Isnin, 12 Disember 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Lokasi pelancongan tarik ribuan pengunjung

Posted: 12 Dec 2011 08:55 AM PST

MEMILIKI, memakai pakaian dan aksesori berjenama mahal pereka tempatan mahupun antarabangsa seperti beg tangan, kasut, cermin mata hitam dan jam tangan sehingga mencecah jutaan ringgit mungkin memberi kepuasan bagi sesetengah orang.

Ia diumpamakan pencapaian peribadi yang tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Pemilik barangan berjenama mewah pasti meletakkan koleksinya itu sama berharga seperti barang kemas.

Lantas tidak hairan jika setiap barangan atau koleksi dijaga dengan penuh kasih sayang. Barangan itu jelas sekali akan dibelai, dibersih serta ditempatkan di satu kabinet khas, apatah lagi setiap satu mempunyai kenangan tersendiri. Sayang sekiranya dibiarkan tanpa penjagaan khusus.

Dulu, kita sering dihidangkan dengan pemikiran bahawa hanya orang berada, kaya atau berstatus tinggi saja boleh memakai pakaian berjenama. Hakikatnya, tiada peraturan yang memperuntukkan individu berstatus tinggi saja layak serta perlu memakai pakaian jenama luar negara.


Jika mereka yang bergelar orang kebanyakan ini suka dan mampu memakainya, maka pakailah. Tiada siapa yang boleh menghalang.


Tidak boleh dinafikan, memang berbaloi membeli beg, pakaian atau kasut berjenama kerana kebiasaannya ia tahan lama. Justeru, memakai pakaian berjenama tidak salah selagi kita tidak berniat kurang baik seperti menunjuk-nunjuk dan meninggi diri.

Khabar gembira bagi penggemar dan pengumpul barang berjenama di dalam negara ini kerana kini, anda tidak perlu lagi ke luar negara dan berbelanja besar untuk mencari serta membeli barangan kegemaran.

Ini kerana, bagaikan bulan jatuh ke riba, bertempat di Jalan Premium Outlets, Indahpura 81000 Kulai Jaya, Johor Bahru, Johor Premium Outlets sudah dibuka untuk kunjungan orang ramai membeli pelbagai jenis berangan berjenama dengan harga yang murah.

Potongan harga serendah 25 hingga 65 peratus setiap hari pasti sesuatu yang tidak mahu dilepaskan oleh orang ramai.

Berdiri megah di atas tanah seluas 19 hektar, 80 jenama termasuk pereka tempatan dan antarabangsa 'berumah' di situ dan sedia menanti kunjungan tetamunya pada bila-bila masa.

Dengan kerjasama Genting Berhad dan Simon Property Group, ia membawa pengunjung melayari satu pengalaman membeli-belah yang tiada tolok bandingnya.

Antara jenama seperti Adidas, Nike, Armani Exchange, Burberry, Coach, Canali, Esprit, Gap, Calvin Klein, DKNY, Salvatore Ferragamo, Lacoste, Charles & Keith Reductions, Guess, Michael Kors, Fossil, Levis, Tumi, Tommy Hilfiger, Oroton, Royal Selangor, Swiss Watch Gallery, Clarks, Poney, Carlo Rino, Timberland, Bonia, Roxy, La Senza Lingerie, Polo Ralph Lauren, Puma, Quiksilver, Rip Curl, G2000 Outlet, Vincci serta Skechers menanti pengunjung dengan tangan terbuka.

Untuk pengetahuan umum, Johor Premium Outlets adalah rangkaian outlet yang pertama di Asia Tenggara dan ke-70 yang dibuka selepas 68 Premium Outlets bertapak di Amerika Syarikat, satu di Puerto Rico, lapan di Jepun, dua di Korea Selatan dan satu di Mexico.

Pengarah Urusan Genting Simon Sdn Bhd, Jean Marie berkata, dengan kemudahan tempat letak kereta yang luas dan pengangkutan awam yang bakal keluar masuk menghubungkan empat laluan di beberapa kawasan Johor ke Johor Premium Outlets, ia tidak menghalang pelancong apatah lagi penduduk tempatan membeli-belah di situ.

"Terdapat lebih 2,600 tempat letak kereta disediakan di sini. Bas pelancong yang membawa penumpang pula diberikan keistimewaan dengan penyediaan kawasan memberhentikan kenderaan mereka agar berasa lebih selesa.

"Johor Premium Outlets juga bakal menjadi salah satu lokasi pelancongan yang akan menarik ribuan pelancong dari luar negara untuk membeli-belah di sini. Buat sementara waktu ini, kami menerima ramai pelancong dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.

"Lokasinya yang terletak kira-kira satu jam dari Singapura dan tiga jam dari pusat bandar raya Kuala Lumpur diyakini tidak terlalu menyukarkan pengunjung untuk berkunjung ke sini. Bagi memudahkan perjalanan, mereka juga boleh menggunakan pengangkutan udara dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang terletak berhampiran," katanya.

Bayangkan, dengan RM150, anda dapat membeli jam tangan berjenama Fossil, dompetnya pula boleh dimiliki bermula daripada harga RM50 manakala beg tangan kulitnya pada harga RM200.

Nike dan Adidas juga tidak kurang hebat menawarkan promosi durian runtuh sehingga 70 peratus potongan harga. Kasut dan pakaian sukannya pula boleh dibawa pulang bermula pada harga RM54.

Jenama lain juga meniru cara mereka tetapi jangan cepat patah hati sekiranya anda mendapati barangan daripada jenama seperti DKNY, Coach, Armani Exchange dan Salvatore Ferragamo walaupun menawarkan diskaun sehingga 50 peratus, namun boleh dikatakan masih berada di paras sederhana.

Walaupun himpunan barangan yang dijual di situ terdiri daripada koleksi musim lalu, ia tetap berbaloi kerana harga yang ditawarkan setiap jenama itu sendiri cukup murah dan memuaskan hati pengunjung.

Menurut Marie, pihaknya sentiasa bersikap terbuka untuk menerima kemasukan jenama lain yang sudi dan ia sesuatu yang amat dialu-alukan.

"Mengikut penelitian saya, Johor Premium Outlets dibina di lokasi yang strategik dan selamat kerana kami menyediakan pasukan keselamatan dan polis peronda terbaik di sini. Tempat ini juga turut dipasang dan dilindungi kamera litar tertutup (CCTV).

"Mengenai pemilihan kedai dan tawaran harga yang diberi, kami mencuba sedaya upaya menarik sebanyak mungkin jenama antarabangsa dan walaupun masih belum dapat menyaingi Premium Outlets yang lain, kita seharusnya gembira dan cubaan mendapatkan lebih banyak lagi kedai berjenama akan diteruskan untuk fasa seterusnya," katanya.

Bagi ayah kepada dua cahaya mata, Moo Way Shyang, 38, pembukaan Johor Premium Outlets ini ibarat satu bonus kepada rakyat Malaysia.

"Seperti orang ramai yang pasti menjangkakan tawaran harga atau promosi luar biasa di sini, saya juga begitu kerana tidak mahu ketinggalan membelanjakan sedikit duit untuk diri sendiri dan keluarga.

"Saya amat meminati jenama Mont Blanc dan walaupun jenama itu tidak ditawarkan di sini, saya tetap berpuas hati. Bagaimanapun, mungkin selepas ini pihak pengurusan boleh membuat promosi mengenai tempat ini dengan lebih meluas lagi kerana rasanya, belum ramai yang mengetahui kewujudannya," kata pengumpul kasut dan pen jenama Mont Blanc ini.

Sementara itu, eksekutif jualan, Nor Hafiza Abdul Wahid, 30, pula berpendapat tawaran harga yang diberi cukup memuaskan hatinya dan tidak perlu lagi ke Singapura seperti sebelum ini untuk membeli beg tangan berjenama dengan harga yang murah.

Peminat jenama Coach, Longchamp, Stuart Weitzman dan Michael Kors ini juga tidak kisah berbelanja lebih demi kepuasan hatinya memiliki beg yang digemari.

Jadi, apa tunggu lagi, curilah sedikit masa untuk berkunjung ke Johor Premium Outlets dan rasai sendiri pengalaman membeli-belah di dalam satu kawasan elit dengan semua kemudahan tersedia. Ia dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Untuk maklumat lanjut, layari www.premiumoutlets.com.my.

Full content generated by Get Full RSS.

Novel Bersiri (Siri 19) - Istikharah Sang Perindu: Kasih Sayang Besar, Jadikan Jiwa Manusia Besar

Posted: 12 Dec 2011 08:09 AM PST

AKU rasa bersyukur amat sangat. Tidak sangka, kata-kata aku yang agak kurang ajar tempoh hari rupa-rupanya memberikan kesan yang besar dalam hati sanubari Kak Zura. Kesan untuk berubah. Kesan untuk rasa bersalah. Kesan untuk dia rasa, apa yang dia lakukan, apa yang dia fikiran selama ini tidak ada nilai langsung. Nilai menjadi anak solehah, nilai menjadi hamba Allah. Kesan untuk dia menilai, berapa harga nilai dan perasaan hatinya.

Bersyukur sangat, Allah jadikan aku macam aku. Manusia tahan telinga dan tahan hati. Tahan menanggung apa saja kerenah manusia yang Allah amanahkan. Kalau aku boleh cakap apa sahaja tentang perangai buruk orang, aku kena terima apa sahaja orang cakap perangai buruk aku. Falsafah aku, belasah saja! Jadikan aku kuat, bersemangat dan bertenaga.

Syukurlah telinga dan hati aku tahan uji. Kena hentam apa pun, susah untuk tercalar, pecah dan hancur apatah lagi. Sememangnya tidak. Insya-Allah.

Benarlah kata orang, kalau kita bercakap ikhlas dengan jiwa, orang yang mendengar juga akan mendengar dengan ikhlas dan dengan jiwa. Memang kata-kata aku agak tidak sedap didengar waktu itu, tapi itulah luahan jiwaku untuk aku kembalikan dia kepada ibu. Dan kata-kata itu lahir dari hati sanubari aku yang sangat sayangkan ibu. Aku yakin, perasaan sayangkan ibu itu jadi perisai dan jadi bala tentera yang kuat untuk melindungi dan mempertahankan aku dari mendapat bala dan memberi bala kepada orang lain.


Aku yakin, kalau aku berlemah lembut memujuk dia, dia akan jadi semakin besar kepala dan semakin ego, semakin rasa tindakan dia betul dan semakin terasa konon-kononnya betapa bernilainya dia dalam keluarga, membuatkan dia fikir dia boleh buat apa yang dia suka. Dia ingat, semakin orang tercari-cari dia, semakin dia boleh mempermain-mainkan perasaan orang. Dia ingat dia siapa? Sampai aku terkejar-kejar mahu dapatkan dia. Dia ingat tindakan dan idea yang dia lahirkan itu bagus sangat. Kirim salam!


Minta maaflah, memujuk itu bukan cara aku. Aku tak ada masa nak pujuk rayu orang, lebih-lebih manusia yang tidak ada perasaan dan akal macam Kak Zura. Dia memang ada hati, tapi sayangnya tak ada perasaan. Dia memang ada otak, ada minda yang hebat, tapi tak ada akal. Tak ada maknanya!

Mindanya hanya ikut buku yang dia baca sebab itulah dia tersangat bijak untuk menjadi pengaturcara komputer. Sayangnya tidak ada akal untuk programkan akal dan perasaan dia untuk menghasilkan satu produk diri yang dipanggil akal budi dan budi pekerti mulia untuk menjadi insan yang mulia.

Ibu itu keramat hidup. Semakin dia jauhkan diri dari ibu, semakin jauh dia dari keramat hidupnya sendiri. Hish, memang tidak bijak, memang bodoh membuang keramat dalam hidup. Membuang barakah, membuang nilai yang sangat berharga yang Allah beri. Bukannya payah pun, sayang saja ibu dan jaga ibu sepenuh hati, dengan penuh kasih dan sayang. Bukan perlu bayar satu sen pun. Iyalah, agaknya sebab dia rasa menyayangi dan menjaga ibu itu tidak diletakkan ada harga, dia rasa semuanya itu tidak ada harga dan tidak perlu hadir dalam hidup dia.

Ah, sekarang apa yang dia dapat? Allah Maha Kaya. Allah Maha Pemurah. Allah Maha Adil dan hanya Allah tempat berlindung dan Allah sebaik-baik penolong.

Bukan aku nak menyorakkan malang yang menimpa hidupnya, tetapi itulah kenyataan yang dia kena terima dan ambil iktibar dan kenyataan yang aku juga kena terima dan kena ambil iktibar. Ibu tidak boleh dibuat main-main, Rasulullah sendiri berpesan, kita kena taat kepada Allah, kepada Rasul dan kepada ibu, kepada ibu dan kepada ibu.

Bukannya dia tidak tahu pesan keramat Rasulullah itu, tapi dia sengaja membiarkan rasa pesona pada cintanya yang entah apa-apa itu menguasai seluruh hati dan perasaannya. Akibatnya dia lupa pesan yang nenek pasakkan ke telinga aku, ke telinga dia dan ke telinga Abang Farhan. Suara yang masuk ke dalam lubang telinganya suara yang serupa, suara nenek yang itu juga, tetapi suara dan pesan nenek itu melekat masuk ke sanubari aku? Kata dan pesan nenek yang itu juga, tetapi tidak sempat singgah dalam akal sanubarinya, entah ke manalah dicicirkannya. Hairan juga aku.

Hairan tak hairan aku tetap bersyukur kerana kata-kata aku yang kasar, pedas dan menikam itu masuk juga ke hulu jantung hatinya. Itu saja yang boleh buatkan dia insaf. Padan muka dia, aku tahu, kalau ibu dengar aku marahkan Kak Zura, begitu kurang ajar, aku tidak pasti, ibu akan maafkan aku atau tidak sebab marahkan anak kesayangannya sebegitu rupa.

Kak Ika sudah meninggalkan kondominium Kak Zura. Dia ada temu janji untuk memberi ceramah di Universiti Sains dan Seni Negara; USSN. Ayat-ayat terakhir Kak Zura dari layar iPad aku, aku ulangi lagi; "Tolong aku, Fikah. Aku takut. Tolong aku."

Dia peluk Kak Ika semakin erat. Dia menangis tersedu-sedu, di atas bahu Kak Ika.

"Kondo ini aku sewa dah lama, dah lebih setahun. Bila tertekan aku balik sini. Aku sengaja rahsiakan dari kau. Tapi kata-kata Jehan hari tu, buatkan aku insaf. Aku malu pada Jehan, Fikah. Aku kasihan sangat pada dia. Sampai hati aku buat dia macam tu. Banyak perkara yang dia kena buat dan kena tanggung. Entahlah Fikah, sejak berjumpa dia hari itu, aku selalu rindukan dia."

Alhamdulillah. Kejayaan itu buatkan aku terus buang rasa bosan, buang rasa kecewa, buang rasa tidak bersemangat dan buang perasaan takut mencuba, buang rasa rendah diri, buang rasa tersinggung, buang rasa banyak masalah, buang bayangan dalam minda dan lenyapkan perasaan gagal di dalam hidup. Aku hapuskan semuanya di dalam setiap penjuru kehidupanku.

Kejayaan membuat Kak Zura sedar dan berubah itu aku semakin yakin untuk berusaha meningkatkan daya potensi otak untuk menjadi pemikir hebat. Pemikir yang banyak belajar dari alam sekitaran. Aku yakin alam persekitaran yang menggalakkan menjadi faktor utama untuk aku berani berimpian dan berani berusaha untuk mencapai apa sahaja kejayaan dan kecemerlangan menjalani kehidupan ini dengan lebih bergaya dan bermakna.

Alhamdulillah aku semakin jadi berani dan semakin jadi bersemangat. Berani rasa tercabar. Berani berfikiran terbuka, berani memotivasikan diri dan meningkatkan kecemerlangan diri. Berani merasakan keberanian, berani mencuba, berani akan menghasilkan keyakinan akan membuang perasaan rendah diri.

Terdengar pintu bilikku diketuk dan dibuka. Ibu masuk ke bilik, aku terkejut. Di iPad, wajah Kak Ika masih berkembang di layar. Aku ingin mematikan suis, tak sempat, dadaku berdebar satu macam. Mujur tanganku pantas terbalikkan iPad itu.

"Buat apa dalam bilik seorang-seorang ni Jehan. Mana Olin?" Nafas ibu berat dan berbunyi; wheezing!

Melihat wajah ibu yang mendung, suara ibu yang payah tetapi masih tenang dan tidak berdosa itu hatiku bagai dilapah-lapah. Saat ini aku rasa bagai mahu melapah hati Kak Zura. Antara marah, pilu dan sakit hati, melapah-lapah hati.

"Gambar apa tadi yang Jehan tengok?" Ibu nampak lelah dan duduk di birai katil.
Ada darah merah yang hangat di cuping hatiku. Dadak sebak. Hampir sahaja air mata mengalir ke pipi. Aku istighfar dalam hati.

Ibu nampak pucat dan nafasnya berbunyi lagi. Aku pujuk ibu ke hospital. Asma menyerang lagi saluran pernafasannya, barangkali sebab hujan dan panas yang tidak menentu, melanda bumi Parit Bunga Kenanga kini.

Seminggu aku jaga ibu di hospital. Kak Ika baru pulang semalam. Kak Zura masih tidak nampak batang hidung. Sudah beratus kali aku hubungi dia. Nada bunyi ada, suara manusia yang hidup tak ada. Yang ada hanya suara dalam peti surat fon bimbitnya. Sahlah, suara yang empunya fon itu sudah mati. Kalau bukan tubuh badannya yang mati, tentu sahaja yang ada dalam tubuh badan itu yang mati; perasaan dan fikirannya. Ya, perasaan dan fikirannya sudah mati.

Kalau aku beritahu ibu yang aku sudah isytiharkan kematian hati dan akal, perasaan dan fikiran anak kesayangannya itu, tentu ibu berkabung empat puluh hari empat puluh malam dan menangis empat tahun tidak berhenti-henti. Hish, geram betul aku.

Rasanya mahu aku campak sahaja fon tangannya dalam longkang. Kalau setakat mahu berikan fon dan nombor, lebih baik jangan beri. Lebih baik beri aku seekor bapak badak dua tan, ada juga faedahnya. Bila terjadi perkara yang menyakitkan hati macam ini, boleh juga aku aku suruh bapak badak itu cari dan serang dia.

Ibu masih di wad perubatan. Wad itu tidak pernah tenang. Seperti hati aku yang hangat, sakit hati, fikirkan perangai Kak Zura dan Abang Farhan yang tidak berhati perut. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku buat laporan polis tentang kehilangan dia atau mengadu di penerbit TV, masuk rancangan Jejak Kasih. Suruh ibu curahkan perasaan hati yang ditanggungnya selama ini. Suruh ibu menangis hiba, merayu-rayu menyuruh Kak Zura dan Abang Farhan pulang.

Tapi, nanti heboh pula satu kampung. Maut aku kena amuk Pak Long. Hish, payahnya mahu berurusan dengan manusia-manusia yang tidak ada hati. Setakat ada perut, ada tulang, ada gigi, ada kaki, ada kuku, baik jangan jadi manusia.
Bujang Senang dalam sungai Sarawak pun ada semuanya. Hem, setakat mahu hidup, lebih baik jadi Bujang Senang, ada juga faedahnya. Boleh juga buat daya tarikan pelancong.

"Alhamdulillah, kau dah semakin sihat. Doktor kata, sehari dua lagi boleh baik. Iyalah Mariam, tekanan darah kau dah turun, hari tu, masa mula-mula masuk, tinggi betul."

Aku dengarkan saja suara Mak Long yang lembut tenang itu. Sejuk rasa hati. Itu suara bidadari. Sepatutnya bidadari bermata redup itu tinggal bersama bidadara yang pelindung dan penyayang. Tetapi kenapalah dia diberikan jodoh bersama imam tua yang degil dan keras hati itu?

Agaknya, barangkali sebab dia terlalu sabar. Kesabaran itulah perangai abadi seorang bidadari. Kalaulah dia panas baran macam aku? Sah, dia tidak boleh jadi bidaberduri. Aku ini bidaberdurikah?

Wajah Kak Zura dan Abang Farhan datang lagi dalam fikiran. Marah aku sudah sampai ke tahap bagan. Melihat keadaan ibu, marah aku sampai ke langit. Aku rasa mahu rentap tangan kedua makhluk yang tidak berperasaan itu dan heret mereka ke sini. Tapi mereka di mana?

Dalam paya Amazonkah? Berguling-guling bersama anakonda? Atau di Afrikakah, menerkam bersama singa dan harimau bintang?

Assalamualaikum bakat, kudrat, kesungguhan, cabaran, kehebatan, kejayaan dan kekayaan. Assalamualaikum nota-nota di minda segar. Assalamualaikum suara hati. Assalamualaikum kejayaan-kejayaan yang pernah diraih. Assalamualaikum sabar jujur dan telus. Teruskan perjuangan walaupun sederita manapun, kerana derita sengsara itu nikmat. Ubat untuk menjadi insan kuat.

Terima kasih Allah. Hadiahkan bakat yang jadi amanah. Amanah untuk mengimzrakan apa bakat yang Allah kurniakan ke jalan kebaikan untuk mencari reda Allah. Bakat untuk menulis, semoga hasil tulisan dimarahkan ke arah kebaikan dan memberi manfaat kepada seramai-ramai pembaca.

Bakat untuk memberi ceramah, semoga apa yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada seramai-ramai pendengar. Dan pelbagai lagi bakat amanah Allah untuk disempurnakan sebaik dan semulia mungkin. Semoga ia dapat dijadikan pencen kubur, apabila kita dijemput untuk ke sana nanti.

Insya-Allah.

Tiba-tiba kata-kata dalam buku motivasi Kak Ika, Terima Kasih Allah berkembang dalam layar fikir. Hati dan fikiran aku terhanyut mendengar kata-kata itu diulang baca oleh sanubari aku sendiri yang mahu aku jadi manusia penyabar.

"Tadi tekanan darah aku terasa mula meninggi, sakit hati yang bukan kepalang teringatkan Kak Zura."

"Kalau nak bandingkan nasib aku dengan kau, aku lebih teruk lagi, Mariam. Tapi itu kan pilihan dan keputusan Allah, kenapalah kau nak fikirkan sangat kerja Allah, kerja kau dah sempurna semuanyakah?" Mujur suara Mak Long jadi penawar. Kalau tidak, tentu ibu boleh pulang, aku yang masuk wad sebab darah tinggi.

"Mujur saya tak dapat angin ahmar. Kalau tidak lumpuh badan saya. Tak dapatlah saya ke Makkah tahun depan."

Suara ibu yang lemah dan rawan, buatkan hati aku cair. Rasa bersalah pula marahkan anak-anak kesayangannya yang tidak-tidak tadi. Siapapun mereka, aku kena terima, aku tidak dapat menolak kenyataan, mereka adalah anak-anak kesayangan ibu.

"Ambil pelajaran." Pak Long yang sedang baca surat akhbar, letakkan surat khabar di atas almari kecil di hujung kanan katil di bahagian kepala ibu. "Kalau ada masalah berat macam mana pun, jangan runsing. Banyakkan istighfar, banyak baca Quran, berzikir, banyakkan solat sunat. Dekatkan diri dengan Allah."

"Iyalah Mariam, semua yang Abang Long kau cakapkan tu, betul. Itu semua ubat untuk tenangkan jiwa." Mak Long duduk di hujung kaki ibu. Dia membelek sebakul bunga dan buah-buahan di atas meja makan di hujung katil ibu. "Hemm, cantik bunga ni, siapa yang beri?"

Ibu pandang aku seketika. Muka ibu jadi serba salah. Ibu jeling Pak Long. Aku tahu, ibu takut mahu beritahu, sebakul bunga dan buah-buahan itu dari Kak Ika. Kak Ika, Dr Syafikah Mustakim, anak perempuan Pak Long, imam masjid Parit Bunga Kenanga, yang sudah Pak Long buangnya selama lima belas tahun.

"Kak Ika yang beri." Tidak ada masa aku mahu jaga hati dan perasaan Pak Long.
Sampai bila aku kena jadi manusia hipokrit. Aku mahu Pak Long terima hakikat yang Kak Ika memang anak yang patut dikasihi dan hargai.

"Pak Long nak makan ciku atau mangga Pakistan? Kalau nak Jehan kupaskan? Banyak buah-buah yang Kak Ika beri ini. Siapa yang nak makan, kalau bukan ibu, Mak Long dan Pak Long. Jangan membazir. Berdosa. Membazir itu perbuatan syaitan. Kan Pak Long?" Aku pandang muka Pak Long, selamba.

Dalam hati aku rasa puas. Puas dapat kenakan Pak Long, sehingga Pak Long tergamam, tidak tahu mahu kata iya atau tidak. Kalau kata ia pun dia kena, kalau kata tidak, lagilah dia kena.

Muka Pak Long berubah serta-merta. Aku nampak Mak Long dan ibu pandang aku dengan muka ngeri.

"Tak baik tolak rezeki Pak Long. Tak bersyukur atas rahmat dan nikmat Allah namanya." Aku jeling Pak Long seketika, muka Pak Long jadi biru, hijau, kelabu, kuning dan segala macam warna yang ada di muka bumi ini.

Aku rasa mahu menjerit beritahu semua orang kampung yang aku sudah berjaya buatkan Pak Long rasa bersalah, berjaya buatkan Pak Long rasa apa yang dilakukan selama ini adalah pekerjaan yang paling bodoh.

Bodoh tidak mahu menerima anak sehebat, sesempurna Kak Ika. Aku kupaskan tiga biji ciku madu dan sebiji mangga Pakistan yang sedap lemak manis tidak terkira itu. Aku basuh dan hiriskan masukkan ke dalam piring. Aku hulurkan pada Pak Long. "Terimalah hadiah dari Allah yang dihulurkan dari tangan Kak Ika."

Pak Long pandang muka aku. Muka warna-warninya jadi tidak berdarah. Matanya tajam menikam. Aku tersenyum. Peduli apa aku, tajam manalah pandangan mata Pak Long itu kalau nak dibandingkan dengan lembing Awang yang pulang ke Dayang. Ada juga faedahnya kalau aku nak rasa ngeri.

"Ambillah, jangan sampai nanti Allah tarik rezeki Pak Long." Aku gunakan peluang yang terbuka luas untuk kenakan Pak Long cukup-cukup.

Pak Long pandang lagi mukaku. Semakin tajam, semakin menikam. Aku rasa amanah dan tanggungjawab yang aku tanggung ini umpama seberat menyandang senjata. Kalau askar susun strategi untuk menjaga keamanan negara, aku susun strategi untuk menjaga keluarga aku. Kalau askar gunakan segala ilmu mengendalikan senjata, menyusun strategi serangan dan pertahanan, penuh di dada untuk mempertahankan Malaysia dari serangan musuh, aku gunakan tanggungjawab ini untuk menjaga keamanan dan memberi kesejahteraan minda dan jiwa seisi keluarga kami, terutama kepada tiga manusia pembuat masalah; Kak Zura, Abang Farhan dan yang sedang berlibang libau dan berwarna-warni mukanya di hadapanku kini; Pak Longku.

Pak Longku seorang ditaktor. Aku tepuk bahu Pak Long.

"Jangan marah-marah, nanti masuk wad, dapat darah tinggi. Banyakkan istighfar. Marah itu dari api, api itu dari syaitan. Padamkan api itu dengan air yang ada dalam buah-buahan ini."

Aku ambil sehiris ciku dan suruh Pak Long ngangakan mulut. Aku suapkan ke mulut Pak Long. "Sedapkan? Nak lagi?"

Bagaikan ada kuasa besi berani Pak Long ngangakan mulut dan habis sepiring ciku madu dan mangga Pakistan aku suapkan ke mulutnya. Mak Long dan ibu terkaku pandang aku. Mulut mereka terlopong. Mereka benar-benar tidak sangka adegan yang tidak dapat mereka bayangkan itu mereka saksikan dengan mata dan kepala mereka sendiri. Adegan yang sahih bukan rakaman atau mainan kamera.

Aku tersenyum puas dan kupaskan dan hiriskan tiga lagi biji ciku madu dan sebiji mangga Pakistan untuk Mak Long dan ibu.

Apakah Pak Long akan berubah? Apakah Pak Long akan terima Kak Ika kembali? Aku berdoa dalam manisnya ciku kiriman Kak Ika. Kasih sayang yang besar jadikan jiwa manusia besar. Sayangnya tidak ramai yang memilikinya. Alam semesta ini terbina lahir dari kasih sayang Allah yang besar kepada makhluk-makhluk dan hamba-hamba-Nya.

Kasih sayang menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Kasih sayang membakar sifat-sifat mazmumah. Kerana kasih sayanglah, kita gantungkan seluruh pengharapan dalam hidup ini hanya kepada Allah. Kerana kasih sayang kita jadikan Rasulullah contoh teladan yang tiada bandingan.

Kerana kasih sayang kita sentiasa rindu mahu menatap wajah ibu dan ayah ketika hidupnya dan mendoakan kebahagiaan hidupnya di akhirat ketika abadinya mereka di alam barzah.

Kerana kasih sayang kita berusaha menjadi adik beradik yang sentiasa mengukuhkan silaturahim di mana sahaja kita berada. Kerana kasih sayang kita sentiasa mahu memberi kepada sesiapa sahaja yang kita sayangi, suami isteri, anak-anak, ipar-duai, kawan-kawan, pekerja-pekerja dan sesiapa sahaja tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Kerana kasih sayang kita sentiasa berusaha mencari kehidupan yang bermaruah, bermanfaat dan sesempurna mungkin. Terima kasih Allah berikan aku rasa kasih sayang yang besar ini.

Olin masuk memimpin tangan nenek. Aku rasa nak menitik air mata, melihat kasih sayang yang terjalin hebat antara mereka. Dari jauh Olin tersenyum pandang aku. Tersenyum manis, manis yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Olin hulurkan sesuatu pada aku. Dadaku bergetar. Getaran apakah itu?

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved