Sabtu, 17 September 2011

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Pesta dadah, seks diserbu

Posted: 16 Sep 2011 11:49 AM PDT

ALOR GAJAH: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dari Selangor serta negeri ini antara 87 ditahan ketika menyertai parti liar membabitkan pengambilan dadah di sebuah banglo dua tingkat di sebuah resort di sini, yang disewa kononnya bagi meraikan sambutan Hari Malaysia, malam kelmarin.

Difahamkan ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri diketuai Inspektor Risikan Operasi dan Tahanan JSJN negeri, Cif Inspektor Mohd Hisham A Rahman menyerbu banglo terbabit kira-kira jam 2.30 pagi, ramai peserta pesta itu berhibur dalam keadaan khayal.


Menurut sumber, dalam serbuan itu, polis menahan 87 orang termasuk 17 perempuan dan sebahagian daripada mereka pelajar IPT awam dan swasta berusia 18 hingga 35 tahun.

Katanya, ketika serbuan, ada antara mereka berada di kawasan kolam renang dan ruang tamu, manakala sebahagian lagi dalam tiga bilik di tingkat atas dan lebih mengejutkan ada peserta tidur berpelukan tanpa menyedari kehadiran polis.


Penyertaan untuk pesta 'private party' itu dikatakan percuma, tetapi jemputan melalui laman sosial, facebook dan SMS daripada kenalan masing-masing. Malah, ada antara peserta tidak mengenali antara satu sama lain.


Harian Metro difahamkan, banglo itu turut dilengkapi sistem audio yang dikendalikan seorang DJ yang dipercayai kenalan kepada penganjur pesta berusia 30-an bagi menghiburkan pengunjung mulai jam 10 malam.

Menurut sumber itu, beberapa peserta yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, namun gagal kerana banglo terbabit dikepung.


"Polis merampas dadah jenis syabu dan ganja dipercayai digunakan peserta," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke balai polis berdekatan untuk menjalani ujian air kencing dan hasilnya 15 suspek didapati positif dadah.


Seramai 19 suspek termasuk tujuh wanita ditahan kerana memiliki dadah manakala selebihnya dibebaskan tanpa syarat.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Md Azmi Othman yang dihubungi mengesahkan tangkapan itu.


Difahamkan, turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang wanita yang sudah bertunang didapati memiliki dadah, manakala tunangnya dibebaskan tanpa syarat.


Kebanyakan pelajar yang menyertai parti berkenaan berasal dari Johor, Kuala Lumpur, Perlis serta Terengganu dan mereka terdiri daripada pelajar IPT, mekanik, penganggur dan jurujual.


Difahamkan, ketika siasatan awal, peserta parti itu cuba menyembunyikan identiti penganjur yang didakwa berada di Ipoh, Perak.


Malah, serbuan dianggotai empat pegawai dan 14 anggota JSJN IPK negeri itu dilakukan selepas mendapat maklumat risikan sejak awal Jun lalu dan penganjur didapati menggunakan facebook untuk menjemput peserta.


Tinjauan Harian Metro di banglo terbabit mendapati ia dipenuhi botol minuman keras selain penemuan kondom di luar pekarangan banglo itu.

Jahit timah dalam sotong

Posted: 16 Sep 2011 11:45 AM PDT

KUALA LUMPUR: Sotong batu ladung. Itu kejutan diterima seorang kakitangan sebuah sekolah di sini, selepas mendapati lebih 10 kilogram (kg) sotong kering yang dibeli bagi majlis kenduri kahwin anak keduanya mengandungi bahan tambahan berbentuk ketulan timah, seberat 2kg yang dijahit pada beberapa bahagian sotong itu.

Mohd Shukri Taib, 56, berkata dia membeli sotong kering berkenaan secara borong di sebuah kedai pemborong makanan kering di Selayang, di sini, pagi kelmarin.


Menurutnya, selepas membawa pulang makanan kering itu, dia bersama isteri mula menyiang sotong itu menjadi kepingan kecil dan terkejut apabila mendapati beberapa bahagian sotong yang bersaiz besar sukar dikerat terutama pada bahagian ekor dan kepala.

"Selepas membelek sotong itu, saya terkejut apabila menjumpai dua biji batu ladung (pemberat yang digunakan untuk memancing) terselit di celah ekor manakala dua lagi di kepala.


"Lebih mencurigakan, ketulan itu seolah-olah sengaja diletakkan kerana ia dijahit dengan rapi menggunakan tali tangsi," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Selepas menjumpai 'bahan tambahan' itu, Mohd Shukri dan isteri memeriksa semua sotong yang belum disiang dan mendapati semuanya mengandungi ketulan timah.

Mohd Syukri berkata, sebelum ini keluarganya sudah biasa membeli barang makanan kering di kedai berkenaan, tetapi dalam kuantiti yang kecil.


"Boleh dikatakan saya pelanggan tetap kedai itu dan kerap membeli barang makanan kering seperti sotong, ikan masin atau udang kering, namun ini kali pertama saya membeli dalam kuantiti yang banyak.

"Saya mengesyaki ketulan timah itu hanya diletakkan pada makanan kering yang dijual secara pukal bagi mengelak taktik itu dikesan pembeli yang hanya menyedari perkara ini selepas pulang ke rumah," katanya yang turut membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).


Katanya, boleh dikatakan setiap sotong kering bersaiz sederhana dan besar mengandungi tiga hingga empat ketulan timah dan tidak dapat dilihat pembeli sekiranya tidak dibelek dengan teliti.


Menurut Mohd Shukri, dia membeli makanan kering itu pada harga RM44 sekilogram dan nilai keseluruhan bagi satu bungkusan besar yang dibeli berjumlah RM455 dengan berat lebih 10 kilogram.


"Saya enggan menuduh, namun musykil dengan tindakan menyelit ketulan timah itu pada sotong kering berkenaan. Saya mengesyaki ia mungkin sengaja dijahit bagi menipu berat sebenar sotong kering itu yang mungkin tidak mencecah nilai yang tertera," katanya.


Katanya, selepas ditimbang semula, berat sebenar sotong itu kira-kira lapan kilogram manakala berat ketulan batu yang ditemui dianggarkan dua kilogram.


Mohd Shukri berkata, dia bukan sahaja tertipu, malah terpaksa berbelanja lebih untuk membeli sotong tambahan untuk kenduri anaknya.


Sementara itu, Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima bagi mengenal pasti punca ketulan batu itu diselit pada sotong berkenaan.


"Kita akan menyiasat kes itu kerana berdasarkan maklumat kemungkinan wujud unsur penipuan timbangan bagi makanan kering yang dijual," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved