Isnin, 22 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


‘Pelanggan’ tembak penyamun

Posted: 21 Aug 2011 12:26 PM PDT

PETALING JAYA: Seorang lelaki mati manakala rakannya parah ditembak anggota polis ketika kedua-dua mereka cuba menyamun sebuah pusat siber di Kampung Baru, Sungai Buloh, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, kedua-dua suspek masing-masing berusia 20-an dan 30-an memasuki premis berkenaan dengan bersenjatakan pistol serta sabit. "Tanpa menyedari dua daripada tiga pelanggan di dalam premis berkenaan anggota polis yang membuat intipan, suspek mengacukan senjata ke arah pekerja pusat berkenaan dan meminta mereka menyerahkan wang.


"Bagaimanapun, dua anggota polis terbabit memperkenalkan diri mereka dan mengarahkan dua suspek menyerah diri," katanya.

Menurutnya, terkejut dengan kehadiran anggota polis itu, suspek mengugut untuk melepaskan tembakan sekiranya anggota itu tidak mengundurkan diri.


"Polis melepaskan beberapa das tembakan berikutan keengganan suspek menyerah diri serta tindakan berbahaya mereka yang mengancam keselamatan awam," katanya.


Difahamkan, seorang daripada suspek mati di tempat kejadian manakala suspek yang cedera meloloskan diri dan dikesan di Damansara Damai sejam kemudian sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Tun Hisan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan bekerja sebagai pegawai keselamatan.


"Kami percaya ada suspek lain bersubahat berikutan penemuan suspek yang cedera di Damansara Damai dan gerakan memburu masih dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata," katanya.

Reman pelajar disambung

Posted: 21 Aug 2011 11:17 AM PDT

SUBANG JAYA: Pelajar tingkatan lima yang ditahan bersama teman lelakinya pada 17 Ogos lalu, kerana disyaki merancang penculikannya bagi menuntut wang tebusan RM50,000 daripada ibu bapanya, disambung reman selama tiga hari lagi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata, tahanan reman pelajar itu disambung bagi menyelesaikan siasatan.


Katanya, gadis terbabit meminta wang daripada ibu bapanya selepas didesak teman lelakinya.

"Kami menyiasat sama ada gadis terbabit bersalah di atas ugutan wang kepada ibu bapanya," katanya di sini, semalam.


Harian Metro 18 Ogos lalu, melaporkan remaja, Ameerah Asha Aizan, 17, hilang selama enam hari merancang penculikan sendiri bersama teman lelakinya dan berpakat menuntut wang tebusan RM50,000 daripada ibu bapanya.


Pasangan itu ditahan 17 Ogos lalu dalam sebuah kereta di Saujana Puchong selepas polis mendapat maklumat ibu bapa gadis terbabit yang mendapat ugutan seorang lelaki dipercayai teman lelaki anaknya yang meminta wang tebusan RM50,000. Mereka direman empat hari.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved