Ahad, 18 September 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Leher ayah berlubang

Posted: 17 Sep 2011 11:07 AM PDT

SUNGAI GOLOK (Thailand): "Dalam keadaan terkejut dan panik, saya dan isteri meredah asap tebal selepas bom meletup. Kami lihat perut anak terburai, manakala ayah cedera parah di kepala dan lehernya berlubang," kata Wong Wai Siong, 33.

Wai Siong kehilangan anak, Wong Kai Sien, 3, dan bapa, Wong Hong Yep, 64, serentak selepas terbunuh dalam kejadian tiga siri letupan bom yang menggegarkan pekan Sungai Golok, di sini, jam 8.15 malam kelmarin.


Selain dua beranak itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang terbunuh ialah pengurus insurans dari Kuantan, Pahang, Foong Too Keh, 45.

Wai Siong berkata, sebelum kejadian, dia bersama isteri, Ang Ya, 35, dua anak dan ayahnya berkunjung ke Sungai Golok dari Kota Bharu dan tiba jam 6.30 petang untuk membawa isteri menjalani rawatan di Hospital Sungai Golok kerana sakit perut dan membeli susu anak.


Katanya, selepas selesai rawatan dan membeli susu anak, mereka lima beranak makan di sebuah kedai makan sebelum tiba-tiba terdengar letupan bom, lalu segera keluar untuk pulang dan pada masa sama melihat apa berlaku.


"Mendengar letupan bom, kami segera keluar dari restoran untuk pulang. Dalam perjalanan ke kereta yang jaraknya 40 meter dari restoran, sebutir lagi bom di sebuah motosikal meletup.

"Ketika itu anak saya dan datuknya keluar terlebih dulu dari restoran manakala saya, isteri dan seorang lagi anak berada tidak jauh daripada mereka. Kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam sekelip mata, saya kehilangan anak dan ayah," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Sungai Golok, di sini, semalam.


Menurut Wai Siong, anaknya ditemui dalam keadaan terhempap motosikal manakala ayahnya terbaring kaku.

Wai turut cedera di pergelangan kaki kanan, isterinya luka di tangan, manakala anak bongsunya, Wong Kai Royce, 1, tidak cedera.


Sementara itu, abang Too Keh, Foong Too Meng, 55, berkata adiknya berkunjung ke pekan Sungai Golok untuk berjalan-jalan dan tiba di pekan itu jam 5 petang.


"Adik saya mendaftar untuk menginap di Hotel Genting sebelum keluar ke Hotel Merlin untuk minum bersama rakan.


'Ketika dalam perjalanan ke Hotel Merlin, bom diletakkan di motosikal berdekatan sebuah tokong meletup. Serpihan bom terkena tulang rusuk adik, menyebabkan dia parah dan maut di tempat kejadian," katanya.


Menurut Too Meng, dia menerima panggilan daripada rakan adiknya yang terselamat daripada kejadian itu jam 7.45 petang.

Kumpulan pengedar dadah jadi dalang

Posted: 17 Sep 2011 10:46 AM PDT

SUNGAI GOLOK: Polis Thailand percaya kejadian tiga siri letupan bom yang menggegarkan pekan Sungai Golok kelmarin, didalangi kumpulan pengedar dadah yang cuba mengalihkan perhatian polis supaya dapat meneruskan kegiatan mereka dengan lebih lancar.

Ketua Polis Sungai Golok, Polis Kolonel Chakaporn Thenthong, berkata, pihaknya yakin sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda itu memainkan peranan penting memasang bom kawalan jauh pada sebuah kereta dan tiga motosikal sehingga tercetusnya tragedi itu.


Bagaimanapun, katanya, hanya tiga bom meletup berhampiran kawasan tokong Buddha, Hotel Parkson dan Hotel Merlin, di sini, menyebabkan tiga rakyat Malaysia dan seorang anggota sukarelawan Thailand terbunuh selepas disambar api ketika cuba memadam kebakaran sebuah kereta.

"Dua bom yang diletakkan pada motosikal mengorbankan tiga rakyat Malaysia manakala bom yang diletakkan di sebuah kereta mengorbankan seorang anggota sukarelawan Thailand yang ketika itu cuba memadam kebakaran pada kereta berkenaan. Ketiga-tiga bom meletup selang lima minit.


"Sebutir lagi bom yang diletakkan pada sebuah motosikal tidak sempat diletupkan selepas berjaya dikesan dan dimatikan pihak berkuasa. Siasatan awal dijalankan mendapati bom yang diletakkan pada kenderaan itu diletupkan menggunakan alat kawalan jauh," katanya pada sidang media di Hotel Genting, di sini, semalam.


Menurut Chakaporn, selain empat terbunuh, lebih 60 lagi cedera, termasuk 19 rakyat Malaysia yang kebetulan berkunjung ke Sungai Golok untuk makan angin dan berhibur.

"Dua anggota polis, empat tentera dan tiga anggota sukarelawan Thailand turut cedera dan kini dirawat di Hospital Sungai Golok, "katanya.


Chakaporn berkata, pihaknya akan cuba mengesan suspek kejadian itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mungkin ada di kawasan kejadian.

Katanya, walaupun kejadian itu disifatkan antara cubaan kumpulan pengedaran dadah untuk mengalihkan perhatian polis, pihaknya akan tetap menjalankan operasi membanteras pengedaran dadah seperti biasa.


"Motif utama mereka (kumpulan pengedar dadah) sudah pasti mahu mengalihkan perhatian polis dan menjejaskan kedatangan pelancong sehingga ekonomi Sungai Golok merosot," katanya.


"Kita berharap penduduk dari Malaysia akan tetap datang ke Sungai Golok kerana pihak berkuasa Thailand memberi jaminan keselamatan pelancong Malaysia akan dijaga seperti kami menjaga keselamatan penduduk Thailand sendiri," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved