Isnin, 15 Oktober 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Lebih cabaran untuk berdikari

Posted: 15 Oct 2012 09:29 AM PDT

WALAUPUN tergolong di kalangan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan, tetapi ia tidak menghalang golongan ini daripada menjalani kehidupan seperti insan normal.

Sebolehnya mereka enggan menyerah pada kekurangan diri dan hidup berdikari atas usaha tulang empat kerat tanpa mengharapkan belas ihsan sesiapa.

Begitu juga dengan kumpulan sokongan ataupun persatuan yang mewakili golongan kelainan upaya cacat penglihatan ini turut sama menghasilkan produk tertentu agar ia boleh dikongsi bersama ahli dengan cara tersendiri.

Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) sememangnya dikenali kerana mengeluarkan al-Quran Braille untuk kemudahan masyarakat cacat penglihatan mengenali dan mendalami bacaan kitab suci itu dengan lancar.


Naib Yang Dipertuanya, Zamzuri Ghani berkata, pengeluaran cetakan al-Quran Braille melalui Biro Penerbitan Pertis ini juga bertindak sebagai sumber pendapatan utama persatuan.


"Buat masa ini, hanya Pertis bertindak sebagai badan tunggal mengeluarkan al-Quran Braille malah ia juga diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 1996.

"Kos bagi mengeluarkan al-Quran ini kira-kira RM200 senaskhah tetapi kami memberinya secara percuma kepada semua ahli Pertis dan mereka yang memerlukan," katanya.

Malah, golongan cacat penglihatan juga tidak akan menghadapi masalah untuk membaca teks al-Quran jawi braille ini kerana ia menggunakan kod khas bagi memudahkan pembacaan serta mengikut tajwidnya yang betul.

"Mungkin orang tak nampak kepentingan al-Quran Braille ini, tetapi kepada golongan seperti kami ia sangat penting terutama dalam mendekatkan diri dengan Allah.

"Kami akan terus mengeluarkan al-Quran Braille untuk kegunaan semua malah bersyukur kerana sehingga kini masih menerima bantuan daripada pihak tertentu yang sudi menaja proses cetakan terbabit," katanya.

Al-Quran ini adalah transkripsi daripada manuskrip kitab al-Quran asal tanpa membuat sebarang perubahan kecuali sedikit modifikasi terhadap tulisan agar disesuaikan dengan keperluan individu cacat penglihatan.

Kaedah penulisan al-Quran Braille yang dihasilkan melalui komputer oleh Pertis ini tidak lari daripada sistem tulisan jawi braille yang diterima pakai negara lain.

Malah, ia juga boleh dibaca pengguna cacat penglihatan dari seluruh dunia asalkan berpengetahuan dalam sistem tulisan jawi braille.

Cetakan al-Quran Braille berkomputer itu mempunyai 30 juzuk dengan 1,666 muka surat menggunakan bahasa Arab sepenuhnya manakala tulisan Braille pula memenuhi piawaian antarabangsa.

Jika sebelum ini, ia diterbitkan secara manual dan mengambil masa setahun untuk disiapkan, tetapi melalui cetakan berkomputer pula hanya mengambil masa empat jam untuk disiapkan.

"Ia dibahagikan kepada enam jilid merangkumi 30 juzuk al-Quran dan setiap jilid pula disertakan dengan lima juzuk al-Quran bagi memudahkan pembaca cacat penglihatan.

"Tidak dinafikan ia agak tebal berbanding al-Quran biasa, tetapi bacaannya tetap sama mengikut tertib yang ditetapkan," katanya.

Selain itu, sumbangan yang diperoleh daripada individu perseorangan dan juga syarikat korporat juga menjadi pemangkin utama sumber pendapatan persatuan terutama bagi menyalurkan gaji kepada kakitangan yang memastikan perjalanan urusan harian persatuan sentiasa lancar.

Sementara itu, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) pula menyediakan pelbagai aktiviti dan program bagi membolehkan ahli mendapat manfaat dan boleh berdikari antaranya dengan menyediakan Program Pembangunan Keusahawanan. Walaupun tidak mempunyai satu produk khusus, tetapi usaha yang dijalankan dengan memberikan pengetahuan keusahawan kepada ahli membuka peluang kepada mereka untuk membaiki taraf hidup ke arah lebih baik.

Presidennya, Mohammed Nazari Othman berkata, apa yang ditawarkan kepada ahli bukan bersifat keuntungan, tetapi lebih kepada perkhidmatan sama ada kursus ataupun maklumat berkaitan pengkhususan perniagaan yang ingin diceburi.

"Kebanyakan ahli SBM lebih banyak terarah kepada bidang perniagaan urutan dan refleksologi, namun masih ada yang menceburkan diri dalam bidang jahitan, kedai runcit, penternakan ikan dan juga kraftangan.

"Keupayaan berdikari amat dititikberatkan kepada setiap ahli kerana walaupun mempunyai kelayakan pendidikan, kebanyakan mereka tidak berpeluang merasai kerjaya di peringkat arus perdana disebabkan kekurangan diri," katanya.

Selain itu, untuk lebih memotivasikan diri, persatuan juga turut menawarkan pinjaman modal perniagaan kepada ahli melalui program pembangunan keusahawanan yang dijalankan sehingga mencecah RM100,000.

Hingga kini kebanyakan ahli yang berminat boleh mendapat jumlah pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 dan bagi memastikan perjalanan perniagaan dilakukan lancar, ahli turut dihantar menjalani kursus latihan.

"Kami ingin memastikan golongan cacat penglihatan juga mampu berjaya seiring dengan perkembangan serta peredaran ekonomi semasa.

"Walaupun tidak boleh melihat, tetapi kita perlu menjadikan 'kekurangan' ini sebagai cabaran untuk sentiasa memperbaiki diri agar lebih berdaya saing, tetapi mengikut kemampuan diri sendiri," katanya.

Malah, persepsi masyarakat juga perlu diperbetulkan dan memberi peluang kepada orang kelainan upaya untuk turut sama menyumbang ke arah pembangunan negara dengan cara tersendiri.

Disebabkan kekurangan peluang kerjaya yang ditawarkan kepada golongan ini juga menyebabkan mereka lebih terarah kepada bentuk 'bekerja sendiri' tetapi pandangan masyarakat terhadap usaha ini pula berlainan.

"Bagi membuka ruang kepada golongan kelainan upaya ini untuk berjuang meningkatkan taraf hidup diri, seharusnya masyarakat membuang persepsi negatif sedia ada dan cuba membantu dengan memberi peluang kepada kami untuk turut sama 'berjaya'.

"Keadaan ini bertujuan meneruskan kelangsungan hidup golongan seperti kami kerana seperti orang lain, kami juga memiliki keluarga yang memerlukan keperluan harian dan pastinya dengan keadaan ekonomi sekarang membuatkan keadaan diri lebih terhimpit dalam tekanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Cikgu Rania 2 (Siri 15): Aku terima nikahnya!

Posted: 15 Oct 2012 08:26 AM PDT

Seminggu! Itulah jangka masa yang diberikan pada mereka untuk menyelesaikan pelbagai urusan menjelang pernikahan Rania dengan Ummar Qayyum. Dari segi wang ringgit, langsung tiada masalah tapi pelbagai urusan remeh temeh yang lain yang mendebarkan Rania.

Pakaian pengantin untuk mereka berdua! Barang hantaran! Kek perkahwinan!
Senarai tetamu undangan! Itu belum masuk lagi tempahan hidangan para tetamu, hidangan pengantin dan macam-macam lagi.


Sempatkah?" Mampukah? Tanya Rania dengan debarnya.

"Jangan bimbang Ren. Duit ada semua jadi!" selamba saja Mak cik Rohaya menjawab.

"Ini bukan soal duit sahaja makcik! Ini soal masa, tenaga. Banyak yang nak kena urus," wajah Rania yang selalunya tenang, bergolak pula kali ini. Kasihan kalau mama terpaksa uruskan segala-galanya.

"Tak usahlah Ren khuatirkan. Semua akan diuruskan dengan lancar. Mama dan ayah Ren tahulah apa nak yang dibuat," Mak cik Rohaya mententeramkan hati Rania.

Memang benar sekali seperti yang dikata Mak cik Rohaya. Apabila duit berada dalam genggaman, yang susah jadi mudah. Jentik jari semua siap. Bagi Puan Sri Zalia tidak ada istilah payah apabila membabitkan pernikahan Rania. Semuanya bisa diurus lebih lebih lagi dengan kepulangan Rindu sekeluarga.

"Mama dah lantik dan bincang dengan perancang perkahwinan walaupun kita hanya buat nikah saja. Ren jangan bimbang. Semua dah mama uruskan!" Puan Zalia berkata dengan bangga. Dia meneliti senarai kerja yang tercatat pada diari kecil yang akhir-akhir ini selalu dibawa bersama.

"Mama dah buat semua? Baju nikah Ren dengan Qayyum, kek, hantaran semua?"
Tanya Rania untuk mendapatkan kepastian.

"Yang itu Kak Rindu dah uruskan."

"Bila Kak Rindu uruskan? Kan kakak baru je sampai semalam,"

"Kak Rindu dah urus dari sana sebaik saja Kak Rindu tahu." Maklum Puan Sri Zalia.

"Wow..hebatnya Kak Rindu!"

Apa yang susah pada zaman serba canggih ni," leretan senyum Rindu benar-benar melegakan Rania. "Petang karang designer dari Eque Collection akan datang ukur badan Ren. Dalam dua hari siap baju nikah Ren," janji Rindu.

"Qayyum punya?"

"Yang itu Abang Rais yang urus. Designer yang sama," jelas Rindu.

"Wah...cekapnya ahli keluarga Ren buat kerja. Ren terharu sangat,"

"Bersyukur pada Allah yang memudahkan dan mempercepatkan semua urusan." Puan Sri Zalia raup mukanya tanda terima kasih. "Ayah pun dah suruh PAnya uruskan tentang undangan terdekat. Cuma tinggal undangan kawan-kawan rapat Ren dengan Qayyum saja," potong Datin Sri Zalia.

"Ni dah jadi macam majlis kahwin mama,"

"Mana pulak. Kalau majlis kahwin tak ada orang buat dalam masa seminggu," sampuk Puan Sri Zalia.

Sementara ingat, Rania menghubungi rakan-rakan yang rapat dengannya.
Rata-rata rakan dan taulan terkejut mendengar berita menggembirakan itu tidak terkecuali Rahah.

"Biar betul awak Ren," jerit Rahah.

"Betullah!"

"Ya Allah...kenapa tak sempat-sempat."

"Dah jodoh. Nanti saya nak ikut Qayyum ke Sweden,"

"Amboi mak! Jelesnya saya! Dah lah dapat husband handsome...kaya pulak! Jerit Rahah. Rania tertawa kecil. Selesai berbual dengan Rahah, Ros Ilyani pula dihubungi Rania. Walaupun agak terperanjat, Ros Ilyani tidak lupa ucapkan tahniah.

"Bila Ren buat keputusan mendadak macam ni?" Ros Ilyani masih tidak percaya dengan berita yang didengarnya.

"Baru je Kak Ros. Qayyum yang usulkan. Ren setuju je. Ren sendiri pun tak percaya tapi Ren akur dengan ketentuan Allah swt,"

"Syukur. Kak Ros yakin itu yang terbaik untuk Ren,"

"Terima kasih Kak Ros,"

"Ni....err...Halim nak cakap dengan Ren," ujar Ros Ilyani seraya menyerahkan telefon bimbitnya pada Halim. Getar suara Halim mengucapkan tahniah membuatkan Rania terdiam sejenak. Beberapa pertanyaan Halim tidak mampu dijawab oleh Rania. Puan Sri Zalia yang melihat perubahan raut wajah Rania bertanya dengan bahasa isyarat.

Rania hanya menggelengkan kepala. Dia memberi isyarat untuk terus berbual pada ibunya. Puan Sri Zalia pergi. Pilu rasa di hati mendengar rintihan Halim.
Hampir menitik air matanya apabila Halim melahirkan rasa sesal kerana memutuskan ikatan antara mereka dulu.

"Dahlah Lim. Kita terima sajalah apa yang berlaku sebagai takdir!" Pujuk Rania penuh pengertian.

"Mudahlah kau berkata begitu Ren. Aku?" suara rajuk Halim bagai tidak terubat.

"Kau tak suka aku bahagia?"

"Kau bahagia?" Uji Halim dengan suara yang masih bergetar.

"Aku bahagia," sejujurnya Rania meluahkan apa yang dirasa. Esak kecil Halim kedengaran di seberang sana. Rania menahan nafas.

"Takpelah Ren....aku akan sentiasa mendoakan kebahagiaan kau," ujar Halim sebelum talian dimatikan. Rania terduduk. Mengapa perlu ada kesedihan pada saat-saat begini? Rintihnya sedih. Dia sayangkan Halim dan mahu Halim menerima berita pernikahannya dengan dada terbuka tapi ternyata Halim tidak mampu.

Ah Halim...sukarnya mengerti hati seorang rakan baik seperti kau. Aku harap kau akan berjaya sebagai petani moden dan menemui cinta sejati suatu hari kelak. Rania bercerita sepintas lalu perbualannya dengan Puan Sri Zalia.
Wanita itu menghela nafas tanpa komen.

"Mudah-mudahan masa merawat luka Halim," doanya sebelum pergi. Puan Sri Zalia kembali sibuk menyambung pelbagai tugasan yang menanti. Kemeriahan majlis pernikahan Rania makin terasa apabila saudara mara terdekat mulai bertandang ke rumah. Adik-beradik belah ibu dan ayah mulai memenuhi rumah mewah mereka.

Saudara mara yang tidak dapat hadir pada majlis perkahwinan Rais dan Murni sebelum ini mengambil peluang untuk hadir kali ini. Suasana kemeriahannya ketara. Begitu berbeza jika dibandingkan dengan suasana semasa perkahwinan Murni dan Rais dulu.

Murni dapat merasakan jurangnya. Setiap saudara mara memberi perhatian kepada Rania. Tidak jemu-jemu mereka memuji dan mengusik Rania. Murni semakin berasa terasing di rumah besar itu. Kerana itu dia berkurung di kamar.

Kalau aku tiada di bawah pun, tidak ada siapa yang perasan, detik hati Murni.
Dia berdiri di jendela dan memerhati ke bawah. Kawasan laman rumah Tan Sri Razlan dipenuhi kereta saudara mara mereka yang bertandang. Entah buat kali ke berapa dia terkenang Ummar Qayyum. Kenangan bersama Ummar Qayyum di kampung tidak pernah luput dalam ingatannya. Perasaan kasih dan cinta tetap bertakhta.

Akhirnya Abang Qayyum tetap akan mengahwini Rania, Murni terjebik. Murni menoleh tatkala mendengar suara seseorang menyapanya.

"Mengapa berkurung kat bilik? Turunlah jumpa saudara mara," arahan Rais membuatkannya terkebil-kebil. Murni meraba-raba perutnya yang mulai membonjol.

"Saya tak biasa dengan saudara mara awak," kata Murni.

"Masa inilah awak kena biasakan diri. Pakai baju besar supaya orang tak nampak perut awak tu," pesan Rais sebelum pergi. Murni tiada pilihan. Dia memilih sehelai baju yang agak besar dan turun menyaingi sanak saudara Rais. Banyak kerja yang sudah siap. Orang berduit tidak perlu bersusah payah. Mereka hanya perlu mengarah saja, fikir Murni.

Saudara mara yang berkunjung pula hanya sekadar memeriahkan suasana. Rais duduk bersembang dengan beberapa lelaki yang agak berusia. Murni duduk bersama-sama dengan kumpulan wanita separuh usia. Murni hanya bercakap apabila ditanya. Rania yang ditemani Rindu dikerumuni oleh beberapa orang perempuan muda.

Murni perasan wajah Rania begitu cantik dan mulus. Masakan tidak, dua orang mak andam dijemput khas ke rumah untuk rawatan muka dan badan Rania.

"Nak berinai kat sini atau dalam bilik?" tanya Puan Sri Zalia pada Rania.

"Kat mana kak?" Tanya Rania pada Rindu. Saudara mara dan kanak-kanak riuh rendah di ruang tamu. Kalau berinai di ruang keluarga itu, tak selesa pula, fikir Rindu.

"Kat biliklah," putus Rindu kemudian.

"Jom Murni," ajak Rania. Murni menurut saja sementelah dia juga kurang senang berada di bawah. Mereka bergerak ke atas dengan seorang mak andam bernama Azariah. Masuk saja ke bilik Rania, Murni terkaku. Kamar Rania indah sungguh. Terkulat-kulat Murni memandangnya. Sementara jari jemari Rania diinai Azariah, Murni memerhatikan segenap kamar Rania.

Baru saat itu Murni berpeluang melihatnya. Perabot baru buatan Itali sampai dua hari sudah. Semua serba baru. Terpegun Murni dibuatnya. Katil putih bersaiz 'King' padan sungguh dihias dengan cadar berwarna ungu muda. Langsir putih berlapis-lapis mengindahkan lagi kamar yang nampak begitu nyaman dan indah.

"Murni panggil abang Murni kat kampung tak?" Tanya Rania tiba-tiba. Murni yang sedang melamun terkejut. Dia menggelengkan kepalanya.

"Ajaklah. Nanti apa kata mereka kalau Murni tak undang!" Rania memberi peringatan.

"Ye Murni, ajaklah."

"Sempat lagi ke?"

"Ajak aje tanda ingatan,"

"Tengoklah macam mana," sahut Murni. Dia duduk di atas permaidani, bersebelahan Rania. Lincah tangan mak andam membalut jari-jemari Rania dengan inai basah menarik hati Murni. Jari-jemari Rania putih dan runcing. Murni tatap pula muka Rania yang putih mulus. Dagunya berlekuk.

Rania memang gadis yang sangat cantik. Tak hairanlah kalau Abang Qayyum jatuh cinta padanya. Dia baik pada aku tapi aku tetap tak suka pada dia! Murni bermonolog sendirian.

Selesai kerja menginai, mak andam menyuruh Rania duduk diam-diam. Dia pergi dan menyuruh Rania membersihkan inai di jari selepas sejam.

"Akak nak turun tengok budak-budak kejap," kata Rindu. Tinggal Murni bersama Rania di dalam kamar. Murni bergerak ke jendela. Dia melihat bulan di langit yang kelam. Kosong fikiran Murni saat itu. Dia tidak dapat memikirkan apa-apa kerana masih terkejut menerima berita bahawa Rania akan bernikah dengan Ummar Qayyum dalam masa terdekat. Perutnya dielus lembut. Kerana anak dalam kandungan ini, aku terpaksa menahan hati! Getusnya.

Rania pula memerhatikan gelagat Murni. Wajah Murni resah. Risaukan kandungannya barangkali, fikir Rania namun dia bersyukur kerana Murni mulai diterima di rumah itu walaupun ada ketikanya Murni sering disindir dan diperli oleh ibu dan Makcik Rohaya. Teringat pula Rania akan gulungan tilam di dalam bilik Rais.

Minggu lepas dia perasan tilam itu sudah tidak ada lagi di dalam kamar tersebut. Mudah-mudahan Abang Rais dapat menerima Murni seadanya dan mudah-mudahan Murni dapat menerima ketentuan bahawa jodohku dengan Abang Qayyumnya, fikir Rania. Dia berbual-bual kosong dengan Murni apabila Murni kembali duduk di sebelahnya.

Murni berdiri apabila terdengar ketukan di pintu bilik Rania. Pintu terkuak.
Wajah Puan Sri Zalia tersadai penuh kepuasan. Sebelum mendengar suara sindiran Puan Sri Zalia terhadap dirinya, Murni meminta diri untuk kembali ke biliknya. Puan Sri Zalia tutup pintu kamar.

"Tak basuh inai lagi?" Tanya Puan Sri Zalia. Baru Rania teringat. Segera dia masuk ke bilik mandi dan membersihkan balutan inai di jarinya. Jari-jemarinya yang putih dan runcing kelihatan berseri dengan inai merah menyala.

"Cuba sarung cincin yang Qayyum beli tu," arah Puan Sri Zalia. Sebaik saja tersarung cincin bertatah berlian di jari Rania, perasaannya jadi gementar mendadak.

"Mama....Ren berdebar-debarlah,"

"Memanglah!" Sahut Puan Sri Zalia lembut. "Cantik cincin ni di jari Ren,"
pujinya lagi.

"Terima kasih mama,"

"Alhamdulillah. Semua dah selesai dan berjalan lancar setakat ni," Puan Sri Zalia memberi laporan.

"Syukur ye mama. Tak sangka dalam seminggu semuanya okey,"

"Yelah...mama gembira sangat-sangat. InsyaAllah tercapai impian mama nak tengok Ren kahwin dengan Qayyum." Puan Sri Zalia bertatapan dengan anak gadisnya. Dia kagum dengan kecantikan anugerah Allah pada anak gadisnya itu.

"Mama indahnya saat ni. Ren tak pernah sangka Ren akan gembira kahwin cara ni.
Ringkas, mudah dan cepat. Ren bahagia sangat. Terima kasih kerana menyokong keputusan kami." Di dada ibunya, Rania labuhkan wajah. Tak henti-henti mulutnya melafazkan syukur.

"Mama pun happy sangat. Tak sangkakan nikah cara macam ni lagi seronok."

"Tulah...."

"Mama doakan Ren akan jadi isteri yang terbaik buat Qayyum, jadi ibu yang hebat untuk anak-anak Ren. Mama bangga jadi ibu Ren...mama bangga dapat anak yang berhati mulia macam Ren."

"Ren pun sama tapi boleh tak kalau ...Ren nak minta sesuatu?" Puan Sri Zalia pegang bahu Rania lantas muka anak gadisnya direnung. "Apa dia?"

"Lepas ni boleh tak mama berbaik-baik dengan Murni...sian dia!" rayu Rania.
Lebaran senyuman Puan Sri Zalia melapangkan dada Rania.

"InsyaAllah..."

Sekali lagi ketukan kedengaran. Rania membuka pintu kamar. Mak cik Rohaya tersengih-sengih dengan rupa orang bersalah. Rania tarik tangan pembantu rumah yang disayangi itu.

"Mak cik nak ucap tahniah. Mak cik nak jadi orang paling awal ucap tahniah."
Ayat itu kedengaran begitu syahdu dan tulus. Perempuan tua itu dipeluk Rania.

"Makcik gembira sangat-sangat," ujarnya lagi. Air mata gembiranya bergenang.

"Ren tahu. Terima kasih kerana mendoakan Ren. Ren ingat kata-kata mak cik. Allah Kabul doa mak cik."

"Mak cik akan teruskan doa untuk Ren. Semoga pernikahan dan perkahwinan Ren dengan Qayyum sentiasa dalam keadaan bahagia, dan dipelihara Allah sampai bila-bila,"

"Terima kasih mak cik....sayang mak cik,"

"Ren kena tidur awal. Jangan berjaga lewat malam. Nanti kurang seri masa nikah nanti," Puan Sri Zalia memberi ingatan sebelum dia bersama pembantu rumah meninggalkan Rania bersendirian di kamar.

"Baik mama. Selamat malam," ucap Rania. Dilakukan solat sunat syukur dua rakaat sebelum dia menarik selimut. Baru saja mata hendak dipejam, telefonnya berbunyi.

"Assalamualaikum tunang," suara Ummar Qayyum membuatkan matanya terbuka besar.
Dia tersenyum seketika. Tiga hari mereka berjanji untuk tidak berjumpa dan berhubungan walaupun menerusi telefon bimbit.

"Waalaikumsalam, kata tak nak berhubung,"

"Memang pun...tapi I berdebar menunggu esok,"

"I pun..."

"Tak sabar nak tengok you esok,"

Rania diam. Dari kamarnya dia dapat melihat langit yang dihiasi bulan.

"Sayang sangat pada you Rini," bisik Ummar Qayyum. Rania terkedu. Lama benar panggilan Rini tidak didengar. Rania menghela nafas.

"Terima kasih kerana bersetuju untuk bernikah dan menemani I balik ke Sweden. I sangat-sangat hargai."

"Terima kasih kerana sudi lamar I jadi suri hidup you," sahut Rania perlahan.
Perasaannya tiba-tiba jadi pilu dan hiba. Tidak sangka segala aral nan melintang yang pernah dilalui mereka akhirnya dapat mereka tepis bersama-sama.

"Looking forward to be your hubby!"

Rania tersengih sedang air matanya mulai bergenang.

"Jaga diri baik-baik ya sayang," lunak suara Ummar Qayyum mendamaikan perasaannya.

"InsyaAllah abang Qum Qum,"

Ummar Qayyum tergelak.

"Kantoi romantik bila you sebut Qum Qum." Tawa Rania kedengaran.

"Tidur awal malam ni tau. Jumpa sayang esok!"

"Okey,"

"Assalamualaikum sayang,"

"Waalaikum salam,"

Rania tarik selimut. Tubuhnya sudah di bawah selimut. Tangan kanannya diangkat. Rania perhatikan jari-jemarinya yang merah berinai. Sebentuk cincin indah gemerlapan tersarung di jari manisnya. Dikucupnya cincin berlian yang bertenggek di jari manisnya yang runcing. Dadanya berdebar-debar. Aku bakal akan jadi isteri!

Esoknya, Rania teresak tatkala telinganya menangkap lafaz senafas dari mulut Ummar Qayyum "Aku terima nikahnya Rania binti Razlan dengan mas kahwin sebanyak RM300 tunai. "Ya Allah...terima kasih atas cinta ini!" bisiknya. Setitis air mata kesyukuran meleleh di pipi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved