Ahad, 30 Disember 2012

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


‘Kami tuntut perubahan!’

Posted: 28 Dec 2012 09:50 AM PST

BOSAN dengan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sekian lama tidak berubah, sekumpulan peminat setia bola sepak tempatan tampil mendesak agar rombakan besar-besaran dilakukan badan induk itu termasuk meminta Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah mengundur diri secara terhormat.

Bukan mahu bertindak biadap atau menderhaka, namun selepas sekian lama menyaksikan cerita sama 'disajikan' skuad negara pada pentas antarabangsa serta saingan liga domestik yang sering berubah format tapi tidak menunjukkan sebarang peningkatan, kumpulan yang rata-ratanya peminat setia bola sepak tempatan itu akhirnya memberanikan diri mendesak FAM melakukan rombakan besar-besaran.


Wakil kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Presiden FAM Sila Letak Jawatan' (PFSLJ) itu, Alfadli Awaluddin berkata, beliau serta rakan seperjuangan hanya mempunyai satu niat, membela dan berjuang demi kebaikan bola sepak tempatan.

"Sejak 28 tahun lalu (sepanjang kepimpinan Presiden FAM), kita sering diceritakan kesalahan barisan pemain, jurulatih serta soal teknikal apabila gagal dalam satu-satu kejohanan tapi apa yang kita tidak sedar ialah kegagalan itu banyak berpunca daripada pengurusan, pentadbiran dan struktur FAM sendiri.


"Contohnya seperti yang kita semua sedia maklum, skuad negara gagal mempertahankan Piala AFF dan episod sama berlaku iaitu kesalahan ditujukan kepada jurulatih serta pemain sedangkan sebenarnya pengurusan FAM harus bertanggungjawab," katanya.


Justeru itu, beliau berharap Presiden FAM perlu berundur bagi memberi peluang kepada individu lain mengemudi badan induk itu dengan pada masa sama mengharapkan berlakunya rombakan besar-besaran dalam FAM.

"Bukan kami tidak menghargai sumbangan Presiden tapi kadangkala kita perlukan idea baru bagi merancang masa depan bola sepak tempatan.


"Kekalahan membabitkan skuad negara sesuatu yang biasa bagi kami semua dan selama 28 tahun kami sering disajikan dengan kegagalan. Cukuplah semua ini," katanya.

Alfadli turut menggariskan empat sebab utama mengapa tampuk FAM perlu dirombak.


Pertama, Liga Malaysia (Liga-M) didakwa Gred D dan tidak berdaya saing selain menganggap prestasi pasukan kebangsaan tiada hala tuju apabila mempersoalkan pendirian FAM yang menegaskan ranking tidak penting dan berasa pelik apabila badan induk itu hanya menetapkan sasaran sama di Sukan Sea dan Piala AFF tanpa berani menetapkan sasaran lebih tinggi.


Alfadli juga berkata, sistem bola sepak tempatan tiada visi dan misi yang jelas serta mendakwa pengurusan FAM tidak cekap serta tiada akauntabiliti.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29



Beckham masih tenang

Posted: 28 Dec 2012 09:46 AM PST

LONDON: David Beckham tidak tergesa-gesa untuk berpindah ketika bekas bintang Manchester United itu mempertimbangkan beberapa tawaran pasukan dari seluruh dunia.

Beckham meninggalkan LA Galaxy awal bulan ini selepas kontraknya berakhir dan membantu kelab dari California itu memenangi Piala MLS dan kini mencari kelab tepat bagi menamatkan kariernya yang penuh gemilang.


Bekas pemain tengah Real Madrid berusia 37 tahun yang menghabiskan lima tahun di Los Angeles, dikaitkan dengan QPR di England dan AS Monaco di Perancis, selain pasukan dari China dan Australia.

Seorang jurucakap Beckham berkata, bekas kapten England itu bercadang mempertimbangkan pilihannya sepanjang tempoh cuti dan tidak terdesak untuk membuat keputusan dalam masa terdekat.


"Ada beberapa tawaran serius dari beberapa kelab di seluruh dunia," kata jurucakap itu.


"David tidak terburu-buru untuk membuat keputusan, yang penting adalah satu keputusan tepat seperti yang dilakukannya sebelum ini.

"Ia masih satu proses awal. David seronok menghabiskan masa bersama keluarganya sepanjang tempoh cuti." Difahamkan laporan di Perancis menyatakan Beckham menuntut bayaran tinggi untuk berpindah ke Monaco sebagai tidak tepat.


Monaco, kini menduduki tangga kedua Ligue 2, dilatih bekas pengurus Chelsea, Claudio Ranieri yang sebelum ini menyatakan minatnya membawa Beckham ke kelab itu dan disokong jutawan Russia, Dimitri Rybolovlev. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved