Jumaat, 18 Januari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Ini prosedur biasa'

Posted: 17 Jan 2013 08:28 AM PST

Johor Bahru: Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan anggota dan Komando Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) ditugaskan mengawal keselamatan pada perlawanan antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, Selasa lalu.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkata, tentera lengkap bersenjata itu sebenarnya anggota Rejimen Ke-21 Gerup Gerak Khas (GGK) dari Kem Iskandar Mersing, Johor dan bukannya anggota JMF seperti didakwa sesetengah pihak.


Menjelaskan perkara itu, Tunku Ismail berkata, anggota terbabit sebenarnya ditugaskan untuk bersedia di stadium berikutan baginda dimaklumkan ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar akan berangkat untuk menyaksikan perlawanan itu.

"Kehadiran anggota komando adalah prosedur operasi standard (SOP) dan ia penting untuk memastikan keselamatan Sultan Johor yang juga Kolonel Kehormat Rejimen GGK terjamin setiap masa.


"Perkara ini bukan baru kerana dalam program besar seperti Kembara Mahkota Johor (KMJ), anggota komando turut bersiap sedia dan ditugaskan memastikan keselamatan Sultan Johor," katanya pada sidang media di Istana Bukit Pelangi, semalam.


Sehubungan itu, Tunku Ismail menafikan JMF terbabit dalam tugasan mengawal keselamatan perlawanan di Kota Bharu, malam itu.

Foto

Tunku Mahkota Johor

Sebaliknya, Tunku Ismail menyifatkan penyokong pasukan Johor DT sebagai mangsa kekecohan di Kota Bharu yang berpunca daripada kegagalan Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan (KAFA) mengawal peminat mereka yang bertindak di luar batasan.


Beberapa persoalan juga timbul apabila anggota dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikatakan tidak ditugaskan untuk mengawal keselamatan pada malam itu atau sebarang langkah keselamatan diambil KAFA untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Kami kecewa dengan apa berlaku kerana bukan saja lelaki tapi penyokong wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa apabila terkena kayu, botol minuman dan botol kaca yang dibaling penyokong Kelantan. Ia membuktikan KAFA gagal mengawal penyokong mereka.


"Tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana sebelum ini perkara sama pernah beberapa kali berlaku. KAFA seharusnya mengambil tindakan tertentu untuk mengawal penyokong mereka daripada bertindak sedemikian.


"Surat rasmi berhubung kekecohan dan keselamatan di Kota Bharu sudah dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan selanjutnya." Difahamkan atas sebab keselamatan, pemain Johor DT terpaksa menggunakan pintu belakang stadium dan dikawal polis bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku. Bagaimanapun Tunku Ismail menasihatkan penyokong Johor DT supaya tidak berdendam dengan melakukan kekecohan atau mengasari penyokong Kelantan apabila pasukan The Red Warriors berkunjung ke Larkin. Penyokong Johor DT diminta menjaga tingkah laku, beradab dan bersikap profesional untuk menikmati perlawanan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Daeng pamer belang

Posted: 17 Jan 2013 08:23 AM PST

Johor Baharu: Pemain cilik, Daeng Abdul Rahman Daeng Abdul Aziz, 13, muncul juara kategori Lelaki Kejohanan Grand Final Johor Junior edisi ketiga di Kelab Golf dan Country Johor (JGCC), baru-baru ini, selepas menewaskan pemain lebih berpengalaman dengan catatan lima atas par.

Loy Hee Ying, 16, pula dinobat juara keseluruhan Junior Perempuan dengan catatan 10 atas par.


Kejohanan anjuran ibu bapa dan beberapa pemain golf profesional negeri ini yang berlangsung selama dua hari bertujuan mencungkil bakat baru dan memberi pendedahan suasana pertandingan sebenar kepada pemain muda.

Lebih menggembirakan apabila Daeng Abdul Rahman yang juga pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail diumum sebagai pemenang kategori Bawah 15 tahun (B-15) dan pemain junior terbaik tahun lalu.


Daeng Abdul Rahman berkata, dia gembira dengan keputusan diperoleh dan kejayaannya sepanjang tahun lalu.


"Saya gembira kerana mencatat jumlah pukulan memuaskan sepanjang kejohanan dan berharap tahun ini dipilih mewakili Johor dalam Sukan Malaysia (SUKMA)," katanya.

Daeng Abdul Rahman dipercayai muncul juara kelab termuda di Malaysia ketika berusia 12 tahun lima bulan 19 hari.


"Sepanjang tahun lalu, saya menjuarai Kejohanan Grand Final SportsExcel di Kelab Rahman Putra, Selangor dan kategori B-12 Kejohanan Grand Final Excel Elit Yayasan CIMB di Kelab Golf dan Conutry Monterez, Selangor.

"Semua kejayaan ini hasil bimbingan dan pendedahan yang diberikan bapa (Daeng Abdul Aziz Daeng Rahman) sejak saya berusia enam tahun," kata anak bongsu daripada empat adik beradik itu.


Kejohanan disertai 85 pemain remaja membabitkan 60 lelaki dan 25 perempuan berusia antara tujuh hingga 18 tahun dari seluruh Johor.


Sementara itu, Hee Ying berkata, kejayaan itu berkat usaha gigihnya berlatih selama dua jam sehari selepas waktu sekolah.


Pelajar Tingkatan 4 SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya itu berkata, dia menjadikan pemain nombor satu dunia, Yani Tseng dari Taiwan sebagai idola dan memasang impian mengikut jejak pemain berusia 22 tahun itu.


"Saya mahu menjadi pemain golf profesional kerana sukakan sukan ini dan terima kasih kepada bapa kerana memperkenalkan golf kepada saya berusia sembilan tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved