Isnin, 10 Oktober 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Mengada-ngada rakam operasi

Posted: 09 Oct 2011 09:54 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam bersama tiga rakannya yang merakam Ops Samseng Jalanraya di Jalan Gereja/Dataran Merdeka, di sini, semalam menerima padah apabila kamera videonya dirampas.

Difahamkan, ketika Unit Kuatkuasa Khas Polis Trafik Kuala Lumpur (U3K) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan operasi yang bermula jam 12.30 tengah malam hingga 3.30 pagi itu, sebuah Perodua Myvi hitam yang dipandu seorang penjawat awam memasuki kawasan berkenaan.


Seorang penumpang kereta terbabit pula dilihat merakam perjalanan operasi berkenaan dan apabila tindakan penumpang itu ditegur seorang anggota polis yang bertugas, pemandu terbabit memaki-hamun anggota berkenaan.

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak bernasib baik apabila ditahan dalam sekatan jalan raya itu dan apabila disoal, penjawat awam terbabit pada mulanya menjawab dia tidak mengetahui mengenai tindakan rakannya itu, malah menafikan mereka membuat kesalahan.


Ketua Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata meskipun pemandu terbabit penjawat awam, pihaknya tidak berkompromi dengannya kerana tindakan kumpulan itu menyalahi undang-undang dan disebabkan itu pihaknya merampas kamera video milik mereka.


"Pemeriksaan lanjut mendapati mereka merakam perjalanan operasi dan bagi mengelakkan mereka menyebarkan rakaman berkenaan, kami memadamkan semua rakaman dalam kamera video itu.

"Selepas diberi amaran, kamera video itu diberikan balik bagaimanapun sekiranya kami mendapati rakaman terbabit disebarkan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka," katanya selepas operasi berkenaan, semalam.


Sementara itu, gara-gara panik dan bimbang ditahan dalam operasi berkenaan, beberapa Mat Rempit nekad menggadai nyawa serta membahayakan pengguna lain apabila cuba meloloskan diri dengan menunggang motosikal melawan arus.

Ada juga pemandu kereta yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan bagi mengelak melalui kawasan sekatan tanpa menyedari pihak berkuasa bersedia di seluruh kawasan itu.


Azmi berkata, dengan kekuatan dua pegawai dan 14 anggota kedua-dua jabatan berkenaan, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 330 kenderaan termasuk motosikal.


"Polis menyita lima motosikal dan mengeluarkan 85 saman atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai nombor plet, tidak memiliki lesen dan cukai jalan tamat tempoh," katanya selepas tamat operasi di sini.

Peniaga dibelasah, kereta dilarikan

Posted: 09 Oct 2011 09:17 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mendakwa kerugian hampir RM160,000 selepas dibelasah dan disamun sekumpulan empat lelaki di susur masuk ke Taman Desa, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 37 tahun memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux menuju Cheras.


Menurut sumber, setibanya mangsa di susur masuk ke Taman Desa, sebuah kereta Honda Civic tiba-tiba melanggar kenderaan dipandunya dari belakang sebelum dia memberhentikan kenderaan berkenaan.

"Mangsa, seorang ahli perniagaan, turun dari kenderaan berkenaan untuk menyelesaikan perkara itu dengan pemandu kereta terbabit.


"Bagaimanapun, tidak sempat berbuat apa-apa, empat suspek yang menaiki kereta terbabit membelasah mangsa dengan menumbuk dan menendangnya sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan dan melarikan kenderaannya," katanya.


Menurutnya, selain kenderaan itu, barangan mangsa seperti tiga telefon bimbit, buku cek, cermin mata berjenama serta duit syiling lebih RM300 di dalam kenderaan berkenaan turut dilarikan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved