Ahad, 20 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tak galak rokok elektronik

Posted: 20 Jan 2013 05:23 AM PST

LAPAN jam selepas seseorang itu berhenti merokok, paras nikotin dan kandungan karbon monoksida di dalam darahnya turun mendadak sehingga separuh dan kandungan oksigen kembali ke paras normal.

Dalam tempoh 24 jam selepas itu pula, karbon monoksida yang juga 'racun jangka' kepada paru-paru disingkirkan daripada tubuh bersama mukus. Kandungan lain dalam rokok pula mula dikeluarkan dari organ pernafasan itu.

Malah hanya dalam tempoh dua hari, tiada lagi kandungan nikotin dalam badan selain keupayaan deria rasa dan bau pulih seperti sedia kala. Ini kerana merokok menyebabkan lidah menjadi kebas.

Begitulah betapa pantasnya tubuh membersihkan dirinya sebaik seseorang membuat keputusan untuk menghentikan tabiat merokok yang mendedahkan mereka kepada 7,000 jenis racun merbahaya yang menyumbang kepada penyakit kanser.

Foto

ANTARA kaedah terapi gantian nikotin yang digunakan di klinik untuk berhenti merokok.


Bagi mereka yang ingin membebaskan diri daripada tabiat buruk itu, terdapat banyak kaedah yang diguna pakai ketika ini antaranya terapi gantian nikotin menggunakan cara tampalan, menyedut, gula-gula getah atau pengambilan ubat.


Namun sejak akhir-akhir ini, wujud satu lagi kaedah yang semakin popular di kalangan perokok tegar iaitu rokok elektronik yang mempunyai kandungan nikotin pada paras lebih rendah bagi mengawal ketagihan terhadap rokok.

Rokok elektronik ialah alat yang menggunakan kuasa bateri dan membolehkan nikotin yang berada dalam bekas katrij yang dimasukkan dalam alat berkenaan, disedut oleh penggunanya. Tiada asap sebenar dikeluarkan sebaliknya ia hanyalah wap hasil pemanasan nikotin bersama beberapa bahan tidak merbahaya.

Ada kenyataan mengatakan rokok elektronik lebih membahayakan kesihatan seseorang berbanding rokok biasa namun sejauh mana kebenaran dakwaan berkenaan?

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Sallehudin Abu Bakar, kenyataan yang mengatakan rokok elektronik lebih merbahaya berbanding rokok biasa tidak begitu tepat jika kandungan kimia antara kedua-duanya dibuat perbandingan.

Berbeza dengan rokok biasa yang mengandungi 5,000 hingga 7,000 bahan kimia, rokok elektronik hanya mempunyai empat bahan iaitu nikotin cecair yang dicampurkan dengan tiga bahan yang biasa digunakan sebagai bahan tambahan dalam makanan iaitu propylene glycol, polyethylene glycol dan glyserin sayuran.

Malah katanya, rokok elektronik dihasilkan oleh seorang ahli farmasi di China pada 2003 yang mempunyai matlamat untuk membantu perokok tegar yang sangat sukar meninggalkan tabiat merokok.

"Tiga bahan tadi dicampurkan bagi memberikan kesan asap seperti rokok. Apabila ia dipanaskan, ia menukarkan nikotin dalam bentuk cecair menjadi wap. Namun paras nikotin yang ada dalam rokok elektronik memang berbeza, ada yang tinggi dan ada yang rendah," katanya.

Beliau berkata, rokok elektronik boleh menjadi bahaya kepada penggunanya apabila nikotin yang bercampur dengan kandungan asid nitrik dalam udara, bertukar menjadi bahan kanser iaitu nitrosamines yang khusus datang daripada tembakau.

Menurut Dr Sallehuddin, misalnya apabila seseorang menghisap rokok elektronik di kawasan sibuk dengan asap kenderaan, udara berkenaan penuh dengan asid nitrik dan apabila bercampur dengan wap nikotin, ia boleh mendedahkannya kepada kanser.

"Jika hisap di rumah pula dan berdekatan dengan dapur gas, kesannya juga tetap merbahaya kepada pengguna rokok elektronik apabila asapnya bercampur dengan wap nikotin dan kandungan nitrik asid yang ada dalam udara.

"Sekiranya menggunakan rokok elektronik dalam tempoh berpanjangan, pengguna juga boleh terdedah kepada risiko kanser. Namun bagi perokok tegar, rokok elektronik ialah alternatif yang jauh lebih selamat jika mereka mahu membuang tabiat merokok secara perlahan-lahan," katanya.

Ketika ini, penggunaan rokok elektronik dibenarkan dari segi undang-undang di beberapa bahagian Amerika Syarikat tetapi masih dikawal terutama di kawasan awam dan ia tidak dibenarkan dijual kepada golongan bawah umur.

Di United Kingdom pula yang juga pasaran terbesar bagi rokok elektronik di Eropah, penjualan, pengimportan dan penggunaan rokok itu sah di sisi undang-undang dan tiada perlembagaan khusus berkaitan rokok elektronik di seluruh Kesatuan Eropah buat masa ini.

Di Austria, rokok elektronik dianggap sebagai produk perubatan dan perlu didaftarkan sebelum dijual kepada orang awam. Di Jerman dan Belanda, ia dibenarkan namun di beberapa negara Eropah lain termasuk Belgium, Denmark, Finland dan Norway, rokok elektronik diharamkan.

Dr Sallehudin berkata, biarpun rokok elektronik pilihan lebih baik kepada perokok tegar yang ingin berhenti merokok, dibimbangi ia akan akan menjadi trend baru hingga menarik perhatian bukan perokok untuk mengamalkan tabiat berkenaan.

Apatah lagi ketika ini sudah wujud perasa tertentu yang boleh membuatkan menghisap rokok elektronik menjadi lebih nikmat, berbanding sebelum ini.

Selain itu, jumlah nikotin yang ada dalam rokok elektronik biarpun tidak banyak, boleh menyebabkan ketagihan sekiranya digunakan dalam tempoh yang lama dan kerap.

"Namun sebenarnya faktor ketagihan juga berdasarkan genetik kerana ada yang mudah ketagih tetapi ada pula yang tidak ketagih. Empat faktor lain yang menyebabkan ketagihan ialah nikotin, psikologi, tabiat dan sosial," katanya.

Menurut Dr Sallehudin, golongan wanita didapati lebih mudah terdedah kepada penyakit kanser akibat kesan menghisap rokok berbanding lelaki, biarpun tempoh menghisap rokok lebih pendek berbanding lelaki.

Rokok berada pada tangga kedua bagi pembunuh utama di dunia selepas garam yang menyebabkan penyakit darah tinggi, diikuti gula (diabetes) dan lemak (kolesterol).

"Bagaimanapun, saya tidak menggalakkan seseorang menggunakan rokok elektronik sebagai cara membuang tabiat merokok sebaliknya kami menyarankan mereka menggunakan kaedah kaunseling dan rawatan gantian berasaskan nikotin termasuk ubatan yang ada nikotin seperti varenicline dan bupropian," katanya.

Sementara itu, Jururawat Unit Pendidikan Kesihatan Klinik Berhenti Merokok Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Markamah Munadar berkata, pihaknya tidak menggalakkan penggunaan rokok elektronik, sebaliknya menggunakan kaedah kaunseling serta terapi gantian nikotin bagi merawat perokok tegar yang dijalankan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan.

Kaedah rokok elektronik jarang digunakan kerana pihaknya mahu tabiat menghisap rokok dihentikan bukan saja secara fizikal tetapi dari segi psikologi.

"Di klinik, kami menggunakan rawatan gantian nikotin yang diambil secara oral dan tampalan. Adakalanya ia digabungkan bagi membantu perokok tegar meninggalkan tabiat buruk itu dengan lebih berkesan.

"Semua kaedah ini sebenarnya lebih berkesan kepada mereka yang memang mempunyai tekad atau datang sendiri ke klinik kerana mahu berhenti merokok. Ini kerana ketagihan juga disebabkan oleh psikologi dan lebih berjaya jika kita mempunyai azam," katanya.

Bagi kaedah tampalan, ia perlu ditampal selama 16 jam sehari bermula sebaik bangun tidur awal pagi bagi mengurangkan keinginan merokok dan ditanggalkan ketika waktu tidur.

Penggunaan kaedah tampalan diteruskan sehingga seseorang itu berasa mereka sudah boleh berdikari dan mampu mengawal keinginan untuk kembali kepada tabiat merokok.

Bagi kaedah mengunyah gula-gula getah yang mengandungi nikotin pula, ia boleh dikunyah selama setengah jam setiap kali keinginan menghisap rokok memuncak.

Lebih menarik, pengambilan ubatan terbabit akan menyebabkan perokok mula kehilangan nikmat menghisap rokok dan sekiranya dijalankan secara teratur ditambah keazaman yang tinggi, mereka akan meninggalkan tabiat merokok.

Menurut Markamah, sepanjang tahun lalu dia sudah merawat seramai 544 pesakit dan 30 peratus daripadanya berjaya meninggalkan tabiat merokok. Lapan peratus daripada perokok yang dirawatnya ialah wanita.

"Saya pernah merawat seorang lelaki yang menghisap rokok sejak remaja hingga berusia 60 tahun namun selepas mengikuti program rawatan di klinik, dia akhirnya berjaya meninggalkan tabiat itu.

"Kami memang menggalakkan sesiapa yang ingin berhenti rokok untuk datang ke klinik berhenti merokok yang ada di semua hospital kerajaan untuk menjalani rawatan secara percuma," katanya.

Bulan pertama selepas meninggalkan tabiat merokok, perokok tegar akan mengalami reaksi yang agak teruk seperti batuk-batuk dan pengeluaran kahak sama ada berbau atau mempunyai warna namun ia sebenarnya proses pembersihan yang dilakukan tubuh.

Dengan gabungan ubatan, senaman pernafasan serta minum banyak air, ia akan membantu proses pembersihan menjadi lebih lancar. Tiga hari selepas meninggalkan tabiat merokok, pernafasan akan menjadi lebih lancar, paru-paru akan mula tenang dan tahap tenaga meningkat.

Dalam tempoh antara tiga hingga sembilan bulan selepas itu, batuk yang mengeluarkan bunyi berdesit dan gangguan pernafasan beransur kurang dan fungsi paru-paru meningkat sehingga 10 peratus.

Lima tahun selepas itu, risiko serangan penyakit jantung menurun kepada kadar separuh berbanding perokok dan 10 tahun selepas itu, risiko penyakit kanser paru-paru menurun kepada kadar separuh berbanding perokok dan risiko serangan jantung kembali kepada kadar individu yang tidak merokok.

FAKTA:

  • Statistik terbaru mengenai ketagihan merokok di negara ini begitu menggerunkan apabila jumlah perokok meningkat kepada 4.7 juta orang tahun lalu berbanding 3.1 juta orang pada 2007.
  • Menurut kajian pakar elektrofisiologi kardiak di Institut Jantung Mazankowski, Universiti Alberta, Kanada, Roopinder Sandhu, wanita yang merokok walaupun sebatang sehari berisiko tinggi meninggal dunia secara tiba-tiba akibat serangan jantung dan masalah berkaitan jantung.
  • Kira-kira 40 jenis penyakit ada hubung kait dengan merokok, termasuk barah mulut dan paru-paru.
  • Rokok mengandungi 4,000 hingga 7,000 bahan kimia merbahaya.
  • Statistik di Malaysia menunjukkan setiap hari seramai 40 hingga 50 perokok baru mulai terjebak ke kancah itu.
  • Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan hampir 10,000 kematian setiap tahun dikaitkan dengan tabiat merokok.
  • Statistik Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan terdapat 600,000 kematian setahun berlaku di seluruh dunia disebabkan pendedahan kepada asap rokok dan 64 peratus daripada angka terbabit ialah wanita. Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20
  • Hidup cergas cegah penyakit

    Posted: 20 Jan 2013 04:54 AM PST

    ADAKAH ajakan untuk mula bersenam kedengaran seperti bunyi nyamuk yang membuat bising di tepi telinga ketika anda hendak tidur? Jangan begitu, kerana bersenam juga satu perkara yang dituntut dalam Islam. Bahkan ia adalah hak badan yang sering kita abaikan.

    Apakah badan juga mempunyai hak? Ya, ramai yang tidak tahu bersenam adalah hak badan kerana badan kita memang direka untuk bergerak aktif. Mengapa penulis kata begitu? Bergerak aktif atau bersenam antara cara mudah mengekalkan kesihatan.

    Badan kita dipinjamkan Allah buat sementara waktu dan adat meminjam, perlulah menjaga badan dengan baik. Inilah antara tanggungjawab yang perlu kita tunaikan segera. Usah beri alasan tidak ada masa kerana semua orang diberikan 24 jam sehari, tidak lebih dan tidak kurang. Beza antara kita ialah semangat dan kemahuan untuk memulakan hidup baru yang aktif.

    Contoh terbaik ialah Nabi Muhammad SAW sendiri sebagai individu yang sangat aktif. Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa: "Aku tidak pernah melihat seorang pun yang terlebih kacak daripada Rasulullah. Cahaya dan seri wajahnya seolah-olah matahari itu sendiri memancar di mukanya. Dan aku tidak pernah melihat seorang yang terlalu lasak berjalan selain baginda seolah-olah bumi bergulung untuknya. Jika pada satu masa baginda di sini, sebentar lagi akan kelihatan baginda di sana. Walaupun ada ketika baginda berjalan secara biasa, namun kami yang mengikuti baginda terpaksa melangkah dengan susah-payah (terpaksa berjalan dengan lebih lasak untuk bersamanya)".


    Dalam Seminar Kesihatan Islam lalu, pendakwah, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, penerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2012 berkata, badan kita ada haknya sendiri iaitu hak kesihatan yang perlu dijaga dan dirawat apabila sakit. Kesihatan yang dimaksudkan di sini ialah sihat badan dan akal.


    Katanya, penyakit yang dihidapi kebanyakan masyarakat kini adalah kesan daripada tindakan kita sendiri kerana banyak penyakit yang dapat dihindari dengan mengamalkan gaya hidup cergas dan berfikiran cerdas.

    "Masalah kita sekarang terlalu banyak makan. Apabila banyak makan, akan ada masalah penghadaman. Sebagaimana sabda Rasulullah, perut itu rumah segala penyakit. Maknanya ia membabitkan isu atau tabiat pemakanan.

    "Inilah sebabnya dalam Islam ada konsep berpuasa untuk sihat. Puasa diperakui ramai pakar pemakanan sebagai terapi kesihatan yang unggul," katanya.

    Puasa boleh menguatkan sistem imun dan mengurangkan risiko obesiti dengan syarat bersederhana ketika berbuka.

    Makanan menjadi punca masalah kesihatan apabila:

  • Makanan yang diambil tidak bersih
  • Makan terlalu banyak dan tidak mengikut peraturan (jadual makan)
  • Mengambil makanan yang haram

    Satu perkara lagi yang memang sudah diketahui umum boleh menjejaskan kesihatan ialah tekanan.

    Dr Zulkifli berkata, antara sebab ramai mengalami tekanan ialah sebahagian besar antara kita tidak lagi menyediakan kehidupan yang normal. Normal maknanya bekerja pada waktu siang dan tidur serta berehat pada sebelah malam. Saranan Islam, tidur awal pada waktu malam supaya keesokan paginya kita juga boleh bangun awal.

    Namun sekarang, ramai tidur lewat malam (malah ramai yang sanggup bersengkang mata melayari Internet dan laman sosial hingga awal pagi) dan bangun apabila hari sudah tinggi, sehingga ada yang terlepas solat Subuh dan tergesa-gesa ke tempat kerja serta tidak sempat bersarapan, apatah lagi untuk bersenam.

    Soal kepentingan mempunyai tubuh yang sihat sebenarnya tidak perlu diperkatakan lagi. Sihat adalah satu nikmat yang sangat besar. Zaman dulu, jumlah tentera Islam yang diketuai Nabi Muhammad SAW sangat kecil jika dibandingkan dengan pasukan lawan. Seorang tentera Islam menentang dua, tiga hingga 20 tentera lawan - dan masih beroleh kemenangan.

    Ini menunjukkan tahap kesihatan, kecergasan dan kekuatan mereka sangat tinggi. Kecergasan dan ketangkasan orang dulu mungkin sukar ditandingi tetapi kita masih boleh menjaga kesihatan dan meningkatkan kekuatan diri dengan beriadah, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, 30 minit setiap sesi.

    Kata Dr Zulkifli lagi, Rasulullah menjaga kesihatan dengan matlamat jelas iaitu untuk beribadat kepada Allah. Kesihatan ialah alat untuk melakukan ibadat dengan lebih baik.

    Kesihatan dan ibadat sebenarnya dua perkara yang saling berkait. Kita menjaga kesihatan supaya boleh beribadat. Sebaliknya beribadat juga cara untuk menjaga kesihatan. Mengambil wuduk contohnya mempunyai hikmah tersendiri. Ulama Fekah ada menjelaskan hikmah wuduk sebagai sebahagian daripada usaha untuk memelihara kebersihan fizikal dan rohani.

    Anggota badan yang dicuci ketika wuduk seperti tangan, muka (termasuk mulut) dan kaki ialah bahagian yang paling terdedah serta banyak bersentuhan dengan benda asing. Bahkan kajian sains mengukuhkan lagi kepentingan menjaga kebersihan khususnya tangan yang menjadi antara ejen paling efektif dan pantas menyebarkan jangkitan.

    Menurutnya, banyak ibadat, khususnya solat menjadi ubat untuk memiliki tubuh, fikiran dan jiwa yang sihat. Pergerakan solat mempunyai manfaat tersendiri dan ia boleh menguatkan otot perut lebih baik daripada senaman yoga. Bahkan ada pakar perubatan yang menggunakan pergerakan dalam solat sebagai senaman untuk meningkatkan kekuatan badan khususnya bagi manfaat pesakit kanser.

    "Solat bukan sekadar memberi kesan pada fizikal malah ia sangat penting untuk menguatkan spiritual. Ahli falsafah Yunani, Plato menyebut 'tidak mungkin tubuh akan sihat jika jiwa kita tidak sihat'. Solat tetap wajib dilakukan ketika sakit, ia sebagai bukti iman yang tidak berbelah-bahagi, tanda kesabaran dalam menghadapi ujian, tanda insaf atas dosa dan maksiat (kesalahan) yang kita lakukan serta cara untuk memohon penyembuhan segera daripada Allah," katanya.

    Tidak dinafikan, ada pesakit yang marah apabila diminta menunaikan solat sedangkan solat itu sendiri sebenarnya salah satu penawar penyakit. Solat akan menguatkan semangat seseorang yang boleh menjadikannya berfikiran positif. Bersikap dan berfikiran positif secara tidak langsung akan membuatkan badan bertindak balas lebih baik terhadap rawatan.

    Menyedari kepentingan dan manfaatnya (sebagai terapi kesihatan jiwa dan fizikal) serta bagi memenuhi tuntutan agama, kini ada banyak pusat perubatan menerapkan konsep hospital ibadat terutama yang bernaung di bawah Konsortium Hospital Islam Malaysia (KHIM) - menjadikan amalan Islam sebagai teras perkhidmatan.

    Apa beza antara hospital ibadat dengan hospital lain? Menurut Pegawai Agama Unit Dakwah Hospital Pusrawi, Ustaz Yaakob Hamid, rawatan yang diberikan kepada pesakit masih sama seperti hospital lain tetapi ia diselitkan dengan elemen ibadat seperti membaca Bismillah, doa, pemberitahuan waktu solat, membantu pesakit berwuduk atau bertayamum dan menyediakan ruang untuk bersolat.

    Pihak hospital juga menyediakan pegawai agama bagi membantu dan mengajar mana-mana pesakit yang kurang berpengetahuan untuk menunaikan solat selain menampal poster kaedah bersolat bagi pesakit. Malah bayi yang dilahirkan di hospital ibadat akan diperdengarkan azan (atau iqamat), beri air zam zam dan kurma. Mereka juga akan mengajar orang sakit kaedah menunaikan solat mengikut kemampuan masing-masing.

    Apa yang penting ialah tekad kita untuk memulakan penjagaan kesihatan (fizikal dan fikiran) dengan lebih serius dari sekarang khususnya sebagai persediaan menghadapi hari tua.

    Kajian terbaru oleh penyelidik Scotland menunjukkan beriadah bukan saja boleh menenangkan fikiran malah memberi perlindungan terhadap pengecutan otak di kalangan warga senior. Pengecutan otak ini akan menyebabkan masalah ingatan dan pemikiran. Jadi, apa lagi yang kita tunggu?

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20
  • Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved