SEGALA kebimbangan yang bersarang di hati penyerang Harimau Malaya, Mohd Safee Sali mengenai masa depannya kini terhapus selepas mengikat kontrak setahun secara pinjaman dengan Johor kelmarin.
Perpindahan mengejutnya ke Johor yang kini dikenali sebagai Darul Takzim FC itu sebagai langkah terbaik untuk menyelamatkan kariernya dalam tempoh terdekat memandangkan dalam situasi yang tidak menentu bola sepak Indonesia.
Kelabnya, Arema Indonesia membenarkan Safee dipinjamkan ke kelab luar untuk tempoh semusim berikutan kelab itu tidak mampu memberi jaminan sekiranya Fifa akan menggantung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) pada 10 Disember ini berikutan kemelut dalaman yang melanda bola sepak negara itu.
Meskipun membuat keputusan dalam masa yang singkat, Safee yakin keputusannya itu membolehkannya memberi keutamaan kepada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
"Johor mahu urusan perpindahan ini diselesaikan dengan cepat kerana tarikh tutup pendaftaran pemain Liga Malaysia pada 6 Disember ini (hari ini).
"Saya rasa lebih tenang dan lega apabila perkara ini selesai dan ia tidak lagi mengganggu persiapan menghadapi Thailand," katanya.
Safee, 28, memulakan karier di Indonesia pada Februari 2011 bersama Pelita Jaya FC dan bergelar pemain jutawan selepas ditawarkan kontrak lanjutan oleh kelab itu selama dua tahun dengan nilai lebih RM2 juta.
Katanya, mengikut kontrak pinjamannya, dia boleh dipanggil bermain dengan Arema Indonesia semula jika diperlukan selepas enam bulan.
"Saya tidak pasti sejauh mana situasi PSSI, jadi ini adalah cara untuk saya menyelamatkan karier saya buat masa ini.
"Tapi jika PSSI tidak dikenakan tindakan, kelab saya boleh memanggil saya semula namun perlu mendapat persetujuan bersama dengan Johor," katanya.
Safee, pemain kelahiran Kajang, Selangor itu dilaporkan menerima gaji lebih tinggi dengan Johor berbanding RM91,215 sebulan yang diterima daripada kelab asalnya.
Penjaring terbanyak AFF 2010 itu berharap dapat kembali sembuh daripada kecederaan otot paha untuk beraksi menentang Thailand.
Selain Safee, pemain lain yang bakal beraksi bersama Johor termasuk ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim serta pasangan kembar Mohamad Aidil Zafuan dan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak dan seorang lagi penyerang negara Norshahrul Idlan Talaha.
Safee berkata dia akan menyertai latihan bersama pasukan Johor selepas berakhir Piala AFF.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06
0 ulasan:
Catat Ulasan