Isnin, 19 Disember 2011

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Empat nyawa melayang

Posted: 18 Dec 2011 11:14 AM PST

KOTA TINGGI: Mereka baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bersama-sama meninjau peluang melanjutkan pengajian di pameran pendidikan dan kerjaya di Johor Bahru.

Bagaimanapun, semua harapan itu terkubur apabila empat daripada enam remaja yang menaiki Toyota Innova terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna itu melanggar bucu penghadang jalan serta papan tanda lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 90 meter.


Lebih mengerikan, bumbung kenderaan itu terkopak menyebabkan seorang mangsa tercampak keluar dalam kejadian jam 5.30 petang di Kilometer 33.7 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, dekat sini, kelmarin.

Empat yang maut ialah Ng Sin Yun, 17, dari Jalan Kelu Ramu, Kota Kecil; Winnie Ng, 18, dari Jalan Moi Hiang, Kota Kecil; Tey Jia Xin, 17, dari Kampung Lukut Cina serta Ching Hui Sean, 18.


Ng yang duduk di tempat duduk penumpang belakang tercampak keluar dari kenderaan itu dan mati di tempat kejadian.


Pemandu, Victor Ng Wee Tai, 17, cedera dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum dirujuk ke hospital swasta di Johor Bahru atas permintaan keluarga.

Rakan mangsa, Tee Heng Chong, 17, berkata keenam-enam rakannya itu baru selesai menduduki SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di sini.


"Kami mengunjungi pameran pendidikan dan kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor Bahru dan ketika kejadian, dalam perjalanan pulang.

"Kami pergi dengan menaiki Innova berkenaan manakala yang lain menaiki bas," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKT.


Menurut Tee, dia baru tiba di rumah apabila dimaklumkan kejadian itu dan amat sedih kerana apabila kehilangan empat rakan baik sekali gus.


"Keempat-empatnya bercita-cita tinggi dan semuanya mahu berjaya dalam pelajaran serta kerjaya," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Cik Mahazan Cik Aik, berkata seorang daripada mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala tiga lagi mati ketika dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).


"Semua mangsa mati akibat kecederaan pada badan dan kepala. Dua lagi mangsa masih dirawat dan keadaan mereka stabil.


"Kejadian berlaku ketika cuaca baik dan setakat ini siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan," katanya.


Menurut beliau, pihaknya juga masih menunggu untuk merekodkan kenyataan daripada mangsa terselamat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Full content generated by Get Full RSS.

Sanggup basah kuyup

Posted: 18 Dec 2011 11:04 AM PST

MELAKA: Hujan sepanjang berlangsungnya Konsert Gegaria Harian Metro (KGHM) 2011 di Dataran 1Malaysia, Klebang, dekat sini, kelmarin, tidak menghalang lebih 30,000 penonton membanjiri dataran berkenaan menyaksikan persembahan artis bermula jam 9 malam.

Malah, pengunjung tidak berganjak biarpun dibasahi hujan sepanjang konsert hampir empat jam yang dimeriahkan dengan celoteh pengacara Along Cham dan Didie Alias.


Persembahan dimulakan pendatang baru industri seni negara, Awie Rafael yang menghiburkan penonton dengan tiga lagu iaitu Bila Aku Jatuh Cinta, Pulanglah dan Fell nyanyian Robbie Williams.

Suasana bertambah meriah dengan jerit pekik penonton apabila Najwa Latif mendendangkan lagu popularnya Cinta Muka Buku. Biarpun masih baru, Nawja bijak menarik perhatian peminatnya apabila turun dari pentas dan bersalaman dengan peminat dalam gerimis.


Penampilan Anuar Zain mendendangkan lagu Ku Berjanji Kerna Cinta dan Cinta Harus Memiliki memukau penonton dengan suara lunaknya.


Disusuli gabungan Black bersama kumpulan Moderate menghiburkan penonton dengan beberapa lagu antaranya Sofea Jane, Kopi Dangdut dan Di Alam Fana Cinta.

Suasana dataran bertukar hangat apabila kumpulan XPDC tampil menutup tirai konsert mempersembahkan lagi popular mereka, termasuk Ntahapapantah, Semangat Yang Hilang, Di Tepi Pantai, Apa Nak Dikata, dan C.I.N.T.A.


Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar, Pengerusi Karnival Gegaria Harian Metro (KGHM) 2011 yang juga Pengarang Eksekutif (Pengeluaran), Ahmad @ Salim Bachok dan Pengarang Eksekutif (Berita), Othman Mamat.

Sementara itu, pengunjung nyata berpuas hati dengan barisan artis yang ditampilkan pada konsert berkenaan.


Isa Muda, 56, berkata, penganjuran konsert sempena KGHM itu dinantikan mereka sekeluarga yang sanggup datang dari Alor Gajah bagi menyaksikan persembahan Anuar Zain.


"Kami tiba petang tadi (kelmarin) kerana mahu menyaksikan konsert secara lebih dekat, persembahan hebat artis yang ditampilkan terutama Anuar Zain membuatkan kami tidak berganjak biarpun hujan lebat," katanya.


Sementara itu, Suria Ariffin, 38, dari Taman Sri Bertam berkata, lokasi konsert kelmarin memudahkan pengunjung.


"Pilihan lokasi tepat kerana di sini mudah meletakkan kenderaan berikutan kawasannya luas.


"Sejak tersiar laporan penganjuran konsert ini kami merancang untuk ke sini. Biar pun hujan namun ia berbaloi," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved