ANJAKAN drastik muzik hari ini adalah satu senario yang sukar dinafikan. Mengikut selera pendengar lengkap dengan kemajuan teknologi, perubahan yang berlaku menandakan wujudnya perkembangan positif.
Tidak hanya menghimpit hampir keseluruhan industri muzik baik tempatan mahupun antarabangsa, malah penyanyi dan penghibur adalah individu yang terpaksa beralah dengan perubahan itu.
Komposer dan penyanyi antarabangsa terkenal, Richard Marx tidak terkecuali terkesan daripada situasi yang sama.
Membina kerjaya dengan empayar identiti muzik balada dan pop rock dengan deretan lirik romantis yang sememangnya sudah sinonim dengan Marx.
Bagaimanapun, merentasi usia pembabitannya yang bakal menjengah tiga dekad, penghibur yang popular menerusi lagu Right Here Waiting serta Now And Forever, akur bahawa muziknya harus diberi suntikan kontemporari agar kekal relevan.
Marx menerusi beberapa kenyataan media baru-baru ini, berkongsi formula dan strategi bagi meneruskan kelangsungan perjuangan muziknya.
"Hampir 30 tahun berdiri sebagai penyanyi, saya sudah puas melalui pelbagai fasa muzik dan pengaruh yang berbeza baik pada aspek muzik, susunan melodi mahupun coretan lirik pada lagu. Saya melihat perubahan itu dari perspektif positif lantaran industri muzik kini berkembang dengan baik.
"Justeru, sebagai seorang penyanyi dan komposer, saya perlu melakukan kelainan dalam penciptaan muzik saya. Pendengar dan peminat memang setia dengan apa yang diberikan kerana itulah identiti saya sejak dulu. Namun saya perlu ingat perubahan juga perlu dalam usaha memancing peminat baru khususnya mereka yang muda dan moden.
"Lantas saya sendiri cuba melakukan eksperimen dengan mewarnakan susunan melodi itu dengan muzik yang lebih segar dan kontemporari agar selari dengan permintaan hari ini. Itu satu usaha yang harus dilakukan dan bukannya bimbang akan perjuangan sendiri.
"Buktinya, lagu terbaru saya berjudul When You Loved Me adalah satu eksperimen muzik yang saya usahakan. Ia diberi nafas moden dengan garapan muzik yang ternyata jauh berbeza dengan rangkaian lagu terdahulu. Malah peminat memberikan reaksi positif dan menyukai apa yang saya lakukan," jelasnya yang mengakui turut memiliki akaun twitter mengikut arus perubahan bagi mendekati peminatnya.
When You Loved Me sempat diperdengarkan kepada lebih 5,000 peminatnya, malam kelmarin dalam konsert eksklusifnya, An Acoustic Evening With Richard Marx yang melengkapkan siri penjelajahan penyanyi terkenal itu di Asia bagi mempromosikan album himpunan lagu hit terbarunya, Stories To Tell yang baru dipasarkan di Amerika Syarikat, Mac lalu.
Penghibur kelahiran Chicago berusia 48 tahun itu sempat berseloroh mengenai perubahan muzik yang meninggalkan impak kepada muziknya di konsert yang dibawakan Splendid Entertainment itu.
"When You Loved Me diputarkan di radio dan kemudian lagu Lady Gaga pula dimainkan sedangkan jika dulu, pasti lagu saya akan diputarkan bersama kumpulan The Carpenters. Ia memang membuatkan saya ketawa dan terfikir betapa cepat keadaan berubah.
"Namun tetap gembira kerana lagu itu masih mampu menyelit di antara bintang muda yang mencetuskan fenomena hari ini," katanya mengusik penonton.
Malah penyanyi yang sudah banyak kali menempa nama pada majlis penganugerahan antarabangsa ini turut menyuntik kelainan dalam album terbarunya yang akan dipasarkan tahun depan.
"Kejutannya apabila saya membuat kolaborasi bersama vokalis kumpulan Vertical Horizon yang juga teman baik, Matt Scannell menerusi lagi terbaru, Save Me. Ia diadun dengan elemen muzik rock kontemporari dan gerak nyanyian yang berbeza.
"Malah saya turut mengajak ketiga-tiga anak saya yang dinamakan Marx Brothers iaitu Brandon, Lucas dan Jesse untuk mengiringi saya dalam lagu itu. Mereka punya bakat dalam bermain alat muzik dan menyanyi seperti saya.
"Pertama kali ia dilakukan dan saya begitu yakin dengan eksperimen hebat ini. Sengaja saya ketengahkan mereka untuk menghidupkan lagi suasana segar dan moden," katanya yang tampil berbeza apabila menyampaikan lagu Save Me berlatarkan video rakaman persembahannya bersama Marx Brothers, malam kelmarin.
Meneliti profil si empunya vokal memukau ini dengan segala anugerah dan pengiktirafan, terlintas pula persoalan adakah perubahan muzik yang berlaku hari ini memberikan kesan peribadi atau mengusik semangatnya untuk terus mempertahankan pengaruh sebagai bintang senior.
Namun jelasnya optimis, itu adalah hakikat yang harus ditempuh tanpa perlu ada rasa kecewa atau putus asa.
"Perubahan zaman dengan kemajuan teknologi memang meninggalkan kesan positif dan negatif. Ia membangunkan taraf industri dengan pelbagai kelainan yang diberi namun membuatkan peminat muzik kurang menghargai karya seseorang penyanyi.
"Mereka mudah mendapatkan muzik atau lagu yang menjadi kegemaran dengan hanya memuat turun dari Internet tanpa perlu membeli album. Ia adalah satu proses pembentukan industri yang baru.
"Malah anak-anak saya sendiri tidak lagi teruja untuk membeli album tidak seperti zaman saya dulu yang sanggup beratur panjang di kedai muzik bagi mendapatkan album artis kegemaran.
"Situasi sudah berubah dan saya sebagai pemainnya harus melihat senario itu sebagai satu perkembangan yang perlu untuk masa depan," jelasnya yang kini tampil dengan lagu terbaru sentuhannya nyanyian Keith Urban berjudul Long Hot Summer.
Harapannya agar lagu, karya dan kehadirannya akan terus dipandang tanpa perlu skeptikal kononnya Richard Marx penyanyi lama yang sudah jauh ketinggalan.
PROFIL
Nama penuh: Richard Noel Marx
Tarikh lahir: 16 September 1963
Umur: 48 tahun
Tempat lahir: Chicago, Illinois, Amerika Syarikat
Keluarga: Anak tunggal
Status: Berkahwin dengan pelakon, penari dan penyanyi, Cynthia Rhodes pada 8 Januari 1989
Anak: Brandon, 21 tahun, Lucas, 19 tahun dan Jesse, 17 tahun
Album: Richard Marx, Repeat Offender, Rush Street, Paid Vacation, Flesh and Bone, Days in Avalon, My Own Best Enemy, Duo, Emotional Remains, Sundown, Stories to Tell dan The Christmas EP
Pencapaian: Penjualan Album Kontemperari Paling Laris di Anugerah BillBoard Muzik 1992, Lagu Antarabangsa Terbaik (Hazard) di Anugerah Muzik Australia 1994, Lagu Terbaik di Anugerah Grammy 2004 menerusi lagu Dance With My Father, platinum untuk beberapa album dan pengiktirafan lagu terbaik menerusi lagu ciptaannya.
Full content generated by Get Full RSS.