Back Guarantee) membuka mata saya untuk mengenali buah ini dengan lebih dekat.

Menjejaki ladang seluas 40 ekar ini, seluas mata memandang, subur dengan pokok buah naga yang sedang membesar, ada yang sudah masak dan ada masih hijau. Di satu sudut kelihatan seorang wanita sedang memetik buah yang sudah ranum.


Dulunya ladang ini subur dengan buah koko, namun lama-kelamaan masalah cuaca mengakibatkan penanaman koko semakin merosot. Ini menyebabkan pemilik ladang Madam Sun, Low Boon Kee, 74, menukar dengan tanaman buah naga.


Menurut Low, dia tertarik memulakan tanaman ini disebabkan keistimewaan buah yang mempunyai pelbagai khasiat. Selain itu, pokok naga senang ditanam dan tidak memerlukan penjagaan yang ketat.

Perusahaan keluarga yang bermula sekitar 2007 ini akhirnya berkembang pesat dan ladang Madam Sun kini menjadi antara pengeluar buah naga terbesar di Malaysia. Hal ini mendorong Low memanggil anak perempuannya, Madeline Lau yang ketika itu menetap di Amerika Syarikat pulang ke Malaysia bagi membantu menguruskan ladang buah naga.

Madeline yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dan sains makanan mengakui dia tiada masalah memenuhi permintaan ayahnya memandangkan sudah lama berkhidmat di luar negara. Lagi pun pengalaman dimiliki sepanjang di luar negara dapat digunakan sebaik mungkin untuk memajukan bidang pertanian.

Ladang yang terletak di tengah-tengah pekan Tangkak ini menggunakan khidmat 20 pekerja yang ditugaskan menguruskan ladang bermula daripada menanam, menjaga, membalut, memetik buah dan memberi label mengikut ukuran.

Menurut Madeline, buah naga mempunyai banyak keistimewaan. Bermula daripada pokoknya yang tahan lasak iaitu bebas daripada serangga, berikutan tumbuhan ini termasuk dalam spesies pokok kaktus, menyebabkan racun serangga tidak perlu digunakan ketika penanaman.

"Antara keistimewaan buah naga adalah bebas daripada racun serangga. Bahan makanan yang bebas daripada penggunaan racun serangga adalah yang terbaik untuk kesihatan kerana buah ini bebas daripada bahan kimia," katanya.

Di sebalik rupanya yang ganjil, buah naga daripada spesies kaktus ini mudah ditanam di kawasan tanah berpasir yang kaya bahan organik serta mempunyai saliran semula jadi yang efisien.

Buah naga mempunyai sifat fisiologi iaitu memerlukan tempoh cahaya yang panjang pada waktu siang. Tumbuhan ini hidup secara menjalar dan memerlukan sokongan untuk tumbuh. Oleh itu ia memerlukan para untuk menyokong batangnya yang lembut.

"Pokok yang sudah ditanam perlu diikat pada tiang supaya tidak mudah terkulai dan patah. Apabila pokok buah naga sudah membesar dan memenuhi para sokongan, ia akan menjalar ke atas mengikut tiang.

"Setiap batang tiang konkrit akan ditanam dengan empat batang pokok buah naga. Ini bermakna 2,000 batang pokok diperlukan pada keluasan seekar," jelasnya.

Pokok buah naga boleh ditanam menggunakan kaedah semaian biji atau keratan batang. Penanaman melalui keratan batang lebih baik kerana bahan tanaman mudah diperoleh dan pokok membesar dengan cepat.

"Keratan benih dikeringkan di tempat yang sesuai dan ditanam dalam beg. Keratan boleh juga terus ditanam di ladang jika tapak dan tiang para sudah disediakan," kata Madeline.

Tidak seperti buah-buahan lain, pokok buah naga sesuai ditanam secara organik.
Menurut Madeline, baja organik cecair boleh disembur tujuh hari sekali dan makin kerap apabila pokok sudah membesar. Salur air yang keluar hendaklah dibuang supaya pokok utama dapat membesar dengan baik. Pembajaan berjadual dan mengikut keperluan pokok perlu diamalkan bagi menjamin pertumbuhan pokok dan buah yang berkualiti dan berterusan.

Madeline yang banyak menjalankan kajian mengenai buah naga mengakui keistimewaan pokok ini kerana tidak memerlukan air yang banyak.

Ini kerana buah naga sama seperti pokok kaktus padang pasir yang boleh menyimpan air. Air hanya diperlukan pada musim panas saja.

"Secara amnya, pokok disiram seminggu sekali, tetapi jika hujan pada minggu itu, pokok tidak perlu disiram," katanya.

Bagi mengelak dimakan serangga, buah naga yang masih hijau akan dibalut menggunakan plastik biru dan dibiarkan sehingga boleh dipetik yang mengambil masa lima minggu setelah pokok berbunga.

Keistimewaan pokok naga apabila boleh berbuah sehingga 30 biji dalam satu masa manakala pokok ini boleh hidup sehingga 100 tahun lamanya.

"Penjagaan pokok naga sama seperti manusia. Jika dijaga pemakanan dan persekitarannya tidak mustahil pokok akan hidup lebih lama," katanya.

Menurut Madeline, buah naga yang rasanya seakan-akan buah kiwi boleh didapati dalam dua warna iaitu putih dan merah. Mengikut pakar pemakanan buah yang isinya merah mempunyai lebih banyak khasiat berbanding putih.

Madeline yang juga Pengarah Urusan Madam Sun Sdn Bhd, mengakui buah naga kaya dengan potasium, ferum, protein, serat, sodium dan kalsium yang baik untuk kesihatan berbanding buah-buahan lain.

Buah kaktus madu ini cukup kaya dengan pelbagai zat vitamin dan mineral yang boleh membantu meningkatkan daya tahan dan mengurangkan metabolisme dalam badan manusia.

"Buah ini sangat berkesan untuk mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan racun dalam darah. Buah naga mengandung 80 peratus air, vitamin C, serat, kalsium, zat besi dan fosforus yang bermanfaat untuk membantu menangani penyakit darah tinggi. Kandungan seratnya mencegah sembelit dan zat besi yang tinggi membantu mencegah anemia terutama bagi ibu hamil.

"Bagi bayi, vitamin B3 (asid folik) membantu pembentukan dan perkembangan sistem saraf tulang belakang, sementara kalsium bermanfaat untuk pembentukan tulang dan gigi yang kuat," jelasnya.

Kandungan serat pada buah naga yang mencapai 0.7 gram hingga 0.9 gram juga sangat berguna dalam sistem pencernaan dan menurunkan kadar kolesterol.

"Kajian menunjukkan buah naga merah ini sangat baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah, juga memberi tindak balas memberangsangkan untuk mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik dalam darah. Buah ini boleh mencegah kanser usus, mengurangkan kandungan kolesterol dalam darah dan pada masa sama menurunkan kadar lemak dalam badan," katanya yang pernah menghasilkan tiga buku mengenai pemakanan dan sains.

Setiap buah naga merah mengandungi protein yang mampu meningkatkan metabolisme tubuh dan menjaga kesihatan jantung, serat bagi mencegah kanser usus, kencing manis dan diet, keratin untuk kesihatan mata, menguatkan otak dan mencegah penyakit manakala kalsium untuk menguatkan tulang.

Katanya, isinya yang halus, lembut dan lazat mengandungi enzim yang boleh menghalang tanda penuaan. Khasiat vitamin C berupaya menjadikan kulit halus, lembut serta mencegah jerawat.

Selain dijadikan pencuci mulut yang lazat buah naga boleh dijadikan jus, jem dan minuman kolagen.

"Menyedari keistimewaan buah ini yang bukan saja sesuai dimakan begitu saja, Madam Sun Sdn Bhd mengeluarkan pelbagai produk daripada buah naga di bawah industri makanan Madam Sun di Melaka. Dengan adanya penyelidikan dalam bidang makanan diharap lebih banyak produk bermutu berasaskan buah naga dapat dihasilkan," katanya.

Antara kebaikan buah naga adalah membantu untuk:

1. Meningkatkan daya tahan terhadap penyakit.
2. Mengurangkan metabolisme badan.
3. Baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah.
4. Mengurangkan tekanan emosi.
5. Meneutralkan toksik dalam darah.
6. Mencegah kanser usus.
7. Mencegah kandungan kolesterol.
8. Menurunkan kadar lemak.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Himpun waris pahlawan Bugis

Posted: 13 Jun 2011 09:13 AM PDT

KETURUNAN Daeng Lima Bersaudara semakin bertambah selepas usaha mengumpul ahli keluarga mereka yang bertebaran di seluruh negara selain Brunei dan Indonesia dilakukan sejak lima tahun lalu.

Pencarian zuriat pahlawan raja Bugis itu digerakkan dua wanita keturunan Daeng Lima Bersaudara, Roshazliza Abdul Razak, 30, dan Iza Mazlin Zainal Abidin, 31, yang mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) cawangan Kedah pada 19 Jun 2007.

PSM cawangan Kedah mengesahkan makam Daeng Perani berada di kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri, dekat Sungai Petani, Kedah, selepas Roshazliza dan Iza Mazlin bertungkus-lumus mengumpul bukti selama lebih setahun bermula 2006.

Lebih membanggakan, kesudian anakanda Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sanggup mencemar duli merasmi pameran artifak Daeng Lima Bersaudara dan menziarahi makam Daeng Perani di kampung berkenaan, baru-baru ini.


Roshazliza yang juga anggota Persatuan Keturunan Opu Daeng Perani dari kampung berkenaan, berkata dia dibantu Iza Mazlin dari Simpang Pulai, Ipoh, Perak, melakukan penyelidikan dan pencarian selepas mengetahui mereka adalah keturunan Daeng Lima Bersaudara.


"Saya dan Iza Mazlin yang berketurunan Daeng Merewah menyertai forum berjudul Di Manakah Lokasi Sebenar Makam Daeng Perani di Alor Star, Kedah, pada 13 Mei 2007.

"Kajian menunjukkan hampir 400 tahun pengkaji sejarah mencari lokasi sebenar makam Daeng Perani. Kami berasakan ini peluang bagi membuktikan makam pahlawan raja Bugis itu wujud di Kampung Ekor Lubuk," katanya.

Katanya, walaupun pelbagai tuduhan dan sindiran yang diterima mereka, keyakinan mengatasi perasaan putus asa sekali gus menggiatkan lagi usaha membuktikan dakwaan mereka.

Menurutnya, kerana kecekalan itu selain dibantu ahli keluarga lain terutama mereka yang lebih berusia, penat-lelah mereka akhirnya berbalas apabila menerima surat pengesahan PSM cawangan Kedah selepas menunjukkan bukti yang mereka miliki.

"Kami lega kerana pengiktirafan ini melenyapkan dakwaan beberapa pihak yang mempertikaikan kelayakan kami sebagai zuriat Daeng Lima Bersaudara," katanya.

Sementara itu, Iza Mazlin, berkata pihaknya berterima kasih kepada Pengerusi
PSM Kedah, Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof, yang bertanggungjawab menyiasat dan memperakukan dakwaan mereka selama ini.

"Usaha ini dilakukan bukan dengan maksud tertentu, tetapi hanya bertujuan menghimpunkan zuriat Daeng Lima Bersaudara yang dipercayai tinggal di seluruh pelosok negara selain Brunei, Indonesia dan Singapura.

"Syukur dengan pengiktirafan ini, kami sudah menghimpun lebih 15,000 keturunan Daeng Lima Bersaudara sejak lima tahun lalu," katanya.

Selain Daeng Perani, empat lagi saudaranya ialah Merewah, Chelak, Kemasi dan Menambun yang banyak membantu sultan di Tanah Melayu antaranya Kedah, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Perak dalam sejarah kesultanan Melayu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved