MADRID: Jurulatih Barcelona, Tito Vilanova kembali bekerja lebih awal daripada jangkaan dan mengendalikan latihan buat kali pertama kelmarin sejak menjalani pembedahan tekak dua minggu lalu.
Pengendali berusia 44 tahun itu memerlukan pembedahan kali kedua selepas pembedahan awal mengeluarkan tumor dari kelenjar air liurnya pada November 2011 dan penolong jurulatih, Jordi Roura mengisi tempatnya.
Beliau tidak dijangka kembali hingga pertengahan bulan ini namun melawat pemain pada sebelah pagi dan kemudian mengendalikan latihan sesi petang.
Ramai pemain skuad itu tidak hadir kerana beraksi buat pasukan Catalunya dalam satu perlawanan persahabatan menentang Nigeria, awal pagi semalam.
"Jurulatih yang dibedah pada 20 Disember lalu menjadi pendukung utama sesi latihan petang," umum kelab pendahulu La Liga itu dalam laman web rasmi (www.fcbarcelona.es).
Pemain tengah Cesc Fabregas dan Alex Song pulih daripada kecederaan ringan dialami hujung bulan lalu dan kembali menyertai rakan sepasukan manakala Lionel Messi dan Adriano berlatih lewat berikutan penangguhan penerbangan pulang selepas rehat Krismas dan Tahun Baru.
Penjaga gol, Victor Valdes menarik diri daripada perlawanan menentang Nigeria kerana kecederaan kaki dan berlatih berasingan.
Vilanova memulakan rawatan kemoterapi dan radioterapi selepas dibenarkan keluar hospital pada 22 Disember lalu dan presiden kelab, Sandro Rosell berkata, beliau akan menjalani rawatan selain melatih.
Beliau diketepikan hingga tiga minggu selepas pembedahan pada 2011 sebelum kembali bertugas sebagai pembantu Pep Guardiola dan mengambil alih pasukan apabila rakan karibnya itu meletak jawatan hujung musim lalu.
Di bawah kendalian Vilanova, Barca melakar rekod permulaan terbaik kempen liga dan mendahului dengan jurang sembilan mata di depan pasukan tangga kedua, Atletico Madrid.
Perlawanan pertama tahun ini adalah di gelanggang sendiri menentang pencabar setempat, Espanyol, Ahad ini. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04
0 ulasan:
Catat Ulasan