Isnin, 22 Ogos 2011

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Merangkak keluar hutan

Posted: 21 Aug 2011 12:56 PM PDT

KUALA PILAH: Berpantang maut sebelum ajal perumpamaan sesuai bagi seorang lelaki apabila berjaya menyelamatkan diri selepas ditikam lapan kali di dada dan belakang badan dengan pisau sebelum dicampak ke dalam Hutan Lipur Ulu Bendul, Bukit Putus, di sini Khamis lalu.

Mangsa dikenali sebagai Arman Shah, 29, hanya tersedar setelah dua hari kejadian dan dalam kesakitan dan kehilangan banyak darah kerana kecederaan parah akibat tikaman di badannya itu berjaya merangkak keluar dari hutan itu.


Menurut sumber, selama sehari mangsa berusaha mencari jalan keluar dari hutan itu sebelum sampai ke jalan raya, tetapi malang kerana hasrat mendapatkan bantuan daripada orang ramai yang menggunakan jalan berkenaan tidak tercapai kerana tidak seorang pun mahu memberikan bantuan.

Difahamkan, berikutan itu Arman dalam keadaan lapar, dahaga dan lesu selain menahan kesakitan, terpaksa berjalan tiga kilometer ke sebuah stesen minyak di Jalan Seremban-Kuala Pilah.


Menurut sumber, mangsa sampai di stesen minyak itu dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan meminta orang ramai menghubungi ambulans.


"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) bagi rawatan segera di wad kecemasan," katanya.

Menurut sumber itu, mangsa dipercayai ditikam menggunakan pisau oleh dua kenalannya di Bahau.


"Kami percaya dua rakannya itu berdendam dengan mangsa dan menyangka dia sudah mati lalu mencampak nya ke dalam hutan.

"Kita masih lagi menyiasat tempat kejadian dan mengenal pasti dua suspek utama yang melakukannya," katanya. Menurutnya, hasil siasatan setakat ini polis tidak menolak motif samun berikutan tiada barang atau wang mangsa yang hilang. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi hotline rakan cops Negeri Sembilan di talian 06-7619999. Harian Metro difahamkan, mangsa kini dirawat dan menerima beberapa jahitan di badan serta enggan ditemubual.

Deraian air mata suami

Posted: 21 Aug 2011 12:49 PM PDT

PEKAN: Hanya beg tangan putih berbunga merah jambu milik isteri menjadi penawar duka seorang pegawai kanan polis apabila wanita itu maut bersama bayi dalam kandungan berusia tujuh bulan selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh tiang elektrik di Kilometer 65, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Paloh Hinai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Noor Edlina Ahmad Bakhari, 36, berasal dari Kota Bharu, Kelantan, mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya, Inspektor Mohamad Noor Idham Ali Mat Noor, 27, berasal dari Kluang, Johor, dan bertugas di Cawangan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hanya cedera ringan.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata pasangan suami isteri itu dikatakan dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju Kluang untuk berbuka puasa di rumah ibu Mohamad Noor Idham di Taman Sri Kluang apabila kereta dipandu pegawai polis itu gagal dikawal dan terbabas ke kiri sebelum melanggar tiang elektrik.

Menurutnya, selepas kenderaan terbabit melanggar tiang elektrik ia berpusing dan masuk ke laluan bertentangan sebelum terlanggar sebuah lagi kereta dinaiki sepasang suami isteri dari Melaka menuju Kuantan.


"Akibat kemalangan itu, mangsa yang bertugas di Hospital Kuala Krai dan mengandung anak sulung maut di tempat kejadian, manakala suaminya yang hanya calar ditubuh dikejarkan ke Hospital Pekan (HP) untuk rawatan lanjut. "Pasangan suami isteri yang turut terbabit dalam kemalangan itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sudah mengambil keterangan mereka untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika ditemui selepas melawat pegawai polis itu di wad kecemasan hospital berkenaan.


Dalam lawatan itu, Mohamad Noor Idham dilihat mengalami trauma teruk dengan kejadian terbabit apabila sukar untuk menceritakan kejadian sebenar kepada Yahaya, sebaliknya hanya menangis dan memeluk beg tangan isterinya.

Mohamad Noor Idham hanya mampu berkata dia mahu pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama ibunya dan dia masih tidak dapat melupakan detik bersama isteri sebelum kejadian berlaku.


Sementara itu, ibu Mohamad Noor Idham, Salbiah Abdullah, 50, berkata dia tidak tahu anak sulungnya daripada lima beradik itu merancang untuk pulang ke kampung dan berbuka puasa bersamanya.

"Anak saya tidak memberitahu pun dia akan pulang bersama menantu untuk berbuka puasa bersama saya, sebaliknya dia hanya memaklumkan perkara ini kepada adiknya, Norlidaya, 22. "Dia mungkin mahu memberikan kejutan kepada saya kerana tidak dapat pulang beraya di kampung disebabkan menantu yang bertugas di hospital tidak dapat cuti," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat hospital berkenaan.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved