Isnin, 19 Disember 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Produk berkualiti, reka bentuk menarik

Posted: 19 Dec 2011 05:18 AM PST

AKHBAR lama biasanya dibuang atau dibuat kertas pembalut makanan, namun bagi kaum ibu di Kampung Janda Baik, Bentong, bahan buangan itu mempunyai nilai yang tersendiri dan boleh menghasilkan pendapatan sampingan.

Walaupun sentiasa sibuk dengan tugas menguruskan rumah tangga, kaum ibu ini masih mempunyai masa dan tenaga untuk 'melontar' idea kreatif menghasilkan produk kraf daripada kertas surat khabar, majalah, rotan dan daun mengkuang yang tidak mempunyai nilai pada pandangan sesetengah pihak.

Kesempatan penulis bertemu kumpulan 'wanita kreatif' ini sempena program Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia (KCC1M)-Pahang baru-baru ini mengungkap keunikan empunya jejari kreatif ini dalam menghasilkan bakul sampah, pasu bunga, kotak tisu, bakul telur dan bakul hiasan daripada bahan buangan ini.

Bagi memenuhi masa senggang selepas selesai urusan rumah tangga, golongan ini mengambil kesempatan berkumpul dan mengadakan kelas kraftangan dengan bimbingan tenaga pengajar Pejabat Kemajuan Masyarakat (Kemas) daerah.


Sejak lebih lima bulan lalu, wanita termasuk pelajar tidak melepaskan peluang mendapatkan bimbingan daripada 'guru' berkenaan yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar sehingga menghasilkan produk berkualiti dengan reka bentuk yang menarik.


Lebih menarik, ketika musim perkahwinan, kaum ibu ini tidak menang tangan menyiapkan bakul telur daripada surat khabar yang ditempah dalam jumlah besar, sekali gus memberi pendapatan sampingan kepada mereka.

Konsep tolong-menolong sesama jiran ini jelas 'mewarnai' kehidupan seharian mereka, malah beberapa hari dalam seminggu mereka berkumpul dan menyiapkan kerja tangan ini.

Bagi Jasmani Abdul Malik, 31, walaupun memiliki kemahiran dalam bidang jahitan, dia tetap berminat membuat produk kraftangan bagi menambah pendapatan.

Ibu kepada dua anak ini berkata, kebanyakan suri rumah kini semakin aktif menjalankan aktiviti sampingan yang dapat meningkatkan lagi pendapatan keluarga.

"Walaupun sibuk menjahit, saya curi-curi masa belajar membuat kraftangan daripada kertas surat khabar dan majalah yang selama ini dibiarkan 'berlonggok' di sudut rumah.

"Tidaklah susah mempelajarinya, malah ia tidak memerlukan modal yang besar kerana hanya menggunakan bahan asas, gunting, gam dan varnis untuk mengilatkannya supaya kelihatan menarik dan tahan lebih lama," katanya.

Jasmani berkata, walaupun produk itu kelihatan mudah untuk dihasilkan, kerja melipat dan menggulung kertas yang dililit pada lidi tetap memerlukan ketelitian bagi mengelakkan kertas yang digulung longgar, sekali gus menyebabkannya 'mudah patah'.

"Ada masanya bosan juga kerana beratus-ratus gulung kertas perlu dibuat terlebih dahulu sebelum membentuknya menjadi produk yang kita hajatkan seperti bekas pasu bunga, kotak tisu, bakul telur atau bakul kain.

"Bagaimanapun, daripada rasa bosan itulah terbitnya kepuasan kerana menghasilkan produk sendiri, malah boleh dijual pula kepada pengunjung inap desa di sini," katanya.

Katanya, keindahan kraf tangan daripada kertas akhbar lama setanding barangan yang diperbuat daripada rotan atau buluh jika kena cara pembuatannya.

"Saya melakukannya hanya untuk mengisi masa lapang. Namun siapa sangka bakul yang dihasilkan akhirnya menarik hati jiran tetangga dan mereka sama-sama ingin mempelajarinya," katanya.

Jirannya, Sarimah Mat Daud, 39, berkata, kebiasaannya mereka berkumpul pada sebelah petang selepas waktu Asar untuk berkongsi ilmu dan bertukar pendapat serta mencari kaedah meningkatkan lagi pengeluaran produk kraftangan itu.

"'Daripada duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti lain saya rasa lebih baik membuat kraftangan bakul, tempayan dan pasu daripada akhbar lama kerana bahan ini mudah diperoleh.

"Kebiasaannya, kami membuat demonstrasi kepada pengunjung inap desa dan berkumpul di rumah pemilik inap desa terbabit," katanya.

Suri rumah sepenuh masa yang juga ibu kepada enam cahaya mata ini banyak menghasilkan bakul hiasan dan bekas telur dan pernah menerima tempahan untuk majlis perkahwinan.

"Walaupun jari kebas kerana asyik melilit kertas ini untuk dijadikan gubahan, ia satu aktiviti yang menyeronokkan kerana kita dapat menggunakan idea dan kreativiti tersendiri dalam menggubah barangan yang kita minat.

"Saya harap lebih ramai kaum ibu di kampung ini menceburi aktiviti ini kerana ia boleh menjana pendapatan keluarga jika dijual kepada tetamu di sini terutama pelancong asing yang sudah pasti terpikat dengan hasil seni ini," katanya.

Menurutnya, sebuah bakul daripada kertas akhbar lama dapat disiapkan dalam masa tiga hari dan dijual pada harga antara RM12 hingga RM45 sebuah manakala tudung saji antara RM40 hingga RM50.

Bagi Siti Rose Ahmad, 52, aktiviti yang pada peringkat awalnya dilakukan secara suka-suka akhirnya menjadi sumber kewangan tambahan kepada keluarganya apabila kerap menerima tempahan daripada pihak luar.

"Pada awalnya, saya sekadar suka-suka menghasilkan barangan ini tetapi lama-kelamaan ia memberi keseronokan pada saya, tambahan pula boleh memberi keuntungan kepada keluarga.

"Biasanya pada musim perkahwinan, permintaan untuk bakul telur sangat tinggi, kadang-kadang boleh terlupa makan kerana terlalu sibuk,"' katanya.

Bercerita lebih lanjut, Siti Rose berkata, pada peringkat awal dia hanya menghasilkan barangan yang kecil kerana kurang yakin dengan kemampuan dirinya selepas belajar membuat kraf itu melalui jirannya.

"'Pada peringkat awal dulu, saya mengambil masa agak lama kadang-kadang sampai dua hari untuk menyiapkan satu bakul telur yang kecil. Tapi kini boleh menyiapkan dalam kuantiti yang banyak dalam tempoh beberapa jam saja," katanya.

Bagi pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jengka, Nur Ain Norisam, 18, aktiviti itu dapat meningkatkan kemahirannya dalam bidang kraftangan selain memenuhi masa lapangnya ketika pulang bercuti.

"Saya memang berminat dengan kerja kraftangan ini terutama daripada surat khabar dan majalah lama kerana ia adalah satu seni kreatif yang boleh menghasilkan pendapatan sampingan keluarga.

"Walaupun saya baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini, saya tidak menganggapnya sebagai satu pembaziran kertas atau masa kerana ia adalah satu kaedah menggunakan semula bahan kitar kitar semula.

"Daripada kita menjualnya kepada orang lain atau menggunakannya sebagai kertas bungkusan, lebih baik kita jadikannya sebagai produk yang mendatangkan hasil dan boleh dijual pula kepada mereka yang berminat dengan keunikan dan keasliannya," kata pelajar jurusan Diploma Sains Komputer ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Cuti sekolah masa melatih anak berdikari

Posted: 19 Dec 2011 04:48 AM PST

SEINGAT Saufi, setiap kali cuti sekolah, ibunya menghantar dia pulang ke kampung rumah neneknya di utara. Di situ, dia menghabiskan cuti sekolah sehingga cuti itu tamat sepenuhnya. Bukan hanya Saufi tetapi adik-adiknya juga begitu.

Memang seronok balik kampung kerana Saufi dapat lepas bebas ke sana ke mari tidak seperti di rumahnya yang sempit kerana dia tinggal di rumah pangsa. Dia juga sudah sebati berkawan dengan budak kampung yang juga saudara-maranya.
Berbasikal, berpanas atau merentas desa menjadi aktiviti Saufi sepanjang cuti sekolah.


Menghantar anak pulang ke kampung apabila cuti sekolah adalah fenomena biasa bagi ibu berkerjaya. Antara sebabnya, risau anak sendirian di rumah sedangkan sebelum itu masa mereka banyak dihabiskan di sekolah dan kelas agama.

Ibu bapa mengambil pendekatan menghantar anak pulang ke kampung kerana hati lebih tenang. Ada orang menjaga dan mereka tidak susah hati memikirkan makan pakai si anak.

Namun ada anak-anak yang merungut kerana sudahlah hari biasa jarang bertemu dan berkomunikasi dengan ibu bapa yang sibuk, cuti sekolah pun dihantar balik ke kampung!

Ada juga ahli keluarga nenek di kampung yang tidak senang kerana setiap kali cuti sekolah, orang tua itu akan kepenatan melayan kerenah cucu yang nakal dan manja. Menjaga kanak-kanak atau mengemas rumah yang berkecah bukanlah kerja yang mudah.

Anak-anak senasib Saufi sebenarnya boleh dihantar pulang ke kampung nenek mereka ketika cuti sekolah tetapi bukan begitu lama, mungkin hanya beberapa hari atau bagi cuti yang panjang, seminggu dua. Selebihnya mereka sepatutnya menghabiskan cuti dengan ibu bapa dan keluarga sendiri.

Waktu cuti sekolah, ibu bapa boleh memantau sikap sebenar anak sendiri. Melatih anak berdisiplin dari segi tanggungjawab terhadap keluarga dan juga terhadap Allah.

Ketika ini, ibu bapa (walaupun kedua-duanya bekerja) boleh mula melatih ciri-ciri kedewasaan kepada anak terutama sekiranya mereka sudah 11 atau 12 tahun.

Bagi ibu yang berkerjaya, tidak mendapat cuti pada cuti sekolah, apa yang boleh anda lakukan?

Cuti sekolah ini elok melatih anak sama ada lelaki atau perempuan membuat kerja asas di dapur. Ajar cara memasak nasi dan kemudian beri tanggungjawab memasak nasi kepada mereka manakala anda sendiri sebagai ibu menyediakan lauk yang ringkas sebelum pergi kerja.

Kemas rumah. Sekiranya hari biasa anak-anak anda kepenatan dengan jadual sekolah yang padat, cuti sekolah bahagi-bahagikan tugas kepada mereka untuk mop lantai, mengemas bilik dan ruang tamu atau mengganti langsir baru. Jangan bezakan anak lelaki dan perempuan. Beri tugas sama rata.

Aktiviti berfaedah tidak semestinya ke kem cuti sekolah. Anda boleh merancang aktiviti sekeluarga walaupun tidak perlu keluar rumah. Aktiviti ini tidak perlu menunggu musim hari raya. Cat baru ruang tamu bersama ayah pada hujung minggu.
Ibu pula menyediakan hidangan lazat selepas penat bekerja.

Memasak? Bukan hanya masak kek atau puding yang sesuai dijadikan aktiviti keluarga pada hujung minggu tetapi juga masakan lain. Anda juga boleh merancang majlis barbeku sekeluarga. Jika masa terhad, biarkan anak membantu menjayakannya.

Ambillah hati anak anda pada waktu cuti sekolah ini. Mungkin selama ini hubungan anda dan anak agak jauh kerana kesibukan masing-masing, gunalah cuti sekolah untuk merapatkannya kembali.

Bawa anak ke kelas pengajian agama di masjid atau surau. Dengar pengajian agama bersama-sama sama ada kuliah siang mahupun malam.

Riadah. Joging bersama-sama di taman beberapa jam pada waktu petang atau pagi pada hujung minggu sangat menyeronokkan. Bawa bekalan makanan dan selepas itu berkelah bersama-sama.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved