KUALA LUMPUR: Balas dendam dikatakan menjadi punca sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang lelaki dibakar menggunakan molotov koktel di Taman Desa, Setapak, di sini, kelmarin.
Difahamkan, kenderaan Nissan Frontier milik lelaki berusia 40-an itu diletakkan di tepi jalan berhampiran rumahnya sebelum kejadian.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang berada di dalam rumahnya terdengar bunyi letupan kuat sebelum keluar memeriksa kawasan rumahnya.
Bagaimanapun, mangsa terkejut apabila mendapati api marak sedang membakar kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan.
Beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian menemui tiga botol air mineral yang terbakar berisi cecair disyaki petrol.
"Setakat ini, tiada saksi melihat kejadian berkenaan dan belum ada sebarang tangkapan dibuat manakala kenderaan mangsa terbakar di bahagian depan," katanya.
Katanya, polis masih menyiasat punca kejadian, tetapi tidak menolak ia berlaku disebabkan berlaku salah faham antara suspek dan mangsa yang berebut meletak kenderaan.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa ada bertengkar dengan dua lelaki di Seksyen 2, Desa Setapak, yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu meletak kenderaan di kawasan kedai miliknya sedangkan pada masa sama dia mahu menurunkan barang.
"Siasatan awal mendapati suspek melakukan perkara itu kerana tidak berpuas hati dan berniat untuk membalas dendam terhadap mangsa," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08
0 ulasan:
Catat Ulasan