SEWAKTU bola sepak, badminton mahupun memanah menjadi bahan perbualan peminat sukan negara sepanjang 2012, sepak takraw bagaikan 'sepi tanpa berita'.
Tidak banyak liputan dibuat mengenai sukan itu, jauh sekali bercerita mengenai pencapaiannya. Lebih malang lagi tiada 'wira' yang benar-benar boleh disanjung setinggi Datuk Lee Chong Wei, Safee Sali mahupun Pandelela Rinong.
Realiti yang harus ditelan adalah sepak takraw yang dianggap sukan tradisi bagaikan sudah hilang seri. Meskipun pelbagai langkah sudah mula diatur bagi mengembalikan kegemilangan sukan itu seperti era Adnan Saidin atau trio emas Sukan Sea Manila tapi boleh dikatakan belum mencapai tahap membanggakan.
Hingga Jun lalu, Malaysia menduduki tempat kedua ranking dunia bagi regu lelaki di belakang Thailand, diekori rapat Korea Selatan dan Indonesia. Begitupun masih ramai yakin sukan ini mempunyai masa depan yang cerah dengan pembabitan generasi muda yang menunjukkan minat dalam sukan itu. Karnival Remaja Kebangsaan yang diadakan di Shah Alam sepanjang minggu ini, menjadi bukti sepak takraw masih belum 'mati'. Kejohanan disertai pasukan pelapis dari seluruh negara, dengan kejohanan membabitkan kategori Bawah 21 dan 18 Tahun.
Pemangku Setiausaha Jawatankuasa Pengadil Persatuan Sepak Takraw Selangor, Hamid Kasmani berkata, kejohanan seperti ini medan terbaik untuk mengetengahkan bakat pemain sepak takraw remaja negara apatah lagi ia turut mengetengahkan acara beregu.
"Apa yang boleh saya katakan tahap permainan mereka adalah tinggi tapi pada masa sama masih perlukan pendedahan," katanya.
Apa yang dimaksudkan beliau adalah menambah pelbagai kategori untuk pelbagai peringkat umur seawal bawah 12, 15, hingga ke 18 dan 21 tahun.
"Menerusi cara itu, lebih banyak pemain pelapis dapat disediakan untuk sukan ini dan saya yakin sukan ini masih punya masa depan yang cerah," katanya yang turut mencadangkan supaya acara wanita turut diberi perhatian.
Malah beliau mahu agar persatuan sepak takraw kebangsaan dan negeri turut memberi tumpuan terhadap golongan lebih muda bagi memastikan lebih lebih ramai pemain berwibawa dapat disediakan apatah lagi sukan itu menyumbang pingat di Sukan Sea.
Pendapat sama turut diluahkan jurulatih pembangunan pelapis Terengganu, Azman Mamat yang optimis dengan perkembangan sukan takraw pada masa ini.
"Kita mempunyai bakat yang mencukupi untuk diketengahkan tapi ia boleh ditambah dengan mengadakan pertandingan di peringkat umur lebih rendah. Setidak-tidaknya mereka boleh bertanding dalam Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean yang turut mempertandingkan acara ini," katanya.
"Kejohanan seperti ini berjaya melahirkan pemain berwibawa seperti Zulkifli Abd Razak, Hanafiah Dollah, Syazrin Qamar, Mohd Khairol Zaman dan Ahmad Aizat dan ada di antara mereka kini beraksi di Sukan Universiti Asean (AUG).
"Yang penting adalah pendedahan berterusan perlu diberikan kepada mereka untuk menyerlah di peringkat seterusnya. "Terengganu sebagai contoh mengambil khidmat jurulatih dari Thailand untuk melatih skuad sepak takraw negeri selain turut membantu program pembangunan sepak takraw negeri," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15