Isnin, 15 Oktober 2012

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Masih fokus Kelantan

Posted: 14 Oct 2012 02:37 PM PDT

KOTA BHARU: Penjaga gawang skuad bola sepak Kelantan dan kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat kini menjadi sebutan apabila dikatakan mendapat tawaran RM3 juta oleh pasukan lain dan bayaran itu termasuk RM800,000 bagi menebus kontraknya dengan Kelantan yang masih berbaki tiga tahun.

Sekiranya khabar angin itu menjadi kenyataan, Khairul Fahmi, 23, atau lebih dikenali dengan panggilan Apek bakal menjadi pemain bola sepak tempatan termahal, mengatasi bekas penyerang Selangor, Safee Sali yang menerima bayaran lebih RM2 juta untuk mewakili kelab Indonesia, Pelita Jaya FC.

Khabar angin mengenai tawaran RM3 juta untuk Apek itu tersebar di Internet terutama laman sosial, facebook dan tawaran berkenaan dikatakan dibuat pasukan Johor.

Ketika diminta komennya mengenai khabar angin itu, Apek enggan mengulas lanjut, namun mengakui ada pasukan dari negeri lain yang cuba 'memancingnya'.


"Saya perlu menghormati kontrak (bersama skuad Kelantan) yang masih ada. Saya tidak tahu bagaimana cerita ini timbul dan enggan memikirkannya," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Ahli KK Merah

Posted: 14 Oct 2012 02:37 PM PDT

KUANTAN: Suspek utama kes bunuh warga emas dalam kejadian samun di Kampung Baru Simpang Sanggang, Temerloh, pada 14 September lalu, Muhamad Azirywan Mohd Azlan, 21, yang ditembak mati oleh polis, awal pagi semalam, dipercayai menganggotai satu kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai KK Merah yang sering terbabit dalam pelbagai siri jenayah samun bersenjata dan kekerasan di sekitar Pahang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, ketua kumpulan KK Merah, Mohd Hairie Abdul Malik, 28, beralamat di Kampung Tebing Tinggi, Temerloh, masih diburu dan dipercayai dalang utama semua kegiatan jenayah kumpulan berkenaan.


"Polis kini masih memburu dua lagi ahli geng terbabit iaitu Mohd Hairie dan Mohd Ridzuan Khaidir, 22, yang alamatnya tidak dapat dipastikan," katanya.

Sharifuddin berkata, pada jam 1.30 pagi, 7 Oktober lalu, polis menahan seorang daripada ahli geng terbabit, Mohamad Ashraf Nordin, 16, beralamat di Kampung Sungai Dingin, Batu 2, Jalan Temerloh, Temerloh.


"Dia ditahan di Jalan Panjang, Pekan Awah, Maran. Hasil siasatan lanjut terhadap suspek itu membolehkan polis mengenal pasti identiti anggota KK Merah. Suspek yang ditahan itu mempunyai lapan rekod jenayah membabitkan samun berkawan bersenjata dan satu kes bunuh di Temerloh," katanya.


Menurut Sharifuddin, Muhamad Azirywan yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang peniaga di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, Abdul Talib Yadin, 56, pada jam 2.30 pagi, 14 September lalu, mempunyai lapan rekod jenayah lampau, dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit dalam beberapa siri rompakan bersenjata.

Sebelum kejadian, Muhamad Azirywan yang menaiki Proton Waja berwarna perak yang menggunakan nombor pendaftaran PET 8048, dikesan sepasukan anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) di persimpangan lampu isyarat menghala ke Jerantut, jam 1.30 pagi semalam.


Apabila diarah berhenti, suspek memecut laju menghala ke dalam ladang sawit di Sanggang 1 dan 2 sebelum terbabas.

"Anggota polis menghampirinya untuk membuat pemeriksaan namun suspek melepaskan tembakan dari dalam kenderaan itu. Polis membalas tembakan dalam usaha mempertahankan diri dan selepas pemeriksaan lanjut dilakukan di dalam kereta itu, anggota polis mendapati seorang lelaki mati terkena tembakan," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, petang semalam.


Sharifuddin berkata, turut ditemui di dalam kereta yang dinaiki Muhamad Azirywan ialah sepucuk pistol revolver .38 dengan tiga peluru hidup serta tiga kelongsong peluru dan satu komputer riba disyaki barang samun.


"Kami menemui ketulan mampat ganja dan sebilah parang di dalam kereta berkenaan. Semakan lanjut ke atas kenderaan digunakan suspek mendapati ia dicuri di Sungai Buloh, Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved