Rabu, 2 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Yana trauma, Fezrul takut gelap

Posted: 01 Jan 2013 05:16 AM PST

TABIR 2013 terus dibuka bersama sebuah karya bergenre seram daripada Metrowealth Movies Productions (MMP) untuk mengisi pawagam tempatan. Filem itu, Minyak Dagu arahan Azhari Zain mempertaruhkan tiga nama yang sudah terbukti lakonan mereka iaitu Yana Samsudin, Fezrul Khan dan Fizo Omar.

Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin, 26, yang memegang watak sebagai Emelda berkata, banyak pengalaman mencabar dan menakutkan ketika terbabit dalam penggambaran Minyak Dagu di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada 2011.

"Saya tertarik untuk berlakon dalam filem ini kerana ia ada kelainan pada jalan cerita dan watak saya. Ia lebih agresif berbanding yang pernah saya lakukan sebelum ini.

"Ia berkisar mengenai amalan mistik iaitu perbuatan mengambil minyak dagu daripada mayat wanita yang meninggal dunia ketika melahirkan anak untuk dijadikan ubat guna-guna.


"Antara babak yang membuatkan saya trauma sekejap adalah ulat-ulat kecil kena diletakkan pada muka saya. Saya memang takut dan geli sampai menangis semata-mata menjayakan babak itu.


"Babak lain yang turut mencabar saya ialah ketika Emelda berlari ke satu kubur lama, mencakar dan mengorek-ngorek tanah kubur itu sambil menangis. Bayangkanlah bagaimana saya kena buat benda yang selama ini tidak pernah saya terfikir untuk melakukannya dan babak di kubur lama itu dibuat dari sebelah malam sampai ke subuh," katanya.

Sebelum ini, pelakon kelahiran Yong Peng, Johor ini pernah beraksi dalam filem seram Histeria arahan James Lee terbitan Tayangan Unggul pada 2009 selain telemovie Kubur Tak Bertanda dalam slot Astro Citra sebelum ini.

Menyentuh gandingannya dengan Fezrul, Yana yang cukup dikenali menerusi wataknya sebagai Wawa dalam filem Adnan Sempit akui ada keserasian antara mereka sepanjang bekerjasama dalam filem itu.

"Kami sudah banyak kali digandingkan dalam drama dan kami tiada masalah untuk digandingkan dalam filem ini. Terbaru, kami dipertemukan lagi dalam filem komedi Bini-Biniku Gangster. Justeru, saya tidak berasa kekok membawa watak Emelda yang juga tunang kepada Azman lakonan Fezrul dalam Minyak Dagu.

"Begitu juga gandingan dengan Fizo yang membawa watak Johan yang juga bekas teman lelaki Emelda. Masing-masing berusaha memberikan yang terbaik seperti dikehendaki Azhari. Saya juga selesa bekerja dengan Azhari kerana kami pernah bekerja dalam projek Tarian Melayu Terakhir," kata Yana.

Bagi Fezrul yang pernah berlakon dalam drama Santau Merasuk dan Sumpahan Kum Kum pula, wataknya sebagai jurujual iaitu Azman dalam filem Minyak Dagu juga memberi cabaran tersendiri.

"Apa yang mencabar, dia juga perlu menjiwai watak Azman yang panas baran dan berdepan dengan tekanan kerja sebagai jurujual.

"Azman sudah bertunang dengan Emelda dan sangat menyayanginya tetapi dia tidak berusaha merebut hati keluarga tunangnya itu.

"Sebagai pelakon, saya juga buat kajian mendalam mengenai watak Azman dan perkara berkaitan minyak dagu yang dikatakan diambil daripada wanita yang mati beranak," katanya.

Pelakon kacak yang dikenali menerusi drama Jelatang ini mengakui, dia sudah lama ingin bergandingan dengan Yana dan akhirnya ia tercapai dalam filem ini. Saya juga serasi berlakon dengan Yana kerana dia sangat profesional ketika di lokasi.

"Saya juga pernah bekerja dengan Azhari dalam Santau Merasuk dan sebagai pengarah, dia banyak membimbing pelakon dalam menjiwai watak masing-masing. Pada masa sama, Azhari tahu apa yang dikehendakinya dalam karya dihasilkan," katanya.

Fezrul yang mengikat kontrak dua tahun bersama MIG turut bersyukur kerana tidak mengalami sebarang gangguan ketika di lokasi penggambaran filem seram itu.

"Cuma seorang kru saja yang kena kacau ketika di lokasi. Bayangkan kru yang bertubuh besar dan sedang bercakap tiba-tiba jatuh pengsan. Selepas tersedar, dia memberitahu kami dia berasa seperti kena tumbuk oleh seseorang," katanya.

Bagaimanapun, kata Fezrul yang lebih sedekad berlakon, dia mengaku dirinya bukanlah penggemar genre seram sejak dulu.

"Terus terang, saya memang seorang yang penakut. Justeru sebelum memulakan penggambaran, saya akan membaca ayat-ayat suci al-Quran terlebih dulu.

"Bukan saja penakut malah imunisasi badan saya juga agak lemah dan mudah jatuh sakit gara-gara terbabit dengan kecederaan serius sebelum ini.

"Selain itu, saya juga takut berada dalam gelap kerana ada pengalaman menakutkan ketika saya terbabit dalam penggambaran di Kelantan dulu.

"Saya masih ingat lagi, ketika terjaga jam 3 pagi, tiba-tiba pintu terbuka dengan sendirinya. Kejadian itu terus menghantui saya sampai sekarang," katanya yang turut berlakon dalam Malam Keliwon dan Tarik Duit.

Filem Minyak Dagu menceritakan mengenai Azman, seorang jurujual yang berdendam dengan bekas tunangnya Emelda selepas gadis itu memutuskan ikatan pertunangan mereka. Ia disebabkan Emelda mengikut nasihat ibu bapanya yang lebih sukakan Doktor Johan sebagai calon suaminya.

Barisan pelakon lain yang menjayakan filem ini termasuklah Maimon Mutalib, Mior Hashim Manap, Kartina Aziz, Zul Suphian dan Wan Hanafi Su. Minyak Dagu akan ditayangkan mulai esok di pawagam berdekatan anda.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



‘Ini bukan pentas kami’

Posted: 01 Jan 2013 04:50 AM PST

SUDAH dijangka akan tersingkir namun kejayaan mampu bertahan ke minggu ketujuh satu pencapaian yang tetap membanggakan mereka.

Begitulah komen kumpulan Sabon selepas terkeluar pada saingan minggu ketujuh Maharaja Lawak Mega 2012 di Auditorium Wisma MBSA, Jumaat lalu yang turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Warna (Saluran 13).

Persaingan minggu ketujuh yang menampilkan dua tugasan iaitu 'loghat dan sekolah' yang menyaksikan Sabon yang dianggotai Sathia dan Abon mengutip undian terendah 50.8 peratus di belakang dua lagi kumpulan tercorot, R2 (55.5 peratus) dan Boboi (57.1 peratus) selepas undian ditutup.

Seperti biasa, Jozan yang dikenali dengan idea spontan terbukti hebat apabila mengungguli carta dengan undian 70.2 peratus. Berada di bawah mereka adalah Jambu (61.9 peratus), Shiro (61.5 peratus) dan Saywho (57.3 peratus).


Persaingan sengit pada tugasan pertama menyaksikan Jambu berjaya menewaskan Jozan dari segi kualiti lawak yang dipertontonkan. Namun sebaik masuk tugasan kedua, Jozan mula menunjukkan belang mereka, sekali gus berjaya memancing undian peminat.


Keempat-empat juri, Awie, Najib Ali, Lisa Surihani dan Wulan Guritno ternyata terhibur dengan semua jenaka yang ditunjukkan biarpun ada lagi beberapa aspek boleh diperbaiki terutama komunikasi longgar bagi R2 dan Shiro.

Penyingkiran Sabon menyaksikan hanya enam kumpulan akan beraksi pada minggu kelapan yang berlangsung di luar Kuala Lumpur iaitu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu pada 4 Januari ini.

Abon berkata, apa yang berlaku bukanlah penamat untuk mereka kerana di luar pertandingan, jadual mereka sudah penuh dengan undangan berlawak. Cuma konsep lawak mereka mungkin tidak sesuai dengan MLM yang lebih menonjolkan sisi populariti peserta.

"Kami bukan diukur pada bagus berlawak atau tidak tapi takut Sabon jadi mangsa undian penonton. Kami lihat ada peserta yang popularitinya sangat hebat.

"Kami pun dah jangka Sabon akan tempuhi kesukaran dan dapat bertahan hanya sampai minggu ketujuh. Ramai rakan lama kami sudah terkeluar lebih awal dan kami seharusnya bersyukur bertahan lebih lama.

"Tak saya nafikan susah juga untuk kami bersaing dengan orang muda seperti Jozan kerana ini bukan pentas kami. Sabon tak boleh berlawak 'gila-gila' macam orang muda kerana faktor usia kami. Malu juga pada anak-anak nanti yang melihat kami.

"Persembahan kami lebih ke arah unsur nasihat. Jadi tak hairanlah apabila kami masih jadi pilihan untuk muncul berlawak pada acara anjuran jabatan kerajaan.
Bahkan sejak dulu sehingga sekarang, kami juga yang dicari.

"Air mata jatuh berderai, bukan satu yang sia-sia, perjuangan Sabon belum selesai, akan tetap menggembirakan rakyat Malaysia," kata Abon yang spontan berpantun bagi menggambarkan perasaan mereka.

Sathia pula tidak kecewa dengan penyingkiran ini. Sepanjang terbabit sebagai pelawak lebih 20 tahun, dia sudah meraih lapan anugerah dan menerima pengiktirafan Tokoh Seni Lawak daripada kerajaan dan itu sudah cukup menggembirakannya.

"Menang atau kalah memang sudah adat pertandingan. Saya tak rasa kami tiada keserasian kerana sudah mula berganding bersama sejak 1987. Cuma kami tiada rezeki seterusnya dalam program ini," katanya.

Mengulas perkara ini, Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai berkata, penyingkiran Sabon bukanlah kerana ditentukan empat juri semata-mata, sebaliknya pengundi turut memainkan peranan.

Awie akui tertarik dengan kandungan lawak yang ditampilkan setiap minggu. Namun dia akui selalu keliru untuk memberi komen kerana sorakan penonton bukan kerana kualiti lawak, sebaliknya kerana meminati peserta kesayangan mereka.

"Jadi, kami kena bagi komen yang boleh menyelamatkan keadaan. Saya nasihatkan pengundi supaya beri undi yang betul untuk peserta. Kalau kumpulan itu tak kelakar tapi diundi juga memanglah tak bagus kerana kita perlu melihat 'talent' yang ada pada peserta.

"Perlu diingat kami tak sebelah mana-mana peserta. Dalam pertandingan ini, kami bertindak sebagai juri. Di luar mungkin kami berkawan tapi dalam pertandingan, saya harus telus.

"Saya sendiri letakkan diri sebagai penonton dan kalau lawak yang ditampilkan bagus, saya akan ketawa. Kalau tak bagus, saya pasti akan komen. Kita kena jujur.

"Kita tak layak ajar mereka kerana mereka sebenarnya lebih mahir berlawak. Jadi komen yang diberikan tak boleh pedih tapi lebih kepada memberi semangat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved