Jumaat, 4 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Terharu sokongan peminat di Malaysia

Posted: 03 Jan 2013 06:56 AM PST

KUNJUNGAN mereka ke Kuala Lumpur, baru-baru ini saat berita perang twitter antara Julia Perez dan Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi sedang begitu hangat.

Perang yang berlaku di laman sosial popular itu tercetus apabila Julia atau terkenal dengan panggilan Jupe yang juga bintang kelahiran Indonesia itu dikatakan mengkritik kualiti drama Malaysia.

Justeru, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai The Titans sempat diminta memberikan komen berhubung tindakan Jupe yang juga rakan artis senegara mereka.

"Jupe memang terkenal dengan hal yang boleh menimbulkan sensasi. Bagaimanapun, kami tidak boleh memberikan komen lanjut kerana luahan yang dilakukannya adalah menerusi akaun twitter peribadinya.


"Bagaimanapun, adalah lebih baik sama ada selebriti Indonesia mahupun Malaysia tidak menyentuh isu berkaitan negara kerana hakikatnya kita saling memerlukan. Sebagaimana difahamkan, Jupe menulis komen itu ketika berada di Malaysia dan sedang menjalani penggambaran untuk produksi negara ini.


"Seharusnya hal ini tidak berlaku. Apapun, kami enggan terbabit dalam hal politik antara Malaysia dan Indonesia yang pernah diperkatakan sebelum ini kerana muzik bagi kami adalah universal.

"Kami adalah pemuzik dan kami hanya bikin muzik yang mampu buat orang suka. Kami juga bukan orang politik. Kami juga punya ramai pengikut di sini iaitu Titaniums yang menyokong karier kami sejak album pertama hinggalah yang keempat ini.

"Kami amat menghargai sokongan peminat di sini dan lebih membuatkan kami terharu, selepas album keempat barulah kami berpeluang melancarkan album di sini, Kirana yang akan diedarkan Tropic.

"Justeru, kami enggan terbabit dalam sebarang hal politik membabitkan kedua-dua negara sebaliknya mahu menjalinkan hubungan yang baik dengan pemuzik, pihak media dan masyarakat di negara ini," kata Andika selaku pemain keyboards dan juga bekas anggota kumpulan Peterpan.

Selain Andika, Indra (bes) juga adalah bekas anggota kumpulan Peterpan yang kini dikenali sebagai Noah. Kedua-duanya meninggalkan Peterpan dan menubuhkan The Titans kerana pendirian muzik mereka tidak lagi sehala dengan Peterpan.

Apa yang menarik, The Titans yang turut dianggotai Rizki (vokal), Tomtom (dram), Oni (gitar) dan Imot (programming/synthesizer) adalah bekas ahli daripada kumpulan yang berbeza-beza namun menemukan keserasian bersama The Titans.

"Kita semua tidak meninggalkan kumpulan masing-masing dalam keadaan bermusuhan, sebaliknya secara baik. Baru-baru inipun saya bersama Indra diundang untuk membuat konsert 'reunion' bersama kumpulan Peterpan.

"Berbalik kepada The Titans, ia adalah tempat kami berkarya dan menghasilkan muzik yang kami inginkan. Memang pada mulanya sukar untuk mencari keserasian namun apabila sering membuat persembahan dan tanpa sedar kami sudah menghasilkan album keempat, sekali gus kami sudah kukuh sebagai kumpulan," katanya.

Biar sehebat manapun kumpulan ini, satu masalah yang sering menghimpit mereka apabila dibayangi muzik Peterpan gara-gara dua bekas ahli kumpulannya berada dalam The Titans. Tidak cukup dengan Rizki selaku vokalis The Titans yang juga memiliki iras wajah Ariel Peterpan.

"Sewaktu The Titans mencari vokalis, mereka mencari yang mirip Ariel (berseloroh). Namun pada sesiapa pernah melihat persembahan saya, mereka akan melihat banyak perbezaan. Ariel suaranya halus sedikit sedangkan saya lebih kasar.

"Muzik kita juga berbeza daripada Peterpan mahupun Noah kerana lagu-lagu kita padat dengan bunyian elektrik," kata Rizki.

Bercerita mengenai album keempat mereka berjudul Kirana, ia mengandungi 10 lagu dengan komposisi 7 lagu baru dan 3 lagu yang pernah dikenali sebelum ini.

Tujuh lagu baru adalah Senyummu, Hingga Akhir Hidupku, Aku Lelaki, Berjanjilah, Lupakan Aku, Cinta Seutuhnya dan Dirimu.

Mengenai pilihan judul album, Imot menjelaskan, Kirana ertinya seberkas cahaya yang cantik.

"Jadi semoga album kita juga boleh bercahaya di tengah kesuraman. Daripada album 1, 2 dan 3 kita banyak belajar kerana baru bersama. Lama-lama 'chemistry' terjalin.

"Yang tidak banyak berubah dari segi konsep muzik The Titans adalah lirik lagunya yang rata-rata berkisahkan soal cinta. Meskipun demikian, dalam album Kirana ini mempunyai makna yang lebih dalam," katanya.

Sebenarnya, album keempat The Titans ini sudah disiapkan sejak tahun lalu. Namun kerana pertimbangan dari segi label, mereka melancarkan dua single terlebih dulu serta satu lagu ketuhanan. Namun berbanding tiga album mereka sebelum ini, The Titans Self Tittled (2007), Melayang Lagi (2008) dan DTT III (2010), kali ini The Titans tampil lebih dewasa.

Andika menafsirkan album Kirana sebagai sebuah album dewasa yang pernah dihasilkan The Titans. Album yang lebih mudah dan 'easy listening'.

Lagu yang menghiasi album ini antaranya Hingga Akhir Hidupku, Aku Lelaki, Berjanjilah, Lupakan Aku, Cinta Seutuhnya dan Dirimu.

Selama kunjungan mereka ke negara ini, The Titans juga terbabit dalam penggambaran video muzik Dengarkanlah yang dihasilkan pengarah tempatan juga kenalan mereka, Kalai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03



Seorang gadis rebutan lima jejaka

Posted: 03 Jan 2013 06:34 AM PST

NAMA Datuk Eizlan Yusof bukanlah baru dalam dunia seni tanah air. Sehingga kini, pelakon yang memulakan karier pada usia belasan tahun ini sudah membintangi banyak drama.

Justeru, menerusi pengalaman yang terkumpul, pelakon berusia 42 tahun ini mula mengembangkan sayap dalam bidang pengarahan. Kini Eizlan tampil dengan drama bersiri 5 Bujang yang mula menemui peminat menerusi TV1, RTM bermula 1 Januari lalu.

Menariknya drama 5 Bujang terbitan Saphire Screen Sdn Bhd, berkonsep komedi dan menggabungkan barisan pelakon hebat iaitu Ako Mustafa, Zed Zaidi, Zul Yahya, Hairul Azreen dan Zarina Zainuddin. Ia disiarkan Isnin hingga Khamis, jam 2.05 petang dalam slot Cindai.

5 Bujang mengisahkan lima watak utama iaitu Tarmizi, Benn, Otai, Johari dan Borhan yang tinggal serumah. Mereka masing-masing tidak berpendidikan tinggi dan mencari rezeki dengan kerja biasa yang bersesuaian dengan minat masing-masing.


Hubungan mereka sebagai rakan serumah begitu akrab. Walaupun mereka semua berlainan pekerjaan, tetapi saling mengambil berat erti persahabatan sebenarnya.


Walaupun Borhan bekerja sebagai chef di restoran dan banyak makan, badannya tetap kurus melidi. Namun, dia ingin dikenali dengan nama panggilan 'Bob' walaupun nama ini sebenarnya popular di kalangan individu bertubuh gempal.

Kadang-kadang Chef Bob Borhan akan membuat persembahan masakannya di depan pengunjung restoran tersebut. Malah, dia mempunyai kelebihan menyanyi sambil menari ketika masak.

Bila dia membuat persembahan, istimewanya siap ada pemuzik yang mengiringinya. Walaupun Chef Bob Borhan terkenal, namun dia mempunyai cita-cita pelik iaitu mahu menjadi ahli gusti, menyebabkan dia menjadi bahan gelak ketawa sesiapa yang mendengarnya.

Mat Taib pula mempunyai cita-cita terpendam sebagai pengarah filem. Nama panggilannya Otai kerana pekerjaan yang dilakukannya sebagai pencetak CD.

Kerana terlalu mengagungkan P Ramlee, setiap dialog P Ramlee dalam setiap filemnya semua Otai ingat dan kadang-kadang menjadi bahan gurauan bersama rakannya. Otai dapat tahu mengenai sindiket cetak rompak yang dilakukan oleh tauke tempatnya bekerja.

Dia mula menyiasat kenapa dan mengapa boleh jadi seperti satu sindiket yang mula berleluasa. Sambil bekerja Otai mula tanam semangat untuk cuba hapuskan cetak rompak.

Begitu juga dengan rakan mereka Johari yang berangan menjadi penyanyi dan mempunyai band sendiri. Dia juga berhasrat menjadi komposer terkenal yang mencipta lagu untuk penyanyi tanah air.

Yang lucu mengenai Johari, dia menjadi kegemaran pengunjung karaoke. Walaupun sebagai 'cd programmer' sahaja, tetapi Johari suka berinteraksi dengan pengunjung karaoke. Telatah lucunya pasti membuat pengunjung gembira.

Satu kelebihan ada pada Johari dia sememangnya pandai mengaji. Berlainan dengan perinsip Tarmizi kerana hendak berbakti pada negara, menjadi niat utamanya.

Duit padanya jatuh pada tangga kedua kerana cintanya pada alam semulajadi.
Tarmizi bekerja sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital terkenal. Setiap hari Tarmizi akan berdepan dengan pesakit yang pelbagai kerenah.

Namun, Tarmizi gembira dengan kerjanya yang berbakti pada negara dan manusia. Bagaimanapun cita-cita asalnya ialah menjadi ahli bomba.

Arbani pula ingin dikenali dengan nama glamour Benn. Dia bekerja di pusat renang terkenal sebagai penjaga kolam renang. Tugasnya ialah mencuci kolam renang dan membantu keperluan ahli renang.

Benn berbadan besar dan sasa serta cukup syarat menjadi lifeguard. Itulah idamannya sejak mula bekerja di pusat renang dan sebelumnya lagi. Dia mula belajar berenang dan sedar betapa pentingnya tahu berenang.

Disebalik semua ini, seorang gadis menjadi impian lima jejaka ini, tetapi semuanya tidak tahu isi hati masing-masing. Di dalam setiap angan-angan mereka, wajah gadis ini akan timbul dengan pelbagai watak.

Bagaimanapun gadis ini mempunyai bapa yang garang dan menakutkan mereka berlima. Semua angan-angan lima sahabat divisualkan ketika mereka bercuti.

Mereka berkumpul dan memancing serta berkhemah. Apakah yang terjadi sewaktu mereka meluangkan masa bersama itu? Adakah mereka berjaya mencapai cita-cita yang diimpikan? Saksikan kesudahan 5 Bujang arahan Eizlan ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved