Isnin, 28 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Mampu ubati orang lain

Posted:

Minat dalam ilmu perubatan Islam mendorong bintang yang digilap dari program Akademi Fantasia musim kedua, Adam AF2 berhijrah dan mendalami bidang keagamaan, lebih dua tahun lalu.

Namun, kata penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang juga pemilik nama sebenar, Mohd Aizam Mat Saman, 29, mengakui dia tidak berubah secara drastik atau terikut dengan artis lain yang berhijrah sebaliknya semuanya bergerak perlahan-lahan.

"Sebenarnya, sudah lama saya terdetik hati nak berubah sekali gus mendalami agama Islam. Semuanya bermula apabila ahli keluarga terdekat jatuh sakit akibat perbuatan sihir.

"Justeru, di situlah bermulanya hasrat saya nak mendalami agama dan ilmu perubatan Islam dengan seorang guru, Haji Musa, di Sabah untuk memudahkan saya mengubati ahli keluarga yang terkena ilmu hitam itu," katanya.


Bukan saja ahli keluarga terdekat, Adam juga mengakui dirinya turut terkena perbuatan sihir berkenaan.


"Saya dapat tahu diri disihir apabila berubat dengan Haji Musa di Sabah pada 2010. Antara tanda-tanda diri disihir ialah apabila hati selalu berdebar-debar, mudah hilang sabar kerana dikatakan ada benda yang menjadi 'pendamping', tapi ia tidak teruk.

"Justeru, selepas berubat dan keadaan beransur pulih, saya sentiasa mengamalkan zikir dan menjaga solat lima waktu untuk mengelakkan diri daripada disihir selepas ini.

Pada masa sama, saya menggunakan peluang itu untuk mendalami ilmu perubatan Islam dengan lebih mendalam daripada beberapa guru bertauliah sampailah sekarang.

"Maklumlah, bila kita mendekatkan diri dengan Allah, lebih banyak ujian datang untuk menguji keimanan dalam diri. Sebab itu, saya perlu ada benteng agama yang kukuh," katanya.

Lebih bermakna, kata Adam, dia bakal membuka pusat rawatan Islamnya sendiri, Nur Khalifah Al-Hasan yang dijangka beroperasi di Kota Damansara pada Mac ini.

"Sebelum ini, saya hanya mengubat ahli keluarga terdekat dan kawan rapat yang datang untuk meminta bantuan. Kini, saya yakin untuk mengubati orang ramai pula.

"Saya percaya, sampai masanya, saya memanfaatkan ilmu perubatan Islam dipelajari selama ini untuk membantu orang lain di luar sana.

Antara penyakit yang diubati ialah gangguan saka, kencing manis dan darah tinggi. Dari segi bayaran atau 'mahar' pula bergantung pada jenis dan tahap penyakit dihidapi pesakit berkenaan," katanya.

Berhijrah dan mendalami ilmu perubatan Islam bukan bermaksud Adam ingin meninggalkan terus bidang seni yang sudah sebati dalam dirinya sejak dulu. Apatah lagi bidang seni adalah periuk nasinya.

Pada masa sama, Adam juga memastikan dia tidak hilang fokus pada artis yang bernaung di bawah produksinya, Aico Empire Group iaitu kumpulan V.I.P.

"Bakat menyanyi adalah anugerah Allah dan tidak perlu dipersiakan. Saya akui kurang publisiti ketika ini, tetapi undangan persembahan secara solo dan bersama kumpulan V.I.P tetap berjalan macam biasa," katanya.

Ditanya sama ada dia ingin menghasilkan album bercorak ketuhanan selepas ini, kata Adam, dia merancang untuk menghasilkan satu lagu bercorak ketuhanan pada tahun ini.

"Sebenarnya, sebelum ini saya pernah merakamkan semula lagu Ujian Hidup ciptaan Edry KRU pada Ramadan lalu. Lagu ini pernah disampaikan Imam Muda dan dimuatkan dalam album Hambamu.

"Saya berjumpa dengan Edry untuk minta kebenarannya merakamkan semula lagu ini. Saya tertarik untuk menyampaikan lagu ini kerana mesejnya sangat kuat dan menceritakan mengenai kehidupan kita sebagai hamba di bumi Allah ini yang tidak pernah berhenti dilanda ujian dalam hidup.

"Saya gembira de­ngan maklum balas positif daripada peminat dan la­gu itu masih diputar­kan di stesen radio tempatan ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Bahana bersahabat dengan jin

Posted:

Pada zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee, kita sudah melihat kewujudan filem bersiri popular Bujang Lapok dan Do Re Mi.

Gelagat tiga sahabat karib menjadi sandaran dalam kedua-dua jenama terbabit dan setiap satu filem itu boleh berdiri dengan sendirinya.

Formula P Ramlee (terutama melalui siri Bujang Lapok) sangat berhasil dan ia terus menaikkan lagi nama P Ramlee bersama rakan-rakannya iaitu Aziz Satar, S Shamsudin, A R Tompel dan Ibrahim Din.

Selepas zaman P Ramlee berlalu, pada 1990-an muncul pula siri filem-filem Senario yang dilakonkan anggota kumpulan yang dicungkil bakat mereka oleh TV3 itu.


Ramai tahu antara tulang belakang Senario adalah Lan Pet, Azlee dan Wahid.

Seterusnya kita melihat pula kemaraan Mamat Khalid apabila beliau dilihat menyambung legasi pembikinan filem seumpama itu.

Namun karya Mamat lebih kepada bercorak sekuel kerana filem-filem arahannya bertumpu kepada satu-satu lokasi dengan barisan pelakon yang sama.

Cuma dalam setiap karya arahan Mamat itu, konflik dan ancaman berbeza-beza.

Pada 2008, 'zombi' pernah menyerang Kampung Pisang. Pada 2010, Kak Limah yang sakit jiwa, dituduh orang kampung itu menjadi hantu dan terbaru pada 2013, Kampung Pisang kembali bergolak apabila munculnya Jin Pakai Toncit.

Seperti biasa Mamat terus berjuang dengan doktrin dan falsafahnya dalam cara bergelak tawa.

Boleh dikatakan dalam setiap babak lucu yang ditonjolkan Mamat, ada sesuatu yang hendak disampaikannya berhubung isu lampau, semasa mahupun akan datang. Mamat juga selalu berfikiran ke depan.

Kepincangan masyarakat mesti diselitkan Mamat dan tanpa kita sedari, kita sebenarnya sedang ketawakan diri kita sendiri. Saya kira apabila kita mampu gelakkan diri kita sendiri, ia bermakna kita sudah matang dan tidak lagi 'defensive' mahupun rasa terhina.

Dalam Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, ia mengisahkan misteri kehilangan Husin dan sahabat lelakinya yang masih bujang, secara tiba-tiba. Awalnya saya menyangka mereka diculik kaum bunian rupanya-rupanya itu adalah permainan jembalang dan jin.

Jadi antara mesej penting kali ini, usahlah kita bersahabat dengan jin kerana bahana atau kesannya sangatlah buruk.

Lebih penting kata Mamat, penerokaan sesebuah petempatan lama seperti Kampung Pisang pada abad lampau ada sejarah tersendiri dan kesannya hanya dirasai oleh generasi pada zaman sekarang dalam filem terbaru itu.

Saya yakin ramai peminat Hantu Kak Limah Balik Ke Rumah ingin melihat apakah kekecohan yang melanda Kampung Pisang dan jenaka yang terbit daripada watak-wataknya yang kita kenal sebelum ini seperti Pak Abu, Pak Jabit, Husin, Mon, Usop dan Kak Limah.

Walaupun Abi Hurairah lakonan Johan sudah tidak ada dalam filem ini, ia masih mampu membuatkan kita ketawa.

Lebih banyak kesan CGI (Imej Janaan Berkomputer) digunakan dalam filem ini berbanding dua filem yang lepas dan inilah yang menyumbang lebih kepuasan kepada Mamat. Tengoklah sendiri dan kata rakan saya, ia nampak macam koleksi hantu terbang macam dalam Harry Potter.

Ketika bersembang dengan Mamat di kedai mamak selepas tayangan gala di Kuala Lumpur, minggu lepas juga, Mamat berkata, filem ini memang diabadikan khas buat Allahyarham Zami Ismail yang memegang peranan sebagai Pak Abu.

Selama ini kita tahu, arwah Zami sentiasa menjadi pilihan dalam filem-filem arahan Mamat apatah lagi yang bertumpu di Kampung Pisang.

"Walaupun dia (Zami) tidak sihat, dia berkeras nak buat semua babak mengikut dalam skrip. Sampaikan satu masa dia bertekak dan bergaduh besar dengan Pak Jabit.

Saya dapat rasa dia macam 'buang tebiat'. Masa kami buat 'dubbing' saya lihat dia semakin semput tapi dia tetap bertekad juga hendak habiskan semua kerjanya dulu," kata Mamat.

Begitulah tebalnya nilai sentimental Husin, Mon & Jin Pakai Toncit kepada Mamat dan semua kru terbabit. Filem ini menyimpan banyak memori suka-duka buat mereka yang terbabit dan menjadi filem terakhir Zami bersama Mamat.

Dengan erti lain, kalau ada kisah sekuel Kampung Pisang, kelibat Pak Abu tidak akan ada lagi.

Sekalipun arwah Zami sudah tiada lagi, saya yakin ia tidak akan melemahkan semangat Mamat untuk terus berkarya dengan jenaka yang lebih kreatif mengikuti peredaran zaman.

Zombi Kilang Biskut katanya sudah pun selesai menjalani penggambaran di Ipoh, baru-baru ini dan saya difahamkan, ia lebih gempak dan pecah perut berbanding yang lain.

Apapun, buat masa ini kita layan dulu kelakar Husin, Mon & Jin Pakai Toncit dan jenguklah panggung berdekatan rumah anda tidak lama lagi -- slen28@gmail.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved