Jumaat, 23 November 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Mahu watak lebih mencabar

Posted: 22 Nov 2012 05:32 AM PST

"NAMPAK macam Sahara Yaacob tak?" seloroh Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz atau Johan, 28, sambil menggoyang-goyangkan kepalanya. Aksi spontan Johan itu tercetus ketika hadir ke studio Balai Berita, NSTP untuk sesi fotografi bersama Harian Metro, baru-baru ini.

Dia merujuk kepada fesyen rambutnya yang kerinting dan menggerbang itu tidak ubah seperti Sahara Yaacob, penyanyi rock dan blues terkenal pada tahun 80-an.

Nyata aksi Johan pada petang itu cukup menghiburkan hati sebagaimana kita melihat telatahnya dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan juga pentas Maharaja Lawak.

Hadir ditemani isterinya, Ozlynwati, Johan juga tidak henti-henti mengusik jurukamera tatkala diminta menggayakan pelbagai aksi yang diminta.


Selain Johan, Nabil atau Nabil Ahmad juga hadir sama kerana mereka berdua digandingkan dalam filem terbaru, Pontianak vs Orang Minyak yang bakal menemui penonton di pawagam tanah air mulai semalam.


Filem ini adalah gandingan kedua mereka selepas masing-masing disatukan dalam filem Bujang Terlajak. Diarahkan Afdlin Shauki, Pontianak vs Orang Minyak bergenre komedi seram turut membariskan ramai pelakon hebat antaranya Sharifah Shahirah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Khir Rahman dan Fizz Fairuz.

Mengakui semakin kerap ditawarkan peranan komedi, Johan berharap dapat keluar daripada kepompong watak yang sama kerana bimbang lama kelamaan penonton akan bosan.

"Saya akui untuk tahun ini saja hampir 15 tawaran filem terpaksa saya tolak berikutan semuanya menawarkan watak komedi. Memang saya seorang pelawak dan pastinya watak komedi lebih sinonim dengan diri, namun begitu sampai bila saya akan berada dalam watak sedemikian? Satu hari nanti saya juga mengharapkan watak yang serius.

"Pernah juga saya ditawarkan watak serius tetapi masa itu jadual kerja saya bertembung dengan waktu penggambaran lain menyebabkan saya terpaksa menolak tawaran itu.

Saya berharap satu hari nanti peluang memegang watak serius akan datang semula.

"Di samping itu, ia juga dapat membuktikan kepada penonton walaupun seorang
pelawak, saya juga mampu membawakan watak serius atau mungkin juga watak jahat," katanya yang kini sibuk dengan musim baru Maharaja Lawak Mega 2012.

Selain berlakon, Johan juga bergelumang dengan tugas rutinnya di konti Era FM bersama Hanif dan Ray, setiap pagi. Nyata kesibukan itu berbaloi apabila Era FM kini dinobatkan sebagai stesen radio paling popular di Malaysia.

Bagi Johan, itu semua adalah rezeki dan kerja keras semua kakitangan Era FM bagi menaikkan semula 'rating' mereka.

"Mungkin ada yang berkata kejayaan ini kerana kehadiran saya yang berjaya menyerikan suasana sehingga menarik pendengar untuk setia bersama Era.

"Pada pendapat saya, ini adalah usaha dan kerja keras semua kru Era FM yang sentiasa berani melakukan perubahan demi kepuasan pendengar kami," katanya.

Selain gembira dengan kejayaan itu, Johan terharu apabila rancangan komedi lakonannya Elly & Epit berjaya memenangi kategori Siri Komedi Terbaik pada Anugerah Skrin 2012, baru-baru ini.

"Alhamdulillah banyak kejayaan yang saya peroleh sejak kebelakangan ini dan semua ini adalah kerjasama daripada semua pihak yang banyak memberi peluang kepada saya. Justeru, bukan hendak memilih watak. Saya berharap biarlah diberikan peranan yang memberi kesan mendalam kepada penonton," katanya.

Kenapa Nabil tarik 'brek'?

SEPERTI Johan, Nabil juga semakin selektif dalam pemilihan watak. Menurutnya, dia terpaksa menarik 'brek' selepas filem Pontianak vs Orang Minyak kerana selepas ini perlu memberi lebih fokus terhadap kerjaya sebagai penyampai radio, selain sibuk dengan program terbaru Astro, Meletop, bergandingan dengan aktres cantik, Neelofa.

"Saya mengimpikan satu watak yang berjaya memberi kesan bukan hanya pada penonton tetapi pada pihak produksi sendiri. Ada sesetengah filem, jalan cerita tidak menarik tetapi disebabkan pelakon yang terbabit popular, ia mendapat sambutan namun hakikatnya filem itu tidak memberi kesan mendalam kepada semua.

"Saya tidak mahu perkara itu berlaku pada saya. Semakin lama berada di dalam industri ini, saya melihat dari pelbagai sudut. Justeru, saya berharap dapat berlakon di bawah arahan pengarah yang berkaliber seperti Afdlin dan Mamat Khalid.

"Seperti filem Pontianak vs Orang Minyak, saya lihat filem ini memberi kesan kepada diri kerana ia cabaran baru apabila buat pertama kali kelainan cuba ditampilkan apabila lelaki menjadi puntianak yang biasanya kita hanya dengar puntianak adalah seorang perempuan," katanya.

Tidak mahu watak komedi terus membayangi dirinya, Nabil berharap dapat diberikan watak yang lebih mencabar seperti polis dan penjenayah.

Berminat dengan tawaran melakonkan peranan Pontianak dalam filem Pontianak vs Orang Minyak, Nabil melihat dari pelbagai sudut di mana ia satu kelainan yang cuba ditampilkan pengarahnya.

Ia juga pengalaman baru buat Nabil apabila pertama kali melakonkan watak hantu walaupun peranannya dalam filem ini dibawakan secara komedi.

"Sebagai pelakon dan pelawak, saya tidak mahu terus dilabel kaki lawak. Apabila sudah menjadi pelakon, pastinya saya mengimpikan diberi pelbagai watak sama seperti pelakon lain.

"Sekurang-kurangnya jika mendapat watak komedi, biarlah komedi itu berjaya memberi kesan kepada semua dan bukan hanya komedi semata-mata," katanya yang bakal menimang cahaya mata beberapa bulan saja lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22



Hot FM, Usop tak gaduh

Posted: 22 Nov 2012 05:22 AM PST

DUA tahun lalu, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) nyata berjaya melonjakkan nama Shy8 sebagai pelakon komedi popular. Malah, berpaksikan gelaran 'Usop Wilcha', dia memahat nama sebagai anak seni yang diminati ramai.

Hingga kini nama Usop Wilcha cukup sinonim dengannya termasuk di konti radio Hot FM.

Pun begitu, Shy8, 47, akhirnya memaklumkan kepada pihak media mengenai keputusannya untuk mengundur diri sebagai penyampai radio Hot FM yang disertai sejak 16 Jun tahun lalu. Bersandarkan alasan kukuh seperti faktor pengurusan masa dan usia, Shy8 nekad dengan keputusannya dan tidak kisah apa reaksi masyarakat.

Malah, dia juga menafikan wujudnya sebarang pergeseran atau bergaduh dengan mana-mana pengurusan stesen radio popular itu.


Bagaimana pula penerimaan pihak pengurusan Rangkaian Radio Media Prima Berhad (MPB) berikutan tindakan mengundur diri yang dibuat Shy8 memandangkan kontrak yang ditandatanganinya masih berbaki enam bulan lagi?


Justeru, dalam kenyataan media yang dikeluarkan pengurusan Rangkaian Radio MPB, semalam, mengumumkan, Shy8 atau nama sebenarnya, Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalullail akan menamatkan kontraknya sebagai penyampai Hot FM pada 30 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio MPB, Seelan Paul berkata, penamatan kontrak itu dibuat atas sebab Shy8 atau Usop ingin memberikan sepenuh fokusnya terhadap beberapa projek beliau seperti penulisan skrip bagi filem Mamat Khalid serta mengikuti promosi filem lakonannya yang akan ditayang tidak lama lagi.

"Selain itu, Usop juga giat melaksanakan program bual bicara yang akan dihoskan sendiri. Jadi, kami amat menghormati keputusannya itu. Lagi pun, sepanjang berkhidmat di bawah Hot FM, Usop adalah seorang yang sangat berdedikasi dan bertanggungjawab.

"Dia cukup komited dengan tugas selaku seorang penyampai radio serta kreatif sebagai kakitangan di belakang tabir. Dia turut menyumbangkan penghasilan lirik lagu parodi yang dinyanyikan Hot FM AM Krew," katanya.

Menurut Seelan lagi, beliau yang mewakili Hot FM ingin merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Usop sepanjang pembabitannya bersama stesen itu. Bahkan, katanya pihak pengurusan radio juga sedia memberi sokongan berterusan serta bergabung dengan Usop bagi projek yang akan datang.

Berhubung laporan pihak media tempatan, kelmarin, Shy8 turut menolak dakwaan pengundurannya sebagai penyampai radio disebabkan populariti diri yang sudah merudum. Katanya, tindakan itu dilakukan kerana faktor pengurusan masa dan usia.

"Sekarang, saya dah berumur 47 tahun. Saya sudah tidak larat untuk melakukan kerja lain pada waktu malam dan terpaksa pula bangun awal pagi untuk menghiburkan pendengar di radio. Justeru, keputusan yang saya ambil ini sebenarnya demi komitmen masa untuk keluarga dan terbabit dalam cabang seni lain.

"Saya juga tidak kisah dengan segala persepsi masyarakat mengenai pengunduran ini termasuk jika ada yang mengaitkan saya gagal membantu meningkatkan peratus pendengar radio Hot FM. Terpulanglah, orang hendak cakap apa," katanya.

Jelas Shy8, sehingga kini masih ramai lagi yang menyokong kerjaya seninya.
Bahkan, apa yang pasti soal pengundurannya di Hot FM sudahpun lama dibincangkan dengan pihak pengurusan radio berkenaan dan keputusan itu seharusnya dihormati.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved