Jumaat, 28 Oktober 2011

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Enggan jadi gadis hipokrit

Posted: 27 Oct 2011 06:21 AM PDT

WAJAH cantik dikatakan satu taruhan buat dua bintang baru, Nur Anzalna Md Nasir atau Anzalna dan Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam (Ramona) bagi mengukir nama dalam industri seni tempatan.

Tambahan pula mereka pernah menjadi finalis pertandingan Dewi Remaja, maka selalunya wajah yang cantik lebih disebut-sebut.

Sudah tertulis, rezeki menyebelahi mereka apabila disatukan dalam filem Sepah The Movie yang kini masih menjalani penggambaran di Johor Bahru, Johor.

Ditemui pada satu sesi fotografi khas bersama Rap di pusat Bukit Kiara Equestrian & Country Resorts, baru-baru ini, kedua-dua artis jelita terbabit menafikan bahawa pembabitan mereka dalam dunia lakonan bersandarkan rupa semata-mata.


Kata Anzalna, 23, sebagai pelakon rupa bukanlah segalanya. Malah, sesiapa saja mampu kelihatan cantik kalau pandai bersolek.


"Saya bukannya cantik sangat," katanya merendah diri dan kemudian menyambung, "Sebagai pelakon, saya seboleh-bolehnya mahu membuktikan kepada penonton akan bakat dimiliki. Waktu sama, sekiranya saya bergantung kepada rupa saja pasti kerjaya lakonan tidak akan bertahan lama."

Jinak bermanja dengan kuda, gadis ini menjelaskan, kalau seseorang pelakon itu mampu membawakan wataknya dengan berkesan, pasti penonton akan lebih ingat dan tidak lagi 'ambil pusing' soal rupa.

Atas alasan itu juga kata Anzalna, dia tidak pernah gentar untuk menonjolkan dirinya yang sebenar termasuk memperkenalkan teman lelaki kepada umum kerana baginya hal peribadi dan kerjaya tidak seharusnya dikaitkan.

"Saya tidak suka menipu kerana saya percaya walau macam mana pun saya cuba menyembunyikan perkara sebenar, kebenaran akan diketahui juga pada masa akan datang. Bayangkan kalau saya kata saya tidak ada teman lelaki, kalau orang nampak saya keluar berdua pasti kelak akan ada orang mencemuh dan kata saya hipokrit. Saya tidak mahu perkara itu berlaku.

"Mengaku sudah mempunyai teman lelaki juga bukanlah satu perkara yang salah.
Sebaliknya kalau kita menipu orang itu salah. Bagaimanapun, jangan ada pula pihak yang menyalah anggap dengan mengatakan, saya sengaja bercakap sudah mempunyai teman lelaki dengan niat untuk menunjuk-nunjuk. Cuma kalau ada yang bertanya saya akan bercakap benar. Itu sudah menjadi prinsip hidup saya," katanya.

Bercerita mengenai persaingan yang ada sekarang terutama daripada rakannya sendiri yang sama-sama menyertai pertandingan Dewi Remaja dan menjadi pilihan penerbit, kata Anzalna, perkara itu tidak perlu dibimbangkan kerana rezeki setiap orang sudah ditetapkan.

"Begitu juga dengan perkahwinan. Mungkin ada orang takut hendak mengakui sudah mempunyai teman lelaki atau berkahwin dengan alasan peminat akan lari dan produser tidak mahu memberikan tawaran berlakon. Perkara seperti itu tidak akan berlaku sekiranya seorang pelakon itu benar-benar menunjukkan bakatnya," katanya.

Beralih kepada watak yang dilakonkan dalam filem Sepah The Movie, jelas Anzalna, dia memegang watak sebagai gadis kampung bernama Ayu Sofea bersifat lemah lembut dan menjadi rebutan.

"Watak yang saya bawakan dalam filem ini tidaklah berat sangat. Boleh dikatakan Ayu Sofea ini banyak persamaan dengan diri saya. mengenai babak cinta dalam filem ini sebenarnya tidaklah banyak sangat," katanya.

Sementara itu bagi Ramona, dia menyangkal kenyataan yang mengatakan pembabitannya dalam dunia lakonan berbekalkan rupa dan statusnya sebagai peserta Dewi Remaja. Sebaliknya dia sudahpun berlakon sejak berusia 14 tahun lagi.

"Sebelum ini memang tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi pelakon tetapi pembabitan saya dalam filem Castello mengubah segala-galanya. Saya berasakan seperti lakonan sudah menyerap dalam diri, dan sejak itu saya tahu inilah yang saya mahu lakukan untuk kerjaya," ujarnya.

Bagaimanapun, kata Ramona, dia terpaksa melupakan dunia lakonan buat sementara waktu kerana mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran. Itu juga syarat yang diberikan ibu bapanya sekiranya dia mahu menjadikan lakonan sebagai kerjaya.

"Saya berlakon sewaktu berada di tingkatan dua, kemudian ibu bapa saya minta saya berikan tumpuan kepada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sehinggalah tamat pengajian sekolah menengah. Selepas itu, saya berlakon kembali tetapi tidak beberapa aktif. Mungkin sebab itu orang tidak berapa kenal saya sebagai pelakon sehinggalah selepas saya menyertai pertandingan Dewi Remaja," katanya.

Pada Ramona, walaupun dia meminati bidang lakonan tetapi tumpuan terhadap pelajaran juga tidak boleh diabaikan kerana ia mampu dijadikan bekalan pada
masa depan. Tawaran untuk membintangi filem Sepah The Movie pula berani
diterima pada saat dia bakal menamatkan pengajian dalam bidang pengajian
perniagaan tidak lama lagi.

Walaupun namanya tidak sehangat rakan seangkatan seperti Neelofa mahupun Izara Aishah, Ramona tidak menafikan Dewi Remaja sedikit sebanyak berjaya mengangkat namanya lebih dikenali dan dijadikan laluan untuk kembali aktif berlakon.

"Memang kami dilihat cuba bersaing sesama sendiri tetapi setakat ini, saya nampak semua yang menyertai bidang lakonan boleh berdiri dengan bakat masing-masing. Malah, saya sendiri secara peribadi banyak menerima tawaran berlakon.
Alhamdulillah, masing-masing sudah didatangkan rezeki dan cuma sekarang ini saya harus bekerja keras untuk membuktikan kepada umum yang saya benar-benar berbakat dalam dunia lakonan," katanya.

PROFIL ANZALNA

NAMA: Nur Anzalna Md Nasir
NAMA KOMERSIAL: Anzalna
TARIKH LAHIR: 9 Januari 1988
USIA: 23 Tahun
ASAL: Pulau Pinang
HOBI: Melancong, karaoke, menghias rumah
KERJAYA: Model, pelakon
DRAMA: Suria Di Cardoba, Ramadan Terakhir, Gemersik Kalbu
FILEM:: Sepah The Movie
IKLAN: Celcom, Tren2, French Oil

PROFIL RAMONA

NAMA: Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam
NAMA KOMERSIAL: Ramona Zamzam
TARIKH LAHIR: 25 Jun 1990
USIA: 21 Tahun
ASAL: Ipoh, Perak
HOBI: Menunggang Kuda, membaca novel, melancong
KERJAYA: Pelajar, pelakon, model
PENDIDIKAN: Pelajar Pengurusan Perniagaan di Segi College

DRAMA: Begitukah Cinta, Nora Elina, Kali Kedua, Nilapura, Sitcom Nana Tanjung, Otai

FILEM: Castello, 2 Hati 1 Jiwa, Sepah The Movie

Full content generated by Get Full RSS.

Festival Seni KLCC

Posted: 27 Oct 2011 06:02 AM PDT

TERSERGAM indah sebagai mercu tanda ibu kota, Menara Berkembar Petronas atau KLCC sering menjadi tumpuan warga tempatan termasuk pelancong asing.

Menariknya, KLCC bukan saja mempromosi lokasi pusat membeli-belah terbaik negara, malah kewujudan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di dalamnya memberi kemudahan kepada pengunjung menikmati persembahan seni bertaraf antarabangsa.

Dalam menarik perhatian pengunjung ke sini, DFP sering mengatur agenda persembahan seni sepanjang tahun. Berita gembira buat peminat seni tanah air mahupun antarabangsa, DFP kembali membawakan persembahan bersempena Festival Seni KLCC.

Eksekutif Perhubungan Media, DFP, Hisham Abdul Jalil, berkata acara ini adalah anjuran kali kedua selepas ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung ketika pertama kali diadakan tahun lalu.


"Acara ini anjuran bersama DFP, Galeri Petronas dan Petrosains dalam membangunkan KLCC sebagai pusat seni. Apa yang ditekankan, DFP menjadi pentas persembahan muzik dan artis tersohor pelbagai genre manakala Galeri Petronas menghimpunkan 1,400 lukisan hasil pelukis ternama.


"Begitu juga Petrosains muncul sebagai pusat sains dan teknologi kreatif dan
ekspresif. Dengan adanya festival ini, ia bakal mempromosi dan meraikan seni Malaysia di menara berkembar yang ikonik," katanya.

Festival yang memulakan tirai persembahan Rabu lalu menerusi gabungan Ensembel Seni Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) Dance Company, meneruskan agendanya, jam 8.30 malam ini bertemakan Malaysian Diversity.

Persembahan ini didukung Orkestra Tradisional Malaysia dipimpin Mohd Yazid Zakaria. Persembahan ensembel ini bakal memberi kelainan menerusi gandingan persembahan bersama penyanyi undangan seperti Jaclyn Victor, Iqwal Hafiz dan kumpulan Orang Asli, Bahbola.

Antara lagu yang akan dipersembahkan bersama penyanyi ini ialah Gemilang, Joget Kenangan Manis, Somewhere, Corazon Espinado, medley karya terbaik Tan Sri P Ramlee, Pak Ngah Balik, Santubong, Sayang Kinabalu, Dondang Sayang, Empat Dara dan Zapin Budi.

Kata Hisham, persembahan ini bukan hanya hiburan kosong, sebaliknya bakal menyaksikan elemen perpaduan rakyat yang menjunjung tinggi konsep 1Malaysia.

"Untuk persembahan hari ketiga pada 29 Oktober, pengunjung berpeluang
menyaksikan persembahan MPO membawakan tema MPO's Native Foray.

"Persembahan ini dipimpin pemain trombon MPO, Marques Young yang dijangka membawakan seleksi lagu yang diinspirasi daripada karya Tan Sri P Ramlee, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, James Brown dan Ibrahim Ferrer. Pemilihan lagu dan penyanyi sebegini menterjemah pengaruh muzik tempatan dan antarabangsa.

"Kemeriahan festival ini menutup tirai persembahan bersama Badan Kesenian Warisan Johor yang membawa tema, Johor Heads North pada 30 Oktober. Johor popular dengan tarian zapin dan muzik ghazal. Persembahan sebegini menjadi tarikan yang akan dipersembahkan di pentas DFP nanti.

"Dalam persembahan dikenali Pesona Jauhar, ia dibahagikan kepada empat segmen, Tika Dinihari, Terbitnya Suria, Cahaya Mega dan Berlabuhnya Malam Permata Tetap Bersinar.

Mereka yang ingin menyaksikan persembahan di DFP, tiket berharga RM58 boleh dibeli di kaunter Box Office dari Isnin hingga Sabtu, bermula jam 10 pagi hingga 6 petang manakala jam 9 malam pada hari persembahan. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-20517007.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved