Isnin, 28 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Gandingan mantap 4 peneroka

Posted:

SENI pembuatan beg dan kotak cenderahati berasaskan daun meng­kuang mempunyai nilai dan berada dalam kelasnya yang tersendiri. Bukan calang-calang orang mampu membuatnya kerana ia memerlukan ketelitian dan kesungguhan yang bukan sedikit.

Perkataan jemu, penat, malas atau letih tidak ada dalam kamus hidup pengusahanya. Jika tidak, ia akan menjadikan seni kraf itu sebagai 'beban yang tidak berkesudahan'.

Biar bagaimana sukar sekalipun untuk menzahirkan rekaan itu, si pembuat tetap meneruskannya juga kerana ia penting sebagai ilmu yang boleh diwarisi dan dipelajari generasi muda akan datang. Ini sekali gus membolehkan generasi muda menghayati dan mencintai seni kraf menggunakan bahan murah tapi bernilai itu.

Sesuai dengan perubahan masa dan cita rasa generasi kini, pengusaha kraf tangan juga perlu peka dengan reka corak dan mutu bahan yang digunakan agar mereka kembali menilai dan menghargai barangan yang dihasilkan.


Menyingkap situasi ini, penulis berkesempatan mengunjungi bengkel pembuatan beg dan kotak cenderahati, Craft CT-One Enterprise di FELDA Chini Timur Satu, Pekan, Pahang yang diusahakan empat rakan kongsi yang juga peneroka tanah rancangan berkenaan.


Deretan beg dan kotak cenderahati dalam pelbagai saiz dan rekaan yang tersusun rapi menjadikan penulis kagum dengan usaha yang dilakukan dalam meningkatkan taraf ekonomi keluarga. Secara tidak langsung, projek itu turut memartabatkan nama tanah rancangan berkenaan di mata rakyat Malaysia.

Biarpun tanpa mengikuti kursus khas di peringkat permulaan, ternyata daya kreatif dan usaha yang dilakukan tidak sia-sia apabila mendapat kepercayaan FELDA yang sedia membantu memasarkan produk setiap kali pameran dan jualan kraf tangan diadakan sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Selain itu, ia turut dipamerkan di ibu pejabat FELDA dan wilayah sebagai platform meluaskan pasaran.

Dengan gabungan warna dan rekaan menarik, beg, fail dan kotak cenderahati, kotak songkok, bakul kain, bakul sampah, bekas telur serta kotal pensel yang dihasilkan ternyata berkualiti dan mampu menarik minat orang ramai untuk memilikinya.

Jika dilihat dengan teliti, ternyata proses dilakukan bukanlah semudah kita menjinjing beg atau meletakkan dokumen penting dalam fail yang dihasilkan itu.

Bagai kata pengusahanya, Normariani Harun, 48, kerja mengukur perlu dilakukan dengan teliti, begitu juga ketika menggunting tikar untuk mendapatkan saiz sebenar produk yang hendak dihasilkan.

"Bekalan tikar mengkuang terhad dan kami perlu berhati-hati mendapatkan ukuran sebenar bagi mengelak bahan mentah tidak mencukupi.

"Pernah ketika mula-mula membuka bengkel ini, saya dan rakan-rakan berhadapan detik mencemaskan apabila bahan mentah tidak mencukupi sedangkan sudah menerima tempahan," katanya ketika ditemui di bengkel berkenaan.

Selain Normariani, tiga lagi rakan kongsinya ialah Zabidah Majid, 50, Ali Yusof Ab Rahman, 52, dan Mohd Taib Othman, 52, yang mempunyai tugas masing-masing dalam memastikan produk mereka sentiasa mampu memenuhi permintaan pelanggan.
"Kami memberi tumpuan kepada penghasilan beg dan kotak pelbagai bentuk dan saiz berdasarkan tempahan pelanggan.

"Bagaimanapun, kami tetap menghasilkan produk secara umum untuk pameran dan jualan sempena Hari Peneroka, Hari Kraf Kebangsaan dan pada program dan aktiviti umum sama ada di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.

"Bentuk promosi seperti ini memberi peluang kepada orang ramai mengenali produk yang dihasilkan peneroka, sekali gus mampu memberi saingan kepada produk sedia ada di tempat mereka," katanya yang berkongsi modal RM80,000 membuka bengkel berkenaan.

Menurutnya, tempahan banyak diterima dari agensi kerajaan dan swasta, sektor korporat, sekolah dan individu untuk dijadikan cenderahati dan kotak hantaran serta bakul telur untuk majlis perkahwinan.

Selain itu, bengkel berkenaan turut menghasilkan beg tangan wanita, dompet, bekas payung, kotak cenderahati, kotak songkok dan fail ditempah berdasarkan permintaan pelanggan.

"Produk kami juga pernah dijadikan cenderahati untuk majlis membabitkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar serta pembesar negeri menyebabkan kami begitu yakin, barangan yang dihasilkan memang berkualiti," katanya.

Menurutnya, bahan mentah diperoleh daripada pembekal di Pekan dan Muar.
"Ada ketikanya kami kehabisan bekalan seperti tikar mengkuang dan kepingan papan PVC jika menerima tempahan yang banyak pada satu-satu masa.

"Situasi ini jelas membuktikan produk keluaran peneroka mampu bersaing dengan produk orang bandar malah permintaannya sudah melangkau sempadan sehingga ke Makkah, Dubai, Jerman dan Indonesia menerusi rakan yang berminat membantu memasarkan di sana," katanya yang dibantu 10 pekerja.

Pekerja bahagian poto­ngan, Shalmawati Hamidi, 24, berterima kasih kepada FELDA yang memberi pelbagai bantuan dan sokongan moral ketika ia diwujudkan lebih enam tahun lalu.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, kewujudan bengkel itu secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada isteri dan anak peneroka. Ini sekali gus membantu meningkatkan pendapatan keluarga tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada hasil tanaman kelapa sawit.

"Saya bersyukur kerana kekal bekerja di sini sejak bengkel dibuka dan kini semakin mahir dalam pembuatan pelbagai jenis beg mengikut kehendak pelanggan.

"Alhamdulillah, rezeki bengkel ini tidak pernah putus kerana sentiasa menerima tempahan daripada individu, syarikat korporat dan agensi kerajaan untuk dijadikan cenderahati," katanya.

Shalmawati berkata, industri kraf tangan adalah antara aktiviti berpotensi besar untuk dikembangkan.

"Kehalusan seni reka dan keaslian reka bentuknya mampu memikat mereka yang gemarkan barangan kraf ini terutama pelancong asing yang tidak pernah melihat produk ini di negara mereka.

"Saya bangga apabila produk keluaran FELDA diminati pelancong luar negara apabila ia menjadi tumpuan ketika menyertai program anjuran Kraftangan Malaysia atau penyertaan dalam pelbagai pameran dan jualan di seluruh negara," katanya.

Rohani Hasbi, 46, berkata pendapatan yang diperoleh dapat membantu membiayai perbelanjaan sekolah anak-anak dan belanja dapur.

"Selain wang hasil tanaman sawit, saya menggunakan upah yang diterima untuk mengurus perbelanjaan keluarga bagi meringankan beban suami.

"Saya yakin, produk yang dihasilkan ini mampu dikomersilkan dengan lebih meluas menerusi kerjasama antara FELDA dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta sektor korporat," katanya yang sudah empat tahun bekerja di bengkel berkenaan.

Rohani yang bekerja di bahagian jahitan beg mengakui pada peringkat awal dia menghadapi masalah menyiapkan beg kerana kurang mahir dan tidak mempunyai pengalaman di bidang jahitan.

"Jika jahitan tidak kemas dan tidak menepati kehendak pelanggan, saya terpaksa membukanya semula dan membaiki bahagian yang rosak atau tidak sesuai.

"Ada ketikanya perasaan jemu itu bersarang di kepala kerana setiap hari melakukan tugas yang sama tetapi apabila memikirkan ia satu amanah yang perlu dilaksanakan dan menjadi punca rezeki keluarga, saya kembali bekerja dengan tenang," katanya.

Bagi remaja berusia 20 tahun ini, Nur Munira Mohamad Salleh, keengganan untuk menetap jauh dari keluarga menyebabkannya mengambil keputusan bekerja di bengkel berkenaan.

"Pada peringkat awal saya memang kurang berminat dengan seni kraftangan ini kerana merasakannya sukar untuk dihasilkan.

"Bagaimanapun, berkat kesabaran dan tunjuk ajar daripada pekerja lebih senior, masalah itu dapat saya atasi dengan mudah dan kini seronok menyiapkan produk tempahan," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu ternyata gembira dengan kerja dilakukan dan bercadang untuk mengikuti kursus berkaitan seni kraftangan itu di peringkat lebih tinggi lagi.

"Saya berhasrat mendalami seni pembuatan beg dan kotak cenderahati ini bagi meningkatkan lagi kualiti barangan sedia ada kerana ia berpotensi dikomersialkan ke pasaran antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Seni teknik menyulam

Posted:

Penghasilannya memang agak rumit, tetapi menggunakan kreativiti dan kemahiran dipelajari sebaik mungkin, ia mampu menghasilkan rekaan yang mencecah ribuan ringgit.

Namun, ramai yang masih tidak nampak kelebihan jahitan sulaman manik yang cuba diketengahkan oleh Pengarah Urusan Pusat Rekaan Fesyen FTIM, Rosita Jaafar.

Katanya, sulaman manik adalah bentuk kreativiti daripada luahan perasaan atau inspirasi menerusi corak lakaran yang menarik namun ia lebih memuaskan hati jika penghasilannya menggunakan teknik yang betul.

"Jarum bersaiz 11 digunakan untuk menyulam semua jenis manik dan labuci manakala saiz 12 sesuai ketika melakukan jahitan pada manik yang memiliki lubang sangat kecil.


"Benang yang digunakan pula daripada jenis yang sama untuk menjahit pakaian. Namun, dua lembar benang mencukupi untuk memulakan sulaman manik ini," katanya mengenai peralatan yang diperlukan sebelum mempelajari teknik sulaman.


Sebelum seseorang pelajar itu meneruskan pengajian sulaman manik ke peringkat lebih tinggi, mereka diajar 20 teknik sulaman asas terlebih dulu.

Kemudian, barulah pelajar boleh melanjutkan sehingga ke peringkat lebih tinggi untuk menambah kemahiran melukis corak dan menggabungkan warna sesuai sehingga boleh menghasilkan satu rekaan menarik pada baju.

Menurutnya, sulaman manik yang asli daripada jenis sulaman beriring. Ia dihasilkan menerusi idea daripada tekat benang emas yang ditukar kepada manik.
"Coraknya pula banyak dipengaruhi sulaman songket atau batik seperti corak pucuk rebung dan pucuk nanas yang biasa dilihat.

"Teknik jahitan sulaman mempunyai pelbagai jenis dan ia berbeza antara satu sama lain. Biasanya, asas jahitan sulaman akan diambil dan diubah sehingga 40 hingga 50 asas sulaman yang berlainan mengikut kreativiti seseorang," katanya yang turut membukukan teknik mudah untuk dipelajari melalui pembacaan.

Bukan hanya boleh menjadikan pakaian polos bertambah menarik menerusi penambahan sulaman manik, malah jika bijak, kemahiran terbabit juga mampu menghasilkan aksesori menawan.

Menggunakan sulaman beriring, Rosita mengubahnya untuk menghasilkan pelbagai jenis teknik jahitan yang boleh dipelajari.

"Kebanyakan jahitan sulaman yang dibukukan dan diajar saya namakan sendiri kerana lebih mudah diingati serta membangkitkan rasa untuk mempelajarinya.

"Menerusi manik, kita juga boleh menghasilkan rekaan lebih kreatif dengan menggabungkan kristal dan labuci untuk menonjolkan konsep mewah.

"Namun, pemilihan bermula daripada corak, teknik jahitan dan gabungan warna penting sebelum menghasilkan rekaan agar ia tampak lebih cantik selepas disiapkan," katanya yang menimba pengalaman berkenaan daripada ibunya sejak kecil lagi.

Pernah menganjurkan Pertandingan Sulaman Manik Kristal Piala FTIM, Rosita mengakui sulaman tangan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini
sejak 15 tahun yang lalu sekali gus mendorongnya untuk membuka pusat pembelajaran itu pada 1998.

Hasilnya, kini dia dapat melihat sektor sulaman manik pada busana semakin digilai ramai selain boleh menambah pendapatan terutama kepada suri rumah.

Kepakarannya diiktiraf oleh Majlis Amanah Rakyat dan Kraftangan Malaysia sebagai Pakar Perunding Fesyen dan Sulaman, Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Sejarah sulaman

Walaupun sudah beribu tahun berlalu, sulaman tangan yang mula terkenal sejak 1700 masih menjadi ikutan manakala teknik serta coraknya juga masih tidak banyak perbezaan sehingga ke hari ini.

Melalui pembacaan yang dilakukan Rosita dan dirumus ke dalam bukunya, Sulaman Manik Kristal dan Benang, asal-usul sulaman itu dikaitkan dengan keinginan manusia yang ingin menambah keceriaan pada persekitaran mereka.

Menerusi contoh fabrik terawal sejak 3000 sebelum Masihi hingga ke penghasilan benang 3-Dimensi masa kini, manusia melakukan perubahan dengan menambah kerja tangan sehingga membabitkan sulaman pada pakaian, kelengkapan persendirian dan kain linen.

Budaya Barat sering mengaitkan jarum dan benang dengan wanita. Namun, jika dilihat pada asalnya mereka menyerahkan tugas berkenaan kepada kaum lelaki di negara Timur dan Barat yang menjalankan latihan selama lapan tahun sebelum boleh digelar pakar dalam kraf mereka.

Setiap negara mempunyai gaya dan teknik yang berbeza seperti seni sulaman hardanger yang dihasilkan orang Norway manakala hedebo pula diperkenalkan di Denmark.

Di Itali, mereka menghasilkan teknik terperinci untuk pakaian pengantin dan perayaan yang menggunakan rekaan jahitan sulaman dengan warna cerah.

Setiap negara mempunyai corak yang sama tetapi diolah dengan gaya, jahitan dan kombinasi warna berbeza. Walaupun orang Mesir mengamalkan sulaman menggunakan benang putih yang berlatarkan fabrik rona sama, kemahiran sulaman di zaman itu begitu terperinci dan tidak ramai yang dapat melakukannya pada hari ini.

Kerja tangan dresden diperbaiki di Jerman dengan menambah sulaman halus kerawang menggunakan jahitan fabrik dan corak terperinci.

Tidak kurang hebatnya pada seni sulaman ayrshire yang dipercayai dari Perancis tetapi lebih dikenali di Scotland.

Sulaman Inggeris dari England dipanggil whitework yang menggunakan corak bungaan, daun dan dahan. Kemudian ia ditambah dengan sulaman kerawang tangan untuk memperbaiki hasil kerja tangan mereka yang sebenarnya dipercayai berasal dari Czechoslovakia.

Ia diberi nama seni sulaman madeira kerana dihasilkan di Kepulauan Madeira, Afrika Selatan dan dilakukan secara komersil untuk dijual kepada pelancong.

Di India turut mengamalkan whitework dan pekerjanya begitu mahir menggunakan jarum sehingga tidak menembusi kain sebaliknya memisahkan benang pada dasar dan hanya boleh dilihat pada permukaan saja.

Malangnya, aktiviti sulaman yang perlu dilatih sejak kecil itu tidak lagi diamalkan hingga ke hari ini. Namun, negara berkenaan masih menghasilkan sulaman yang begitu halus di rantau ini bagi tujuan eksport.

Mengamalkan sulaman dua belah yang mengambil masa bertahun lamanya untuk disiapkan, kerja tangan yang dihasilkan dari China itu gemar menampilkan corak berlainan pada dua bahagian iaitu depan dan belakang. Mereka menggunakan kain sutera dan hasilnya mampu mencecah ribuan ringgit bergantung kepada saiznya.

Malaysia pula memiliki kekayaan seni benang tenunan seperti sulaman songket terutama di Terengganu dan Perak. Perkataan songket bermakna menyulam menggunakan benang emas dan perak manakala songket yang tidak disulam tetapi ditenun rapi dengan diselang seli benang sutera secara membujur.

Sekadar hobi

Bagi pelajar separuh masa di Pusat Rekaan Fesyen FTIM, Dina Sulaiman, dia lebih gemar mempelajari teknik sulaman manik sebagai hobi.

Walaupun baru mnghabiskan pembelajarannya mengenai teknik jahitan sulaman yang asas, dia berasa gembira kerana hasratnya untuk mempelajarinya tercapai.
"Saya meminati seni jahitan sejak berusia lapan tahun lagi dan mula mempelajarinya secara serius apabila berusia sekitar 13 tahun.

"Hobi ini juga banyak dipengaruhi ibu dan kakak yang turut meminati bidang jahitan. Mereka banyak mengajar saya dan memberi sokongan untuk mempelbagaikan kemahiran," jelas wanita yang berasal dari Syria ini.

Sambil tangannya berhati-hati menyulam benang yang mengandungi manik pada kain, Dina akui dia mahu meneruskan pembelajarannya ke tahap yang lebih tinggi terutama sulaman manik 3-Dimensi kerana tertarik dengan rekaannya yang nampak seperti hidup dan timbul.

"Saya ambil masa selama sebulan iaitu empat kali ke kelas bagi mempelajari 20 teknik jahitan asas sebelum boleh melanjutkan pembelajaran teknik yang lain.

"Selama ini saya masih tercari-cari kemahiran yang boleh menggabungkan minat saya pada jahitan dan warna sehingga mengetahui kelas sulaman manik ini daripada kakak," katanya yang turut mempunyai kemahiran menghasilkan pakaian kanak-kanak seperti gaun dan baju tidur.

Baginya, pengalaman mempelajari sulaman manik tidaklah terlalu susah asalkan mempunyai minat yang mendalam dan kesabaran.

"Kesabaran dan ketelitian memang penting ketika menyulam untuk menjadikannya lebih mudah dipelajari serta diterima dengan baik malah perlu rajin mempraktikkannya di rumah," kata wanita berusia 24 tahun ini.

Menjalankan perniagaan dari rumah memudahkan Dina untuk melakukan latihan sulaman manik bersama kakak dan ibunya.
Namun, kemahiran yang dipelajari hanya dilakukan atas alasan minat dan hobi saja. Dina belum terfikir untuk menjadikannya sebagai perniagaan bagi menjana pendapatan.

Tambahnya, hasrat untuk mempelajari lebih banyak lagi teknik jahitan sulaman tidak akan terhenti di situ saja kerana dia berniat menghabiskan kursus sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Ini kerana dia juga perlu mempelajari teknik menggabungkan warna dan fabrik sesuai bagi memastikan sulaman yang dihasilkan tampak menarik.

Menambah kemahiran

Pegawai Latihan Vokasional, Azean Abd Rahim Shahimi berkata, empat tahun menjadi tenaga pengajar di situ turut dijadikan peluang keemasan untuk mempelajari sedikit sebanyak mengenai sulaman manik.

"Saya perlu tahu semua jenis jahitan dan sulaman sebelum menjadi tenaga pengajar di sini. Memandangkan pelajarnya daripada pelbagai peringkat usia, jadi saya harus bijak menggunakan kemahiran dipelajari dan sesuai dengan keadaan mereka.

"Bukan hanya pelajar malah saya juga perlu mempelajarinya daripada Rosita kerana tidak memiliki asas sulaman.
"Selain itu, saya juga banyak tahu mengenai kualiti manik, warna, fabrik dan saiz manik yang digunakan menerusi seminar yang pernah dihadiri," jelasnya yang memiliki diploma rekaan fesyen.

Jika dulu bidangnya lebih kepada jahitan pakaian tetapi Azean mula belajar sesuatu yang baru mengenai sulaman manik setiap kali Rosita mengeluarkan bukunya yang terbaru kerana ia akan dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran.

Tidak hanya sebagai tenaga pengajar, dia juga menghasilkan rekaan yang kebanyakannya aksesori manik seperti rantai dan gelang untuk pelanggannya.

Selain itu, Azean juga mengambil tempahan jahitan sulaman menerusi Pusat Rekaan Fesyen FTIM sebagai tambahan pendapatannya.

"Biasanya sulaman manik berharga RM200 berdasarkan saiznya dan ia menunjukkan industri ini sebenarnya mempunyai peluang untuk menjana pendapatan.

"Namun, disebabkan saya lebih berminat untuk menjadi tenaga pengajar, saya hanya menerima tempahan sulaman manik sebagai pendapatan sampingan," katanya mengakui sulaman manik mampu mengubah busana atau aksesori tampak lebih mewah.

Selain itu, ia juga bukan hanya mampu mencantikkan busana malah boleh dijadikan hiasan beg atau hiasan kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved