BIARPUN pernah menafikan hubungan mereka tidak membabitkan soal hati mahupun perasaan dan hanya sekadar teman rapat, perkara itu masih sukar untuk dipercayai wartawan serta peminat.
Masalahnya, apa juga yang berlaku ke atas Rozita Abu Bakar atau Rozita Che Wan, 39, pasti juara Akademi Fantasia 8 (AF8), Shahir akan tahu dan begitulah sebaliknya.
Lumrahnya, hanya mereka yang ada hubungan istimewa saja akan tahu apa saja perkara yang berlaku kepada pasangannya kecuali kalau antara mereka cuba merahsiakan sesuatu dek takut ada yang cemburu atau sudah curang.
Jika benar Shahir dan Rozita tiada perasaan cinta, masakan pelakon utama filem 4 Madu itu tahu apa yang berlaku kepada sahabatnya itu yang mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia seni buat sementara.
Sewaktu ditemui pada majlis pelancaran saluran baru dan program menarik sempena musim perayaan anjuran Astro di Restoran Saloma, baru-baru ini, pelakon jelita itu menjelaskan Shahir tidak akan meninggalkan dunia seni sebaliknya membuat keputusan untuk berehat buat seketika saja.
Rozita baru saja pulang dari menunaikan umrah pada 14 Ramadan lalu menjelaskan bahawa Shahir ada memberitahu sebab utama mengapa dia mengambil keputusan terbabit.
"Bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini, keputusan bersara itu tidak benar. Perkara itu timbul akibat salah faham. Shahir hanya berehat dan perlukan masa untuk menenangkan diri. Masa yang diambil juga tidak panjang kira-kira dua bulan hingga enam bulan.
"Pada saya sendiri secara peribadi artis berehat panjang bukan masalah besar. Perkara itu biasa dilakukan orang lain sebelum ini termasuk saya dan tidak sepatutnya ia dijadikan isu panas," katanya.
Tambah Rozita, sebagai manusia kita hanya mampu merancang tetapi segala ditentukan Allah s.w.t. Mengambil contoh dirinya sendiri yang sebelum ini pernah mengambil keputusan sama, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Sebaik dia mengumumkan mahu bersara, tawaran berlakon datang mencurah-curah sehingga tidak dapat menolaknya. Apatah lagi sebagai pelakon dia berpeluang melakonkan watak penuh mencabar.
Rozita turut menafikan apa yang dilakukan Shahir itu adalah atas nasihat dan tunjuk ajarnya, sebaliknya ia datang daripada diri penyanyi lagu Luar Biasa itu sendiri. Malah, pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah itu sudah pun dimaklumkan Shahir sendiri sebab mengapa dia berbuat demikian.
Didesak apakah punca yang menyebabkan jejaka berasal dari Ipoh, Perak itu membuat keputusan itu seperti apa yang diberitahu kepadanya, kata Rozita biarlah ia menjadi rahsia antara mereka berdua.
"Saya tak boleh beritahu kepada media kerana ini amanah. Bagaimanapun, apa yang boleh saya katakan, berilah dia (Shahir) masa. Apa juga keputusan yang diambil adalah haknya. Sebagai teman rapat, saya akan memberikan sokongan.
"Bukan itu saja, kita juga perlu menghormati keputusan dibuat. Kalau benar pun ia berkaitan dengan masalah dihadapi, kita tidak boleh mendesak. Cerita sebelum ini yang digembar-gemburkan membabitkan keputusan dibuat Shahir dilihat memang sangat menekan, jadi atas alasan itu saya nasihatkan agar semua pihak memberikan ruang kepada Shahir," katanya.
Sewaktu menghadiri majlis diadakan Rozita seperti biasa kelihatan begitu cantik dengan penampilan serba hitam. Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian hadirin apabila dia tampil menutup rambut. Adakah ia menjadi petanda bahawa pelakon Kiah Beraya dan akan disiarkan di Astro Warna Aidilfitri nanti akan berhijrah dan sekali gus bertudung?
"Owh... saya bertudung ini disebabkan mahu menghormati keadaan memandangkan semalam (14 Ogos) saya barunya pulang dari menunaikan umrah. Bagaimanapun, sebenarnya susah untuk saya terus kekal bertudung kerana tuntutan kerja. Seperti minggu hadapan saya akan kembali ke lokasi dan watak dipegang tidak begitu mengizinkan.
"Bagaimanapun, insya-Allah kalau tiba masa dan izin-Nya pasti saya akan bertudung juga nanti. Waktu sama saya mengharapkan peminat mendoakan yang terbaik untuk saya," katanya.
Bercerita mengenai ibadat umrah yang dilakukan kali kelima tahun ini jelas Rozita dia bersyukur kerana segala urusannya berjalan lancar walaupun terdapat beberapa dugaan termasuk jumlah jemaah yang terlalu ramai sehingga pihak berkuasa di Tanah Suci terpaksa bertindak tegas bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.
"Memanglah saya dengar juga cerita di sana ada jemaah yang dihalau pulang agar bersembahyang di bilik saja. Saya bagaimanapun bersyukur kerana apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna. Selain itu saya pastikan sejam sebelum masuk waktu saya sudah berada di dalam masjid," katanya.
Lebih menarik pemergiannya kali ini turut ditemani bonda tersayang. Sementara anak-anak ditinggalkan buat sementara bersama bekas suami.
"Sepanjang menunaikan ibadat itu sudah tentu saya mengambil kesempatan itu untuk berdoa. Kata orang doa kita di hadapan Kaabah sangat dekat dengan doa kita kepada Tuhan.
"Macam-macam yang saya doakan termasuklah diberikan kekuatan, kesihatan berpanjangan, rezeki dan termasuklah soal jodoh. Maklumlah saya sendiri tidak sanggup untuk terus beraya seorang diri. Harap-harap biarlah Aidilfitri tahun ini menjadi hari raya terakhir saya sambut berseorangan. Mudah-mudahan apa yang saya doakan itu akan dimakbulkan Allah," katanya seraya mengakhiri perbualan.
PROFIL
Nama Penuh: Rozita Abu Bakar @ Che Wan
Panggilan: Rozita Che Wan
Tarikh Lahir: 9 Mac 1971
Usia: 39 tahun
Asal: Alor Setar, Kedah
Adik-Beradik: Anak kedua daripada tujuh beradik
Kerjaya: Pelakon dan model
Status: Ibu tunggal
Anak: Ammar Effendy, 12, dan Aniq Ezzra, 10 tahun.
Filem: 4 Madu
Drama: Cinta Terhalang, Manjalara, Sesuci Cinta Sofia, Jelatang, Susuk 2, Anissa, Ayyad, Hati, Cerciter Cinta, Iparku Diva, Goyang Syafiq, Kiah Beraya Solo, Kiah Pekasam, Hilang, Dewi Di Sebalik Cermin, Sesuci Cinta Sofiya, Hati Yang Terpinggir, Bila Suami Jadi Suri, Pontianak Beraya di Kampung Batu.
Iklan: Petronas, 999, Rorine
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.