Jumaat, 14 September 2012

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Rentung dalam kereta

Posted: 13 Sep 2012 11:56 AM PDT

BANTING: "Kami fikir gempa bumi apabila tiba-tiba terdengar letupan kuat di luar rumah, manakala rumah pula bergegar," kata pelajar kolej swasta, Andy Lim, 22, saksi kebakaran membabitkan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback menyebabkan seorang lelaki rentung di Taman Baiduri, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia berkunjung ke rumah rakannya di taman perumahan berkenaan dan sedang berbual apabila berasa impak letupan daripada kereta yang terbakar itu kira-kira jam 2 petang.


"Saya dan rakan segera berlari keluar kerana bimbang rumah akan runtuh sebelum ternampak kereta sedang terbakar dari dalam.

"Kami tidak menyangka ada orang dalam kereta terbakar itu berikutan asap tebal menyelubungi ruang dalam kenderaan sehingga tidak nampak sesiapa," katanya.


Katanya, penduduk mula memenuhi kawasan tempat kejadian itu sebelum seorang wanita warga emas muncul tiba-tiba sambil menangis.


"Ketika kebakaran berlaku, seorang wanita datang dan menjerit anaknya ada dalam kereta terbakar itu dan meminta orang ramai mengeluarkannya.

"Beberapa penduduk cuba membantu mengeluarkan anaknya, tetapi api semakin marak menyebabkan tiada sesiapa pun berani mendekati kereta itu sebelum berlaku satu lagi letupan," katanya.


Andy berkata, dia segera menghubungi balai bomba kerana bimbang kebakaran melarat sehingga ke rumah penduduk berikutan kedudukan tempat kejadian hampir dengan kediaman.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, satu jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 2.02 petang.


"Pasukan diketuai Pegawai Bomba, Subakri Basran, tiba enam minit kemudian tetapi api sudah membakar 90 peratus kereta berkenaan.


"Api dapat dipadam sebelum anggota bomba dan penyelamat menemui mayat seorang lelaki berusia 40-an rentung di tempat duduk penumpang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/14


Rugi RM190,000 dapat 3 cek tendang

Posted: 13 Sep 2012 11:54 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat kerugian hampir RM190,000 dipercayai ditipu selepas cek dibayar dua pelanggannya bagi urusan penjualan minyak pelincir adalah cek tendang.

Mangsa yang berusia 40-an dikatakan menerima tiga keping cek dari dua syarikat dipercayai milik pelanggannya itu masing-masing bernilai RM99,840, RM82,900 dan RM6,300.


Menurut sumber, cek itu diterima Jumaat dan Isnin lalu yang diposkan ke alamat pejabat mangsa di Jalan Dutamas sebagai bayaran baki hutang mereka.

Difahamkan, syarikat mangsa sebelum itu membuat urusan perniagaan berkaitan jual beli minyak pelincir dengan dua syarikat swasta terbabit pada Ogos lalu.


Sumber berkata, ketika urusan jual beli itu dibuat, mangsa hanya menerima bayaran tempahan daripada pelanggannya manakala baki pula sudah dijanjikan untuk dibayar melalui cek.


"Mangsa menerima tiga cek berkenaan iaitu dua daripada syarikat pertama manakala satu daripada syarikat kedua yang terbabit dalam urusan perniagaan itu.

"Ketiga-tiga cek berkenaan juga sudah didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat mangsa melalui cawangan bank di Segambut sehari selepas itu," katanya.


Bagaimanapun, pihak bank menghubungi mangsa kelmarin dan memberitahu ketiga-tiga cek berkenaan gagal ditunaikan kerana akaun pembayar dikatakan mengalami masalah.

Sumber berkata, ekoran kejadian itu, pengurus syarikat berkenaan menghubungi pelanggannya melalui talian telefon bimbit yang diberikan tetapi gagal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/14


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved