PESONA dan kategori kecantikan mereka berada dalam kelas tersendiri. Sang pemilik nama, Miera Leyana Kasmi (Miera), 18, misalnya mewakili gadis metropolitan yang cantik dan aktif, sementara Noor Neelofa Mohd Noor (Lofa), 22, pula tampak ayu dan rupawan.
Namun, persamaan nyata di antara mereka karier seni yang masih hijau bermula kurang molek ekoran terganggu dek kontroversi.
Sekadar mengimbas, Miera pernah hangat dengan isu pemakaian seksi selain kisah di kelab malam manakala Lofa dilabel perampas kekasih orang.
Pun begitu, sempena Aidilfitri yang mulia ini bukan kontroversi dan sensasi yang mahu dibicarakan, sebaliknya hikayat raya mereka yang penuh glamor.
Kata Miera yang suka berjenaka, Aidilfitri tahun ini sangat istimewa baginya sekeluarga kerana terbang ke Kota London untuk merasai sendiri pengalaman beraya di luar negara.
"Insya-Allah, minggu kedua raya, Miera bersama keluarga dan ibu saudara akan berangkat ke London. Kami akan berjumpa kawan sekolah lama papa yang menetap di sana.
"Justeru, Miera andaikan sambutan Aidilfitri tahun ini cukup istimewa kerana dapat merasai pengalaman beraya di Eropah. Kalau tak silap Miera, kawan papa berjanji untuk membawa kami beraya dengan kawan rapatnya juga berasal dari Malaysia," ujarnya.
Ditanya, apakah setiap tahun mereka menyambut Syawal di luar negara, gadis tinggi lampai yang juga pendukung watak penting dalam filem Apokalips ini berkata, ia adalah kunjungan pertama.
"Baru tahun ini kami merancang beraya di luar negara. Kalau tidak di Kuala Lumpur saja tidak pun di kampung sebelah mak di Johor Bahru, Johor dan sebelah papa di Parit Buntar, Perak.
"Setiap tahun boleh dikatakan kami sekeluarga menyambutnya di Kuala Lumpur memandangkan datuk dan nenek pun lebih suka datang ke KL," katanya.
Mengandaikan suasana Aidilfitri sama saja tidak kira sambutannya berlangsung di kota mahupun desa, apa yang penting, perayaan itu perlu disambut dengan rasa kesyukuran dan bersama keluarga.
Mendengar bicara Neelofa, ia berbeza pula. Dia kini yang masih berada di Pasir Mas, Kelantan memaklumkan kesibukan bekerja membuatkan dirinya tidak sempat melakukan persiapan raya secara besar-besaran.
"Raya tahun ini saya 'ulang tayang' semula baju yang pernah saya pakai pada majlis undangan berbuka puasa lalu. Tidak perlu rasanya nak membazir, tambahan pula baju itu baru sekali dua digayakan.
"Apapun sambutan Aidilfitri berlangsung dalam suasana yang begitu meriah kerana keluarga saya, ibu dan ayah saudara berpakat mengadakan rumah terbuka secara besar-besaran.
"Kiranya, siap naikkan 'banner dan bunting' gitu. Naik segan pula saya melihat sepanjang jalan terpampang kain rentang wajah kita sendiri. Apapun, saya amat menghargai usaha mereka kerana rumah terbuka ini diadakan juga atas permintaan kenalan mereka yang mahu jumpa saya secara dekat.
"Alang-alang, adakan sekali untuk peminat. Majlis itu juga menemukan saya dengan kawan masa sekolah rendah dulu," katanya gembira.
Seketika saja berpeluang menikmati kemeriahan Aidilfitri, Neelofa akan kembali bertugas bagi menyempurnakan penggambaran drama bersiri, Jiwa & Lara yang bakal ditayangkan di Slot Samarinda TV3.
PROFIL MIERA
NAMA: Miera Leyana Kasmi
TARIKH LAHIR: 28 Ogos 1993
USIA: 18 tahun
TEMPAT LAHIR: Johor Bahru
KARIER: Pelakon, model
KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
HOBI: Membeli-belah, berenang, menari
CITA-CITA: Ahli perniagaan
DRAMA: Luna Fantasiku, Ceria- Ceria Cikgu Rubina, Kecuali Cintamu, Apa Itu Cinta, Ada Ubi Ada Batas, Kamelia Katrina, Aalia, Sejambak Bukan Serumpun, Nana Naruto
FILEM: Apokalips
PROFIL LOFA
NAMA PENUH: Noor Neelofa Mohd Noor
TARIKH LAHIR: 10 Februari 1989
TEMPAT LAHIR: Pasir Mas, Kelantan
USIA: 22 tahun
KELUARGA: Anak ketiga daripada sembilan adik-beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Pemasaran & Perniagaan Antarabangsa Kolej Universiti Sunway
PENCAPAIAN: Juara Dewi Remaja 2010
FILEM: Azura 2011, King Kapcai, S.A.M, Lemak Kampung Baru
DRAMA: Kasih Najiha, Kitab Cinta, Tahajjud Cinta, Pusing Raya
PENGACARA: Paparazi (Tonton TV)
JURUCAKAP PRODUK: U2 Watch
IKLAN KOMERSIAL: Nokia, Celcom, Safi, Fair & Lovely, Bank RHB, Mee Sedap, Bank HSBC, McDonald's