PRESIDEN Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latif Mohd Rosli, meminta semua persatuan ahli Gafim memberi masa serta peluang kepada exco tertinggi dan presiden baru membuktikan kemampuan mereka.
Ini kerana jawatan baru diambil alih tidak sampai dua minggu, tetapi kewibawaan gabungan terbabit sudah diperlekehkan. Ia gara-gara Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menuduh presiden baru membeli undi dan rasa kurang senang pihak berkenaan berhubung pengendalian kewangan Gafim tidak terurus dengan baik.
Jurey berkata, pihaknya mengadakan sidang media tergempar bagi menjawab isu dibangkitkan mengenai pelantikan presiden dan exco baru serta isu penarikan PFM dari Gafim.
"Saya agak tertekan dengan pelbagai tuduhan dilemparkan PFM sejak menyandang jawatan presiden Gafim pada 17 Julai lalu. PFM mendakwa saya, calon presiden membeli undi sebelum pemilihan presiden dibuat. PFM boleh membawa isu itu kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) jika dirasakan ia berasas.
"Saya bekerja seikhlas hati sekalipun jawatan disandang tidak dibayar gaji. Apa mahu dibuat adalah memberi sumbangan terbaik demi pembangunan dan kemajuan filem tempatan.
"Malah, setiausaha kehormat PFM, Norman Abdul Halim menerusi surat dihantar mendakwa pengurusan kewangan Gafim tidak diurus dengan baik. Tidak tahu sama ada tuduhan ditujukan kepada exco sebelum ini atau exco baru sekarang," katanya.
Hadir sama, timbalan presiden, Yoki Chin, naib presiden, Khir Mohd Noor, setiausaha agung, Yusuf Kelana dan bekas presiden Gafim, Ahmad Puad Onah.
Jurey kesal apabila ada pihak mempertikaikan kreadibilitinya untuk menyandang jawatan presiden kerana bukan dari kalangan penerbit filem. Katanya, dia pernah bekerja di Tayangan Unggul/Astro Shaw dari 1997 hingga 2001 selama empat tahun lapan bulan sebagai penerbit penyelaras kanan dan pernah terbitkan empat filem, Nafas Cinta, Sara, KL Menjerit dan Idola.
"Selaku penerbit filem Paloh pada 2002, saya menang lapan anugerah FFM14.
Sebelum itu filem KL Menjerit menang Filem Terbaik FFM13 dan itu tidak termasuk banyak anugerah lain lagi.
"Dengan jawatan sedia ada, saya tawar diri bertanding presiden mengikut segala perlembagaan Gafim dan mendapat undi majoriti tujuh persatuan di bawah Gafim.
"Jadi, saya tidak faham mengapa Norman mengatakan saya bukan orang filem.
Sewaktu saya buat filem Paloh dan menang anugerah FFM bersama Tayangan Unggul/Astro Shaw pada 1997, Norman pun belum buat filem lagi.
"Saya pernah mengedar filem dan mengarah beratus-ratus drama televisyen. Perlu diingatkan, industri televisyen bernilai lebih RM2 bilion berbanding filem Malaysia tidak sampai RM100 juta," katanya.
Jurey yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) tidak faham apa sebabnya PFM menidakkan dirinya dan tidak memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kepimpinan.
"Apa salahnya ada pemimpin baru bekerja demi sebuah industri? Lebih-lebih lagi, Gafim diamanahkan untuk penganjuran Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) dengan tujuan hendak meraikan pengeluar filem bukan penerbit televisyen. Kenapa hendak bangkit isu begini? Jika FFM24 gagal, adakah mereka bertepuk tangan atau mahu melihat Gafim gagal?
"Mengapa tidak mahu bekerjasama membantu menjayakan FFM24 dengan Gafim sedangkan pada masa sama, saya sebagai presiden perlu pula menjawab pelbagai isu remeh-temeh.
"Malah, ada penaja berminat untuk turut serta dalam FFM24 tetapi menarik diri berikutan tohmahan negatif dilemparkan kepada Gafim," katanya.
Katanya, Gafim tidak memerlukan orang tengah menyelesaikan kemelut ini. Lebih baik bersemuka dan berbincang lagipun bersempena Ramadan yang mulia.
"Saya tidak ada dendam kerana bekerja penuh ikhlas dan mahu melihat FFM24, Gafim dan semua persatuan gabungan bergerak ke hadapan," katanya.
Pada sidang media sama, Puad yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), menerangkan mengenai kedudukan pengurusan kewangan Gafim dan turut menafikan dakwaan Mmengatakan memegang jawatan presiden Gafim selama dua penggal.
"Saya menjadi presiden satu penggal selama tiga tahun. Sebagaimana semua orang tahu, Gafim sebuah badan payung mempunyai 11 persatuan karyawan di bawah Gafim selaku badan induk.
"Sebagai badan induk, Gafim tidak banyak menjalankan aktiviti sebaliknya cuma merestui pelbagai aktiviti dijalankan ahli persatuan di bawahnya. Gafim bukanlah persatuan mempunyai wang berjuta atau beratus ribu ringgit. Punca pendapatan adalah yuran ahli sebanyak RM200 bagi sebuah persatuan dan dana pentadbiran persatuan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebanyak antara RM20,000 hingga RM30,000 setahun.
"Dari segi perbelanjaan gaji seorang setiausaha kerja sekitar RM1,200, sewa pejabat RM200 kerana mendapat rebat Finas selain bil elektrik dan bil fotostat.
Jadi, saya tidak faham daripada mana datangnya dakwaan salah guna wang, perbelanjaan tidak betul dan tidak terurus.
"Saya sangkal Gafim berbelanja atau menyalahgunakan wang untuk beli atau buat projek besar. Persatuan ada dana dan pengurusan wang mereka sendiri," katanya.
Khir pula selaku ahli penasihat Finas dan naib presiden Majica berkata, tidak perlu tuding juri mencari salah siapa. Katanya, kalau hendak beri komen, berilah masa lagi enam bulan kerana baru mengambil alih daripada saf lama tidak sampai dua minggu.
"Kami mendapat persetujuan meja bulat hasil perbincangan bukan sesuka hati.
Jika PFM hendak buat tuduhan, adakah ditujukan kepada exco sekarang atau sebelum ini?
"Saya rasa cukuplah memburukkan Gafim memandangkan banyak tugas besar perlu dilakukan terutamanya menjayakan FFM24. Kewangan sangat sensitif dan perlu dihentikan.
"Semuanya berpunca hanya kerana pemilihan exco baru. Sebelum ini, tidak pernah berlaku dalam pemilihan. Kita tidak perlu memanjangkan isu ini kerana yang rugi dalam jangka panjang adalah penerbit sendiri," katanya.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.