Ahad, 2 Oktober 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Dua mati lemas

Posted: 01 Oct 2011 10:17 AM PDT

BAHAU: "Sejak beberapa hari lalu, arwah memang kerap pergi mandi sungai berbanding biasa dan kurang berselera makan," kata Nurul Syahida Baharin, 15, ibu saudara kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang lemas di sungai di Kampung Sri Rompin, dekat sini, kelmarin.

Memilukan apabila mayat pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Rompin, Muhamad Hakimi Khairul Nizam, dikatakan ditemui dalam keadaan berpelukan dengan seorang lagi lelaki, Mohd Isa Mustafa, 40, yang juga anak angkat nenek saudaranya, jam 6.50 petang kelmarin.


Menurut Syahida, kedua-dua mangsa memberitahu mahu mandi di sungai berdekatan, jam 9 pagi.

"Kebiasaannya, mereka berdua pasti pulang semula ke rumah, namun saya pelik apabila masih tidak melihat kelibat mereka walaupun sudah petang.


"Berikutan itu, ibu (Robiah Birum) segera ke sungai dan melihat motosikal dinaiki mereka di atas tebing bersama pakaian masing-masing.


"Panik dengan keadaan itu, kami segera memaklumkannya kepada penduduk kampung untuk mencari mereka sebelum melaporkan kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini, semalam.

Syahida berkata, dia terkejut mengetahui kedua-dua mangsa mati lemas apabila mayat mereka dikatakan ditemui dalam keadaan berpelukan.


Menurutnya, dia sedih kerana anak saudaranya dilihat berkelakuan baik berbanding biasa manakala anak angkat ibunya turut sempat mengemas rumah sebelum kejadian.

"Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan kedua-dua Allahyarham masing-masing selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Besar dan Jelai tadi (semalam)," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, ketika kejadian, Robiah yang juga ibu angkat Mohd Isa pergi ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk mengambil ubat, jam 7.30 pagi.


"Sewaktu perjalanan pulang ke rumahnya jam 11.30 pagi, wanita itu yang melalui sungai ternampak motosikal mangsa, namun tidak mengesyaki apa-apa berikutan mereka sering ke situ.


"Namun, selepas menunggu sekian lama, kedua-dua mangsa masih tidak pulang ke rumah, menyebabkannya kembali semula ke sungai itu untuk meninjau.


"Robiah cuba memanggil namun tiada sahutan lalu memberitahu orang kampung dan membuat laporan di Balai Polis Rompin," katanya.


Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa ditemui sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bahau 70 meter dari tebing sungai, jam 6.50 petang.


"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing pagi semalam (kelmarin)," katanya yang mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Nyaris maut van dirempuh lori sampah

Posted: 01 Oct 2011 09:46 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu dan rakannya nyaris maut apabila van mereka yang diletakkan di tepi jalan dirempuh sebuah lori sampah selang 30 saat keluar dari kenderaan itu di Taman Seri Bayu, Ampang, semalam.

Pemandu van, G Ganesan, 36, berkata dia yang berhenti bagi membeli peralatan elektrik di sebuah kedai tidak menyangka niatnya mengajak rakan sekerja, Sebastian Fancis, 46, untuk turun bersama menyelamatkan nyawa mereka.


"Selalunya saya minta Sebastian tunggu sebentar di dalam van, sementara saya membeli semua kelengkapan elektrik tetapi hari ini (semalam) saya minta dia turun dan membantu sekali.

"Sebaik kami turun, saya terdengar jeritan orang ramai dan melihat sebuah lori sampah sudah merempuh van yang diletakkan di tepi jalan itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 pagi, lori sampah dengan muatan lebih 10 tan dalam perjalanan ke Kepong hilang kawalan ketika menuruni bukit di Jalan Ampang-Hulu Langat kerana mengalami masalah brek hingga merempuh van Tenaga Nasional Berhad itu.


Pemandu lori yang juga penduduk tetap warga Indonesia, Yanto, 42, berkata apabila brek lorinya gagal berfungsi, dia terpaksa membelok ke kanan jalan bagi mengelak kenderaan itu terjunam ke dalam gaung.

"Saya terpaksa membelok ke kanan jalan dengan harapan kelajuan lori dapat dikurangkan dan berhenti dengan selamat, malangnya terpaksa merempuh sebuah van yang diletakkan di situ," katanya.


Susulan rempuhan itu, van terbabit diseret 10 meter sebelum kedua-dua kenderaan terhumban di tebing dan menghempap enam motosikal penduduk.

Yanto yang mengalami luka kecil di bawa ke Balai Polis Trafik Ampang bagi membantu siasatan kejadian.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved