Ahad, 18 September 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Penyakit lazim di negara maju

Posted: 18 Sep 2011 08:12 AM PDT

"BAPA borek, anak rintik. Bapa gatal, anak pun gatal...," kata Perunding Dermatologi Paediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Leong Kin Fon sambil tersenyum. Kaum bapa jangan marah ya, kata-kata ini bukannya bertujuan menyindir sesiapa tetapi ia digunakan bagi menerangkan masalah kegatalan kronik akibat ekzema iaitu sejenis penyakit kulit.

Ekzema atau dermatitis atopik ialah satu daripada penyakit kulit yang paling lazim, membabitkan 10 hingga 20 peratus kanak-kanak dan satu hingga tiga peratus orang dewasa di seluruh dunia. Ia penyakit kulit yang kronik dan sangat gatal menyebabkan pesakit khususnya kanak-kanak menderita.

Di seluruh dunia, kadar kelaziman ekzema semakin meningkat terutama di kalangan kanak-kanak. Berdasarkan kajian tempatan, didapati kadar kes ekzema di kalangan kanak-kanak sekolah di Malaysia meningkat kepada 12.6 peratus (2006) berbanding 9.5 peratus pada 1999. Di kalangan remaja berusia 13 hingga 14 tahun, kes ekzema antara 9.5 peratus dan 6.3 hingga 9.5 peratus.

Tidak dapat menahan rasa gatal inilah yang membuatkan pesakit menggaru bahagian kulit yang mengalami keradangan. Semakin digaru semakin sedap rasanya, tetapi masalahnya lebih giat anda menggaru, lebih luaslah kawasan kulit yang mengalami ekzema.


Tindakan ini juga menyebabkan masalah kulit pesakit bertambah teruk. Adakalanya kerana terlalu gatal dan asyik menggaru, pesakit tidak sedar kulit yang digaru itu luka dan mengundang masalah lain pula kerana ia terdedah kepada jangkitan bakteria.


Menurut Dr Leong, ekzema ialah sejenis penyakit kulit dengan beberapa ciri iaitu:

  • Rasa gatal dan sakit - Ia adalah penyakit yang sangat menyeksakan. Rasa gatal ini akan menyebabkan pesakit menggaru dan apabila kulit digaru terlalu kuat ia akan mengalami kerosakan. Ketika inilah badan akan menghasilkan bahan kimia keradangan yang membuatkan kulit menjadi lebih gatal dan keinginan untuk menggaru akan lebih tinggi.

    Ia tidak sekadar menyebabkan rasa sakit pada pesakit tetapi turut menjejaskan kualiti hidup ibu bapa. Apabila anak tidak boleh tidur (kerana gatal dan asyik menggaru), ibu bapa juga tidak dapat melelapkan mata.

  • Kulit sangat kering - Pesakit ekzema mempunyai kulit yang sangat kering kerana ketiadaan lapisan penghalang untuk memerangkap cecair dalam kulit. Tidak kira berapa banyak air yang diminum, ia masih tidak dapat mengatasi masalah ini.
  • Bahagian kulit yang mengalami ekzema terasa panas. Tahap kepanasan ini bergantung kepada keadaan ekzema setiap pesakit sama ada sedikit, sederhana atau teruk.
  • Ekzema bermula dalam lima tahun pertama kehidupan seseorang kanak-kanak. Bagi kebanyakan pesakit, keadaan ekzema mereka akan bertambah baik dengan peningkatan umur. Bagi pesakit bertuah, ekzema mereka akan hilang sendiri pada usia enam hingga 12 bulan. Bagaimanapun, 30 peratus kes ekzema berlanjutan sehingga dewasa.

    "Kira-kira 50 peratus kes ekzema berlaku sebelum kanak-kanak berumur setahun dan lebih 80 peratus kes apabila kanak-kanak mencapai umur lima tahun.

    "Tempoh pengulangan serangan ekzema berbeza antara pesakit - ia boleh berlaku dalam masa beberapa bulan atau tahun. Biasanya penerimaan pesakit terhadap serangan berulang ini lebih baik apabila umur mereka meningkat. Kajian mendapati 50 hingga 70 peratus pesakit dewasa tidak terganggu dengan serangan ekzema yang sudah dialami sejak kecil," katanya pada majlis pelancaran kempen Bersama Membanteras Kegatalan anjuran Leo Pharma.

  • Faktor genetik - Ekzema ada kaitan dengan faktor genetik dan jika salah seorang ibu atau bapa ada masalah ini, anak-anak mempunyai 20 hingga 40 peratus mengalami ekzema. Ini bersesuaian dengan ungkapan 'bapa borek, anak rintik. Bapa gatal, anak pun gatal' di atas.

    Jika salah seorang anak ada alahan, peluang anak seterusnya mendapat ekzema ialah 30 peratus. Peluang anak mendapat ekzema akan lebih tinggi (40 hingga 60 peratus) jika kedua-dua ibu bapa ada alahan dan sekiranya mereka mengalami gejala alahan yang sama peluang ini melonjak kepada 72 peratus! (Rujuk Jadual 1)

    Punca dan gejala

    Ibu bapa terutama yang tidak mempunyai sejarah keluarga mengalami alahan sering bertanya bagaimana anak mereka boleh mendapat ekzema. Pakar perubatan percaya ia disebabkan interaksi kompleks antara faktor genetik dengan persekitaran. Ia boleh disebabkan faktor genetik saja atau dirangsang persekitaran atau tindak balas dua faktor ini.

    Sesetengah orang yang ada mewarisi genetik ekzema boleh mengalami tindak balas dengan sesuatu dari persekitaran yang tidak mendatangkan masalah pada orang lain. Ia juga dikaitkan dengan masalah kecacatan pada fungsi sekatan atau halangan pada kulit dan sistem imun yang tidak normal.

    "Apabila serangan ekzema berlaku, kulit pesakit akan berasa sangat gatal, menjadi merah, timbul ruam dan kadangkala lesi. Gejala ini biasanya bermula di muka dan merebak ke dada. Apabila kanak-kanak membesar, lebih banyak kawasan yang akan mengalami ekzema terutama di kulit yang berkedut seperti di siku dan lutut.

    "Oleh kerana kulit pesakit mengalami kecacatan pada fungsi sekatan, maka ia akan menjadi kering. Kulit yang kering akan mudah berasa gatal. Apabila pesakit menggaru, ia akan mengganggu fungsi sekatan dan jika kulit luka, boleh berlaku jangkitan bakteria khususnya Staphylococcus aureus. Keadaan ekzema akan lebih teruk pada kulit yang lebih kering.

    "Menggaru bukan saja mendedahkan pesakit kepada jangkitan tetapi ia juga akan membuatkan kulit menjadi tebal dan menjadi lebih tidak sihat," kata Pensyarah Kanan Onkologi Dermatologi Universiti Buckingham, United Kingdom, Prof Anthony Chu.

    Bakteria S aureus ini bukanlah asing pada kita. Namun 70 peratus pesakit ekzema ada bakteria ini dalam hidung mereka berbanding 30 peratus pada bukan pesakit. Hampir 100 peratus kulit yang mengalami ekzema ada bakteria ini dan ia boleh membiak (membentuk koloni) dengan cepat kerana ia akan melekat pada kulit yang kering.

    Jika kulit pesakit luka, bakteria ini akan memasuki badan dan menghasilkan bahan kimia eksotoksin yang bertindak sebagai antigen super (bahan yang merangsang pembentukan atau pengeluaran antibodi). Antigen super inilah yang akan merangsang tindak balas sistem imun untuk menyebabkan ekzema menjadi lebih teruk (bengkak, merah dan sangat gatal).

    Menurut Dr Leong, teori kebersihan yang dikemukakan pakar penyelidik juga ada munasabahnya kerana kajian mendapati kes ekzema di kalangan kanak-kanak bandar yang tinggal dalam persekitaran 'terlalu' bersih lebih tinggi berbanding kanak-kanak luar bandar.

    Berdasarkan teori ini, dalam keadaan bersih, sistem imun badan menjadi tidak matang dan 'malas'. Ia tidak dapat membezakan antara penceroboh yang baik dengan jahat. Akibatnya, sistem imun ini akan bertindak balas terhadap semua penceroboh badan dan inilah yang menyebabkan seseorang itu menjadi terlalu sensitif atau mengalami alahan.

    Teori ini diperkuatkan dengan keputusan banyak kajian yang mendapati kadar kelaziman ekzema meningkat dua hingga tiga kali ganda di negara industri dan maju dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini membabitkan 15 hingga 30 peratus kanak-kanak dan dua hingga 10 peratus orang dewasa.

    Jadi tidak hairanlah jika kes ekzema di kalangan kanak-kanak di negara maju seperti United Kingdom jauh lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu antara 20 hingga 30 peratus.

    Rawatan dan pengurusan

    Sehingga kini tiada ubat yang boleh menyembuhkan ekzema yang juga dipanggil penyakit sistem imun kerana ia membabitkan banyak faktor. Bagaimanapun, ia boleh dirawat dan sasaran rawatan bukanlah untuk menyembuh tetapi mengurangkan gejala memanjangkan tempoh bebas daripada serangan berulang yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit.

    Antara rawatan yang ada ialah steroid sapuan (dalam bentuk krim, gel atau balsam dalam pelbagai kekuatan) untuk menghentikan keradangan dan membantu menyembuhkan kulit.

    Doktor juga mungkin akan mencadangkan penggunaan krim kombinasi steroid dan antibiotik khususnya apabila steroid sapuan tidak berkesan. Krim kombinasi ini lebih berkesan untuk merawat ekzema kerana ia boleh disapu pada kulit yang luka untuk menghentikan rasa gatal dengan segera. Malah ia juga boleh digunakan walaupun tiada kesan jangkitan.

    "Steroid adalah ubat yang sangat baik tetapi ia mestilah digunakan mengikut arahan doktor. Malangnya kebanyakan ibu bapa di Malaysia mahukan ubat yang kuat supaya penyakit anak mereka sembuh. Mereka mahu anak mereka diberikan antibiotik untuk membunuh semua bakteria yang boleh merangsang ekzema tetapi kaedah ini tidak praktikal kerana kita sentiasa terdedah kepada bakteria.

    "Cara yang lebih baik ialah mengawal dan menguruskan penyakit anak. Antaranya dengan mengetahui faktor yang boleh merangsang serangan seperti rasa gatal, tindakan menggaru, cuaca panas dan lembap, bakteria, alergen (bahan yang boleh menyebabkan alahan), penggunaan sabun atau bahan pencuci yang kuat (bagi individu dengan kulit sensitif), alahan makanan dan habuk rumah," kata Dr Leong.

    Kaedah rawatan konvensional masih berguna dan boleh diamalkan. Ini termasuk:

  • Mandi setiap hari (sekerap yang dikehendaki jika tinggal di negara panas lembap). Jika pergi ke negara lain pada musim sejuk, hanya dibenarkan mandi sekejap sekali sehari. Serangan ekzema boleh menjadi lebih teruk pada musim sejuk kerana cuacanya yang kering dan penggunaan alat pemanas hawa yang menyebabkan kulit semakin kering.
  • Menggunakan sabun yang lembut.
  • Menyapukan losen pelembap selepas mandi (sangat penting).
  • Menyapukan ubat steroid atau kombinasi steroid dan antibiotik.
  • Memberikan suntikan sedatif antihistamin (hanya untuk kes yang teruk, biasanya pada bayi atau kanak-kanak kecil).

    "Orang kita selalu percaya ekzema disebabkan alahan makanan. Ia mungkin ada kaitan tetapi makanan laut bukanlah puncanya. Ia boleh menjadi faktor perangsang kepada serangan ekzema. Justeru, buatlah pemerhatian, sama ada anak anda ada alahan pada makanan laut.

    "Namun secara umumnya tidak perlu menyekat diet anak kerana dalam tempoh inilah mereka sangat memerlukan pemakanan seimbang untuk membesar. Berbincanglah dengan doktor sebelum anda mengehadkan pemakanan anak.

    "Pengurusan masalah ekzema anak perlulah bersifat dinamik dan seimbang iaitu berubah mengikut keadaan, umur dan cuaca. Dalam soal ini, biarlah kita mengambil pendekatan yang lembut. Janganlah pilih kaedah untuk 'menghapuskan' semua bakteria kerana kesan jangka panjangnya mungkin lebih serius.

    "Manusia sebenarnya boleh hidup dengan bakteria pada tahap tertentu. Memang kita mahu hidup dalam persekitaran yang bersih tetapi kita perlu ada had supaya ia tidak mendatangkan masalah kepada anak," kata Dr Leong.

    Ibu bapa di Scandinavia yang mempunyai anak ekzema akan membawa bayi mereka menunggang kuda untuk mendedahkan anak kepada persekitaran 'kotor' dan ia didapati mampu mengurangkan sedikit masalah ekzema.

    Akhir sekali, kita perlu membantu anak menghentikan kitaran garu-gatal-keradangan-jangkitan yang menyebabkan ekzema semakin teruk. Antara langkah yang boleh diambil ialah memastikan kuku sentiasa pendek, ubah kaedah daripada menggaru kepada menepuk-nepuk bahagian yang gatal, balut tangan anak dengan tuala lembap dan sejuk untuk mengurangkan rasa gatal, menyapukan ubat steroid mengikut arahan doktor dan sentiasa memberi sokongan kepada si kecil.

  • Global: Harapan baru

    Posted: 18 Sep 2011 07:58 AM PDT

    IA ada karaoke dan kopi segar tetapi bilik air di geladak atau dek bawah tiada air dan sesetengah penumpang terpaksa tidur di atas lantai. Selamat datang ke kapal persiaran pertama Korea Utara!

    Dalam keghairahannya merangsang ekonomi khususnya dalam bidang pelancongan, pihak berkuasa melancarkan percutian pelayaran dari Pelabuhan Rajin yang terletak di timur laut Korea Utara ke kawasan resort cantik di Gunung Kumgang.

    Untuk perjalanan pertama, mereka membawa lebih 120 wartawan dan ejen pelancongan dari China merasai sendiri pelayaran selama 21 jam di atas kapal Man Gyong Bong - berusia 39 tahun yang diperbaiki dan diberikan wajah baru itu. Ini langkah yang sangat luar biasa bagi kerajaan Korea Utara.

    Sorakan dan tepukan gemuruh daripada ratusan pelajar dan pekerja sambil memegang bunga beraneka warna bergema sebaik kapal persiaran itu mula meninggalkan salah satu jeti tua di Pelabuhan Rajin.


    "Kapal ini baru diperbaiki minggu lalu," kata Timbalan Datuk Bandar Zon Ekonomi Khas Rason, Hwang Chol Nam.


    Dia duduk di meja yang dipenuhi botol bir Korea Utara, sepinggan buah dan hidangan lain daripada telur serta makanan laut.

    "Tetapi ia sudahpun belayar ke Gunung Kumgang dan balik ke pelabuhan. Saya beritahu, kapal ini perlu diuji dulu untuk memastikan ia selamat," kata pemimpin berusia 48 tahun yang memakai sut kemas. Di bajunya tersemat pin merah dengan gambar bekas pemimpin Korea Utara, Kim Il-Sung.

    Projek berkenaan sebenarnya diilhamkan Kumpulan Pelaburan Antarabangsa Taepung dan kerajaan Rason, kawasan segi tiga di timur laut terletaknya bandar Rajin dan Sonbong, bersempadan dengan China dan Russia.

    Asalnya ia dijadikan zon ekonomi khas pada 1991 untuk menarik pelaburan ke Korea Utara tetapi perancangan itu tidak menjadi akibat kekurangan infrastruktur, ketidakcukupan bekalan elektrik dan ketiadaan keyakinan terhadap corak pemerintahan yang terasing dari dunia luar itu.

    Bagaimanapun, kini pihak berkuasa cuba untuk memulihkan kawasan berkenaan selepas ia mengalami kesulitan akibat sekatan ekonomi antarabangsa melalui senjata atom dan peluru berpandunya.

    Kemiskinan di Korea Utara semakin mendesak selepas puluhan tahun polisi pemulauan ekonomi dikenakan ke atasnya dan kini ia menghadapi masalah kekurangan makanan berpanjangan.

    Hwang berkata, pihak berkuasa Rason memberi fokus kepada tiga aspek pertumbuhan iaitu perdagangan kargo, pemprosesan makanan laut dan pelancongan.

    Korea Utara hanya membuka pintu kepada pelancong Barat pada 1987 dan sampai hari ini, kemasukan pelancong dikawal ketat, tetapi kini lebih banyak destinasi mula diperkenalkan kepada kumpulan pelancong yang mahu melihat sendiri keadaan di negara itu.

    Gunung Kumgang menjadi titik pertikaian politik antara Korea Utara dan Selatan selepas seorang pelancong dari Korea Selatan ditembak mati oleh askar Korea Utara pada 2008.

    Rason, tempat permulaan pelayaran sebenarnya adalah kawasan yang miskin. Pelancongan di sini dipantau rapi, hubungan antara pelancong dan penduduk tempatan yang dibenarkan ialah dengan pemandu pelancong, pemilik kedai cenderahati dan pekerja hotel.

    Pelancong hanya dapat melihat kehidupan harian penduduk Korea Utara sepintas lalu melalui cermin tingkap bas kerana kebanyakan penduduk yang berpakaian satu warna berbasikal atau memandu menuju ke jalan yang sunyi.

    Blok pangsapuri yang kebanyakannya sudah buruk berselang-seli dengan tugu pemimpin negaranya. Potret ketua negara, Kim Jong Il dan mendiang ayahnya, Kim Il-Sung menyambut ketibaan pelancong apabila mereka masuk ke lobi hotel di Rajin.

    Kata-kata 'Buku ialah guru senyap dan teman seumur hidup' digantung di atas rak yang dipenuhi buku mengenai Korea Utara, dengan judul seperti 'Kim Jong-Il yang Agung' dan 'Korea - Negara Perintis.

    Biliknya sangat sederhana tetapi bersih, tiada Internet dan talian telefon pula bukan saja mahal bahkan tidak boleh diharap. Telefon bimbit dari luar negara (milik pelancong) pula diambil dan disimpan pemandu pelancong sebaik memasuki negara berkenaan.

    Menurut Hwang lagi, kerajaan di Ranson cuba mengetengahkan masalah komunikasi dan sudah menandatangani 26 perjanjian eksklusif dengan syarikat Thailand untuk memasang Internet di kawasan itu, yang diharap boleh digunakan September ini.

    Namun dia mengakui, laman web yang tiada kaitan dengan perniagaan berkemungkinan besar disekat dan media juga dikawal ketat di Korea Utara.

    Kebanyakan pelancong Rason datang dari China. Secara purata 150 pelancong dari China datang ke situ setiap hari pada musim panas. Salah seorang pelancong China yang hanya mahu dikenali sebagai Li berkata, dia datang ke Rason selepas mesyuarat perniagaan di sempadan China untuk melihat perubahan di situ berbanding di negaranya.

    Simon Cockerell, Pengarah Urusan Kumpulan Koryo, agensi pelancongan yang beribu pejabat di Beijing dan mengendalikan banyak lawatan ke Korea Utara berpendapat, Rason mungkin bukan destinasi percutian pilihan ramai tetapi ia mempunyai daya tarikan tersendiri.

    "Ramai orang suka pergi ke tempat yang tertutup. Inilah destinasi tertutup di negara yang paling tertutup daripada istilah pelancongan. Inilah negara yang paling kurang dikunjungi," katanya.

    Di atas kapal persiaran, pelancong China asyik menyanyi karaoke di dalam dewan makan yang dihiasi bendera Korea Utara. Penumpang lain pula duduk mengelilingi meja plastik menikmati bir dan makan ikan kering.

    Sesetengah kabin dilengkapi katil dua tingkat manakala kabin lain hanya dibekalkan tilam yang diletakkan di atas lantai. Bilik yang lebih baik dilengkapi meja, kerusi dan bilik air sendiri.

    Bekalan air di bilik mandi kapal persiaran itu (yang digunakan sebagai feri antara Korea Utara dan Jepun hingga 1992 sehinggalah ia memulakan kapal kargo) juga tidak boleh diharap, jika ada, airnya kadangkala keruh.

    Bagaimanapun, Timbalan Presiden Taepung, Park Chol Su, berkata dia mempunyai perancangan besar untuk menarik lebih ramai pelancong. Dia mahu menjemput lebih 100 agensi pelancongan dari Eropah, Oktober depan untuk merasai sendiri pelayaran dan lawatan yang sama.

    Pihak berkuasa berjanji pelancong tidak diperlukan membuat visa untuk menaiki kapal persiaran berkenaan dan jika semuanya mengikut perancangan, kemudahan di kapal itu akan diperbaiki supaya lebih selesa.

    "Kami menyasarkan memiliki kapal yang lebih besar dan elok yang boleh membawa 1,000 penumpang. Kami akan sewa kapal dari negara lain di Asia Tenggara," katanya. - AFP

    Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved