Sabtu, 17 September 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Temui raifal mirip AK47

Posted: 16 Sep 2011 11:27 AM PDT

KOTA KINABALU: Mengejutkan apabila polis turut menemui sebutir bom dinamit buatan sendiri serta raifal mirip AK-47 dipercayai tiruan, selain pelbagai jenis dadah apabila menahan satu pasangan kekasih dalam serbuan di sebuah taman perumahan di Jalan Damai di sini, Isnin lalu.

Dalam serbuan jam 10.30 pagi itu, polis merampas satu peluru AK-47, kanister dan satu bungkusan plastik mengandungi bebola kecil dipercayai digunakan sebagai peluru untuk rompakan bersenjata.


Selain itu, polis menemui beberapa peralatan pecah rumah termasuk kuku kambing, parang, pisau Rambo, pisau berbentuk sabit, pemutar skru dan pemotong besi dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan pecah rumah sekitar bandar raya ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terhadap kenderaan jenis Nissan di Jalan Damai dan menahan seorang lelaki berusia 32 tahun serta wanita berusia 22 tahun kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.


"Pada mulanya, serbuan itu bagi mengesan aktiviti pengedaran dadah, namun siasatan lanjut membawa kepada penemuan senjata api tiruan dan peralatan pecah rumah di rumah suspek.


"Hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa jenis dadah termasuk pil Eramin 5 dan masing-masing satu peket dipercayai mengandungi ganja dan syabu selain peralatan termasuk alat penimbang digital, pembalut aluminium dan pemetik api dianggarkan bernilai RM1,150," katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, semalam.

Beliau berkata, lebih mengejutkan, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui pelbagai senjata dan peralatan pecah rumah dalam sebuah bilik di rumah sama.


"Antara senjata ditemui ialah bom buatan sendiri, raifal AK-47 dipercayai tiruan, pistol tiruan, lima gas bagi meledakkan peluru, pisau Rambo dan sebilah sabit. "Selain itu, polis merampas pelbagai peralatan pecah rumah seperti kuku kambing, pemotong besi dan pemutar skru yang disembunyikan dalam bilik berkenaan," katanya.

Menurutnya, susulan penahanan lelaki tempatan itu serta kekasihnya, warga China berusia 22 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, polis menahan dua lagi lelaki dipercayai penjual senjata berkenaan.


"Lelaki terbabit masing-masing berusia 33 tahun ditahan pada Rabu dan Khamis lalu di sekitar Kota Kinabalu, namun tiada rampasan senjata dilakukan.


"Siasatan mendapati suspek pertama mempunyai kesalahan kes dadah lampau. "Kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 (1), Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata tiruan dan Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya 1992 kerana memiliki dadah," katanya.

Polis tonton aksi rempit

Posted: 16 Sep 2011 11:21 AM PDT

KUALA LUMPUR: Taktik polis yang memberi peluang kepada Mat Rempit berpesta sambil menayangkan aksi berani mati sebelum melakukan serbuan membuahkan hasil apabila empat penunggang dan dua pembonceng motosikal ditahan di Dataran Merdeka, malam kelmarin.

Difahamkan, empat penunggang dan dua pembonceng motosikal itu asyik menunjukkan aksi berbahaya tanpa menyedari anggota polis berpakaian biasa menyaksikan pertunjukan mereka.


Dalam operasi Ops Ambang Merdeka dijalankan Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 12 tengah malam itu, enam suspek terbabit cuba meloloskan diri dengan meninggalkan motosikal mereka di kawasan berkenaan, tetapi gagal.

Ketua Unit Kuat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata Mat Rempit terbabit menunjukkan pelbagai aksi bahaya di jalan raya sebelum lokasi berkenaan digempur.


"Empat penunggang motosikal itu ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya.


"Dua lagi pembonceng motosikal ditahan mengikut Seksyen 111, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan semua Mat Rempit itu berusia 18 hingga 19 tahun," katanya.

Menurutnya, 21 motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh manakala 58 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.


Sementara itu, seorang penunggang motosikal parah selepas dirempuh sebuah kereta Honda di Bulatan Dato Onn berhampiran Bank Negara, kira-kira jam 2 pagi.

Difahamkan, kereta dipandu seorang lelaki berusia 20-an yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol membuat pusingan di bulatan itu sebelum merempuh seorang penunggang motosikal.


Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut manakala pemandu kereta dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar bagi tindakan lanjut.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved