Khamis, 17 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Erin tak duduk diam

Posted: 16 Jan 2013 06:06 AM PST

Memilih untuk membabitkan diri dalam dunia hiburan umpama meletakkan diri di atas bara api. Ibarat bom jangka, ia boleh memusnahkan seseorang bila-bila masa jika tidak berhati-hati. Namun, dalam masa yang sama mampu menjulang seseorang termasuk dihormati jika bijak mengawal diri.

Situasi ini turut dilalui dua artis remaja yang meningkat naik, Erin Malek dan Emma Maembong yang kebelakangan ini terkena tempias kontroversi hangat.

Sudah tentunya apa yang berlaku sedikit sebanyak mencalarkan nama mereka dalam kalangan masya­rakat. Apatah lagi cerita sensasi begini seakan sukar untuk dipadam sekelip mata kerana akan terus dibualkan peminat.

Apa yang pasti, dua artis remaja ini yang ditemui di lokasi drama 3 Nenek 3 Dara arahan Johari Yusof baru-baru ini, bertekad ingin menjauhi kontroversi dan mahu menjadikan mereka bersih dari sebarang kontroversi pada 2013 selepas dua insiden sebelum ini sedikit sebanyak mencalarkan nama mereka.


Erin atau nama sebenarnya Nur'Arina Abdul Malek, 19, sebelum ini diperkatakan ramai berikutan penyebaran gambar 'daring'nya di Internet baru-baru ini.


Erin berkata, berikutan insiden itu, dia mengakui malu berjumpa peminat yang lebih tua apabila mereka bercakap mengenai perkara itu. Namun, dia lebih menjaga hati keluarganya dan cukuplah jika mereka faham apa sebenarnya berlaku.

"Kalau setakat cakap orang luar memang tiada apa-apa kesan pun. Saya faham sekali saja saya buat perkara negatif, ia akan lebih diingati berbanding sepuluh kali saya buat perkara baik.

"Saya memang nak elakkan kontroversi lagi tahun ini. Cuma yang saya kesalkan, apa salahnya pihak yang mengeluarkan sesuatu berita itu bertanyakan dulu kepada saya. Ini tidak, mereka gunakan sesuatu sumber tanpa tahu kesahihannya untuk menjatuhkan maruah orang. Justeru, saya fikir ada baiknya saya berdiam diri dan jadi diri sendiri," katanya.

Biarpun dipalit cerita negatif, Erin tetap gembira kerana terus diberi kepercayaan untuk berlakon pelbagai drama.

"Lakonan terbaru saya ialah menerusi drama Miss Cinta, Aishiteru, Anak Sampah dan filem Lari. Saya gembira kerana pengarah Ahmad Idham melunaskan janji ambil saya berlakon dengannya selepas habis menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Lari boleh dianggap filem pertama saya sebaik meningkat remaja. Selain itu saya juga diberi peluang terbabit mengacara program berbentuk pendidikan dan terbaru baru selesai mengacara program Uni Challenge 1957 berkonsep 'amazing race'," katanya.

Menurutnya, dia tidak kisah sama ada ditawarkan berlakon telefilem atau drama bersiri. Namun jika diberi pilihan dia lebih suka berlakon telefilem kerana masa penggambarannya lebih singkat.

Dia yang gembira kerana berpeluang membawakan watak psiko menerusi drama Rawan di TV9 mengakui kadang-kadang peminat terkeliru dengan usianya kerana sering tampil membawakan watak berbeza.

"Saya boleh jadi budak sekolah, remaja dan ba­nyak lagi. Saya juga boleh bawa watak anak manja seperti dalam telefilem Papaku Heroku. Sudah lapan tahun saya berada dalam bidang seni dan dulu mungkin orang kenal saya.

"Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, saya perlu berfikiran matang. Saya juga sudah belajar berdikari tanpa bantuan keluarga tetapi tetap merujuk kepada ibu dalam hal-hal tertentu. Sebagai anak saya akan patuh kepada ibu. Dia mencadangkan saya sambung belajar dan saya juga anggap perkara ini mesti dilakukan," katanya yang bercadang menyambung pengajian dalam bidang perniagaan.

Erin berkata, walaupun sudah bekerja dia tidak dibebankan untuk mencari pendapatan keluarga kerana ibunya masih bekerja.

"Sekarang dia cari duit untuk anak-anak dan sampai satu tahap nanti, dia akan berehat dan kami anak-anaknya pula akan menyara dia. Saya masih muda dan ada masa untuk buat pelbagai perkara. Saya tak kisah tinggalkan lakonan selepas ini untuk belajar kerana turun naik adalah perkara biasa dalam seni," katanya.

Erin yang mengakui sudah mempunyai kekasih berkata, sebagai remaja dia perlukan kawan dan ada hak untuk berkawan serta mempunyai seseorang sebaga1 pendorong dan pemberi semangat.

"Tidak semestinya kerana bergelar artis, saya terpaksa menjadi hipokrit hingga mengorbankan keinginan sebagaimana orang lain," katanya.

Tuah Emma

Tuah melingkari Emma Maembong kerana berjaya meraih populariti dalam sekelip mata. Langkahnya dalam bidang seni tidak sampai setahun, namun Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 21, sudah mendapat tempat dalam kalangan peminat sehingga tersenarai sebagai Top 5 kategori Artis Baru Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012.

Namun, walaupun masih baru, namanya turut tercalar gara-gara penyebaran gambar intimnya bersama kekasih yang dimuat naik dalam Internet yang mencetuskan kontroversi.

Emma ketika ditemui menga­kui terpaksa menerima leteran daripada keluarganya berhubung perkara itu.

"Apabila saya terangkan keadaan sebenar, mereka mula faham apa yang berlaku. Mereka tahu ia terjadi kerana jiwa remaja saya, cuma beruntung saya tak hanyut terus dalam khayalan.

"Waktu itu, saya masih di awal remaja dan kini saya sudah berubah sepenuhnya. Sekarang saya sentiasa berhati-hati. Saya juga tidak menganggap kemunculan saya mengganggu gugat rezeki pelakon yang sedia ada," katanya.

Kini, jadual seni anak kesembilan daripada 11 beradik ini semakin padat berikutan popularitinya yang semakin mening­kat.

"Saya hanya ingin mencuba dalam seni tapi maklum balas yang diterima sangat besar hing­ga saya terkejut. Dunia saya berubah serta merta, namun saya tetap bersyukur," katanya.

Emma berkata, sejak kecil dia jarang bergaul kerana bersekolah secara persendirian di rumah. Dia juga tidak bebas keluar membeli-belah dan banyak menghabiskan masa bersama keluarga.

"Kakak saya, Yaya yang bawa saya berjumpa dengan pengarah, Erma Fatima untuk mencuba nasib pelakon. Bapa pada mulanya kurang bersetuju dengan pilihan saya tapi saya tetap dengan tekad saya.

"Memang awalnya saya sendiri kecewa kerana lakonan saya yang teruk. Namun, Erma memberi komen positif terhadap lakonan saya. Bermula watak kecil dalam Ustazah Shamsiah arahan Erma, saya ditawarkan berlakon dalam Kau Yang Terindah.

"Selepas itu saya berlakon pula drama Cinta Itu Bukan Milikku yang terus menaikkan nama saya kepada peminat. Saya gembira keluarga sudah nampak hasil saya apabila saya mampu bayarkan pelbagai bil dan belanja mereka," katanya yang berdarah campuran Cina, Arab dan Bugis di sebelah bapa dan Scotland di sebelah ibu.

Seperti Erin, Emma juga tidak berahsia mengenai kekasih. Katanya, mereka sudah tiga tahun bercinta dan dia senang dengan sikap kekasihnya yang faham kariernya sebagai pelakon.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

FBI terus laris

Posted: 16 Jan 2013 05:52 AM PST

Lima kali berturut-turut merangkul trofi Penyampai Radio Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popu­lar Berita Harian (ABPBH) selepas enam kali dicalonkan sejak 2007, sudah cukup membuktikan nama Faizal Ismail semakin kukuh dalam bidang penyiaran tanah air.

Ternyata, kerja kerasnya sepanjang 13 tahun berkecimpung dalam bidang penyiaran membuahkan hasil apabila dirinya mampu duduk sebaris dengan barisan penyampai berkaliber sedia ada.

Tidak cukup dengan­ itu, Faizal yang turut dikenali sebagai FBI sudah tercalon sebanyak empat kali dalam kategori Pengacara Lelaki Popular ABPBH turut menempa nama sebagai pengacara menerusi program hiburan seperti Vokal Bukan Sekadar Rupa, Anugerah Juara Lagu dan programnya sendiri, Apa Kata FBI yang memasuki musim keempat di TV9.

Bersandarkan kredibiliti itulah, Faizal terpilih menjayakan program realiti terbaru terbitan TV3, Bintang Mencari Bintang menggantikan tempat pe­la­kon dan pelawak terkenal, Zizan Razak yang tidak dapat menjayakan program itu kerana terikat dengan komitmen bersama stesen TV lain.


Selain Faizal, barisan artis atau 'sifu' yang dipilih untuk membimbing peserta dalam program mencari pelapis khususnya dalam genre komedi itu juga nama besar seperti Sabri Yunus, Raja Azura, Harun Salim Bachik, Afdlin Shauki dan Senario.­


Secara peribadi, Faizal menganggap peluang untuk menjayakan program realiti, Bintang Mencari Bintang satu penghargaan besar daripada TV3 sekali gus mengukuhkan lagi kariernya.

"Terus terang, saya terima tawaran kerana ingin mencabar diri sendiri. Jika nak diikutkan, pengalaman saya masih cetek berbanding artis lain yang terpilih menjayakan program realiti ini. Justeru, saya perlu membuat persiapan lengkap untuk menjayakan program ini kerana tidak ingin mensia-siakan peluang dan kepercayaan diberikan sebaik mungkin.

"Namun, saya masih belum menerima surat rasmi dari pihak TV3 untuk menjayakan program ini," katanya­ ketika ditemui pada majlis pengumuman lima finalis ABPBH 2012 yang berlangsung di Hotel Holiday Villa & Suites, Subang di sini, baru-baru ini.

Ditanya jika ada segelintir pihak yang akan mempertikaikan kredibilitinya kelak, Faizal lebih suka melihat dari sudut yang positif.

"Saya akui pengalaman masih 'hijau' berbanding barisan artis lain yang sudah senior. Apatah lagi, saya bukan pelakon atau pelawak tapi difahamkan program ini untuk mencari seorang penghibur dan bukannya sekadar penya­nyi atau pelawak semata-mata.

"Saya juga yakin boleh membantu peserta de­ngan cara tersendiri kerana ada pengalaman menyanyi dan berlakon sebelum ini. Semoga pengalaman 13 tahun dalam bidang penyiaran membantu saya untuk membimbing peserta kelak," katanya.

Program realiti Bintang Mencari Bintang akan memulakan sesi uji bakat membabitkan lokasi serata tanah air iaitu di AEON Seberang Prai City, Pulau Pinang pada 19 & 20 Januari ini, diikuti Centrepoint Kota Kinabalu (26 & 27 Januari), Boulevard Kuching, Sarawak (2 & 3 Februari), Kota Bharu Trade Centre, Kelantan (8 & 9 Februari), Plaza Angsana, Johor Bahru (16 & 17 Februari) serta AEON AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur (23 & 24 Februari).

Faizal tercalon dua kategori

Penyampai radio dan pengacara baru datang silih berganti mewarnai persada hiburan tanah air. Namun, nama Faizal terus bertahan hingga hari ini.

Tahun ini, nama Faizal sekali lagi mara ke Top 5, ABPBH 2012, menerusi dua kategori iaitu Penyampai Radio Lelaki Popular buat kali ketujuh dan Pengacara TV Lelaki Popular pula adalah pencalonan kali keempat tapi tidak pernah menang sebelum ini.

Dalam kategori Pe­nyampai Radio Lelaki Popular, Faizal bersaing dengan empat lagi calon lain iaitu AG, Halim Othman, Johan dan Nabil. Manakala, dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular, Faizal bersaing secara sengit dengan empat lagi calon lain iaitu Zizan Razak, Aznil Nawawi, Awal Ashaari dan Datuk AC Mizal. Mengenai peluang untuk menang kategori Pengacara Lelaki Popular ABPBH 2012, kata Faizal yang juga bapa kepada dua anak ini menga­kui tidak pernah bermimpi untuk tercalon dalam kategori berkenaan.

"Saya tercalon dalam kategori Pengacara Lelaki Popular mungkin kerana orang nampak saya banyak terbabit sebagai pengacara dalam program Vokal Bukan Sekadar Rupa, Anugerah Juara Lagu dan Apa Kata FBI.

"Begitu juga kategori Penyampai Radio, saya tidak pernah letak harapan tinggi untuk menang setiap tahun kerana semuanya bergantung pada soal rezeki dan undian peminat," katanya.

Berkongsi rahsianya mampu bertahan sampai sekarang, Faizal yang mengagumi penyampai radio senior, Halim Othman mengakui semuanya berkat kerja keras dan minat yang cukup mendalam bidang penyiaran.

"Selain ikhlas dengan apa yang dilakukan, saya juga sentiasa menjaga hati semua orang yang terbabit dalam program termasuk dari kru belakang tabir. Pada masa sama, saya berusaha untuk mengelakkan diri dari dikaitkan dengan sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik saya dan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved