Selasa, 22 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Mampukah saingi Adam & Hawa

Posted: 21 Jan 2013 05:00 AM PST

Masing-masing sudah bertapak dalam arena lakonan lebih 10 tahun. Namun, Adi Putra dan Rita Rudaini belum pernah digandingkan sebagai kekasih.

Drama bersiri Sehangat Asmara yang ditayangkan setiap Isnin hingga Rabu, jam 10 malam di Astro Mustika HD (Saluran 134) bermula semalam menyaksikan dua pelakon berbakat ini digandingkan sebagai kekasih buah kali pertama.

Difahamkan, drama ini dijangka mampu mencetus fenomena sebagaimana Adam & Hawa lakonan Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa tahun lalu.

Kedua-dua pelakon ini yang ditemui RAP memberikan pandangan mereka. Rita mengakui gementar menantikan reaksi penonton manakala Adi yakin gandingan mereka berdua mampu memberikan impak yang serupa.

Foto

Adi Putra dan Rita Rudaini belum pernah digandingkan sebagai kekasih sebelum ini.


Adi berkata, selepas mula ditayangkan semalam, masih terlalu awal baginya untuk menilai reaksi penonton.


"Secara jujurnya, susah hendak jangka lagi. Sehangat Asmara sudah lama menjadi fenomena dan mempunyai pengikut yang ramai dari zaman terbitan novelnya.

"Novel Sehangat Asmara tulisan Aisya Sofea antara novel cinta paling laris di Malaysia. Aisya juga adalah penulis novel Adam & Hawa. Bahkan pengarah dan produksi yang menerbitkan Sehangat Asmara jugalah yang menerbitkan Adam & Hawa iaitu Mohd Feroz Kadir dan Global Station. Jadi saya tak bimbang sangat," katanya.

Bercerita mengenai keserasian gandingan mereka berdua, Adi menambah, mencari keserasian bukan satu masalah kerana pelakon tidak perlu mencarinya di luar untuk dibawa ke set, sebaliknya ia perlu nampak serasi dalam skrin dengan memberi dan menerima dialog bersama penghayatan.

"Memang kami pertama kali digandingkan. Tak silap saya, Aaron dan Nadiya juga pertama kali bekerjasama tetapi mereka berjaya mewujudkan keserasian itu," kata Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim.

Adi mengakui tidak berdepan sebarang masalah sepanjang bergandingan dengan Rita dan menyifatkan pelakon wanita berbakat itu seorang yang profesional.

"Mudah bekerja dengannya. Ada babak di mana saya perlu mencium dahi dan mendukungnya. Disebabkan kami faham apa yang cuba dipamerkan ini khusus untuk kerja jadi tidak timbul masalah. Bagi sesetengah orang yang mungkin tidak faham, bimbang perbuatan itu disalah tafsir," katanya.

Berbeza dengan Adi, Rita pula berpendapat aktor kelahiran Singapura seorang yang pendiam membuatkannya mengambil sedikit masa untuk mewujudkan keserasian itu.

"Kami pernah berlakon bersama sebelum ini menerusi sebuah cerekarama dan filem Balistik, tetapi tidak ada banyak babak bersama. Berbeza dengan Sehangat Asmara, terdapat banyak babak membabitkan kami berdua.

"Jadi, mula-mula tu ambil masa sikit untuk dekati Adi kerana saya masih mengkaji Adi ini orangnya macam mana. Adakah dia boleh bergurau kerana saya nampak dia seorang yang pendiam.

"Macam Rosyam Nor dan Aqasha, saya sudah biasa dengan mereka jadi saya sudah faham sangat cara mereka berdua. Lebih kurang seminggu juga, barulah keserasian itu benar-benar terbit. Selepas itu kami saling bertukar-tukar idea dan dia juga boleh menerimanya," katanya.

Sehangat Asmara berkisar mengenai ranjau dalam hubungan dua darjat, Kamilia Najwa lakonan Rita Rudaini dan Zainal Arief (Adi Putra) yang berkahwin tanpa restu keluarga di Sydney, Australia.

Kebahagiaan mereka berakhir apabila Zainal terpaksa pulang ke tanah air dan berjanji untuk kembali semula ke pangkuan isterinya.

Turut menghangatkan siri ini adalah Shahrizal Jaszle, Fureena Ezlin, Izreen Azminda, Hafizuddin Fadzil dan Dian P Ramlee. Tayangannya bermula semalam setiap Isnin hingga Rabu, jam 10 malam di Astro Mustika HD (saluran 134).

Uji kemampuan Rita tapi kurang mencabar buat Adi

Watak Kamilia Najwa yang dibawa Rita satu ketika dulu pernah menyentuh perasaannya ketika dia membaca novel berkenaan.

"Saya pernah memiliki novel Sehangat Asmara pada 2000, tetapi ia hilang dalam simpanan. Saya amat menyukainya dan apabila Global Station menawarkan peluang untuk membintangi drama ini saya terasa seperti mimpi.

"Bagi mendapatkan penghayatan, saya beli semula novel ini bagaimanapun hanya sempat membelek babak pertama kerana saya tidak tahan dengan jalan ceritanya yang sedih.

"Ia mengingatkan saya kepada perkara yang sedih berlaku dalam hidup saya. Di lokasi saya tidak boleh mengelak dan tidak keterlaluan juga saya katakan ini adalah drama paling banyak menuntut saya dengan babak air mata," katanya yang gemar membaca novel sejak sekolah lagi.

Menurutnya, dalam 33 episod drama itu, hanya satu atau dua episod saja memaparkan babak-babak indah, manakala selebihnya sedih.

"Memang mencabar untuk melakonkan babak sedih, tambahan pula saya memang jenis yang sukar untuk menangis," katanya.

Jika Rita merasakan watak Kamilia adalah mencabar, Adi yang membawakan watak Zainal pula dikatakan tidak begitu menduga kemampuannya. Sebetulnya juga, tahun ini Adi yang sering muncul dalam filem aksi mahu memfokuskan tawaran kepadanya drama-drama bercorak cinta pula.

"Saya tidak gemar memberi persembahan ulang tayang jadi setiap tahun saya tetapkan konsep lakonan saya. Watak Zainal bukanlah watak terlalu mencabar buat saya kerana ia tidak memerlukan saya mengubah imej atau cara pembawakan diri saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Fouziah simpan rahsia kawan

Posted: 21 Jan 2013 04:39 AM PST

Paparan Jejak Bintang semalam menonjolkan pengalaman zaman kanak-kanak aktres bermata cantik Fouziah Gous sewaktu di rumah serta minatnya terhadap bidang seni.

Siri kedua hari ini pula akan menyelami karakter Fouziah melalui kaca mata kawan karibnya terutama ketika bekerja sebagai pramugari di syarikat penerbangan terkemuka, Malaysia Airlines (MAS), sebelum terjun ke dunia lakonan.

Jika ibu Fouziah, Sajadi Ibrahim, 58, akui Fouziah seorang anak yang mudah dijaga dan tidak banyak kerenah, beberapa teman rapatnya juga mengakui perkara yang sama. Malah bagi Rosmila Abdul Rahman, 32, atau Mila, Fouziah seorang pendengar masalah yang setia.

Mila yang mula mengenali Fouziah ketika di tingkatan tiga mula rapat apabila sekali lagi dipertemukan dalam kelas yang sama ketika mereka di tingkatan empat (aliran ekonomi dan perdagangan) di Sekolah Menengah Perempuan Jalan Ipoh.


Sejak itu, hubungan mereka semakin akrab dan Mila menyedari walaupun seorang pendiam, Fouziah adalah sahabat yang begitu disenangi kerana mempunyai tahap kesabaran yang begitu tinggi jika berhadapan dengan kerenah rakan-rakan.


"Apa saja perkara dan cerita yang dikongsi akan disimpan sebagai rahsia oleh Fouziah menyebabkan kami selesa bercerita dan berkongsi masalah dengannya.

"Sejak mula sama-sama berada di dalam Tingkatan 3K1 lagi, saya lihat Fouziah seorang yang mudah didekati. Walaupun dia pendiam itu bukanlah dia sombong.

"Malah dia mempunyai tahap kesabaran yang sangat tinggi apabila melayan kerenah kawan-kawan terutamanya saya seorang yang lebih agresif. Atas sebab sikap sabar dan pendiam itu kami tidak pernah bergaduh jauh sekali untuk bermasam muka malah hubungan kami kekal akrab sampai sekarang," katanya.

Mila berkata, menjadi perkara wajib setiap kali hari raya, mereka akan pusing setiap rumah kawan-kawan bagi sama-sama berkongsi kegembiraan menyambut lebaran.

"Fouziah tak suka berpeleseran, biasanya kalau tiada latihan dikir barat, selepas waktu sekolah kami akan terus pulang ke rumah masing-masing.

"Hanya sekali sekala kalau ada peluang kami akan keluar makan dan beli-belah bersama-sama. Boleh dikatakan setiap hari raya, Fouziah dan dua lagi kawan sebaya, Naziah Sharudin dan Syairul Alili, akan beraya bersama.

"Walaupun sekarang masing-masing sudah sibuk dengan kerja yang tidak tentu masa, kami masih cuba mencari peluang untuk keluar berjalan sama-sama," katanya.

Berkongsi saat gembira, Mila berkata, kenangan yang menjadi ingatan manis buat mereka adalah apabila dia dan Fouziah terpilih menjadi pasukan sorak pada acara Sukan Komanwel di Stadium Bukit Jalil pada 1998.

"Ia satu kenangan manis yang tak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Akibat penat kami semua berkumpul dan tidur di rumah saya. Memang ketika itu terlihat sikap masing-masing dan nyata Fouziah seorang kawan yang baik hati.

"Mungkin ia satu perkara biasa pada orang lain, tetapi ia adalah kenangan manis buat saya apatah lagi kami sama-sama berpeluang mengadakan persembahan sorak pada acara bertaraf dunia seperti itu," katanya.

Fouziah tukar penerbangan demi Naziah

Seorang lagi kawan rapat Fouziah sejak di bangku sekolah hingga sama-sama bekerja dengan MAS adalah Naziah yang kini masih setia bersama syarikat berkenaan.

Berkongsi cerita lama mereka, Naziah yang mesra dengan panggilan Naz berkata, keakraban mula terjalin sejak tingkatan empat lagi.

Naz berkata, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka menyambung pengajian di kolej yang sama, namun berlainan kursus di mana Naz memilih akaun manakala Fouziah pula mengambil jurusan kesetiausahaan.

"Selepas habis SPM, kami sempat bekerja sebagai jurujual di kedai barangan sukan di KL. Ketika itu setiap hari Fouziah akan membekalkan saya nasi lemak yang dimasak ibunya.

"Rasa sangat terharu atas perhatiannya, bukan Fouziah saja, malah ibunya juga sangat baik dengan saya membuatkan saya selesa sepanjang kami berkawan.

"Kalau ikutkan, Fouziah lebih dulu menyertai MAS beberapa tahun dan kemudian baru saya menyusul selepas. Dia tidak henti-henti mendorong untuk saya pergi sesi temu duga dan tidak sangka pun berjaya," katanya.

Naz berkata, Fouziah terjebak menjadi pramugari MAS ketika suka-suka menemani seorang rakan mereka dan tidak sangka langsung dia terpilih.

"Saya gembira apabila dapat bekerja dalam satu bidang yang sama dengannya, paling menarik dia pernah menukar destinasi penerbangan dengan kawan sekerja semata-mata untuk terbang sama dengan saya yang ketika itu perlu ke Hong Kong.

"Walaupun hanya berkesempatan sekali terbang bersama ia satu kenangan manis kerana apabila berhenti di Hong Kong kami sempat menghabiskan masa terasa seperti sedang bercuti pula," kata Naz.

Selain seorang yang baik, Naz mengakui Fouziah teman yang baik dan tidak lokek dalam soal wang namun bukanlah seorang yang boros.

"Saya pernah melalui satu situasi di mana ketika itu sangat tertekan akibat masalah kewangan kemudian saya bercerita kepada Fouziah dan tidak sangka dia sudi menghulurkan wangnya walaupun ketika itu tujuan saya hanya ingin dia mendengar masalah saja.

"Malah setiap pertolongan yang diberikan Fouziah tidak pernah ungkit tidak kira besar atau kecil dia akan terus lupa apa kebaikan yang pernah dilakukan.

"Namun disebabkan dia cantik, pasti ada yang cemburu dan bagi saya itu perkara biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved