Isnin, 18 Februari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Blues mara bergaya

Posted:

Chelsea berjaya mengelak daripada menjadi mangsa terbaru pada saingan Piala FA apabila juara bertahan itu melangkah ke pusingan kelima selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas pasukan Divisyen Satu, Brentford semalam.

Arsenal, Tottenham dan Liverpool adalah antara kelab gergasi Liga Perdana Inggeris yang dimalukan pasukan liga bawahan musim ini, tetapi Chelsea bermula hambar.


Mujur jaringan pada separuh kedua menerusi Juan Mata, Oscar, Frank Lampard dan John Terry pada perlawanan ulangan semalam selepas sekadar seri 2-2 di Brentford sebelum ini, menggembirakan penyokong di Stamford Bridge.

Masih terlalu awal untuk melabelkan pasukan kendalian Rafael Benitez kembali berada di landasan tepat selepas melalui kempen yang tidak konsisten, namun sekurang-kurangnya keputusan itu mengelak mereka daripada malu di hadapan penyokong sendiri.


Chelsea yang memenangi Piala FA sebanyak empat kali sepanjang enam musim terakhir, akan berkunjung ke pasukan Liga Kejuaraan, Middlesbrough untuk menghadapi perlawanan pusingan kelima pada 27 Februari ini.


Terry, kapten Blues yang baru pulih daripada kecederaan lutut, adalah antara pemain utama yang membarisi skuad Chelsea sekali gus membuktikan betapa Benitez begitu menghormati lawan mereka itu selepas berjaya mengikat kedudukan seri 2-2 di Griffin Park.

Chelsea dilihat bergelut pada babak pertama dengan cubaan Branislav Ivanovic tersasar, begitu juga tandukan Mata.


Lampard juga beraksi cemerlang apabila melorongkan bola cantik kepada Oscar, namun rembatan jarak dekat pemain Brazil itu berjaya dinafikan pertahanan lawan, Harlee Dean. Aksi hambar Chelsea itu di bawah kendalian Benitez semakin menyukarkan bekas pengendali Liverpool itu dalam usahanya untuk memenangi hati peminat dan mereka sekali lagi secara terbuka mengejek pengendali dari Sepanyol itu di dalam stadium sebagai rasa tidak puas hati pemecatan pengurus terdahulu, Roberto Di Matteo.

Chelsea bangkit pada separuh masa kedua menerusi gol pertama Mata yang merembat deras menewaskan penjaga gol Brentford, Simon Moore pada minit ke-54. Gol pertama itu mengurangkan tekanan Chelsea yang kemudiannya terus membunuh aksi cemerlang Brentford.


Oscar menambah gol kedua pada minit ke-68 sebelum Lampard menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-72.


Gol itu adalah jaringan ke-199 peribadinya sepanjang bersama Chelsea sekali gus menjadikannya penjaring terbanyak kelab pada saingan Piala FA.


Terry menambah derita Brentford apabila menambah gol keempat pada minit ke-81.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Segera lupakan kekalahan: Wenger

Posted:

LONDON: Arsene Wenger (gambar) menggesa anak buahnya supaya bangkit semula daripada kekalahan memalukan kepada Blackburn pada saingan Piala FA apabila bakal turun bertemu Bayern Munich di saingan Liga Juara-Juara.

Jaringan tunggal Colin Kazim-Richards pada separuh mas kedua sudah cukup memberikan kemenangan 1-0 kepada Blackburn di Stadium Emirates kelmarin sekali gus menyaksikan mereka melangkah ke saingan suku akhir Piala FA.


Bayern akan berkunjung ke London untuk perlawanan pertama pusingan kedua.

Arsenal perlu bangkit apabila bertemu gergasi Jerman itu jika mereka masih mahu menamatkan kemarau lapan tahun tanpa trofi utama selepas Gunners ketinggalan 21 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester United.


"Amat penting untuk menunjukkan karakter sebenar kami," kata pengurus Arsenal itu dalam usaha menaikkan semula semangat anak buahnya.


"Hanya itu saja yang kami mampu lakukan," tambahnya.

"Kami perlu buktikan betapa kuat dan bagusnya kami pada perlawanan seterusnya. Adalah satu kesilapan jika kami berasa bersalah ke atas diri sendiri," kata pengendali dari Perancis itu.


"Kami melalui perlawanan yang agak teruk dan sebab itu kami perlu bangkit semula." Tewas kepada Blackburn menyaksikan kekalahan kali pertama Arsenal kepada pasukan di Liga Kejuaraan pada saingan Piala FA sejak Wenger mengambil alih tugas selaku pengurus sejak 1996.

Pengurus Blackburn, Michael Appleton menegaskan beliau masih tidak percaya anak buahnya dapat menempah tiket ke suku akhir.


"Saya hanya meminta mereka yakin kepada diri sendiri bahawa mereka boleh menang," kata Appleton, pengurus ketiga Rovers pada musim ini.


"Kami ada berbincang mengenainya dalam mesyuarat pasukan.


"Kami kini tinggal selangkah sebelum ke separuh akhir di Wembley. Saya yakin barisan pemain begitu bersemangat untuk beraksi di Wembley," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved