Jumaat, 2 September 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


6 motor, 2 kereta rentung

Posted: 01 Sep 2011 10:02 AM PDT

AMPANG: Enam motosikal dan dua kereta jenis Perodua Kelisa hangus terbakar dipercayai angkara khianat dalam kejadian di Apartmen Rivera, Taman Muda, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 pagi itu, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah bersama enam anggota mengambil masa kira-kira 10 minit memadam kebakaran.


Penduduk, Chou Jui Chai, 39, berkata, dia terjaga daripada tidur selepas menyedari asap tebal dan debu hitam memenuhi bilik tidurnya.

"Saya sukar bernafas kerana bilik tidur dipenuhi asap dan debu sehingga penghawa dingin rosak.


"Pili air rumah terletak di bahagian tempat letak kereta berhampiran kejadian itu juga terbakar dan menyebabkan bekalan air terputus," katanya yang menanggung kerugian kira-kira RM10,000 akibat kerosakan beberapa perabot dan peralatan rumah lain.


Menurut pengawal keselamatan yang enggan dikenali, dia hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan pemandu teksi yang mahu keluar bekerja selang lima minit selepas dia melakukan rondaan.

"Seperti biasa saya akan melakukan rondaan di kawasan tempat letak kereta dan sekitar apartmen ini. Bagaimanapun, saya tidak nampak kelibat sesiapa," katanya.


Difahamkan, lima daripadanya enam motosikal yang terbakar hangus manakala dua lagi kereta hanya terbakar sebahagian iaitu masing-masing bahagian depan dan belakang.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kejadian menyebabkan penduduk di tingkat atas kawasan terbabit terjaga selepas terhidu asap yang memenuhi rumah mereka.


"Penduduk bergegas turun ke tingkat bawah bagi melihat sendiri apa yang berlaku sebelum menghubungi pasukan bomba dan polis bagi memaklumkan kebakaran," katanya ketika dihubungi, semalam.


Amiruddin berkata, kejadian itu adalah yang kedua selepas kali pertama tahun lalu membabitkan lapan motosikal dan sebuah kereta yang juga dibakar.

Tiga anggota polis ditahan

Posted: 01 Sep 2011 10:01 AM PDT

SENTUL: Tiga anggota polis antara enam yang ditahan berhubung kejadian melepaskan tembakan yang mencederakan seorang pelajar kolej swasta dalam pergaduhan di luar sebuah pub di Taman Sri Rampai, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan penahanan tiga anggota polis terbabit dan berkata, ketiga-tiga anggota berkenaan berpangkat koperal dan lans koperal.


"Dua daripada mereka bertugas di Bukit Aman manakala seorang lagi di Selangor," katanya. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, empat lelaki keluar dari sebuah pub sebelum tiba-tiba datang seorang lelaki memecahkan cermin di pintu belakang pemandu menggunakan sebatang besi.

Tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki terbabit, empat lelaki yang berada di dalam kereta berkenaan keluar dan menyerang lelaki itu.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, selepas beberapa minit bergaduh, lelaki yang memecahkan cermin kereta itu cuba melarikan diri dan pada ketika itulah kedengaran bunyi tembakan dilepaskan.


"Mangsa, pelajar kolej swasta berusia 23 tahun, cedera di kaki dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

"Kami masih menyiasat motif serta punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan mereka mengenali satu sama lain" katanya.


Menurutnya lagi, polis forensik menemui lima kelongsong peluru di tempat kejadian.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved