Khamis, 30 Ogos 2012

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Tuhan saja tahu

Posted: 29 Aug 2012 11:41 AM PDT

BIARPUN kes membabitkan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim belum ada sebarang keputusan, Presiden badan induk itu, Datuk Seri Shahidan Kassim yakin pemilihan Ahli Majlis Tertinggi kesatuan itu pada mesyuarat agung 23 September ini akan berlangsung dengan bersih.

Beliau yang sebelum ini menyatakan kegusaran apabila mendedahkan wujudnya gejala membeli undi menjelang pemilihan itu, meluahkan keyakinan AGM kali ini akan berlangsung dengan adil dan tidak wujud isu berhubung pembelian undi.


"Setiap kali pemilihan, nampaknya semua berlangsung dengan bersih, cuma jika ia berlaku, perkara itu kita serahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat," katanya. Beliau yang juga Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) sebelum ini pernah meluahkan kebimbangannya berhubung gejala membeli undi dalam KOM yang akan menjejaskan semua pihak termasuk kesatuan, kementerian serta negara, namun yakin isu itu tidak akan berulang pada pemilihan kali ini.

Shahidan menegaskan, selepas beberapa kali mesyuarat agung itu terpaksa ditunda berikutan penyata kewangan KOM yang belum disiapkan, tarikh pemilihan pada 23 September ini tidak akan diubah melainkan berlakunya perkara yang tidak dapat dielakkan seperti pilihan raya umum.


Sementara itu ketika diminta mengulas hasrat timbalannya untuk terus bertanding dan mempertahankan jawatan nombor dua KOM, Shahidan berkata, beliau tidak dapat memberi sebarang komen kerana kes itu masih dalam siasatan dan belum ada sebarang keputusan.


Namun beliau akan memastikan semua permasalahan terjawab apabila peti pencalonan dibuka pada jam 4 petang, 10 September ini.

"Saya terpaksa melihat dulu siapa yang mencalonkan nama beliau atau siapa yang menyokong kerana ketika ini kita tidak tahu ada orang menyokong atau tidak. Saya serahkan semuanya kepada negeri. "Saya juga tidak menghalang sesiapa yang berminat untuk bertanding bagi mana-mana jawatan. Saya serahkan saja kepada mereka," katanya yang akan mengumumkan keputusan hasil siasatan Panel Jawatankuasa Siasatan, Tan Sri V C George, selewat-lewatnya pada 11 atau 12 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012


Hadiah hari jadi

Posted: 29 Aug 2012 11:38 AM PDT

"PERLAWANAN ini (kelmarin) paling bermakna kerana inilah kali pertama saya melakukan hatrik sepanjang beraksi bersama pasukan negeri. Saya gembira kerana selain mencatat hatrik, ia juga berlaku ketika saya masih meraikan ulang tahun ke-24," kata penyerang Pahang yang berasal dari Kampung Pasir Panjang, Pekan, Mohd Fauzi Roslan.

Malam kelmarin, anak buah Dollah Salleh membelasah Sarawak, 6-0, jurang jaringan kemenangan terbesar saingan Piala Malaysia setakat ini.


Kejayaan itu membolehkan Pahang mengumpul tujuh mata hasil tiga perlawanan sekali gus mengungguli Kumpulan D yang turut dihuni Selangor serta T-Team.

Selain Mohd Fauzi yang meraikan hari jadinya Isnin lalu, pemain import Pahang dari Russia, Boris Kochkin turut menjaringkan gol pada hari lahirnya ke-30 yang secara kebetulan jatuh pada hari perlawanan itu.


Mohd Fauzi meledak hatrik pada minit ke-32, 45 dan 87 manakala Kochkin, ke-70. Dua lagi gol Pahang disumbang Mohd Hafiz Kamal (m-60) dan P Gopinathan (m-90).


Mohd Fauzi yang tidak beraksi ketika Pahang menewaskan T-Team, 3-2 pada aksi pembuka tirai Kumpulan D akibat penggantungan berterima kasih kepada jurulatih dan rakan seperjuangan yang banyak memberi sokongan kepadanya.

"Saya percaya kemenangan ini mematangkan saya untuk lebih cemerlang pada baki tiga perlawanan kumpulan sekali gus memastikan misi ke suku akhir menjadi kenyataan.


"Kemenangan besar ini hadiah istimewa saya buat penyokong setia Pahang yang banyak memberi kata-kata semangat untuk mengembalikan imej Pahang pada kempen Piala Malaysia musim ini," katanya.

Sementara itu, Dollah gembira dengan aksi anak buahnya terutama prestasi cemerlang Mohd Fauzi yang setakat ini menghasilkan empat gol dalam kempen Piala Malaysia.


"Memang patut dia berasa gembira. Kemenangan itu hadiah hari jadi buat dia dan Kochkin. Sebagai jurulatih, saya tidak boleh mengharapkan keputusan lebih baik.


"Saya harap persembahan seperti ini dikekalkan ketika bertemu Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini kerana kami ingin memburu slot awal ke suku akhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved