Ahad, 20 Januari 2013

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Wanita mati terkena peluru

Posted: 19 Jan 2013 05:06 AM PST

Klang: Seorang anggota polis nyaris maut selepas pemandu sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan dicuri cuba merempuhnya, menyebabkan anggota itu terpaksa melepas tembakan di Taman Sejati, di sini, malam kelmarin.

Akibatnya, seorang wanita berusia 22 tahun yang juga penumpang kereta itu mati terkena tembakan anggota polis terbabit manakala pemandunya, seorang lelaki berusia 31 tahun, berjaya ditahan.


Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu, parang dan satu paket serbuk putih, dipercayai dadah, ditemui di tempat tempat duduk penumpang sebelah kiri. Semuanya bermula apabila kereta itu dikesan anggota kereta peronda dalam keadaan mencurigakan di Jalan Batu Tiga Lama, di sini, jam 7.35 malam.

Semakan mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Klang, Selasa lalu, menyebabkan pihak berkuasa cuba menahannya. Bagaimanapun, suspek enggan mematuhi arahan dan terus memecut laju menuju ke arah bandar ini, selain turut melanggar beberapa kenderaan dalam cubaan melarikan diri.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, sebaik tiba di Taman Menara, suspek memberhentikan keretanya seolah-olah kehabisan minyak, menyebabkan polis menghampiri untuk membuat pemeriksaan.


Namun, tiba-tiba suspek mengundurkan kereta dan cuba melanggar anggota terbabit, menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran tetapi suspek terus memecut laju.

Foto

Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian satu kes tembak selepas anggota polis mengejar suspek.

"Selepas mengejar suspek lebih 10 kilometer, suspek akhirnya tiba di Taman Sejati dan sekali lagi memberhentikan keretanya, dan anggota polis sekali lagi keluar untuk menahan suspek. Suspek sekali lagi mengundurkan keretanya dan cuba melanggar anggota polis.


"Tindakan suspek memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan, menyebabkan kereta itu berhenti dan suspek berjaya ditahan.

"Pemeriksaan kemudian mendapati seorang wanita yang berada di tempat duduk penumpang depan cedera terkena tembakan," katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian, malam kelmarin.


Mohd Adnan berkata, polis kemudian menghubungi ambulans dan pemeriksaan ke atas wanita terbabit mengesahkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.


Mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat, manakala suspek dibawa ke hospital sama untuk pemeriksaan lanjut.


Katanya, siasatan awal forensik mendapati mangsa meninggal akibat terkena satu das tembakan. Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dijalankan.


Tambahnya, polis akan menyiasat hubungan sebenar antara suspek dengan mangsa serta motif suspek melarikan diri ketika cuba ditahan bagi melakukan pemeriksaan.


"Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu terbabit mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, melarikan orang dan kesalahan berkaitan dadah, manakala mangsa tiada rekod jenayah.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379(A) KK dan kesalahan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved