Rabu, 30 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Mekap umpama seni

Posted:

Bagi sebahagian wanita, tidak lengkap gaya harian mereka tanpa calitan mekap.

Namun, apabila bermekap perlu kena pada gayanya kerana sapuan mekap umpama seni. Luarannya ia kelihatan mudah dilakukan, tetapi apabila 'diwarnakan' hasilnya belum tentu nampak menarik.

Setiap sapuan bahan mekap perlu diadun sempurna dan rata pada keseluruhan wajah bagi mengurangkan kewujudan garis halus atau berbelak.

Selain itu, penting untuk membezakan gaya solekan untuk majlis pada siang hari dan malam, jika tidak, kecantikan wajah tidak me­nyerlah sepenuhnya.

Foto

WAJAH sebelum menggunakan mekap.

Foto

BENTUKKAN bibir dan sapukan gincu serta pelembap bibir bersesuaian.

Foto

SOLEKAN lengkap gaya kasual yang menarik dan mudah dilakukan.

Foto

SAPUKAN bedak asas pada seluruh wajah, tambah penyamar cela pada bahagian perlu terutama di bawah mata.

Foto

RATAKAN bersama bedak debu agar warna kulit lebih sekata dan tidak berbelak.

Foto

WARNAKAN pembayang mata pada keseluruhan kelopak mata dengan memberi penekanan pada penghujung mata. Warna pada bahagian berkenaan digelapkan sedikit.

Foto

GUNAKAN penggaris mata pada bahagian atas dan bawah garisan mata untuk menonjolkan bentuk mata.

Foto

BENTUKKAN kening menggunakan penggaris mata berwarna coklat gelap untuk kesan solekan lebih semula jadi.

Foto

PAKAIKAN bulu mata palsu untuk memberi lebih impak.

Foto

TAMBAH maskara untuk kesan lentik bulu mata.

Foto

KEMASKAN solekan bawah mata menggunakan berus ala gaya smokey.

Asas penjagaan kulit

Asas pemakaian mekap adalah memastikan kulit wajah sentiasa bersih iaitu dengan membersih, me­nyegar dan melembap wajah terlebih dulu.

Tanpa wajah yang bersih, pemakaian mekap tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Riasan mata

Ramai masih tercari-cari tip mekap bahagian mata bagi menyerlahkan titik tumpuan pada wajah mereka. Antara yang boleh dijadikan panduan ialah penggunaan penggaris mata warna semula jadi seperti coklat.

Apabila disapukan, mata kelihatan tidak begitu garang berbanding peng­gunaan penggaris mata berwarna hitam.

Untuk gaya lebih ringkas dan semula jadi, letakkan secara nipis di atas dan di bawah garis mata.

Bagi menutupi kesan ling­karan gelap di bawah mata, gunakan penyamar cela terlebih dulu di bahagian terbabit. Mulakan sapuan dari bahagian dalam mata ke penghujung mata hingga sebati dengan kulit.

Mulut

Bagi mereka yang memiliki bentuk bibir yang nipis, gunakan penggaris bibir dan besarkan sedikit bahagian bawah bibir untuk mendapatkan bentuk bibir penuh.

Kemudian ratakan de­ngan gincu atau pelembap bibir, namun usah menggaris bibir terlalu jauh dari garis asal bibir.

Untuk mengekalkan warna gincu pula, warnakan bibir dengan peng­garis bibir tadi sebelum diletakkan gincu kerana ia boleh bertindak sebagai gam dan memastikan warna gincu tidak tertanggal dengan mudah.

Pipi

Jika memiliki tulang pipi timbul yang juga satu kelebihan, beri keutamaan kepada bahagian itu. Bagi mereka yang berkulit cerah, gunakan pewarna pipi berwarna kuning kemerah-merahan dan merah jambu kusam untuk wanita berkulit gelap.

Gunakan berus pemerah pipi yang besar untuk mendapatkan hasil sapuan lebih sekata. Sapuan perlu dibuat secara serong iaitu dari bahagian tulang pipi menghala ke mulut. Gunakan satu arah sapuan saja agar warna lebih sekata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Minat jadi dorongan

Posted:

Ketika bertemu pe­langgan hampir setiap malam, wanita ini membawa tiga anaknya bersama. Sewaktu berbincang mengenai perniagaan, suaminya ditugaskan menjaga anak-anak sehingga mereka tertidur di dalam kereta. Perbincangan biasanya memakan masa dua hingga tiga jam dan berlarutan sehingga jam 2 pagi.

Keadaan ini berterusan setiap hari malah bertambah pada hujung minggu kerana dia terpaksa bertemu pelang­gan dua atau tiga orang sekali gus.

Walaupun jadual hariannya sibuk dengan urusan kerja pada waktu siang
di sebuah syarikat kontraktor, bagi memastikan kelangsungan minat dalam seni hiasan dalaman, pemilik Akma Deco and Interior, Marina Abd Khalid tidak pernah merungut malah yakin suatu hari nanti dia mampu membuka perniagaan sendiri.

Pemegang Diploma Ukur Bahan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini sentiasa positif dalam apa juga yang dilakukan. Baginya, apa saja yang diinginkan akan cuba diperoleh dengan usaha bersungguh-sungguh. Walaupun bukan dilahirkan dalam keluarga peniaga, Marina tekad ingin memecah tradisi keluarga dengan berniaga. Tetapi ketika itu dia tidak tahu jenis perniagaan yang akan diceburinya.

"Saya cuba berniaga ping­gan mangkuk menerusi Internet tetapi saya berhadapan risiko pinggan pecah dan terpaksa membayar ganti rugi kepada pelanggan. Akhirnya saya memilih memasarkan kertas dinding selepas teruja melihat kepelbagaian rekaan di pasaran, juga kurang berisiko berbanding makanan atau pakaian. Lebih penting ia bersesuaian dengan minat dalam bidang seni hiasan dalaman," katanya.

Berpegang kepada prinsip melakukan yang terbaik dalam apa juga bidang, wanita ini tekad mendapat­kan perbandingan harga menerusi pembekal yang kebanyakan dimonopoli daripada bangsa Cina. Sedikit demi sedikit Marina belajar cara menguasai pasaran terutama mendapatkan produk pada harga murah tetapi berkualiti.

"Sejak menuntut di UiTM, minat dalam bidang seni hiasan dalaman sudah ada. Ditambah pergaulan dengan rakan dalam jurusan ini, sedikit demi sedikit saya belajar bagaimana memenuhi kehendak pelanggan. Hal ini berterusan selepas menamatkan pengajian apabila saya mula menjalankan perniagaan menerusi dalam talian dengan menjual kertas dinding," ujarnya.

Menurut Marina, sebagai pereka hiasan dalaman secara sambilan masanya sa­ngat terhad. Hanya pada waktu malam dia dapat bertemu pelanggan kerana waktu siang dia bertugas di sebuah syarikat kontraktor.

Lama-kelamaan wanita ini terfikir sampai bila harus begini kerana sampai masanya dia harus berganjak daripada satu tahap dengan membuka perniagaan sendiri.

Bermula daripada kertas dinding, Marina menambah produk kepada permaidani, bidai, kabinet dapur, sofa dan langsir. Malah kreativiti serta hasil usaha menyebab­kan dia mendapat perhatian daripada jabatan kerajaan.

"Mungkin kerana produk ditawarkan berkualiti serta harga berpatutan, kebanyakan pelanggan setia mendapatkan khidmat saya. Malah tidak terhad di Lembah Klang saja tetapi seluruh Malaysia," jelasnya.

Oleh kerana tidak mampu menanggung jumlah pelanggan yang semakin ramai, pada Februari 2012 anak bongsu enam beradik ini tekad membuka perniagaan di Shah Alam selepas mendapat sokongan suami dan keluarga.

Perkara pertama dilakukannya adalah mempergiatkan promosi menerusi Internet, menawarkan harga lebih rendah daripada pasaran serta memberi percuma bagi setiap pembelian kertas dinding. Ini sebagai langkah promosi serta memperkenalkan jenama Akma Deco and Interior bukan saja menjual kertas dinding tetapi segala kelengkapan rumah.

Jika dulu kebanyakan individu tidak mahir me­ngenai seni hias tetapi kini, mereka semakin bijak menghias rumah kerana banyak membaca dan membuat kajian. Kebanyakan pelanggan berilmu dan tahu mengenai asas menghias. Misalnya dalam pemilihan kabinet dapur, semakin ramai pelanggan memilih jenis kaca bukannya seramik begitu juga konsep langsir yang sekarang ditukar kepada bidai untuk menampakkan unsur moden dan elegan.

"Kemahiran pelanggan turut mempengaruhi dalam membuat keputusan. Kadang-kadang saya minta mereka memilih apa yang disukai berdasarkan konsep dan tema diinginkan. Sekiranya ada yang tidak kena, barulah saya memberikan pendapat dan mencadangkan konsep sesuai. Setakat ini tiada masalah dari segi idea atau pemilihan produk," ujarnya yang memberitahu konsep moden me­ngambil alih minat pelanggan untuk menghias kediaman mereka.

Walaupun baru memasuki tahun pertama membuka perniagaan secara fizikal, Marina mempunyai perancangan sendiri bagi memastikan Akma Deco and Interior berdiri sebaris dengan syarikat hiasan dalaman yang lain.

Akuinya apa juga perniagaan, risiko serta cabarannya tetap ada. Sebagai pengurus dia harus bijak menangani masalah terutama ketika berhadapan de­ngan pelanggan.

"Dalam apa juga keadaan pelanggan memang betul. Saya selalu tetapkan dalam diri supaya bersabar menghadapi kerenah mereka. Jika difikirkan masalah akan membuatkan kita menjadi lebih tertekan. Oleh itu perlu tahu cara mena­ngani dan bertindak dengan sebaiknya," katanya yang berasal dari Johor Bahru.

Jelas Marina, sepanjang menguruskan Akma Deco and Interior walaupun perlu bekerja keras memastikan mampu mendapat pulangan pada setiap bulan, kepuasan diperoleh tiada tandingannya jika dibandingkan de­ngan kerja makan gaji.

"Dulu seharian di pejabat seakan tiada apa diperoleh. Tetapi kini walaupun penat ditambah tekanan berhadapan kerenah pelanggan dan pembekal, apabila memperoleh hasilnya ibarat segala penat lelah saya terbayar selama ini," katanya yang kini mempunyai dua pekerja tetap dan sambilan terdiri daripada ahli keluarga.

Seperti mana peniaga lain, Marina komited untuk memperluaskan jenama Akma Deco and Interior dengan membuka cawa­ngan di negeri lain seperti Johor Bahru, Kuantan dan negeri di utara seperti Pulau Pinang atau Kedah dalam masa dua tahun lagi.

"Dengan membuka cawangan, saya dapat membuka peluang perniagaan kepada orang ramai terutama anak-anak muda supaya mereka belajar membuka perniagaan secara kecil-kecilan serta mening­katkan kemahiran dalam seni hiasan dalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved