Jumaat, 23 September 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Dinding, lantai rumah pula merekah

Posted: 22 Sep 2011 09:43 AM PDT

PUCHONG: Selepas beberapa siri mesyuarat diadakan, masalah tanah runtuh yang menghantui penduduk Bandar Puteri 9, di sini, belum menemui penyelesaiannya apabila timbul pelbagai masalah lain selepas kejadian tembok penghadang cerun runtuh Mei lalu.

Walaupun pemaju sudah membaik pulih dinding yang runtuh, masalah menjadi lebih serius apabila berlaku rekahan di dinding serta lantai rumah penduduk di situ, sekali gus menyebabkan air dari bawah tanah keluar melalui celahan lantai itu.


Penduduk mendakwa, masalah berlaku disebabkan pemaju gagal membina sistem cerucuk yang baik bagi mengukuhkan tapak rumah dan menyediakan saluran air hujan di kawasan terbabit dengan lebih sistematik dan selamat.

Penduduk, M Paramanathan , 47, berkata selepas kejadian tembok runtuh, dia mula menyedari terdapat rekahan di beberapa bahagian pagar dan jalan sekitar rumahnya dan lebih membimbangkan rekahan terbabit semakin merebak. "Kerisauan saya tidak pernah berakhir dan tertekan apabila memikirkan kedudukan rumah saya di hujung jalan dan bersebelahan cerun.


"Sejak peristiwa tanah runtuh, kami sekeluarga tak tidur nyenyak," katanya yang baru enam bulan mendiami rumah itu.


Bagi penduduk, Chin, 50, berkata dia berharap pemaju tidak lepas tangan memandangkan masalah itu membabitkan keselamatan dan nyawa ramai pihak.

"Saya percaya masalah ini boleh diatasi dengan adanya sistem cerucuk yang sistematik dan konsisten terutama bagi kedudukan rumah di kawasan berbukit yang berisiko berlaku tanah runtuh. "Sekiranya tiada tindakan diambil, saya khuatir perkara lebih buruk berlaku. Jika hujan lebat berlarutan setiap hari lebih banyak air akan diserap dan menjadikan dasar tanah lembut," katanya.

Peniaga bantah kenaikan 100%

Posted: 22 Sep 2011 09:40 AM PDT

SHAH ALAM: Kebanyakan peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini mempertikaikan kenaikan kadar baru sewa antara 30 hingga 100 peratus yang akan bermula Januari tahun depan.

Mereka yang berniaga puluhan tahun di kompleks itu berpendapat perkara berkenaan membebankan peniaga yang kebanyakannya Bumiputera.


Pemilik premis pakaian, Mustafa, 43, berkata dia tidak bersetuju dengan cadangan pihak pengurusan yang ingin menaikkan kadar sewa itu.

"Kenaikan kadar sewa kepada peniaga di sini bukan pertama kali berlaku. Namun, kenaikan kali ini begitu terasa kerana ada beberapa kedai yang menerima kenaikan 100 peratus.


"Walaupun mungkin kenaikan 30 peratus, tetapi ia sangat dirasai kerana perniagaan yang kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini," katanya.


Mustafa berkata, pihak pengurusan diminta mengkaji semula perkara terbabit kerana tidak semua peniaga memperoleh keuntungan berlipat ganda pada setiap bulan.

Bagi Ramlah, 40, yang perlu membayar sewa RM1,000 mulai tahun depan berbanding RM700 ketika ini, berkata sudah lama pihak pentadbiran tidak menaikkan kadar sewa.


"Kadar sewa baru ini mungkin dianggap masih berpatutan berbanding tempat lain. Jadi, saya rasa ia patut kerana harga sewa sekarang pun tidak mahal.

"Ia lebih murah berbanding sewa kedai di tempat lain dan saya tidak tahu pula pada masa depan," katanya yang berniaga sejak 20 tahun lalu.


Sementara itu, jurucakap Bahagian Korporat PKNS ketika dihubungi berkata, kenaikan kadar sewa berkenaan disebabkan kerja pengubahsuaian yang akan menaikkan imej kompleks itu.


"Kenaikan sewa kepada peniaga tidak banyak. Semuanya kerana kami mahu Kompleks PKNS kelihatan lebih menarik supaya setanding dengan pusat perniagaan lain.


"Kenaikan kadar sewa juga berbeza mengikut kedudukan sesebuah kedai itu. Jika ia berada di depan, kadar sewanya agak tinggi berbanding kedai di belakang," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved