Selasa, 1 Januari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Rozaimi terkejut

Posted: 31 Dec 2012 07:46 AM PST

"PENGIKTIRAFAN ini adalah untuk seluruh rakyat Sabah," kata penyerang Harimau Muda A kelahiran Sabah, Rozaimi Abd Rahman yang disenaraikan antara 10 pemain terbaik Asia 2012 oleh saluran sukan antarabangsa, ESPN.

Anak muda berusia 20 tahun dari Bongawan itu mengaku terkejut apabila namanya terpilih bersama bintang Manchester United dari Jepun, Shinji Kagawa yang turut tersenarai sebagai pemain terbaik Asia.


"Saya terharu dan gembira kerana tersenarai walaupun agak terkejut kerana prestasi saya turun naik kecuali ketika bermain bersama Harimau Muda pada Kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun di Yangon, Myanmar, Jun lalu dengan menjaringkan 10 gol.

"Mungkin kerana aksi itulah saya dipilih ESPN, bagi saya ramai lagi yang layak seperti Safiq Rahim, Safee Sali dan Wan Zack Haikal. Namun mungkin nasib lebih menyebelahi saya," katanya di Kota Kinabalu, semalam.


Rozaimi kini bercuti bersama keluarga dan akan kembali menyertai kem latihan skuad Harimau Muda A kendalian jurulatih, Ong Kim Swee bagi misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar.


Bekas pemain pinjaman Selangor pada Piala Malaysia 2012 itu gembira kerana dapat mengharumkan nama Sabah di persada antarabangsa menerusi bola sepak dengan tersenarai antara 10 pemain terbaik Asia tahun ini dan mendedikasikannya kepada seluruh rakyat negeri ini.

"Memang inilah yang saya mahu lakukan, seperti Matlan Marjan yang menjadi idola saya. Dulu dia turut mengharumkan nama Sabah dan Malaysia dengan menjaringkan dua gol ketika menentang England.


"Saya harap pengiktirafan ini menjadi pendorong untuk saya beraksi lebih cemerlang membawa cabaran Harimau Muda A terutama untuk Sabah jika disenaraikan kembali tahun depan," katanya.

Selain Rozaimi dan Kagawa, senarai 10 pemain terbaik Asia oleh ESPN turut merangkumi Omar Abdulrahman (UAE), Koo Ja Cheol dan Lee Keun Ho (Korea Selatan), Bambang Pamungkas (Indonesia), Yuto Nagatomo (Jepun), Teerasil Dangda (Thailand), Amjad Radhi (Iraq) dan Ali Al Habsi (Oman).


Ini adalah pengiktirafan kedua diterima Rozaimi selepas Anugerah Pemain Harapan Negara, Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31



‘Pengalaman menakjubkan’

Posted: 31 Dec 2012 07:34 AM PST

BRISBANE (Australia): Maria Sharapova menganggap tahun lalu paling bermakna dalam kariernya selepas menjuarai Terbuka Perancis selain membawa bendera Russia pada upacara pembukaan temasya Sukan Olimpik London.

"Banyak perkara yang berlaku," katanya. "Ia catatan Grand Slam yang mengambil masa agak lama buat saya berbanding pemain lain.


"Saya sedar memerlukan beberapa tahun untuk bertindak lebih berkesan pada permukaan gelanggang tanah liat," katanya mengenai kejuaraan di Roland Garros.

"Pengalaman Olimpik tidak akan saya lupakan kerana ia kali pertama menjadi Olimpian. Saya adalah atlet wanita pertama Russia membawa bendera negara dan ia amat mengharukan. Ia satu pengalaman menakjubkan." Maria yang bertanding pada kejohanan Antarabangsa Brisbane minggu ini berkata, saingan tenis wanita masa kini lebih sengit dan hebat berbanding sebelum ini.


"Ia lebih berbentuk fizikal berbanding sebelum ini. "Mungkin lima tahun lalu, beberapa perlawanan awal sekadar pemanas badan dan tidak perlu fikir pusingan pertama perlu mempamerkan permainan terbaik.


"Kini ia amat berbeza kerana saya mungkin berdepan lawan yang mempunyai keputusan bagus, mengalahkan pemain ternama, tidak cukup konsisten tapi liat untuk ditundukkan.

"Tahap tidak konsisten itu menyebabkan ranking mereka tidak bagus dan saya berdepan mereka dalam beberapa pusingan awal.


"Tenis kini lebih sukar. Begitu juga dengan teknologi dan raket serta peningkatan yang kami miliki. "Terlalu banyak perkara dalam sukan tenis yang sukan lain tidak perlu pertimbangkan seperti bola, raket dan tali. Semuanya berubah saban tahun." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved