Selasa, 1 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Siraj kongsi rezeki

Posted: 01 Jan 2013 05:55 AM PST

KETIKA berkunjung ke rumah pemilik Siraj's Chocolious Honey Cookies (Siraj's ChoC), aroma segar dan enak biskut pelbagai perisa begitu membangkitkan selera. Ada yang masih di dalam ketuhar manakala selebihnya sudah dibungkus dan dimasukkan di dalam balang untuk dihantar ke kedai.

Semua dilakukan seorang pekerja, daripada tugas membuat adunan biskut, membakar sehingga menyusun di dalam bekas. Di ruang tamu, seorang remaja berusia 14 tahun sedang asyik melukis menggunakan komputer riba. Begitu leka sekali membuat setiap lakaran namun sekali sekala dia beralih ke dapur untuk melihat perkembangan tempahan biskut yang disiapkan pekerjanya.

Melihat fizikal dan personalitinya yang pemalu, tentu ramai tidak menyangka dalam usia muda dia sudah memiliki perniagaan sendiri. Malah dalam tempoh dua tahun, Ahmad Sirajuddin Ahmad Fakhri sudah mampu menggaji seorang pekerja untuk menyambung tugas yang dilakukan sebelum ini.

Semuanya bermula ketika Ahmad Sirajuddin atau mesra disapa Siraj yang ketika itu berusia 11 tahun, berasa sedih kerana teman baik sejak di sekolah tadika ingin berpindah ke negara asalnya, Afrika Selatan. Bermula dari situ, Siraj sugul, kurang selera makan dan kurang menumpukan perhatian di dalam kelas kerana tiada teman untuk meluahkan masalah, berkongsi kegembiraan dan belajar bersama.


Menyedari hal ini, ayah Siraj, Ahmad Fakhri Hamzah mencadangkan agar suatu hari nanti mereka melancong ke Afrika Selatan dan melawat rakan baik Siraj. Namun bagi seorang kanak-kanak, jumlah keseluruhan tambang yang mencecah RM4,000 amat besar ertinya walaupun ibu bapa Siraj mampu menyediakannya. Dari sini, tercetuslah idea menjual biskut pelbagai perisa bagi membiayai kos keseluruhan perjalanan Siraj ke Afrika Selatan.


Menurut ibu Siraj, Jamilah Samian, sejak berusia tiga tahun Siraj sangat suka melakukan eksperimen. Tidak seperti kanak-kanak lain yang gemar bermain bola atau kenderaan, masa Siraj dipenuhi dengan membuat pelbagai uji kaji menggunakan apa saja barang yang ditemuinya.

"Kadang-kadang Siraj memotong dan mematahkan barang yang ditemuinya. Malah dia menampal, memadankan atau menyusun menjadi satu bentuk barang yang cantik dan kreatif. Ketika sudah mampu membaca buku, kegemaran Siraj ialah The Big Book of Experiment yang padat dengan lebih 200 uji kaji saintifik," kata Jamilah.

Menariknya, eksperimen Siraj kebanyakannya membabitkan bahan masakan. Malah dia sendiri membuka buku resipi ibunya dan mencuba pelbagai menu yang terdapat di dalamnya. Siraj akan menyemak resipi, mengubah suai sedikit demi sedikit ramuannya sehingga menjadi rasa yang enak dan lazat mengikut cita rasanya sendiri.

"Ketika ini kami biarkan saja apa yang dilakukan Siraj kerana beranggapan ia sesuatu yang positif terutama dalam proses perkembangan kanak-kanak. Saya tidak marah apabila dia suka ke dapur dan menyepahkan barang dan pada masa sama saya memperkenalkan pelbagai peralatan yang tidak membahayakan sesuai dengan usianya.

"Dari situ saya tahu Siraj seorang yang gemar membuat eksperimen dan ini secara tidak langsung membantu minda menjadi lebih kreatif. Apa yang membuatkan Siraj gembira apabila mendapati campuran bahan yang berbeza akan memberikan rasa dan hasil yang berlainan.

"Daripada semua resipi yang sudah diuji, dia akhirnya berjaya menghasilkan adunan resipi istimewa iaitu biskut berperisa coklat dengan pelbagai perisa tambahan," katanya.

Bagi menjadikan impian Siraj satu kenyataan, sebagai ibu, Jamilah hanya membantu dengan membelikan bahan yang diperlukan seperti tepung, gula dan coklat manakala tugas menimbang, mencampurkan bahan dan membentuk biskut semuanya dilakukan Siraj. Selepas siap, Jamilah membantu memasukkannya ke dalam ketuhar kerana khuatir Siraj tidak mampu mengendalikan kepanasan ketuhar.

Bagi memberi gambaran mengenai jualan serta keuntungan yang diperlukan, ayah Siraj menetapkan jumlah yang harus dikumpul bagi membolehkan dia ke Afrika Selatan. Menerusi cara ini, ia akan lebih menyedarkan Siraj banyak lagi perkara yang harus dilakukan untuk mencapai impiannya.

Siraj tidak keseorangan dalam usaha memasarkan biskut buatannya apabila abangnya, Ahmad Saifuddin, 27, Ahmad Salahuddin, 24, Ahmad Safiuddin, 19, Ahmad Sharifuddin, 16, dan kakak, Alia Nadhirah, 22, membantu membuka ruang iklan di dalam laman sosial facebook dan blog menerusi http://sirajschoc.com supaya lebih ramai mengetahui mengenai perniagaannya dan membeli menerusi dalam talian.

Mereka juga berusaha membuat kad perniagaan dan menjual di kolej dan pejabat masing-masing. Hasilnya dalam jangka masa enam bulan saja, Siraj berjaya mengumpul lebih daripada jumlah yang diperlukan untuk ke Afrika Selatan.

"Memang Siraj sangat gembira kerana dapat bertemu kawan baiknya di Afrika Selatan pada November 2010. Lebih membuatkannya sangat bermakna apabila keseluruhan tambang ke sana menggunakan hasil daripada penjualan biskut coklat miliknya. Bukan itu saja, atas usaha keras yang ditunjukkan pada 2011, kami membawa Siraj bercuti ke Australia menggunakan hasil keuntungan Siraj's ChoC," kata Jamilah yang menjual biskut menerusi sistem ejen kepada sesiapa yang berminat.

Kini selepas dua tahun, Siraj's ChoC mempunyai logo perniagaan hasil bimbingan ibu bapa dan adik-beradik yang lain. Siraj juga sudah mengambil seorang pekerja bagi menguruskan kerja membuat biskut manakala dia hanya memantau dari segi urusan kualiti biskut yang dihasilkan.

Siraj juga diajar melakukan kerja amal apabila setiap bulan, hasil keuntungan diberikan kepada pertubuhan kebajikan atau mereka yang kurang bernasib baik. Dengan cara ini, dia mulai mengenal erti sedekah dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

Menurut Jamilah, setiap anak mempunyai kecenderungan masing-masing dalam bidang yang mereka minati. Tanggungjawab ibu bapa adalah menyediakan asas serta menyokong apa saja yang disukai anak-anak dengan cara yang betul.

Mengajar anak-anak mengenai pentingnya menghargai sesuatu serta berusaha mendapatkan barangan yang menjadi idaman mereka sesuatu yang harus dimulakan sejak kecil. Ini kerana anak-anak pada zaman sekarang berbeza dengan dulu yang hidup dalam kemewahan apabila ibu bapa menyediakan semua keperluan bagi memenuhi permintaan mereka.

"Sekiranya apa yang diminta melebihi daripada peruntukan, sepatutnya ibu bapa boleh mengajar menabung untuk mendapatkan sesuatu. Dengan cara ini mereka sendiri tahu tidak semua mampu diperoleh dengan mudah tanpa disertai usaha bersungguh-sungguh," katanya yang bukan saja menerapkan teknik ini kepada Siraj malah kelima-lima anaknya yang lain.

Misalnya Alia yang meminati seni lukis, dia berusaha mengumpul dana makan malam sekolahnya dengan menjual penanda buku peribadi. Bukan itu saja, dia bekerja mencuci kereta bersama kawan-kawan supaya dia dapat makan di restoran pilihan mereka malah ketika menunggu keputusan peperiksaan, Alia menjadi guru sambilan dengan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sebuah pusat tuisyen dengan bayaran RM500. Jumlah itu cukup untuk membeli tablet melukis idamannya yang berharga RM500 tanpa menyusahkan ibu bapa.

Dalam hal ini, menurut Jamilah, penting untuk mengimbangi dua perkara utama iaitu keinginan anak-anak memperoleh pendapatan serta melatih anak meluangkan masa dan tenaga untuk orang lain secara sukarela tanpa mengharapkan balasan.

"Ini kerana dalam melatih anak-anak mencari wang simpanan sendiri, ibu bapa tentunya tidak mahu anak-anak menjadi mesin pencari harta sehinggakan hanya wang yang berlegar dalam fikiran mereka," ujarnya.

Panduan mendidik anak menjadi kreatif:

  • Sediakan ruang kepada anak-anak dari segi masa, tenaga dan wang ringgit. Ini kerana ketiga-tiga perkara ini sangat penting supaya anak-anak berasa ibu bapa sangat menyokong apa yang mereka lakukan seterusnya bersemangat memberikan yang terbaik.
  • Bagi sokongan kepada anak-anak dengan membantu mereka mencari buku atau barang kegemaran mereka.
  • Sentiasa ada di sisi. Anak-anak mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi, justeru selepas menyediakan semua bahan diperlukan ketika bermain atau membaca, ibu seharusnya berada di sisi anak-anak bagi memudahkan proses pembelajaran.
  • Tunjukkan minat terhadap cita-cita anak anda. Ini akan lebih mendorong dia menjadi lebih kreatif kerana mendapat sokongan ibu bapa.

    Sokongan boleh dimulakan menerusi kata-kata semangat dan pujian juga perbuatan seperti mencium dan memeluk anak-anak selain membawa dia makan di restoran kegemarannya sambil berkongsi cerita atau makan bersama setiap malam. Ibu bapa perlu sedar semua anak dilahirkan semula jadi kreatif dan terpulang kepada ibu bapa sama ada menggalakkannya atau membantutkan daya kreativiti mereka.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



  • Kesan buruk ketap gigi

    Posted: 01 Jan 2013 05:31 AM PST

    BRUXISM atau lebih dikenali dengan tabiat mengetap gigi selalunya dilakukan seseorang tanpa disedari ketika tidur nyenyak. Biarpun nampak seperti tidak berbahaya dan hanya menjengkelkan orang sekeliling, ia sebenarnya mampu memberi kesan jangka panjang kepada pelakunya.

    Masalah itu boleh dikenal pasti apabila gigi bahagian atas dan bawah diketap dan digesek kuat secara bersama yang dilakukan berterusan hingga mengeluarkan bunyi gesekan yang 'menyeramkan' bagi mereka yang pertama kali mendengarnya.

    Walaupun masalah itu mungkin hanya satu fasa dalam kehidupan dan boleh berlalu serta pulih dengan sendirinya, penting untuk setiap orang menanganinya supaya ia tidak berlarutan dan memberi impak pada diri individu itu.

    Antara kesan buruk yang boleh berlaku sekiranya tabiat itu berterusan dalam jangka panjang adalah gigi menjadi haus atau sumbing. Ini kerana gigi pecah di bahagian hujung, kesakitan di bahagian rahang selain turut menyumbang kepada masalah sakit kepala yang teruk.


    Selain orang dewasa, tabiat mengetap gigi turut berlaku di kalangan kanak-kanak hingga merisaukan ibu bapa. Sukar untuk melarang anak-anak supaya tidak melakukannya kerana mereka juga tidak menyedari perlakuan itu apatah lagi ia berlaku ketika tidur.


    Namun masih ada langkah yang boleh diambil ibu bapa bagi membantu anak mereka menangani tabiat buruk itu.

  • Ibu bapa harus peka dan memberi perhatian bagi mengenal pasti sama ada anak mereka mengalami bruxism seperti melihat anak-anak yang sedang tidur di tengah malam bagi memastikan mereka bebas daripada masalah mengetap gigi.
  • Ibu bapa juga perlu memberi perhatian dan mengenal pasti masalah bruxism di kalangan anak-anak apabila anak membuat aduan seperti mereka berasa sakit pada bahagian rahang, tergigit bahagian dalam pipi atau ada anak yang lain mengadu adik-beradiknya membuat bunyi bising ketika tidur.
  • Bruxism mungkin berlaku akibat rasa tertekan, oleh itu ibu bapa perlu berbincang dengan anak, mengenal pasti isu yang dialami anak seperti dibuli di sekolah atau kerisauan mengenai sesuatu dan mencari penyelesaian kepada masalah berkenaan. Kemungkinan besar masalah mengetap gigi akan berhenti sendirinya apabila anak berasa lebih tenang.
  • Jika kerisauan memuncak mengenai bruxism di kalangan anak dan ibu bapa hilang punca untuk membantunya, bawa anak bertemu doktor gigi terutama sekiranya anak sering mengadu sakit di bahagian rahang.

    Doktor gigi akan membantu dengan memberikan pelindung gigi seperti yang digunakan atlet profesional, yang hanya digunakan ketika tidur pada waktu malam bagi mengelak mereka terus mengetap sehingga merosakkan gigi. Bagi kanak-kanak dan bayi, pelindung gigi biasanya dibuat mengikut bentuk mulut dan gigi supaya ia muat.

  • Didik anak supaya tidak menggigit atau mengunyah apa-apa peralatan seperti pensel, pen, penyedut minuman dan elak beri anak gula-gula getah. Ini kerana tabiat mengunyah sesuatu yang bukan makanan akan membiasakan anak menggunakan otot rahangnya untuk mengetap dan mengisar, seterusnya boleh mendorong bruxism berlaku pada waktu tidur.
  • Cara lain yang boleh dilakukan ibu bapa untuk membantu mengurangkan seterusnya menangani masalah bruxism adalah meletakkan kain yang direndam dalam air suam di bahagian pipi berhampiran telinganya selama 10 minit. Ini bagi merehatkan otot rahangnya setiap kali sebelum anak tidur.
  • Ibu bapa juga perlu memastikan anak mereka minum air yang cukup sepanjang hari termasuk sebelum tidur. Masalah bruxism sering berlaku apabila tubuh kekurangan cecair.
  • Sediakan suasana tidur yang menenangkan untuk anak supaya dia tidak tertekan setiap kali sebelum tidur. Misalnya memberikan anak susu suam, mandian suam atau membacakan buku cerita yang menggembirakannya.
  • Jangan berikan anak makan coklat atau minuman susu berperisa sebelum tidur. Ini kerana kandungan kafein dan gula dalam makanan itu akan menyebabkannya sukar tidur atau membuatkan tidurnya sedikit terganggu.
  • Selain kanak-kanak, bruxism juga boleh berlaku di kalangan bayi. Oleh itu, bawa anak bertemu doktor kanak-kanak dan maklumkan semua maklumat mengenai waktu dan tempoh bayi anda biasa mengetap giginya. Ini bagi membantu doktor memahami dan mencari penyelesaian kepada masalah itu.
  • Jangan biarkan anak menangis atau meragam sebelum tertidur. Pastikan bayi berasa tenang dengan mendodoi dan mendakapnya rapat ke badan sehingga dia tidur dalam keadaan tenang.
  • Biarpun bruxism selalu berlaku ketika tidur, ia juga boleh berlaku ketika aktiviti yang memberi tekanan pada bayi atau kanak-kanak. Ibu bapa perlu peka dan kenal pasti tabiat suka mengetap dan menggesek gigi pada anak mereka.
  • Sekiranya anak atau bayi didapati mengetap gigi ketika anda membacakan buku cerita menakutkan mereka atau menonton filem seram menakutkan, elakkan perkara sedemikian.
  • Jika anak cenderung menggesek gigi sekiranya sedang bimbang, cuba pelbagai cara untuk membuatkan anak berasa lebih selamat dan tenang termasuk sering mendakapnya dan memberi perhatian sewajarnya apabila ibu bapa sedar dia berada dalam keadaan tertekan dengan keadaan sekelilingnya.
  • Selain kanak-kanak, orang dewasa juga boleh mengalami masalah bruxism. Ia boleh diatasi jika pandai menguruskan tekanan, kurang mengambil minuman berkafein, mandi air suam, minum susu suam serta merenggangkan otot sebelum tidur.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



  • Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved