Selasa, 25 Disember 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Diari Krismas 3 jelitawan

Posted: 24 Dec 2012 06:08 AM PST

PERTEMUAN singkat dengan tiga jelitawan ini pada petang itu diiringi keceriaan, maklumlah sambutan Hari Natal semakin hampir. Vanessa Chong, Julie Woon dan Zher Peen, bukan lagi nama asing di persada hiburan hakikatnya mereka bertiga adalah antara pengacara yang berbakat besar di gelanggang masing-masing.

Sekadar bermula sebagai pengurus kepada adiknya iaitu Vince Chong, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Vanessa misalnya tidak pernah menoleh ke belakang lagi selepas popular sebaik menjuarai rancangan realiti berpengaruh, Amazing Race Asia.

Sedari bakatnya cukup tertumpu pada bidang pengacaraan, suri kepada DJ terkemuka, Moots itu melangkah yakin berbekalkan kepetahannya berkata-kata menelusuri dunia itu sehinggalah beroleh ruang di program bual bicara wanita, Bella.

Petang itu, sekali dia membuka mulutnya, banyak yang diceritakan mengenai kerjayanya dan ternyata pengacaraan cukup dekat di hatinya.


"Semakin saya menerima banyak tawaran pengacaraan, semakin dalam kecintaan saya pada bidang ini. Namun, saya paling berterima kasih terpilih menjadi hos Bella kerana menerusi rancangan ini, saya dapat melihat perubahan ketara pada diri saya.


"Mengendalikan rancangan sebegini ada cabarannya tersendiri kerana skop topik terlalu luas daripada yang senang hinggalah isu-isu sensitif dan serius. Paling utama, saya mempelajari banyak benda baru.

"Cara beginilah yang saya amat gemari kerana bukan saja saya kena bercakap secara langsung dan bertanya soalan semata-mata kepada tetamu jemputan namun harus meneliti serta membuat kajian menyeluruh terlebih dulu. Apatah lagi jika topik berkenaan menyentuh mengenai isu berat, kena betul-betul ada ilmu yang kuat sebelum membincangkannya," katanya yang kini lebat menerima tawaran mengacarakan pelbagai majlis korporat.

Pernah membabitkan diri dalam pentas lakonan, Vanessa yang berlakon dalam Cinta Lelong, 30 Hari Mencari Cinta, filem Talentime dan bakal muncul dalam filem Darah Panas tahun depan kini mengintai pula peluang berlakon muzikal.

"Saya sangat sukakan muzikal dan itu antara impian saya selama ini. Belum pernah ditawarkan membintangi mana-mana karya sebegitu, saya mengidamkan untuk melakukan sebuah cerita komedi muzikal.

"Seronok rasanya dapat menyanyi dan berlakon pada masa sama meskipun saya bukanlah seorang penyanyi yang hebat. Namun, unsur muzik itu sendiri cukup menguatkan lagi cita-cita saya membabitkan diri tidak kisah teater, drama ataupun filem. Saya sukakannya!" katanya.

Teruja berbicara mengenai sambutan Krismas, perkara wajib yang akan dilakukannya setiap kali menjelang perayaan itu adalah menghambakan dirinya di dapur. Siapa sangka wanita berusia 33 tahun itu pakar memasak.

"Itulah rutin wajib setiap kali Krismas. Seperti biasa, malam sebelumnya, kami akan mengadakan makan malam bersama seisi keluarga dan di situlah peranan saya sebagai tukang masak bermula.

"Saban tahun, saya akan memasak juadah wajib iaitu German Shepherd Pie yang mana seharian jugalah saya terperuk dalam dapur. Bukan itu saja, terdapat beberapa lagi menu wajib akan saya masak, biarpun letih, saya seronok melakukannya. Saya terbayang wajah kegembiraan ahli keluarga menikmati hidangan itu di meja makan nanti," katanya.

Bagi pengacara Quickie 8TV, Julie, 28, sambutannya kali ini ternyata berbeza kerana tanpa kehadiran bapa tercinta malah dia meraikannya di kota London.

Buat pertama kali tidak menyambut di negara sendiri, biarpun hanya bersama abang dan ibunya, Julie masih lagi merasakan keseronokan untuk menikmati perayaan itu. Malah, dia juga sudah ada perancangan sendiri setibanya di ibu kota England itu.

"Agak sedih juga kerana sambutan kali ini tidak lengkap tanpa bapa. Tapi saya memahami kesibukannya yang terikat dengan komitmen kerja di sini. Apapun, saya amat teruja untuk berjumpa dengan ahli baru keluarga kami, anak buah saya buat pertama kali.

"Selepas abang berhijrah ke London, kami belum berpeluang lagi bertemu sendiri bayi lelakinya yang berusia 11 bulan. Selain itu, teman-teman saya juga ramai di sana dan mahu mengambil kesempatan untuk keluar bersama mereka," kata pelakon siri Blogger Boy itu.

Meskipun sibuk mengacarakan Petronas Motorsports (Astro) dan Quickie 8TV, Julie juga sudah terfikir untuk merancang sebuah perniagaan hasil perbincangan bersama ibunya. Mengakui ia satu projek yang penting demi jaminan pendapatan jangka masa panjang, dia tidak menolak suatu hari nanti dia akan beralih bidang pula.

"Bukan bosan mengacara namun saya mahu mencuba cabaran baru menerusi bisnes pula. Sedari jaminan dalam bidang hiburan tidak tentu, disebabkan itu saya terfikir lebih baik membuat sesuatu yang boleh berpanjangan memberi pulangan buat keluarga saya.

"Perniagaan yang saya maksudkan adalah pengurusan hotel. Saya dan ibu sudah mengenal pasti satu kawasan bangunan lama di sekitar Melaka dan bercadang untuk menjadikannya sebuah hotel. Paling awal pun kami laksanakan projek ini adalah penghujung tahun depan," katanya.

Manakala pengacara serta DJ Fly FM, Zher pula tidak teruja sangat dengan sambutan Krismas seperti yang lain. Bekerja di konti hari ini, gadis bertubuh kecil berusia 26 tahun ini memilih untuk bersederhana saja kerana hakikatnya dia sudah tidak menyambut perayaan itu.

"Seingat saya, kali terakhir merasai kemeriahan Natal adalah sewaktu berusia 11 tahun. Seperti biasa, menjelang perayaan itu, paling seronok adalah apabila sudah berkumpul ramai-ramai dan seorang ibu saudara saya memasak pelbagai juadah lazat.

"Apapun, saya mengambil keputusan untuk memilih haluan kepercayaan sendiri namun saya tetap menemani ibu bapa membeli-belah kerana mereka masih menyambutnya. Walaupun bekerja di hari Krismas, saya masih akan mengambil kesempatan meluangkan masa pulang untuk makan malam nanti," kata wanita berusia 27 tahun itu.

Empat tahun berlalu, Zher sangat bersyukur diberikan tempat dalam program Quickie 8TV. Ternyata perubahan terbesar yang berlaku padanya adalah keyakinan untuk berada biar di depan kamera mahupun di luar sekalipun.

"Saya memang suka bercakap depan kamera namun seperkara yang menjadi penghalang buat saya menyerlah di awal-awal dulu adalah tahap keyakinan itu sendiri. Bagaimanapun, semakin lama terbabit dalam program secara langsung sebegini, saya semakin yakin dan perkara itu juga terbawa sehingga ke luar set.

"Bukan saja pengalaman itu mengajar saya untuk mengendalikan program itu dengan bagus, kini apabila berjumpa dengan kenalan baru, saya sudah ada keyakinan berbual bersama mereka," katanya yang akan tampil pula mengacarakan rancangan mengenai wanita, G-Thong di 8TV pada tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24



Wani siapkan diri

Posted: 24 Dec 2012 05:58 AM PST

PENGALAMAN mengikut ayahnya yang juga pengurus artis menghadiri pelbagai majlis ketika berusia 12 tahun, memberi peluang kepadanya untuk lebih mendekati bidang muzik, sekali gus memberi ruang kepadanya menimba pengalaman sebagai penyanyi sandaran untuk beberapa artis terkenal.

Diam tak diam, Nurul Syazwani Mohd Basir atau Wani, 18, sudah menginjak remaja dan kini sedang giat menyiapkan diri menyanyikan lagu-lagu yang bakal dinyanyikan oleh penyanyi popular. Menyedari minat semakin mendalam terhadap nyanyian, gadis ini turut mendapat peluang menjadi artis tetap golongan VIP.

Bukan mudah untuk memperoleh peluang seperti itu apatah lagi sebelum ini Wani juga pernah menyanyi di beberapa kelab dan restoran demi mencapai impiannya menjadi penyanyi terkenal.

Namun begitu, bukanlah menjadi terkenal yang menjadi keutamaannya tetapi kepuasan memperoleh pendapatan hasil kerja keras sendiri dan dapat berkongsi pendapatan itu bersama keluarga tercinta adalah satu perkara yang begitu indah buatnya.


"Sejak kecil saya sudah didedahkan dengan muzik, selain menguruskan beberapa penyanyi, ayah juga mempunyai kumpulan muzik sendiri. Justeru bermula daripada situ saya mencuba berjinak-jinak dengan bidang nyanyian sehinggalah kini nyanyian sudah sebati dengan diri.


"Dengan pengalaman menyanyi di merata-rata tempat, saya tidak sangka rezeki berpihak kepada saya apabila menjadi penyanyi tetap untuk terus menyanyi di majlis-majlis anjuran VIP. Satu penghargaan dan pengalaman yang bukan mudah dikutip oleh seorang penyanyi dan peluang ini harus saya manfaatkan sebaiknya selagi khidmat masih diperlukan," katanya.

Tidak terlintas bakal mempunyai lagu sendiri, Wani teruja saat penyanyi dan pencipta lagu, Eddie Hamid menawarkannya menyanyi lagu duet berjudul Akur Janji yang sepatutnya dinyanyikan khusus buat seorang kenalan Eddie.

Bagi Wani, tiada yang akan mengubah kehidupannya meskipun sudah mempunyai lagu duet sendiri kerana buat masa ini bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana syarikat rakaman adalah keputusan terbaik setakat ini.

"Tidak pernah terlintas di fikiran akan mempunyai lagu duet sendiri. Pada awalnya saya hanya diberi tanggungjawab untuk merakamkan melodi lagu itu bagi diperdengarkan kepada penyanyi yang bakal menyanyikannya semula.

"Setahu saya, Eddie akan menyanyikan lagu itu secara solo. Entah bagaimana tiba-tiba dia menawarkan saya untuk menyanyikan lagu berkenaan secara duet dan tidak sangka selepas lagu itu diputarkan di radio sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

"Ini adalah permulaan saya sebagai penyanyi, tetapi buat masa ini saya selesa bergerak sendiri, memang ada beberapa syarikat rakaman yang menawarkan saya menjadi artis di bawah naugan mereka namun saya belum bersedia.

"Terlalu ramai artis yang muncul sekarang ini, semuanya bergantung pada rezeki ada yang berjaya ada yang mampu bertahan hanya sementara. Saya belum bersedia mengambil sebarang risiko justeru lebih baik saya meneruskan apa yang sudah dilakukan kini," katanya.

Selain giat aktif menyanyi, Wani juga tidak melupakan hasrat untuk menyambung pengajian apabila dia kini sedang menyambung pelajaran di Aswara dalam bidang Diploma Muzik dan Nyanyian.

"Sebagai anak sulung daripada enam beradik, pastinya saya mahu menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain. Kerana itu biarpun sudah mempunyai pendapatan sendiri saya juga perlu menyambung pelajaran kerana bagi saya sebanyak mana pun wang yang kita miliki ia tidak boleh menandingi ilmu yang ada.

"Pendidikan adalah perkara paling penting, jika suatu hari nanti saya sudah tidak menyanyi sekurang-kurangnya pendidikan yang dimiliki boleh digunakan untuk mengajar generasi seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved