Jumaat, 14 Disember 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Afiq selesa watak romantik, ‘cool’

Posted: 13 Dec 2012 07:06 AM PST

KEBERKESANAN wataknya sebagai Emir dalam siri Mimpi Cinderella bersama Eina Azman yang hangat ditayangkan menerusi slot Lestary di TV3, memberinya satu nafas baru. Barulah wajah kacaknya membuka mata ramai penonton dan namanya mula disebut-sebut sebagai pengganti hero Melayu sedia ada.

Impiannya besar untuk membina nama dalam industri seni. Sedang niatnya juga mendapat sokongan padu daripada keluarga terutama ibunya, sebaik tamat persekolahan, lantas dia mencuri ruang dan peluang demi menukar angan-angan itu mula menjadi kenyataan.

Muhamad Afiq Muiz Azman Shah atau popular sebagai Afiq Muiz, 20, awalnya galak mengaktifkan diri di pentas peragaan fesyen lantaran tidak mahu mensia-siakan asetnya yang bertubuh lampai. Sekalipun mulai seronok dengan bidang 'baru' itu, jauh di sudut hatinya, dia masih memburu profil sebagai pelakon yang nyata lebih diidamkan.

Menyelami jiwa pemuda tampan berkenaan pada petang itu, ada banyak perkara padanya yang perlu dibanggakan. Bukan semata-mata mahu menjadi pelakon dan meraih populariti, hala tujunya nyata lebih mendalam.


"Sambutan memberangsangkan yang saya terima menerusi siri Mimpi Cinderella satu berita yang sangat menyeronokkan dan menjadi titik permulaan positif buat karier seni saya. Ikhlas cakap, saya terharu dan gembira apabila siri berkenaan mula membuka mata penonton terhadap bakat lakonan saya.


"Tidak dinafikan, besar juga impak siri itu apabila kini saya dapat merasa sendiri perbezaan ketara. Jika sebelum ini apabila keluar rumah, mungkin tiada yang perasaan dan menegur saya, tetapi kini tidak lagi. Ke mana-mana saja saya pergi sekarang, pasti ada yang akan menegur dan mengajak saya bergambar.

"Terima kasih tidak terhingga juga buat keseluruhan yang terbabit dalam siri ini. Saya cukup bertuah dapat bersama mereka dan keseronokan yang wujud juga nyata membantu saya memberikan lakonan terbaik untuk watak itu.

"Kebetulan pula, watak Emir ada banyak persamaan dengan saya maka tidak banyak yang perlu dibuat untuk menjayakan karakter itu. Apapun, sekurang-kurangnya usaha keras selama ini berbaloi dengan pencapaian itu.

"Namun saya tidak mahu terlalu riak menyedari ia baru permulaan untuk kelangsungan karier. Semestinya saya gembira, tetapi pada masa sama perlu menyusun strategi serta memikirkan usaha untuk terus pergi jauh," kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Pernah suatu ketika menjadi penjual burger sebelum berkecimpung serius dalam bidang ini, Afiq juga menyedari dalam apa juga lapangan, paling penting adalah usaha. Mengagumi lakonan aktor popular, Hugh Jackman, Afiq punyai cara tersendiri untuk memperbaiki kemahirannya berlakon.

Terbuka untuk menerima apa juga jenis watak dalam usahanya terus berjaya, apapun dia masih ada penetapan kriteria terhadap karakter yang diberikan buat masa ini agar bersesuaian dengan usianya.

"Saya tidak mempunyai rujukan peribadi untuk mencorakkan karakter bagaimana yang saya mahukan kerana ingin mencipta identiti sendiri biar peminat tahu itu adalah saya. Bagaimanapun, kebanyakan masa saya akan habiskan untuk melihat cara lakonan pelakon senior dan dari situlah saya belajar.

"Pelakon tempatan pun ramai yang sangat bagus dan saya akui suka melihat cara lakonan beberapa aktor kita. Jadi menerusi pemerhatian itulah saya akan jadikan panduan setiap kali ke set penggambaran.

"Sesuai dengan usia saya juga, jiwa saya lebih ke arah watak yang lebih ringan dan masih mencerminkan sifat keremajaan itu. Buat masa sekarang, saya idamkan watak seorang pemuda yang romantik dan 'cool'.

"Seperti juga pelakon lain, saya masih mengutamakan kualiti pada watak saya dan seboleh-bolehnya mengelakkan sekiranya diberikan watak yang membuatkan saya kelihatan bodoh. Manakala untuk watak berat juga begitu, bukan tidak mahu, tapi belum lagi bersedia menggalas tanggungjawab itu," kata bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini.

Pernah memegang watak utama juga menerusi siri Aishiteru yang disiarkan di TV9 sebelum ini, kelibat Afiq bagaimanapun gagal menyerlah tidak seperti sekarang.
Mengakui hal itu juga disebabkan dia kurang mendapat publisiti, Afiq yang kini baru bernaung di bawah pengurusan MASK turut berbesar-hati dengan langkah barunya itu.

Walaupun belum sampai sebulan, dia kini merasa lebih yakin dengan perkembangan kerjayanya lebih-lebih lagi sudah ada orang menjaganya.

"Ini sesuatu yang cukup menggembirakan kerana saya sekarang sudah mula berkenalan dengan media. Selain itu, mereka juga cukup arif untuk mengatur jadual dan saya amat berharap selepas ini perjalanan saya lebih teratur di samping mendapat tawaran yang lebih banyak," katanya.

Masih mengintai sebarang tawaran untuk membintangi filem pula, setakat ini, Afiq sudah tampil dalam beberapa siri termasuklah Tiara, Hanya Dengan Bismillah, Syukur Allah, Tanah Kubur dan baru habis menjalani penggambaran drama berjudul Duri.

Turut aktif iklan komersial, dia juga pernah menjadi model bagi video muzik Got To Go (Najwa Mahiaddin), Sesaat kau Datang (Ramlah Ram feat Sleeq) dan iklan Bank Islam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13



Soseh Soseh: Ramal bisnes bungkus

Posted: 13 Dec 2012 05:52 AM PST

TERKADANG SS tidak faham dengan orang Melayu. Bukan hendak memperlekehkan bangsa sendiri tetapi kecewa dengan sikap orang kita yang tidak boleh melihat kejayaan orang lain.

Baru-baru ini SS sempat berbual dengan beberapa individu yang terbabit secara langsung dalam industri hiburan dan mereka adalah orang yang bekerja secara dengan artis tempatan.

Seronok sekali-sekala dapat berbual dengan golongan ini kerana banyak informasi yang SS dengar mengenai kisah artis di sebalik tabir. Macam-macam gelagat, ada yang 'palsu' dan ada yang 'ikhlas'.

Cuma apabila perbualan menjurus kepada isu untuk melihat bangsa sendiri gagal atau tidak berjaya SS tiba-tiba jadi sensitif. Maksud SS, salah seorang daripada mereka ada meramalkan perniagaan seorang artis akan tutup gara-gara sudah putus dengan kekasihnya.


"Aku dapat tahu artis wanita sudah putus dengan kekasihnya yang kaya-raya.

Lepas ini, tutup perniagaan artis itu, mana tidaknya bisnes yang dibuat sekarang, teman lelakinya yang 'spedo'," kata teman SS itu tadi.

Secara logiknya, mungkin ada benar kata-kata teman SS itu tadi tetapi apalah salahnya kalau perniagaan artis itu terus maju sekalipun tidak lagi bergantung kepada teman lelakinya. Apatah lagi, perniagaan artis wanita itu sudah menjadi buah mulut orang dan mendapat sambutan baik daripada khalayak.

Tidak dinafikan SS juga dengar cerita artis wanita itu dan teman lelakinya sudah berpisah tetapi bukan disebabkan mereka tidak mencintai antara satu sama lain sebaliknya cinta terhalang oleh orang tua.

Jadi SS tidak rasa bekas teman lelakinya mahu melihat perniagaan artis wanita itu tadi musnah sama ada ditaja ataupun perniagaan artis itu diusahakan hasil wang titik peluh sendiri. Akhir kata, wahai orang Melayu berbanggalah apabila bangsa kita maju, buang jauh-jauh sifat syak wasangka dan hasad dengki.

SS: Minta jauh daripada Melayu yang amal kroni.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved