Sabtu, 8 Disember 2012

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Masak’ duit chef

Posted: 07 Dec 2012 04:41 PM PST

SUBANG JAYA: Dia mengaku bersedia menjadi isteri, malah sanggup tinggal bersama sebelum diijab kabul, namun itu semua sekadar helah seorang wanita berusia 33 tahun bagi mengikis duit lelaki yang terpedaya sebelum dia licik menghilangkan diri.

Menjalankan aktiviti penipuan itu sejak 10 tahun lalu, suspek dipercayai sudah menipu sekurang-kurangnya lima lelaki yang setiap seorang kerugian RM20,000 hingga RM80,000.


Ini bermakna suspek mempunyai lebih daripada seorang teman lelaki serentak dan semuanya dijanji untuk berkahwin sebelum menghilangkan diri selepas sejumlah wang yang besar dimasukkan dalam akaunnya, konon untuk belanja mengurus majlis perkahwinan.

Mangsa terbarunya ialah seorang chef sebuah hotel terkemuka di sini dikenali sebagai Roslan, 39, yang kerugian hampir RM40,000 selepas diperdaya wanita terbabit sebelum laporan dibuat di Balai Polis Subang Jaya, jam 11 malam kelmarin.


Roslan berkata, dia mengenali wanita itu pada 2002 selepas dihubungi melalui telefon sebelum memberi alasan tersalah nombor telefon.


"Seminggu kemudian, dia meminta bantuan mendakwa dilanda masalah kerana melarikan diri daripada tempat kerjanya serta memerlukan perlindungan.

"Biarpun mengetahui saya tinggal di rumah bujang dengan dua rakan lain, dia bertegas untuk tinggal bersama saya," katanya.


"Dia meminta wang daripada saya RM800 hingga RM1,000 sebulan yang dikatakannya mahu digunakan untuk perbelanjaan dan simpanan bagi majlis perkahwinan yang dirancang pada hujung tahun ini," katanya.

Menurutnya, suspek turut membawanya pulang ke kampung di selatan tanah air bagi bertemu keluarganya.


Roslan berkata, disebabkan terlalu menyayangi suspek dia akur setiap permintaannya.


"Sebelum saya berpindah ke Brunei untuk bekerja di sana selama tiga tahun, saya membuka akaun bank untuk dia menyimpan wang bagi majlis perkahwinan kami.


"Memang ada rakan memberitahu dia perempuan liar, tapi saya tak percaya. Saya tidak pasti sama ada disihir atau tidak, tetapi setiap permintaannya saya patuhi seperti lembu dicucuk hidung," katanya.


Roslan berkata, apabila dia kembali semula ke tanah air, dia mengajak suspek berkahwin, apatah lagi wang simpanan mereka sudah mencukupi.


"Namun, bila diajak berkahwin pada 2005, dia mula mengelak dengan memberikan pelbagai alasan. Awal bulan ini, saya memintanya memulangkan semula wang simpanan kami jika dia enggan berkahwin dan selepas itu dia menghilangkan diri," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08



‘Kaki saya hancur’

Posted: 07 Dec 2012 04:40 PM PST

JOHOR BAHRU: "Tolong, sakit, kaki saya hancur," raung Lee Fong Chan, 58, selepas kedua-dua kakinya hancur dilenyek bas henti-henti di Jalan Teratai, Taman Johor Jaya di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa yang juga penumpang bas berkenaan, turun dari kenderaan itu yang berhenti berhampiran persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah stesen minyak.


Bagaimanapun, pergerakan lambat Fong Chan dari Taman Johor Jaya, di sini, tidak disedari pemandu yang menyangka warga emas itu sudah benar-benar turun dari bas, lalu memandu kenderaan itu. Seorang saksi yang dikenali sebagai Haikal, 18, berkata, ketika kejadian, wanita itu sedang menuruni tangga bas apabila kenderaan berkenaan tiba-tiba bergerak.

"Ia menyebabkan wanita berkenaan terjatuh dan kedua-dua kakinya dilenyek tayar bas. Saya serta beberapa orang lain yang berada di situ cuba membantu dengan menenangkannya sementara menunggu ambulans," katanya.


Menurut Haikal, keadaan menjadi kecoh apabila beberapa individu bertengkar dengan pemandu bas serta cuba menyerang lelaki berkenaan, tetapi keadaan reda apabila polis tiba di tempat kejadian.


"Sebagai penumpang, kami berharap pemandu bas lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian seperti ini berulang lagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas terbabit tidak berhenti di hentian bas yang disediakan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.


"Pemandu itu turut mendakwa tidak menyedari mangsa menuruni tangga bas. Berikutan kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Pandan untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved