Khamis, 30 Ogos 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Syukur generasi bebas penjajah

Posted: 30 Aug 2012 09:25 AM PDT

PERASAANNYA berbunga riang sambil melahirkan rasa syukur yang tidak putus-putus setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan berlangsung, malah tidak ketinggalan meraikan hari bersejarah itu bersama-sama jutaan rakyat Malaysia berbilang kaum yang tahu menilai serta menghargai erti kebebasan di tanah air sendiri.

Walaupun lahir selepas merdeka, suri rumah, Noriah Hashim, 49, mampu merasai keperitan kehidupan penduduk negara ini sebelum mencapai kemerdekaan, melalui kisah yang diceritakan suami serta arwah ibu mentuanya yang sering berkongsi pengalaman mengenai penderitaan mereka ketika Tanah Melayu menjadi kawasan jajahan British dan Jepun.

Setiap kali tarikh keramat 31 Ogos menjelang tiba, beliau antara orang yang paling gembira kerana mengenangkan keadaan rakyat negara ini yang dapat hidup aman dan harmoni selepas bebas daripada cengkaman ketakutan akibat duduk di bawah pemerintahan bangsa asing suatu ketika dulu.

Noriah berkata, setiap kali mendengar kisah kepayahan hidup yang diceritakan ibu mentua dan suaminya, beliau berasa betapa bertuahnya menjadi rakyat Malaysia yang bukan saja boleh hidup bertolak-ansur bersama kaum lain dalam keadaan damai, malah diuruskan kerajaan yang bertanggungjawab, prihatin dan menjaga kebajikan rakyat.


Daripada apa yang diceritakan kepadanya, dia mendapat tahu kehidupan sebelum merdeka dipenuhi rasa takut yang amat sangat terutama ketika penjajahan Jepun hingga orang kampung tidak mahu keluar rumah kerana bimbang diserang.


"Mereka hidup dalam ketakutan, tidak seperti kita hari ini. Menurut ibu mentua saya, adik-adik perempuannya yang masih muda dan belum berkahwin ketika itu disorok bapanya dan tidak dibenarkan keluar.

"Ibu mentua saya berasal dari Tapah, Perak dan adik-beradiknya semua mempunyai rupa paras yang cantik dengan kulit putih mulus. Disebabkan itu, mereka disorok kerana bimbang diapa-apakan tentera Jepun.

"Sekiranya hendak keluar juga, terpaksa sorok-sorok kerana tentera Jepun ketika itu yang terkenal dengan sikap rakus dan kejam, berani melakukan jenayah sesuka hati mereka termasuk membunuh," katanya.

Menurut Noriah, selain terseksa dari segi emosi kerana tidak bebas dan rasa terkurung, hidup majoriti rakyat di Tanah Melayu ketika itu juga sangat susah dan banyak bergantung kepada ubi kayu sebagai sumber makanan.

Menurut suaminya, peniaga, Mat Daud Ayob, 60, hidup pelajar sekolah ketika itu juga terbatas kerana mereka terpaksa pergi dan balik sekolah dalam keadaan menyorok, malah sesi persekolahan pernah terganggu sementara dengan kehadiran tentera Jepun.

Keadaan pada masa itu sangat berbeza dengan zaman ini. Rakyat Malaysia bukan saja bebas dan hidup aman damai, malah semakin maju mengejar pencapaian setanding negara luar.

"Taraf hidup rakyat ketika ini juga jauh berbeza sekiranya hendak dibandingkan zaman sebelum merdeka kerana ekonomi kita yang semakin kukuh dan nama negara semakin harum di peringkat antarabangsa.

"Saya selalu menceritakan kisah sebelum zaman merdeka seperti yang diceritakan kepada saya dan sering berpesan kepada anak-anak supaya mereka bersyukur dapat tinggal dan menjadi rakyat negara ini.

"Walaupun ke mana kita pergi, Malaysia adalah negara terbaik pada mata saya kerana ia seimbang dari semua segi, tidak seperti sesetengah negara lain yang rakyat hidup melarat biarpun sudah lama maju," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, golongan muda juga harus tahu mengenai kisah sebelum merdeka supaya mereka sedar betapa berharganya nilai kebebasan serta tidak menimbulkan sebarang kekacauan yang boleh merosakkan keharmonian negara.

Beliau bukan saja rasa bersyukur, malah berasa amat beruntung menjadi rakyat negara ini, bersama-sama dengan bangsa lain yang berbilang kaum.

"Tidak perlulah kita hendak bergaduh atau membuat kacau kerana perbezaan fahaman politik kerana apa yang negara ada ketika ini sudah cukup bagus. Kerajaan kita melakukan tugas dengan baik dan tidak perlulah ada pihak yang hendak membuat kacau-bilau," katanya.

Setiap kali Hari Kemerdekaan, rasa bangga menjadi anak Malaysia membuak dalam dadanya. Justeru, dia dan suami sanggup bangun awal pada hari cuti umum itu untuk membawa anak-anak meraikan hari penuh bersejarah di Dataran Merdeka bersama rakyat lain. Ia boleh dikatakan sudah menjadi 'aktiviti tahunan yang wajib' untuk mereka sekeluarga.

Malah, setiap tahun dia sekeluarga akan turut sama menghias rumah dan kereta dengan bendera Malaysia bagi mengingati hari bermakna kepada negara ini.

"Kami juga akan bergerak dari rumah di Kajang ke Dataran Merdeka untuk sama-sama meraikan dan merasai nikmat kemerdekaan yang dicapai sejak 55 tahun lalu bersama rakyat lain.

"Sungguh menggembirakan apabila dapat melaungkan Merdeka bersama-sama rakyat negara ini yang berbilang kaum. Ia menunjukkan majoriti rakyat tahu menghargai erti kebebasan dan keamanan," katanya.

Sementara itu, juruteknik, Abdullah Hashim, 55, yang dilahirkan tepat pada 31 Ogos 1957 berkata, berkongsi tarikh lahir dengan Hari Kemerdekaan sememangnya memberi makna tersendiri kepada dirinya.

Katanya, beliau dilahirkan di rumahnya di Kampung Gelam, Melaka dan hanya menyedari tarikh lahirnya sama dengan sambutan kemerdekaan negara sekitar usia 10 tahun apabila diberitahu bapanya.

"Ketika kecil, saya tidak tahu tetapi apabila sudah mula faham, saya berasa amat bangga dilahirkan sama dengan tarikh negara bebas daripada cengkaman bangsa luar, apalagi rakyat Malaysia beramai-ramai meraikannya," katanya.

Abdullah berkata, beliau sering mendengar cerita betapa susahnya kehidupan zaman sebelum merdeka terutama daripada ibu bapanya di mana kehidupan seharian rakyat pada waktu itu sangat susah dan sentiasa tertekan.

Dia masih ingat bagaimana orang kampung ketika itu sangat takut dengan tentera Jepun hingga pergerakan mereka menjadi terbatas dan tidak dapat keluar rumah kecuali dengan cara menyorok.

"Kekejaman tentera Jepun menyebabkan penduduk takut hingga tidak berani bergerak di luar rumah. Tidak seperti hari ini, tiada rasa takut dan semua orang bebas untuk ke mana-mana saja.

"Apabila kita diisytiharkan merdeka, ia seolah-olah satu nikmat yang sukar diucapkan dan hanya difahami mereka yang pernah hidup tertindas sebelum ini. Hidup rakyat menjadi lebih tenang dan gembira," katanya.

Kisah mengenai zaman sebelum kemerdekaan seharusnya selalu diketengahkan supaya generasi muda tahu betapa seksanya hidup di bawah cengkaman asing dan lebih bersikap patriotik terhadap negara.

Katanya, golongan yang suka menimbulkan kekacauan seharusnya sedar segala ketenangan dan kedamaian yang dikecapi hasil kemerdekaan yang diperoleh dan tidak seharusnya diperjudikan dengan sikap mementingkan diri sendiri.

"Saya tidak setuju dengan perbuatan demonstrasi yang sering diadakan sesetengah pihak kerana bagi saya ia bukan saja membuang masa, malah tidak memberi sebarang faedah kepada bangsa dan negara.

"Generasi muda harus tahu mengenai keadaan sebelum merdeka dan jangan huru-harakan negara kerana sikap mementingkan diri sendiri," katanya.

Abdullah bersama isteri, Sharifah Hashim, 54, dan anak-anak, Shahrul, 27, Nurhaniza, 25, dan Ahmad Shahir, 18, menghias rumah mereka dengan mengibarkan bendera bersaiz besar pada hadapan rumah bagi meraikan hari bersejarah negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : 31/08/2012


Guna FB cegah kanser

Posted: 23 Aug 2012 08:12 AM PDT

BERAPA ramai antara kita berani bersuara sama ada menegur atau memarahi ahli keluarga, rakan, teman lelaki dan wanita mahupun orang asing yang merokok terutama jika ia dilakukan di depan mata?

Ya, memang ada yang berani namun jumlah mereka yang berdiam diri lebih ramai. Mungkin disebabkan malu, malas, takut dimarahi atau sudah serik menegur, kita bertindak mengambil keputusan untuk tidak bersuara lagi.

Kata-kata seperti 'suka hati mereka, sudah sakit nanti tanggung sendiri' dan 'ala, mereka sudah besar, tahu fikir mana baik dan mana buruk' selalu didengari apabila masalah untuk menegur si perokok tegar ini dibangkitkan.

Bagaimanapun, jangan sesekali berputus asa untuk terus menasihati mereka terutama anak muda agar menjauhi rokok mahupun perkara lain yang tidak sihat demi kesihatan diri.


Ini kerana, bahan di dalam rokok yang mengandungi tembakau itu adalah penyebab utama dan tertinggi kepada penyakit pembunuh di seluruh dunia iaitu kanser.


Justeru, berlandaskan sebab tanggungjawab dan menyayangi masyarakat, Persatuan Kanser Malaysia (NCSM) dengan kerjasama Courts Malaysia (Courts), melancarkan kempen mengenai bahaya dan pencegahan kanser secara inovatif melalui saluran laman sosial paling popular, facebook.

Pengarah Urusan NCSM, Rubi Ain Dahlan, berkata kempen yang dinamakan sebagai 'I Choose' atau 'Saya Pilih' ini bertujuan memberi pendedahan kepada golongan belia sama ada pelajar sekolah, kolej atau universiti terhadap penyakit ini yang boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat.

"Dengan kerjasama Courts, hari ini kami dapat melancarkan halaman facebook khas untuk golongan belia. Halaman ini istimewa kerana ia akan menjadi saluran utama bagi mereka berkongsi maklumat termasuk cara mengamalkan gaya hidup sihat daripada segi pengambilan bahan makanan, senaman dan seumpamanya sejak peringkat awal bagi menghindari kanser.

"Selain itu, dengan kewujudan halaman facebook ini, kami dapat memikat hati semua golongan belia apabila nada dan gaya bahasa yang digunakan bersesuaian serta digemari mereka.

"Golongan belia sememangnya berkeupayaan untuk menyerap maklumat yang banyak. Oleh itu, kami berharap dapat menyalurkan pelbagai maklumat penting ini kepada mereka menerusi saluran komunikasi yang paling disukai agar dapat membentuk diri mereka untuk membuat pilihan bijak dengan mengatakan tidak kepada kanser," katanya.

Menurut Rubi Ain, kajian menunjukkan pencegahan kanser bermula dengan gaya hidup sihat dan lebih wajar serta berkesan lagi sekiranya amalan itu dimulakan dari usia muda.

Tidak sukar, antara petua menjaga kesihatan untuk menjauhi kanser atau penyakit kronik lain adalah dengan menggunakan krim pelindung sinaran matahari, meninggalkan tabiat merokok dan mengurangkan diri terdedah daripada asap rokok, memakan lebih banyak buah-buahan atau sayur-sayuran segar serta elak pengambilan makanan yang siap diproses.

Tambahnya, kempen berkenaan juga adalah sebahagian daripada program Harapan Kami Untuk Kanak-Kanak iaitu satu usaha inisiatif berterusan anjuran NCSM dan Courts sejak 2010.

"Keluarga sihat adalah asas kebahagiaan anggotanya. Seiring dengan konsep perniagaan Courts yang mengutamakan rumah tangga, amat penting bagi kami untuk membabitkan diri dan menyumbangkan usaha dalam kegiatan yang dapat meningkatkan tahap kesihatan masyarakat Malaysia," kata Pengarah Negara Courts, Chris Yong.

Selain akan sentiasa dikemas kini dengan maklumat terkini mengenai cara mengurangkan risiko kanser, halaman ini juga memperkenalkan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti koreografi tarian.

Menerusi medium sama, anda boleh menyaksikan sebuah video istimewa bertajuk Unlike Cigarettes yang mengandungi pandangan selebriti tempatan seperti Cheryl Samad, Jeremy Teo, Jojo Struys, Azura Zainal, Stephanie Chai, Julie Woon, Fuad, Will Quah dan Shawn Lee yang menggalakkan golongan belia untuk menghindari serta menghentikan tabiat merokok.

Satu lagi aktiviti yang boleh disertai oleh semua remaja warganegara Malaysia berusia 13 hingga 24 tahun ialah pertandingan membuat video. Peserta hanya dikehendaki merakamkan diri mereka untuk berkongsi pendapat mengenai keburukan merokok dan menghantar rakaman video berkenaan sebelum 30 September 2012.

Lima peserta terbaik yang akan diadili oleh barisan panel bertauliah berpeluang memenangi hadiah menarik tajaan Courts seperti televisyen Samsung LED 32 inci, Apple iPod Shuffle 2G dan mesin pencetak foto Canon Selphy.

Untuk melihat dan mendapatkan maklumat berguna mengenai penyakit kanser ini, layari www.facebook.com/ichoosemalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 31/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved